Monday, September 17, 2007

KEMULIAAN YANG TERCEMAR


Alangkah mulianya bulan ini, penuh dengan rahmat dan kasih sayang Ilahi kepada hamba-hamba-Nya . Dengan kasih sayang-Nya, dapat dilihat berbondong-bondong manusia menuju rumah-Nya saat tiba masa untuk beribadah, terasa begitu mudah untuk melaksanakannya berbanding bulan-bulan yang lalu, semangat juga berbeza saat melakukan ibadah lantaran ramainya manusia yang turut melakukannya. Inilah fitrah yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang makhluk yang bernama hamba ALLAH tanpa mengira masa-masa tertentu, namun manusia mudah lupa kepada Rabb yang menciptakan dirinya. Adakah aku salah seorang daripadanya???

Adakah kemuliaan bulan ini telah tercemar oleh perbuatan kita yang merosakkan kemuliaannya, adakah kalian melihat ada segolongan manusia yang masih tetap menyebarkan hadith-hadith yang palsu saat tibanya bulan yang mulia ini dengan ganjaran yang melampaui batasan akal dan nas yang sahih, ternyata hadith-hadith yang sahih tentang keutamaan bulan yang mulia ini seolah-olah masih belum cukup. Jangan biarkan umat ini bersemangat melakukan ibadah dengan ganjaran –ganjaran yang palsu kerana matlamat yang Islam ingin capai tidak pernah menghalalkan cara yang bukan Islam ajarkan. Cukuplah dengan hadith yang sahih menjadi sandaran kita tentang kelebihan bulan ini. Adakah aku memahaminya???

“Barangsiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana iman dan mencari ridha ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lalu.”[HR Bukhari dan Muslim]

Dimanakah nilai kemuliaan bulan ini andai masih lagi kita lihat segolongan manusia tanpa segan silu berdua-duaan tanpa ikatan yang sah di tempat-tempat yang terbuka, mereka saling berpegangan bahkan berpelukan dengan cukup selamba, sedangkan mata ini cukup sakit memerhatikannya walau hanya sekejap, betapa sedihnya diri ini kerana tidak mampu untuk mencegahnya lantas hanya mampu membenci jauh di sudut hati disamping meluahkannya lewat tulisan yang serba kekurangan ini tanda lemahnya imanku. Sedangkan Nabiku bersabda:

“Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda. “Barangsiapa diantara kalian melihat suatu kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya; jika tidak mampu; maka dengan lisannya;dan jika ia masih tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”[HR Muslim]

Dimanakah sifat malu dalam diri mereka, adakah malu itu sudah hilang dalam jiwa umat ini hingga menjadikan mereka seolah-olah tidak merasa bersalah saat melakukan maksiat dan kemungkaran di bulan kemuliaan ini. Bahkan mereka melakukannya ketika syaitan-syaitan dibelenggu daripada berleluasa menyebarkan kejahatannya, adakah ini tanda hati sudah gelap dengan titik-titik hitam akibat maksiat dan dosa yang mereka perbuat dalam bulan-bulan yang lalu. Jagalah sifat malumu wahai sahabatku kerana ia juga salah satu tanda keimanan orang yang bertakwa.

“Malu adalah sebahagian dari iman”[HR Muslim]

Mudah-mudahan sifat itu masih kukuh dalam sanubari kita, agar dapat menjaga kita daripada melakukan kemungkaran lebih-lebih lagi di bulan yang penuh keberkatan ini, andai ALLAH memberikan pahala berlipat ganda atas amal soleh yang kita lakukan di bulan ini, adakah mungkin ALLAH juga melipat gandakan dosa kita atas kemungkaran dan maksiat yang kita perbuat di bulan ini, mari kita renungkan bersama agar kita dapat meletakkan diri kita dalam golongan yang beruntung kerana kita bebas untuk memilih jalan yang ingin kita lalui, jalan kefasikan atau jalan ketaqwaan.

Jadikanlah bulan ini medan untuk kita mengenang sahabat-sahabat seIslam kita di seluruh bumi ALLAH ini yang mungkin serba kekurangan dan kesedihan melalui bulan kemuliaan ini, jangan kita terlalu mewah dengan pelbagai juadah makanan untuk di ratah sepuas-puasnya hingga terlupa mereka yang tidak mampu menikmatinya seperti kita, apatah lagi andai makanan itu berlebihan hingga dibuang begitu sahaja walau telah cuba untuk menghabiskannya setelah penat melakukan solat sunat tarawih, kerana membazir bukan sifat yang Islam ajarkan, bersederhanalah wahai sahabatku.

