DEMI CINTA SUCI
Sudah menjadi fitrah manusia bahawa mereka mengetahui apa itu cinta walaupun masing-masing mempunyai persepsi tersendiri dengan kalimah tersebut tetapi pokoknya tidak ada manusia yang tidak pernah mendengar kalimah cinta. Aku sekadar ingin berkongsi dengan kalian tentang golongan-golongan yang mengenal erti cinta dalam kehidupan mereka, sekali lagi kuingatkan ini hanyalah pandangan seorang insan yang ingin mencari kebenaran dalam cinta yang hakiki, kerana cinta itu bisa membuat kita bertemu jalan ketakwaan atau menempuh jalan kesesatan.
CINTA SATU KEPERLUAN
Boleh jadi kerana merasakan cinta itu satu keperluan maka ia perlu hadir dalam diri setiap insan. Lantaran itu janganlah kita terlalu hairan melihat masyarakat kita dimomokkan dengan pelbagai cerita-cerita tentang cinta dalam pelbagai versi. Golongan ini menampilkan bintang-bintang yang dianggap cukup layak untuk membangkitkan persoalan cinta kepada semua peringkat umur hatta insan yang masih kanak-kanak juga patut diberikan hak untuk bercinta kerana setiap orang ada cinta pertama masing-masing, walaupun terpaksa melanggar batas-batas agama. Inilah cinta mereka.
Bagi yang bernama mahasiswa pula, mungkin kerana terlalu cinta akan ‘study’nya pasti sanggup bersekang mata setiap malam untuk menyiapkan ‘assignment’ atau membuat persedian untuk ‘exam’ yang bakal tiba. Segala urusan yang mengganggu ‘study’ mereka akan dibuang atau tidak dilayan walaupun urusan tersebut untuk kebaikan dunia dan akhiratnya, kerana mungkin hidup ini untuk ‘study’ dan naikkan CGPA. Kemudian bagi yang telalu aktif dengan pelbagai program anjuran pelbagai pertubuhan sanggup mengorbankan masa dan harta demi menjayakan program yang disertai dengan harapan dapat membina personaliti dalam aspek kepimpinan walaupun terpaksa meninggalkan program yang lebih membina jatidiri Muslim dalam diri umat. Mungkin inilah cinta mereka.
Seterusnya bagi yang berstatus pekerja dalam pelbagai sektor dan bidang di negara tercinta, pasti sanggup mengambil ‘overtime’ untuk menambah ‘salary for month’ atau menggadai cuti-cuti mereka demi berada di tempat kerja masing-masing dan meninggalkan anak dan isteri di rumah dengan harapan segala pergorbanan tersebut bukan hanya dapat meningkatkan pendapatan bahkan juga dapat meningkatkan ekonomi negara walaupun terpaksa mengurangkan masa-masa untuk mendidik diri dan umat ini demi menambah ‘salary for life’ di akhirat kelak.
Pada sisi yang lain pula ramai penulis-penulis lagu menggambarkan cinta ini dengan lirik-lirik yang cukup indah, bukan saja dari golongan yang kurang kefahaman agamanya bahkan juga golongan yang memenuhi lagu-lagu mereka dengan ‘nasihat-nasihat’ agama turut sama khayal dengan tema cinta mereka hingga ada seorang ustaz menggambarkan lagu-lagu mereka sebagai lagu yang melemahkan semangat perjuangan.
