Monday, December 29, 2008

DARAH ITU MASIH TETAP MENGALIR

Tanah yang bertuah itu telah menjadi sejarah bagi para anbiya’ untuk menyebarkan risalah dakwah, tanah itu juga menjadi qiblat pertama bagi umat Muhammad, hari ini tanah itu disimbahi oleh darah-darah wangi penduduknya, dan darah itu telah lama mengalir dan masih terus mengalir saat ini.
Darah itu masih tetap mengalir demi membela tanah suci umat Islam, demi menentang sebuah kezaliman yang tidak pernah henti, demi menjatuhkan kebatilan yang menjajah tanah air mereka dan demi menegakkan keadilan dan kebenaran yang semakin hilang dari jiwa umat.
Darah itu sentiasa mengalir meninggalkan keluarga, sahabat, pekerjaan dan segala kenikmatan dunia akibat kekejaman Yahudi LaknatuLLAH, akibat keangkuhan yahudi yang selesa dengan kedudukan, akibat penindasan yang di luar batas kemanusian atas insan yang tidak bersalah.
Dan kita hanya mampu melihat darah itu mengalir menyimbah bumi, hanya mampu sedih melihat apa yang terjadi, hanya mampu marah jauh di sudut hati kerana kita tidak punya kuasa menghalangnya. Mereka yang ada kuasa seperti PBB, OIC, Liga Arab pula hanya mampu mengutuk dan mengeji perbuatan kejam Yahudi, hanya mampu mengeluarkan berpuluh-puluh resolusi di pelbagai lembaran kertas yang serba indah melalui puluhan pertemuan melewati tahun demi tahun. Namun darah suci itu masih tetap mengalir.
Terasa sudah tidak ada harapan untuk mengubah kebatilan itu kepada kebenaran, kekejaman itu kepada keadilan, kejahatan itu kepada kebaikan, ditambah dengan pandangan sinis segelintir masyarakat yang mengatakan kalau tolong pun bukan boleh ubah apa-apa pun, biar jelah dah nasib mereka macam tu, ridho jelah.
Mentaliti ini bahkan cukup tebal di hati masyarakat yang hidup hanya ‘aku dan duniaku’ semata-mata, tidak mahu memberikan sumbangan walau sedikit sebagai tanda prihatin dengan apa yang terjadi lewat masalah yang melibatkan soal umat, bangsa dan agama, lantas wajarlah jika sebahagian manusia terlalu sibuk dengan kehidupan mereka semata-mata, tidak pernah peduli apa yang terjadi di sekeliling mereka sama ada di negara sendiri mahupun negara lain kerana hidupku tidak ada kaitan dengan orang lain.
Kita tidak akan dapat merubah apa-apa jika tidak mahu memberikan sumbangan walau sedikit hanya kerana merasakan hasilnya yang tak akan ke mana-mana, tapi pernahkan kita terfikir andai ALLAH menyoal kita kelak tentang apa yang kita perbuat saat melihat kekejaman, kezaliman, kemungkaran dan penindasan yang terjadi saat kita di dunia? Bukankan sumbangan kecil kita itu bakal menjadi jawapan kita kelak dan siapa tahu sumbangan kecil itu bakal menyelamatkan kita dari azab-NYA. Tapi bagi mereka yang tidak pernah ambil peduli kezaliman yang terjadi, penindasan yang berterusan, dan kemungkaran yang berlaku maka persiapkanlah jawapan yang sesuai tatkala Hari Penghisapan kelak.
Darah itu masih tetap mengalir, mereka masih tetap memohon bantuan, mereka masih menanti tangan-tangan yang sanggup berjuang bersama mereka, mereka masih mengharap agar umat Islam bangkit membela mereka, lalu adakah cukup sekadar berdoa dan membenci dihati dengan segenap penderitaan yang dialami oleh ayah-ayah, ibu-ibu, anak-anak, adik dan abang kita seISLAM nun jauh di bumi bertuah AL-AQSA.
Mari berubah dari sekadar membenci kepada menyumbang sesuatu agar perubahan yang kita cita-citakan kelak akan tampak jalan-jalan keluarnya. Perubahan suatu yang sukar namun tidak mustahil andai kita mahu mengubahnya. Pilihan di tangan anda.
Bantulah Palestina Tercinta.
Regards,Mohd Halimi Abdul Aziz
07 Mac 2008/ 29 Safar 1429H 11:50a.m

Sunday, November 30, 2008

ZULHIJJAH & IDILADHA


Beberapa Isu & Hukum
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net



KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.


Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).


Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-


a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.


b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.


c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.


d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.


e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.


f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )


POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]


Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )


Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Justeru, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
Tidak harus juga berqorban hanya dengan mengeluarkan harganya atau daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]


Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)


KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)


Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]


DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.


MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tanpa khilaf adalah lebih baik untuk mendahulukan umat Islam dalam hal ini.


BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia adamat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.


KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya:
"tidak boleh !"
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.


APAKAH HAJI AKBAR ?
Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).


Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)


Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.
Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".


Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).
Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam
Sekian
Doha, Qatar
27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H)
Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H - Malaysia ; 7 Zulhijjah 1428 H - Saudi)
KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H )


[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas


p/s Selamat beribadah di bulan Zulhijjah, moga kita senantiasa berada dalam lindungan rahmatNya. Ameen.

Thursday, November 27, 2008

JANGAN JADI MONYET...


Pernah melihat monyet saat bergayutan di dahan-dahan pokok, dengan penuh skill yg dipelajari sejak dari kecil menjadikan ia seekor monyet yang pakar tika berada di atas pokok. Tanpa diduga angin kencang bertiup kuat mula menghampiri sang monyet yang masih leka di atas pokok, pabila sedar bahana yang bakal tiba dipegangnya pokok itu sekuat hati seolah-olah pokok dan sang monyet itu sudah bersatu, sehebat mana pun angin yang datang, ia akan tetap sehidup semati dengan pokok yang di genggamnya. Akhirnya angin pun meluru deras melintasi sang monyet dan ternyata ia selamat bersama pokok yg masih dalam genggamannya. Riuh- rendah kawasan sekitar dibuatnya setelah selamat dari bahaya yang tiba, maka ia pun terus bergayut dari satu pokok ke pokok yang lain. Setelah penat sang monyet pun berhenti pada pokok yang besar, angin sepoi-sepoi bahasa mula mendayu-dayu melintasi sang monyet yang sedang berehat, saat angin yg tenang itu melintasi sang monyet, dirasakannya begitu nyaman dan nikmat tanpa sedar tangan kecilnya melepaskan pegangannya pada pokok dan akhirnya PRAPPPP!!!!!

Sebahagian daripada cerita yang kulihat dalam cd Sang Murobbi, sebuah perumpamaan yang digambarkan oleh Almarhum Rahmat Abdullah kepada salah seorang aktivis dakwahnya pabila ditanya tentang masalah dakwah yang dihadapi. Sebuah perumpamaan yang biasa tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam. Begitulah kita saat menghadapi ujian dan cabaran yang hebat, pasti kita akan berusaha semampu mungkin untuk mengatasi cabaran dan ujian yang mendatang. Dakwah juga begitu, saat ditekan, di tentang dan dihina, nyatanya dakwah itu tetap tersebar lantaran keteguhan para pendokongnya. Memang kita biasa dengan segala kesusahan dan kepayahan saban waktu, kita akan tetap bisa menghadapinya sebaik mungkin.

Namun saat kita diuji dengan kesenangan dan kemewahan, tidak ramai yang tegar menghadapinya, kesenangan membuatkan kita mula leka dengan kebendaan, mula lemah dalam beramal, mula sibuk dengan pelbagai urusan, mula hilang nilai akhlak, mula sombong dengan personaliti, mula tertawa tanpa henti. Kesenangan dan kemewahan memang nikmat yang tidak harus ditolak mentah-mentah, cuma kita sering gagal mengawal kesenangan dan kemewahan kita hingga ia memberi kesan buruk pada tugas-tugas kita yang lain. Bahkan Rasulullah sendiri tidak pernah gusar andai umatnya berada dalam kemiskinan bukan bermaksud menidakkan umatnya kaya-raya, namun kebimbangannya ternyata pada umatnya yang dilimpahkan pelbagai kemewahan hingga terlupa bahawa dirinya masih lagi hamba pada Tuhan yang memberi segala kemewahan padanya.
“Dari 'Amr bin 'Auf Al-Anshari r.a, bahwasanya Rasulullah s.a.w mengutus Abu 'Ubaidah Ibnul Jarrah r.a. ke negeri Bahrain untuk mengambil jizyah dari penduduknya (kerana kebanyakan mereka adalah Majusi -pent). Kemudiannya dia kembali dari Bahrain dengan membawa harta. Orang-orang Anshar mendengar berita kepulanganan Abu 'Ubaidah lalu mereka bersegera menuju masjid untuk melaksanakan shalat shubuh bersama Rasulullah s.a.w . Ketika Rasulullah s.a.w. selesai shalat beliau pun berpaling menghadap ke arah mereka. Jelas kepada Rasulullah mereka sangat inginkan harta yang dibawa Abu 'Ubaidah. Maka Rasulullah s.a.w pun tersenyum ketika melihat mereka

