Dunia hari ini menghadapi serangan dari pelbagai jenis virus yang membawa pelbagai jenis penyakit antaranya influenza, SARS, HIV, H5N1(selesema burung) dan berpuluh lagi virus yang mungkin sedang menunggu masa untuk menyerang manusia saban hari. Lantaran itu mari kita lihat sejenak ciri-ciri umum yang ada pada setiap virus iaitu ia mempunyai saiz yang cukup kecil atau dalam istilah sainsnya disebut ultramikroskopik(ultramicroscopic) yang mana ia hanya dapat dilihat hanya dengan menggunakan mikroskop electron. Terdapat 5 peringkat serangan virus yang terdiri dari penyerapan (absorption), penembusan(penetration), replikasi(replication), kematangan(maturation) dan akhir sekali pelepasan(release) virus[1]. Semua ini adalah tahapan atau peringkat serangan virus dalam menyebarkan wabaknya kepada sel-sel sasarannya. Hebatkan, walau saiz tidak sebesar mana namun mampu menggegarkan dunia dan membingungkan manusia untuk mencari penawar yang sesuai untuk mengekang serangan mereka. Inilah salah satu makhluk ciptaan ALLAH yang cukup hebat dan istimewa.
“ Kepunyaan ALLAH-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada didalamnya dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu” [Al-Maidah 5:120]
Maka adakah sesuatu yang dapat kita pelajari dari virus-virus ini sedangkan kita ketahui mereka lebih banyak memberikan mudarat berbanding manfaat kepada manusia. Tidak ada satu pun yang patut kita contohi dari mereka melainkan ciri-ciri serangan yang mereka gunakan adalah wajar untuk kita teladani. Sedarkah kalian manusia saat ini memerlukan ‘virus ISLAM’, ‘virus DAKWAH’ dan ‘virus TARBIYAH’ dalam diri mereka. Oleh kerana itu mari kita telusuri kaedah yang digunakan oleh virus untuk kita sebarkan pula ‘virus-virus’ yang baru.
Kaedah yang pertama adalah penyerapan(absorption) nilai-nilai Islam dalam diri agar kefahaman Islam yang syumul dan jelas serta shahih dapat kita garap dengan baik. Seterusnya adalah penembusan(penetration) nilai-nilai Islam tadi dalam kehidupan kita mengikut acuan Al-Quran sebagaimana kata-kata Aisyah R.A ketika ditanya tentang akhlak dan perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W.
“ Kelakuan dan perjalanan hidup beliau (RasuluLLAH S.A.W) itu ialah Al-Quran”[2]
Begitu juga dengan ucapan seorang pejuang di jalan dakwah ini “ Tegakkan Islam dalam hatimu, supaya ia tegak di bumimu”[3]
Setelah itu adanya replikasi(replication) ataupun pertambahan kualiti diri dalam beribadah mahupun beriltizam dengan Al-Quran dan As-Sunnah disamping ilmu-ilmu sampingan yang lain seiring dengan pertambahan dari segi kuantiti pejuang-pejuang dakwah dengan menyeru orang lain ke jalan kebenaran agar dakwah ini akan berjalan bahkan ia akan tetap berjalan sekalipun kita tidak terlibat dalam perjalanan dakwah ini. Inilah salah satu kewajipan kita wahai saudara-saudaraku, ingatkah kalian akan pesan Sang Mujaddid yang telah berjuang hingga akhir hayatnya
“ Wahai saudara saudara Muslimin, anda beramal hanya untuk dua tujuan, supaya berhasil dan dapat menunaikan tugas kewajipan anda. Jika yang pertama anda gagal, ertinya tidak ada orang yang menyambut seruan anda janganlah melepaskan yang kedua, ertinya anda harus tetap menunaikan kewajipan”[4]
Kemudian adalah kematangan(maturation) dimana jalan dakwah ini memerlukan kematangan dan kesabaran yang tinggi dari pendukung- pendukungnya kerana ia adalah jalan yang panjang dan penuh dengan ujian yang mungkin terpaksa dibayar dengan air mata dan darah. Inilah tabiat dakwah ini.
“ Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta”[ Al-Ankabut 29:3]
Kematangan juga seharusnya membuatkan pejuang-pejuang dakwah selalu berada dalam kebenaran dan mempunyai sikap lapang dada dengan segala perbezaan pendapat, perselisihan mahupun pertelingkahan selagi ia tidak keluar dari ruang lingkup kebenaran. Ini adalah disebabkan perbezaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan di dunia ini. Apa yang penting bukanlah perbezaan tersebut tetapi bagaimana kita bertolenrasi dan menguruskan perbezaan tersebut.[5] Marilah kita renungi kata-kata seorang penggerak dakwah Al-Allamah Rasyid Ridha “ Kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan kita berlapang dada(bertolenrasi) dalam perkara yang kita selisihi” dan juga kata-kata Sang Mujahid Dr Abdullah Azzam “ Kita adalah ibarat sungai-sungai kecil yang sedang menuju ke sungai yang lebih besar”
Terakhir sekali adalah pembebasan(release) dimana suara-suara kebenaran ini akan kita sebarkan, laungkan ke setiap tempat yang kita pergi agar manusia akan keluar dan bebas dari belenggu kebodohan, kehinaan, kelekaan mahupun dari budaya hedonisme yang menjunjung kelazatan dan puja-pujaan emm, cita rasa, cita rasa![6] kepada kesejahteraan, keadilan, kemuliaan dan kehebatan Islam. Marilah kita semai ‘virus-virus’ ini dalam diri kita dan orang lain kerana tanpa ‘virus’ ini nasib umat kita tidak akan pernah berubah andaikata kita tidak mengubahnya. Sesungguhnya anda mampu mengubahnya, Ingatlah orang yang tersayang[7]
‘… Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…[ Ar-Ra’d 13:11]
Mahukah kalian menyahut seruan ini menjadi seperti virus-virus yang tidak pernah kenal henti walau sejenak dalam menyebarkan wabaknya ke seluruh dunia. Maka inilah saatnya untuk kita menyebarkan ‘virus kebenaran’ dalam diri dan orang lain kerana perjuangan ini adalah berdasarkan fikrah dan aqidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja. Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai[8] Yakinlah bahawa cahaya kebenaran ini pasti menang walau bagaimana hebtnya halangan yang tiba kerana inilah janji-Nya....
“ Mereka hendak memadamkan cahaya ALLAH dengan mulut mereka dan ALLAH tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci”[As-Saff 61:8]
Hayatilah pesanan terakhir seorang syuhada di jalan dakwah ini dengan senyuman di bibirnya saat kematian semakin hampir…
SAUDARA!
SEANDAINYA KAU TANGISI KEMATIANKU
DAN KAU SIRAM PUSARAKU DENGAN AIR MATAMU
MAKA DI ATAS TULANG-TULANGKU
YANG HANCUR LULUH,NYALAKANLAH OBOR BUAT UMAT INI
DAN…
TERUSKAN PERJALANAN KE GERBANG JAYA.
SAUDARA!
KEMATIANKU ADALAH SUATU PERJALANAN
MENDAPATKAN KEKASIH YANG SEDANG MERINDU
TAMAN-TAMAN DI SYURGA TUHANKU BANGGA MENERIMAKU
BURUNG-BURUNGNYA BERKICAU RIANG MENYAMBUTKU
BAHAGIALAH HIDUPKU DI ALAM ABADI
SAUDARA!
PUAKA KEGELAPAN PASTI AKAN HANCUR
DAN ALAM INI AKAN DISINARI FAJAR LAGI
BIARLAH ROHKU TERBANG MENDAPATKAN RINDUNYA
JANGANLAH GENTAR BERKELANA DI ALAM ABADI
NUN DI SANA FAJAR SEDANG MEMANCAR….[9]
RUJUKAN:
[1] A laboratory manual of Microbiology, Seventh Edition,Cappuccino and Sherman Pearson Education Inc. page 245,246- The Viruses
[2] Hadis riwayat An-Nasai dipetik dari buku Syed Qutb- Petunjuk Sepanjang Jalan dalam bab Generasi Al-Quran Yang Unik terbitan Crescent News(K.L.) Sdn. Bhd.
m/s 10
[3] Ucapan Hasan Al-Hudaibi .Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Kedua dalam buku “ Seruan Membebaskan diri dari kejahilan”- Musthafa Masyhur terbitan Galeri Watikah Sdn. Bhd. m/s 205
[4] Ucapan Hasan Al- Banna, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Pertama dalam buku “ Seruan Membebaskan diri dari kejahilan”- Musthafa Masyhur Galeri Watikah Sdn. Bhd.
m/s 236
[5] Dipetik dari kulit buku “ Islam The Misunderstood Religion”- Dr Danial Zainal Abidin terbitan PTS Publications and Distributors Sdn Bhd.
[6] Kata- kata Puteri Simone Sidharra ketika melihat seorang pemuda kacak bernama Sulaiman dalam buku “Advencer Si Peniup Ney” karya Faisal Tehrani m/s 91.
[7] Slogan ketika kempen Keselamatan Jalan Raya
[8] Ucapan hasan Al-Banna dipetik dari buku “Apa Ertinya saya menganut Islam” karya Fathi Yakan dalam bab Ciri-ciri Prinsip Harakah Islamiyyah terbitan Dewan Pustaka Fajar m/s 136
[9] Petikan pesanan dari As-Syahid Syed Qutb yang ditulis beberapa ketika sebelum menemui syahid dalam buku “ Petunjuk Sepanjang Jalan” terbitan Crescent News(K.L.) Sdn. Bhd. m/s 210
Friday, February 16, 2007
VIRUS
MIKROSKOP
Perekaciptaan mikroskop telah membuka era baru kepada dunia khususnya dalam bidang biologi kerana buat pertama kalinya manusia dapat melihat sel unit asas bagi hidupan.