Demikian pula kerana cinta kepada individu, kelompok atau amalan tertentu mereka sanggup mempertahankan hujah, dalil dan pendapat masing-masing demi untuk mencari kemenangan atau mungkin kepuasan, lebih menyedihkan lagi andai ini turut melibatkan golongan yang mempelajari agamanya, mereka berdebat tanpa henti seolah-olah seperti mahu bertumbuk dan boleh jadi mereka mungkin akan lakukannya walau terpaksa mengorbankan ukhwah sesama umat Islam. Kata-kata yang mereka lafazkan seolah-olah Rasulullah S.A.W tidak pernah mendidik umat ini erti akhlak, adab dan ukhwah sedangkan insan yang mulia ini pernah bersabda;
“ Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”[1]
Bahkan Al-Quran menghubungkan iman dan ukhwah dalam kalimah yang sama dan tidak cukup dengan itu, seharusnya kita menjadi Muslim yang sentiasa mendamaikan petelingkahan dan pergaduhan serta bukan membangkitkan api kemarahan, menumbuhkan benih kebencian dalam diri setiap yang mengaku Muslim. Adakah kalian lupa...
“ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu mendapat rahmat” [Al-Hujurat 49:10]
Kerana cinta satu keperluan ramai insan menyambut Maulidur Rasul dengan berarak dan selawat keliling bandar dan kampung dan pelbagai program lain sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. Di samping itu program-program yang tidak islami juga ditangguhkan demi menghormati sensitiviti umat Islam walaupun hanya untuk hari sambutan sahaja. Inilah sebahagian cinta-cinta yang dapat kulihat, boleh jadi benar dan boleh jadi salah bergantung bagaimana kita menilainya. Ada seorang penyair pernah mengatakan;
“ Cinta bukan kerana keindahan dan yang tampak di mata, tetapi kerana yang menyatukan hati dan jiwa.”[2]
KERANA CINTA KUBERJUANG
Sekarang ingin kupersembahkan kepada kalian insan-insan yang memahami nilai cinta dalam pandangan dan kefahaman mereka, insan yang mungkin tidak diendahkan oleh ramai orang tetapi bagi mereka inilah cinta yang mereka inginkan.
Kerana cinta insan itu melangkahkan kakinya bersama sahabatnya pergi ke Ta’if, dengan harapan untuk menyeru kaum di situ menerima Islam dengan kecintaan yang hakiki. Kecintaan yang diharapkan bertukar menjadi kebencian, lalu insan itu dan sahabatnya di caci, di hina bahkan di lempar dengan batu-batu hingga mengalirlah darah dari tubuhnya yang mulia itu. Walau malaikat ingin menghempap mereka dengan gunung tetapi insan yang cukup mencintai umatnya ini hanya sekadar mengatakan;
“ Tidak! Semoga ALLAH mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah ALLAH!”[3]
Ucapan ini hanya mampu diucapkan oleh insan yang ALLAH angkat sebagai kekasih-NYA, MUHAMMAD RASULULLAH. Kemudian cinta itu mengalir ke seluruh sahabatnya dan merakamkan kisah-kisah cinta yang hebat.
Bagaimana Hanzalah sanggup meninggalkan ‘kemanisan cinta’ malam pertamanya untuk menyahut panggilan jihad demi untuk mencari ‘kemanisan cinta’ yang lebih kekal di syurga-NYA. Begitu juga Abu Thalhah sanggup menggagahkan dirinya ke medan perjuangan walau sudah di penghujung hayatnya kerana baginya cinta itu bukan hanya ketika muda bahkan hingga nadi sudah tidak berdenyut seraya membacakan ayat Al-Quran kepada anak dan cucunya yang menasihatinya agar tidak ke medan jihad.[4]
“Berangkatlah kamu, baik dalam keadaan merasa ringan(muda) ataupun merasa berat(tua), dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan ALLAH. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”[At Taubah 9:41]
Akhirnya di dalam perjalanan ke medan jihad dia pun menemui Tuhan yang dicintainya. Bagi mereka cinta agama inilah yang membuatkan mereka terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir untuk bertemu Sang Pencipta yang juga mencintai mereka.
“ ......maka kelak ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang ALLAH mencintai mereka dan mereka pun mencintai-NYA.......”[Al Maidah 5:54]
CINTA ITU MASIH MEKAR
Cinta yang pernah merakam sejarah umat ini masih terus mekar dalam jiwa-jiwa yang mencintai agama-NYA. Ingatkah kalian pada Hasan al-Banna yang telah membina generasi-generasi yang juga penuh dengan rasa cinta kepada perjuangan Islam, tetapi insan ini telah dibunuh dengan konspirasi pembunuhan yang cukup jijik hanya kerana dia berjuang untuk agama tercinta.