Kemudian beliau s.a.w bersabda, "Aku menjangka kalian telah mendengar bahwa Abu 'Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu (harta) dari Bahrain." Maka mereka menjawab, "Benar, Rasulullah." Lalu beliau s.a.w. bersabda, "Bergembiralah dan harapkanlah apa-apa yang akan menyenangkan kalian. Maka demi Allah! Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kalian. Akan tetapi aku khuatir akan dibentangkan dunia di hadapan kalian sebagaimana telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian pun berlumba-lumba padanya sebagaimana mereka berlumba-lumba padanya. Kemudian dunia itu akan menghancurkan kalian sebagaimana telah menghancurkan mereka." (HR. Al-Bukhariy no.3158 dan Muslim no.2961)

Terkenang saat meniti waktu-waktu sukar demi mencari sebuah pengisian, mencari pengangkutan untuk menghadiri pengisian, menaiki komuter saban minggu demi bertemu sahabat yang bertunjangkan ukhwwah Islamiyyah, tidur di surau atau masjid yang berkarpet, bertemankan nyanyian nyaring sang nyamuk diselangi gigitan-gigitan sayang meminta derma sedikit darah di hening malam, bangkit bertahajud di hening subuh, subuh berjemaah dan makan percuma secara berjemaah jua. Semua itu penuh dengan kesulitan dan kepenatan, namun ia tetap indah dan kekal menjadi memori yang tak kan dilupakan. Itulah kenangan di saat kekurangan serba serbi, tapi penuh dengan kekayaan sebuah pengalaman indah.

Begitu saat diberikan sedikit kesenangan, mempunyai kenderaan sendiri, mudah bergerak kemana-mana, mempunyai rumah yang selesa, mampu menyediakan makanan ala kadar, mendengar pengisian tidak perlu lagi bersusah seperti dulu, zaman dah berubah dunia dah maju katanya. Ternyata keselesaan itu menyebabkan kurangnya pengalaman dan pengorbanan, keindahan dirasakan semakin hilang, amal secara berjemaah juga kian lesu tampaknya. Apakah ini bahana sebuah keselesaan dan kemudahan yang kita miliki, adakah harus membuang segala dan kembali seperti waktu-waktu sukar kita? Pastinya tidak kerana setiap marhalah itu ada masalah yang tersendiri, cuma kitalah yang mencorakkannya, sebagaimana nasihat Sang Murobbi “..yang penting kesungguhan antum, keikhlasan antum..”. Sikap kita yang seharusnya kita perhatikan, apakah keselesaaan dan kesenangan yang kita miliki, turut sama mengubah kesungguhan dan keikhlasan kita?

Semoga keselesaan itu tidak mengalpakan kita, tidak membuatkan kita banyak ketawa dan sukarnya menangis melihat usaha dakwah kita, tidak menjadikan kita angkuh dan sombong dengan hasil yang sudah kita miliki, tidak mengabaikan tanggungjawab kita pada-Nya dan pada hamba-Nya.

Jadi kesimpulannya JANGAN JADI MONYET###( Teori Darwin??)

p/s – Dijemput hadir kepada sesiapa yang berkelapangan pada acara pemutaran dan bedah filem Sang Murobbi pada 30 November 2008 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
http://sang-murabbi.blogspot.com

Mohd Halimi Abdul Aziz
29 Zulkaedah 1429H, 11:00pm