".......makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”[Al- A’raf 7:31]

Hiasilah bulan ini dengan sebaik-baiknya kerana ia baru bermula, madrasah Ramadhan ini masih terbuka untuk mentarbiyah umat ini agar dapat melaluinya dengan penuh keimanan dan membentuk peribadi yang terbaik hingga mampu menjadi pejuang yang sejati. Jangan lupakan cita-cita kita agar di penghujung Ramadhan ini kita berjaya menggapai gelaran orang-orang yang bertakwa lantaran aqidah dan amal soleh yang kita perbuat di bulan kemuliaan ini. Bulan ini masih belum tercemar maka sucikanlah iman dan amalmu.

“………..mudah-mudahan kamu bertaqwa.” [Al Baqarah 2:183]


Al ‘Abd Ad ‘Dhaif,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 10 Ramadhan, 12:58a.m.

Tuesday, September 11, 2007

SUCIKAN DIRIMU


Ia hadir di saat jiwa ini merinduinya, ia tiba tatkala hati ini ingin mendapatkannya, ia datang ketika diri ini ingin menghampirinya, perasaan yang hanya dirasai oleh mereka yang benar-benar ingin menjadi orang yang bertakwa dalam kehidupan mereka. Adakah aku merasai kehadirannya???

Hadirnya menyerikan seluruh penghuni langit dan bumi, melimpahkan rahmat ke seluruh alam, menyelimuti jiwa-jiwa yang sentiasa mendambakan keindahannya. Bulan yang penuh berkat dan rahmat, RAMADHAN kembali menyinarkan cahayanya buat umat ini.
Ternyata ALLAH masih memberi kesempatan buat diri ini bertemu dengan Ramadhan, bulan untuk membersihkan diri dari dosa dan noda yang dilakukan pada bulan-bulan yang lalu. Moga diri ini dapat memanfaatkan hari-hari mulia yang tiba nanti untuk menyucikan dirinya. Renungilah setiap apa yang ingin kusampaikan buat mereka yang ingin mendengarnya.

Sucikan dirimu daripada pengaruh kesesatan yang dapat mengugat akidah suci yang kita miliki, kesesatan yang menjauhkan kita daripada hidayah-Nya lantaran membelakangkan ajaran Ilahi, ingatlah pesan Luqman kepada anaknya yang tercinta;

"Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."[Luqman 31:13]

Sucikan dirimu daripada menyebarkan sesuatu yang tidak pasti hujung pangkalnya, apatah lagi yang melibatkan hukum tanpa dalil dan hujah yang nyata kerana ulama salaf mahupun khalaf sahaja cukup berhati-hati dalam soal hukum, juga kerana agama ini dibina dengan kekuatan dalil dan hujah yang jelas, setiap ucapan dan amalan yang dibuat harus bersandarkan kaedah yang Islam ajarkan agar agama ini tidak dicaci dan dihina lantaran kesilapan yang kita lakukan akibat kejahilan diri sendiri. Andai tidak tahu maka tanyakan kepada mereka yang lebih arif.


“……maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu
tidak mengetahui”[An-Nahl 16:43]

Sucikan dirimu daripada pelbagai prasangka buruk kepada insan lain, lebih-lebih lagi sahabatmu kerana kebanyakan prasangka itu adalah dosa, andai tersilap dalam ucapan mahupun tindakannya ia adalah kelemahan seorang insan yang sering lupa dan tersilap, jika ALLAH saja mengampunkan umat ini atas kesilapan atau kelupaannya, lalu kita lebih harus memaafkan insan yang bernama sahabat.

“Dari Ibnu Abbas ra. Bahawa Rasulullah saw bersabda, “ Sesungguhnya ALLAH mengampuni umat atas kesalahan , kelupaan dan atas sesuatu yang dipaksakan kepadanya.”[Hadith Arba’in- 39 hadith hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah , Baihaqi dan lain-lain]

Sucikan dirimu daripada terlalu mengharapkan balasan atas segala kerja mahupun pengorbanan kepada insan lain sekalipun ucapan terima kasih atau lebih rendah daripadanya, ia memang tidak adil andai tidak ada sebarang penghormatan atas segala usaha yang kita sumbangkan, namun siapalah kita untuk mengeluh hanya kerana tiada balasan setimpal yang kita merasakan harus memilikinya, kerana Raja segala makhluk sahaja sering berfirman hanya segelintir yang berterima kasih kepada-Nya.