Begitu juga dengan Sayid Qutb yang menyambut hukuman gantung yang bakal menamatkan riwayat hidupnya dengan sebuah senyuman yang cukup indah kerana merasakan dia akan mendapatkan kekasih yang sedang merindu [5] dirinya. Syeikh Ahmad Yasin yang sanggup melupakan kelumpuhannya demi cinta suci menyebarkan risalah dakwah, kerana cinta Dr. Abdul Aziz Rantisi ketika ditanya tentang kematian lebih rela dibedil dengan Apache daripada mati kerana sakit jantung dengan kata-katanya ‘I prefer Apache’.
Juga demi cinta Dr Abdullah Azzam sanggup meninggalkan tugasnya sebagai pensyarah lalu pergi ke medan jihad bersama pejuang-pejuang Afghan dan mengusir Soviet Union dari bumi umat Islam bernama Afghanistan. Segala amal-amal mereka demi cinta suci ini akhirnya mengorbankan nyawa mereka sebagai syuhada’ dan sesungguhnya pengorbanan yang mereka sumbangkan adalah untuk mencari keridhaan KEKASIH mereka;
“ Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keridhaan ALLAH dan ALLAH Maha Penyantun kepada hamba-hamba-NYA”[Al Baqarah 2:207]
Andai ada yang bertanya adakah perjuangan ini tiada pejuang-pejuang wanita, ketahuilah setiap pejuang-pejuang lelaki itu lahir ke muka bumi dari perut seorang insan yang bernama wanita. Betapa wanita-wanita ini menjadi ibu kepada insan yang mengorbankan diri untuk agama-NYA.
Generasi wanita ini yang pastinya juga cinta akan agama-NYA telah mewariskan kecintaan tersebut dalam jiwa anak-anak mereka dan inilah sumbangan besar mereka dalam melahirkan anak-anak yang bernama pejuang. Sesungguhnya perjuangan ini memerlukan sumbangan daripada kalangan lelaki dan wanita mengikut posisi masing-masing seperti yang digambarkan dalam kalam ALLAH;
“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.....[ At Taubah 9:71]
Ternyata cinta mampu membuatkan manusia menemui erti kehidupan, mampu memberi sesuatu demi sebuah kehidupan yang lebih abadi. Tetapi untuk membina insan-insan seperti mereka bukan mudah bahkan satu jalan yang panjang dan memenatkan, hanya orang-orang yang yakin bahawa jalan ini adalah milik ALLAH pasti akan membangkitkan kembali seruan dakwah-NYA dalam jiwa para mukmin, cahaya Islam ini akan tetap bersinar walau pelbagai ujian dan dugaan yang bakal ditempuhi.
“Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) ALLAH dengan mulut(ucapan-ucapan) mereka, dan ALLAH tetap menyempurnakan cahaya-NYA meskipun orang-orang kafir benci”[As Saff 61:8]
Semarakkanlah cinta yang sedang tidur dalam diri kalian untuk digunakan demi sebuah percintaan yang lebih luas makna dan nilainya agar nanti ketika ia bangkit bisa digunakan untuk perjuangan agama yang mulia ini;
“Hai orang-orang yang berkemul(berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan.” [Al Muddassir 74: 1,2]
Buanglah ‘selimut cinta’ yang telah lama melekakan kita serta melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan untuk membina kembali generasi baru yang mengenal cinta-NYA, bak sebuah syair yang pernah diungkapkan;
“Telah bekulah daya juang di hati manusia itu,
Mereka leka mencari kekayaan dan kehidupan yang rutin,
kealpaan orang-orang yang baik dan semangat orang-orang yang keliru,
hampir-hampir menggoncangkan daku dari cita-cita dan perjuanganku” [6]
Sekarang kalian yang membaca tulisanku ini lebih berhak untuk memilih cinta yang kalian inginkan sama ada tergolong dalam kelompok yang menginginkan kepuasan dunia dan isinya atau tergolong dalam kelompok yang mencintai dan meridhai ALLAH sebagai RABB, Muhammad sebagai RASUL dan Islam sebagai AD-DEEN.
Selagi ALLAH masih lagi memberi segala nikmat-NYA kepada kita, jalan untuk berubah tidak pernah tertutup dan hanya kepada ALLAH jualah kita mohon jalan petunjuk-NYA untuk meniti jalan kebenaran kerana insan ini hanya mampu menyeru kalian dengan tulisan yang andai tidak mampu menyedarkan insan lain, mudah-mudahan dapat mengingatkan diri ini akan tanggungjawabnya demi untuk mendapatkan cinta yang suci dari Ilahi yang kelak ingin kubawa bersama menuju keridhaan-NYA. AMIIN......
“ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata, “ Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”[ Fusshilat 41:33
RUJUKAN:
[1] Hadith diambil dari buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, dalam Bab 3, Saya
Mestilah Muslim dari Sudut Akhlak, Fathi Yakan m/s 45 terbitan Dewan Pustaka
Fajar (DPF) tanpa dinyatakan riwayat dan darjat hadith.
[2] Buku Cinta dan Rindu menurut Al-Quran dan As Sunnah, dalam Bab V, Motif
Dan Pendorong Cinta, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah m/s 51 terbitan Albaz Publishing & Distribution Sdn. Bhd.
[3] Buku Bagaimana Menyentuh Hati, dalam Bab Optimisme yang Penuh Senyum dan Lapang Dada, Abbas As-Siisiy m/s 137 terbitan Era Intermedia.
[4] Buku Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden, dalam Bab 2 Dakwah Profesional dan Persiapannya Kewajipan Melaksanakan Tugas Paling Mulia, Dr. Danial Zainal Abidin, m/s 101,102 terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. dengan sedikit perubahan
[5] Salah satu bait syair Sayid Qutb sebelum menemui syahid dalam buku “ Petunjuk Sepanjang Jalan” terbitan Crescent News(K.L.) Sdn. Bhd. m/s 210.
[6] Buku Munthalaq, dalam Bab 2 Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari,
Muhammad Ahmad Al Rasyid- Amiri, Diwan Ma’a Allah, m.s. 110
Al ‘Abd Al Faqir.
Mohd Halimi Abdul Aziz
Final Year Student 2007
15 Rabiul’awal 1428H
02:28 a.m
Friday, April 6, 2007
Tuesday, March 27, 2007
Hari demi hari yang berlalu kadang-kadang melupakan kita tentang apa yang telah kita perbuat dengan masa tersebut. Pastinya kita sedia maklum bahawa sata masa nanti masa itu akan terhenti kerana sudah sampai ke penghujungnya. Ya, kerana itu adalah sunnah kehidupan dan alam ini, setiap sesuatu ada pengakhirnya kecuali Zat Yang Maha Pencipta. Aku mengikuti satu program yang diberi nama “Finishing School”, program yang dibuat untuk bakal-bakal graduan, juga sebagai persiapan menghadapi medan pekerjaan nanti. Masa terlalu pantas berlalu, dalam diam sudah tiga tahun aku berada di universiti dan tidak lama lagi pengajian ijazahku akan kutamatkan. Tika masa terus berdetik, aku memikirkan apa yang telah ku perbuat sepanjang pengajianku, adakah aku telah memanfaatkan masa-masaku untuk menyumbang sesuatu kepada individu atau umat ini. Jika tidak mungkin aku hanya seorang mahasiswa yang hanya menghabiskan masaku untuk menelaah pelajaran dengan harapan untuk mendapat “First Class Degree” sedangkan ia masih belum ku kecapi, atau mungkin menjadi orang yang terlalu sibuk dengan pelbagai program dengan harapan dapat menjadi merit tambahan untuk meminta pekerjaan kelak sedangkan kerana terlalu ingin menjayakan program-program tersebut kadang-kadang membuatkan kita terpaksa meninggalkan kuliah-kuliah pengajian bahkan menyempitkan masa-masa untuk menelaah pelajaran tidak termasuk masa-masa ibadah kita. Adakah kita termasuk dalam salah satu kategori yang ku sebutkan tadi, lalu kemanakah harus kita gunakan masa-masa kita. Wahai sahabat-sahabatku marilah kita kembali kepada jalan agama kita yang penuh petunjuk-petunjuk untuk kita memanfaatkan hidup ini. Adakah kalian lupa bahawa hidup ini adalah untuk beribadah kepada-NYA