“…….Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih”[Saba’ 34:13].

Sucikan dirimu daripada melihat aurat yang bukan hakmu selagi belum sampai saat dan ketika untuk melihatnya, kerana menjaga kesucian itu lebih utama daripada memuaskan hawa nafsu tanpa kaedah dan jalan yang Islam tunjukkan.

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya…[An Nuur 24:30]
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya…[An Nuur 24:31]

Sucikan dirimu daripada membuka segala ‘perhiasanmu’ selagi belum sampai saat dan ketika untuk membukanya daripada dilihat oleh mereka yang tidak layak melihatnya hingga mampu menggoncang nafsu sang lelaki mahupun wanita, lantas jiwa semakin tertekan kerana gelojak nafsu yang kian membara hingga membawa kepada kemaksiatan yang menghancurkan moral umat dan tamadun.

“Semua peristiwa(penzinaan) itu bermula dari memandang. Dan api yang besar itu berasal dari percikan api yang kecil”[kata-kata seorang penyair]

Sucikan dirimu dengan solat yang khusyuk agar menjadi tanda bagi orang-orang yang berjaya sebagai seorang mukmin.

Sucikan dirimu dengan tilawah quran dan tadabbur ayat-ayat-Nya agar ia dapat menyucikan jiwa yang sering kotor ini dengan cahaya-Nya,

Sucikan dirimu dengan hadith-hadith sahih di bulan yang mulia ini agar tidak sekali-kali dicemari dengan amalan atau ganjaran yang datang dari sumber yang palsu,

Sucikan dirimu dengan tahajud dikala insan lain senang lena diulit mimpi agar diri ini terjaga dari bisikan syaitan dan hawa nafsu,

Sucikan dirimu dengan menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh agar ia menjadi penyuluh kehidupan dunia dan akhirat,

Sucikan dirimu dengan bekerja sebaik mungkin dengan penuh amanah dan ikhlas dalam melaksanakannya agar ia bakal menjadi amal kita yang terbaik,

Sucikan dirimu dengan RAMADHAN yang tiba dengan sungguh-sungguh, mengharapkan keampunan-Nya, petunjuk-Nya dan rahmat-Nya kerana siapa tahu ini adalah Ramadhan kita yang terakhir sebelum kita menghadap-Nya.

Selamat datang wahai bulan kemulian, moga kehadiranmu membuatkan diri ini lebih bersemangat untuk menjadi dan membina generasi Rabbani yang mendambakan kemenangan Islam.Adakah kalian pun begitu?????

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”[Al Baqarah 2:83]


Al Faqir ila Rabbihi,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 1 Ramadhan 1428H 12:55am

Thursday, August 30, 2007

KONVOKESYEN

Hari itu semakin hampir, alangkah indahnya saat tibanya hari yang bersejarah itu, inilah hari yang sentiasa dinantikan oleh seorang mahasiswa setelah memerah keringat untuk mendapat segulung ijazah. Alangkah bertuahnya hari itu dengan pakaian jubah, blazer kot, mortar dan hood yang akan dipakai lagak seorang yang akan menamatkan zaman pembelajarannya di sebuah institusi pendidikan.

Ia adalah hari yang paling bersejarah, hari yang pasti tidak akan dilupakan, setiap saat pasti dirakam lewat kamera mahupun video. Hari Konvokesyen yang penuh gilang gemilang itu sentiasa menjadi dambaan seorang mahasiswa. Segala persiapan telah dibuat dan setiap gerak langkah diajar dengan penuh tertib. Senyuman harus sentiasa terukir dibibir tatkala sampai giliran untuk menerima skrol masing-masing, walau ia hanya mengambil masa beberapa minit mahupun saat sahaja.

Sebagai tanda penghormatan, penyampai ijazah adalah dari kalangan orang-orang kenamaan, bahkan yang namanya Sultan juga sanggup mencemar duli menjadi penyampai ijazah kepada sang mahasiswa. Bertuah sungguh insan tersebut.