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-KU” [Az-Zariyat 51:56]
Bahkan masa-masa yang kita miliki ini harus kita manfaatkan sebaik-baiknya kerana Al-Quran telah berbicara kepada umat ini.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, dan nasihat-menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran”[Al-Asr 103:1-3]
Adakah kita termasuk dikalangan orang-orang yang rugi atau menjadi golongan yang benar-benar memahami bagaimana menjadi orang yang beruntung. Salah seorang mujahid dakwah pernah memberikan nasihat kepada umat ini bahawa
“Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita; oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak mengguna masa dengan berfaedah”
Selagi ALLAH masih memberikan masa kepada kita, maka seharusnya kita memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya. Buangkan segala alasan-alasan yang hanya menyebabkan kita jauh dari jalan agama ini. Sekarang adalah masa untuk kita menyumbangkan sesuatu untuk umat ini kerana sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.
Biarkan masa-masa yang berlalu itu pergi dengan kenangan-kenangan yang penuh dengan kejahilan, kehinaan dan kemungkaran, mari kita bina kembali kenangan-kenangan baru yang penuh dengan kefahaman, kemuliaan dan kebaikan. Andai kita ingin mengakhiri pengajian kita dengan result yang terbaik, maka mudah-mudahan kita juga ingin mengakhiri kehidupan ini dengan “result amalan” yang terbaik juga.
Tahukah kalian insan yang bernama Sheikh Ahmad Yasin, dari segi fizikal dia seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa, sentiasa saja memerlukan insan lain membantu untuk bergerak akibat kelumpuhan yang menimpanya. Tetapi insan lumpuh ini tidak melihat kekurangan yang menimpanya sebagai alasan untuk tidak menyumbang sesuatu untuk umat ini bahkan inilah insan yang membangkitkan kembali semangat perjuangan dalam diri pemuda-pemuda Palestin. Adakah kalian tahu bagaimana insan ini bertemu dengan ajalnya, walau hampir lumpuh seluruh tubuhnya tetapi Zionis Yahudi seolah-olah tidak mampu untuk membunuhnya dari dekat, lalu mereka melontarkan tiga butir peluru bom yang membuatkan tubuh Sang Mujahid ini menemui Tuhan-Nya sebagai syuhada’ yang telah mewariskan semangat perjuangan yang tidak pernah malap dalam jiwa-jiwa yang inginkan Islam ditegakkan, keadilan dijalankan dan kemuliaan dikembalikan.
“ Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan ALLAH (bahawa mereka itu) mati, bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya”[Al-Baqarah 2:154]
Lihatlah diri kalian sekarang, adakah fizikal kita seperti Sheikh Ahmad Yasin atau tidak, ternyata ALLAH masih lagi memberikan pelbagai nikmat kepada kita, namun kita seolah-olah tidak mampu menyumbangkan sesuatu untuk agama ini dengan pelbagai alasan yang kita berikan. Memang manusia ini insan yang tidak pandai berterima kasih.
Yakinlah bahawa ALLAH pasti menolong hamba yang menolong agama-Nya
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) ALLAH, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [Muhammad 47:7]
Seringkali kita lihat sebahagian umat ini menggantung ayat seribu dinar dengan harapan dimurahkan rezeki dan dimudahkan segala urusan. Adakah cukup dengan menggantung ayat-ayat tersebut rezeki datang mencurah-curah dan urusan dimudahkan, Tahukah kalian maksud ayat-ayat tersebut.
“.......Barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH, niscaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan)-nya.....[At-Talaq 65: 2,3]
Tenyata kalau ingin urusan kita dimudahkan dan murah rezeki, syaratnya cukup jelas kita perlu menjadi insan yang bertakwa terlebih dahulu dan mengorbankan masa, harta bahkan jiwa untuk agama ini.
Bangkitkan kembali semangat perjuangan yang telah lama tidur dalam sanubarimu wahai sahabatku. Binalah kembali aqidah dan iman yang suci hingga ia bisa menggerakkan kita untuk berdakwah, hiasilah masa-masa kalian dengan ibadah-ibadah yang sahih agar DIA tunjukkan jalan hidayah-NYA dan perbaikilah akhlak kalian dengan acuan Al-Quran sepertimana yang telah dicontohkan oleh Nabi kita yang mulia, MUHAMMAD SAW.
Mudah-mudahan kita akan mencipta sejarah baru dalam kehidupan kita dan mengakhiri kehidupan kita bukan sahaja semasa belajar bahkan walau dimana kita berada dengan amalan yang dapat menggapai keredhaan-NYA dan menjadi tanda kecintaan kita kepada penegak risalah dakwah ini agar MAULIDUR RASUL yang bakal kita sambut akan menjadi lebih bermakna dalam kehidupan kita sebagai hamba-NYA.
“Katakanlah, ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai ALLAH, ikutilah aku, niscaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”[Ali Imran 3:31]
Tuesday, March 20, 2007
TRUST GOD
Bulan lepas aku berada dalam makmal virologi demi menyiapkan projek final year yang semakin dekat ‘due date’nya sedangkan result untuk eksperimen yang ku buat masih lagi belum berjaya kudapatkan. Hampir setiap hari aku pergi ke makmal bahkan terlajak hingga ke malam namun hasilnya sungguh mengecewakan. Benak fikiranku mula berprasangka yang bukan-bukan, adakah Allah tidak ingin membantu hamba-Nya ini, sedangkan kalau mengikut fikiranku sudah berkali-kali aku berusaha mendapatkan keputusan eksperimenku, ditambah dengan doa-doa yang ku lafazkan setiap kali solat, namun tidak pernah berjaya. Untuk pengetahuan kalian experimen yang aku buat adalah berkaitan dengan virus yang namanya ‘Newcastle Disease Virus’. Aku harus mendapatkan sejenis gen yang terdapat dalam virus tersebut yang diberi nama HN ( kalian boleh search sendiri di internet kalau nak tahu detail tentang ‘term-term’ ni) kerana bukan itu tujuan artikel ini ditaip. Kegagalan-kegagalan yang ku tempuhi benar-benar membuatkan aku ‘down’, ‘tension’, ‘stress’ dan banyak lagi. Hingga pada satu hari ketika aku mengulang eksperimen yang sama buat kali yang ke-8, seorang student Phd. dari Iran menegurku
“Are you want to extract your HN gene today? Maybe you will get your result today”.
“Hope so”. Balasku agak perlahan
“TRUST GOD” Ini kata-katanya yang terakhir sebelum aku beredar untuk menyambung eksperimenku.
Perkataan terakhir yang diucapkannya membuatkan aku termenung seketika adakah aku masih belum percaya dengan Rabbku sendiri, sedangkan saban minggu aku diperingatkan dengan nasihat-nasihat yang mengarahkan kepada ma’rifatullah, syahadatain dan banyak lagi seperti mana yang dirakam dalam Al-Quran
“ Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [ Al-Baqarah 2: 186]
Lalu ketika aku melakukan ‘step’ yang terakhir untuk melihat sama ada aku berjaya atau tidak mendapatkan ‘result’ buat kali ini dan hasilnya SUBHANALLAH, aku berjaya mendapatkan ‘result’ yang sekian lama aku nantikan. ALHAMDULILLAH.