Seluruh sanak saudara, rakan taulan akan berkumpul meraikan kejayaan menghabiskan pengajian masing-masing, segala penat lelah mahupun perbelanjaan untuk menghadiri upacara konvokesyen terasa hilang setelah melihat kejayaan sang anak menggulung sekeping ijazah.

Itulah hari yang merakamkan detik-detik yang menggembirakan semua, namun disana ada hari yang bahkan lebih besar dan lebih banyak orang yang menghadirinya. Andai hari konvokesyen hanya untuk individu yang berjaya menamatkan pengajian namun hari yang pasti kita akan temui nanti adalah untuk semua individu sama ada yang berjaya mahupun tidak iaitu “Konvokesyen Mahsyar”

Pakaian yang bakal dipakai nanti tidaklah semegah konvokesyen universiti, hanya sehelai kain putih menyelimuti badan, tidak perlu mengikut pelbagai protokol seperti tunduk hormat mahupun bersalam terlebih dahulu sebelum menerima “skrol kehidupan” masing-masing bezanya adalah sama ada kita menerima “skrol kehidupan” itu sebelah kanan atau sebelah kiri

Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: "Ambillah, bacalah kitabku (ini)". (QS. 69:19)
Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: "Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini), (QS. 69:25)

Jika waktu pengajian kita selama tiga tahun atau lebih membuatkan kita bertungkus lumus demi untuk menyelesaikan pengajian agar dapat menghadiri hari konvokesyen masing-masing, maka persiapan untuk menghadiri Konvokesyen Mahsyar lebih harus dilaksanakan kerana ia adalah hari yang telah ditetapkan, hanya menunggu masa dan ketika dan kita adakah telah bersedia atau tidak untuk menghadirinya. Adakah saat dan ketika itu kita mempunyai wajah yang ceria lantaran “ahsanul amala” yang kita lakukan atau wajah yang muram lantaran “fahsya wal mungkar” yang kita kerjakan.

pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram. Adapun orang-orang yang hitam muram mukanya (kepada mereka dikatakan): "Kenapa kamu kafir sesudah kamu beriman Karena itu rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu". (QS. 3:106)
Adapun orang-orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam rahmat Allah (surga); mereka kekal di dalamnya. (QS. 3:107)

Kalian masih mempunyai masa untuk berubah, andai tersalah memilih jalan kehidupan, andai telah berubah mudah-mudahan ALLAH berikan kekuatan untuk istiqamah di jalan kebenaran dengan memegang Islam secara menyeluruh dalam wajahnya yang sebenar.

Itulah ayat-ayat Allah, Kami bacakan ayat-ayat itu kepadamu dengan benar; dan tiadalah Allah berkehendak untuk menganiaya hamba-hamba-Nya. (QS. 3:108)

Kepada kalian yang telah mahupun bakal menghadiri konvokesyen masing-masing, jadikan ia sebagai permulaan untuk menggapai kejayaan yang lebih hakiki di “Konvokesyen Mahsyar” kita kelak.
Andai konvokesyen adalah tanda sebuah kemerdekaan bagi seorang mahasiswa dalam pengajiannya, moga kelak ketika konvokesyen mahsyar akan menjadi kemerdekaan bagi seorang manusia dalam kehidupannya. Kemerdekaan yang membentuk peribadi dan jiwa yang tenang.

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diridhoi-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku,dan masuklah ke dalam surga-Ku. (QS. 89:27-30)

Salam kemerdekaan buat negaraku yang tercinta, namun diri ini masih belum mampu memerdekakan dirinya lantaran kurangnya kesungguhan untuk merealisasikan kata-kata seorang pejuang Islam tatkala berhadapan dengan seorang panglima perang.

“Kami berjuang untuk mengeluarkan (memerdekakan) umat daripada penyembahan kepada manusia kepada penyembahan kepada ALLAH semata-mata, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada kejumudan agama kepada keindahan dan keadilan Islam”.

Sempena Hari Konvokesyen UPM kali ke-31 pada 25-29 Ogos yang lalu, sekadar peringatan buat diri dan sahabat.

Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
BS(K)- Microbiology
Now Master of Science(2007/2009)
31 OGOS 2007 11:52a.m