Aku terkenang kembali kata-kata ‘TRUST GOD’ tadi, walaupun aku sedia maklum kebanyakan ‘student’ dari Iran kebanyakannya adalah Syiah, termasuklah demonstrator projek ‘final year’ku yang mengakui dia adalah syiah. Aku tidak ingin mengulas tentang syiah di sini, mungkin dalam artikelku yang seterusnya. Tetapi perkataan ‘TRUST GOD’ yang diucapkanya benar-benar memberi kesan mendalam kepadaku. Mengapa tidak, hanya kerana aku tidak berjaya memperoleh keputusan dalam 7 kali percubaanku yang lalu, pelbagai prasangka buruk muncul dalam fikiranku, sedangkan kalau difikirkan sejenak, cukup banyak nikmat-nikmat yang ALLAH berikan kepadaku, kalau bukan dengan izin-Nya mana mungkin aku berada di muka bumi ini, tanpa izin-Nya aku tidak bisa hidup hingga ke saat ini, bahkan dengan izin-Nya juga aku sekarang berada di tahun akhir pengajian ijazahku. Nah, ketika ALLAH menguji aku dengan sedikit kesusahan, lantas terlalu cepatku mengeluh tak tentu pasal. Boleh jadi kita terlupa bahawa untuk mendapatkan pertolongan ALLAH dalam setiap urusan kita, terdapat syarat-syarat yang harus kita penuhi seperti mana terdapat dalam ayat Al-Quran di atas.
.....memenuhi (segala perintah)-Ku...
Kita mengharapkan ALLAH memudahkan urusan kita tetapi adakah kita orang yang bekerja untuk memudahkan urusan yang diperintahkan oleh ALLAH kepada kita. Mana mungkin adanya balasan sebelum adanya pengorbanan. Ingatlah sahabat-sahabatku walau sesukar mana ujian yang menimpa diri kita, jangan sampai kita mengabaikan perintah-perintah-Nya. Seterusnya ayat di atas juga menyebut.
....hendaklah mereka beriman kepada-Ku...
Mudah-mudahan kita berdoa agar menjadi orang yang sentiasa meningkatkan keimanan kita dengan aqidah yang bersih dari pelbagai ideologi seperti liberalisme, sekularisme, komunisme, syiahisme dan banyak lagi, ibadah yang sahih berpandukan sumber yang sahih, dan akhlak yang terpuji persis Nabi kita yang tercinta. Hingga akhirnya kita mengharapkan agar ALLAH meneguhkan kita dalam kebenaran seperti penghujung ayat 186
....agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
Ternyata kesukaran dalam menyiapkan projek ‘final year’ku memberikan pengalaman yang cukup bermakna bukan saja dari segi keilmuan bahkan dalam keyakinan ku bahawa pertolongan pasti tiba jika kita benar-benar menolong agama-Nya. Maka untuk itu kalian harus menyebarkan risalah-Nya ini dengan bersungguh-sungguh walau seribu kegagalan kita tempuhi, kerana ALLAH pasti memenangkan agama ini. Lihatlah bagaimana ALLAH menerangi bumi dengan cahaya matahari setelah kegelapan malam menutupinya,(lihat gambar) begitulah jua cahaya kebenaran akan kembali bersinar setelah kegelapan kebatilan melemah. Marilah kita sama-sama “TRUST GOD”.
“ Mereka hendak memadamkan cahaya(agama) ALLAH dengan mulut mereka, dan ALLAH tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci”. [As-Saff 61:8]
Mohd Halimi Abdul Aziz
Virology Lab 143
11/03/2007 19:15p.m.