Ramai antara kita berpendapat bahawa mikroskop hanya dapat digunakan untuk melihat sesuatu objek dengan lebih besar lagi,tetapi hakikat sebenarnya mikroskop dapat digunakan untuk melkukan pelbagai jenis kerja.Ini termasuklah pembesaran imej objek, pengukuran objek, dan penelitian objek secara lebih terperinci lagi.Semua ini pasti tidak dapat dilakukan dengan mata kasar kita yang mempunyai kuasa penglihatan yang terhad. Kebanyakan mikroskop yang digunakan pada hari ini adalah mikroskop majmuk yang mana ia menggunakan dua set kanta. Kanta dalam set yang pertama ialah kanta objektif yang menghasilkan imej sebenar(real image) .Kanta dalam set kedua terdiri dari kanta ocular yang berfungsi membesarkan imej sebenar tadi untuk menghasilkan imej maya yang mana akhirnya dapat dilihat oleh mata kita.
Walau secanggih manapun mikroskop yang digunakan, kita tidak dapat menafikan bahawa sumber cahaya memainkan peranan utama dalam penggunaan mikroskop. Tanpa cahaya mana mungkin kita dapat melihat segala-galanya di dunia ini.
Cahaya begitu bernilai bagi kita yang melalui kehidupan yang normal, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak dapat merasai nikmat cahaya ini.Bagaimana pula kita yang diberikan nikmat cahaya, memanfaatkannya?Adakah kita gunakannya ‘kanta’ untuk melihat keindahan alam ini,memerhatikan kepelbagaian hidupan yang terdapat di alam ini,merenung keseragaman perjalanan alam ini?Alangkah beruntungnya kita mendapat nikmat seperti ini berbanding orang yang kehilangan atau tidak pernah merasai nikmat cahaya yang kita peroleh…
“……….Katakanlah: Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat?” Maka apakah kamu tidak memikirkan(nya)[Al An’aam;6:50]
Lalu bagaimanakah kita ingin memanfaatkan cahaya yang kita ada, ‘apakah yang kita gunakan untuk melihat? Bahagiakah hidup kita jika kita menggunakan ‘kanta nafsu’ dalam menghadapi kehidupan sehari-hari,sehingga mana kita seronok melihat dunia yang penuh dengan kesenangan,penuh dengan maksiat,penuh dengan kemungkaran,penuh dengan dosa dan noda yang tidak kunjung henti dalam masyarakat kita.
Sebaliknya adakah kita mahu memanfaatkan cahaya yang kita ada menggunakan ‘kanta iman’ yang mana melaluinya kita memerhatikan kehidupan ini,berpandukan ‘buku rujukan’ kita yang tidak pernah berubah sehingga hari kiamat.Melalui ‘buku’ itu kita memperoleh pengajaran, petunjuk,penawar dan rahmat.
“ Dan apabila dibacakan Al Qur’an maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.[Al A’raaf;7:204]
Maka marilah kita renung diri kita,kanta manakah yang kita gunakan dalam hidup kita sama ada ‘kanta iman’ atau ‘kanta nafsu’.Jika kita gunakan kanta yang betul sudah pasti kita sudah melihat apakah yang telah terjadi kepada saudara-saudari kita di Afghan, Iraq,Palestin.Thailand dan banyak lagi tempat yang dihuni oleh umat Islam, tetapi mereka saban hari diburu,disiksa,dicaci,ditembak,dirogol dan dibunuh.Adakah kita masih belum melihatnya?Andaikata kita sudah melihatnya,apakah tindakan dan sumbangan kita kepada mereka?Adakah cukup dengan rasa simpati atau dengan memberikan sumbangan kepada mereka,sedangkan kita masih lagi dibuai dengan keseronokan dunia ,adakah kita sudah merasa puas dengan kehidupan kita yang sekadar duduk di meja study untuk menghadapi exam yang bakal tiba,atau bergelak ketawa dengan kawan-kawan atau duduk diatas kerusi yang empuk ditambah pula dengan penghawa dingin di dalam pejabat.Dimanakah kita berada bilamana saudara,saudari kita diburu,dirogol.dibunuh dan sebagainya.Andaikata yang disiksa,ditembak dan dirogol itu adik kita,ibu kita,atau isteri kita,adakah kita masih ingin meneruskan study kita,atau masih lagi bergelak ketawa atau masih lagi duduk membisu memerhatikan segala perbuatan mereka keatas saudara kita apatah lagi darah daging kita sendiri.
Apalah gunanya cahaya yang kita miliki jika ia tidak dapat digunakan sebaiknya, mungkin lebih baik kita memberikan cahaya itu kepada mereka yang tidak berpeluang merasai nikmat cahaya ini,kerana mungkin mereka lebih berhak mendapatkannya daripada diri kita.
Hari ini kita menggunakan pelbagai jenis produk yang sumbernya berasal dari Barat,bahkan lebih teruk lagi kita seolah-olah ingin mengikut segala tingkah laku mereka dari segi akhlak,budaya.sosial dan tidak mustahil jika dikatakan kita juga akan terikut agama mereka.Mereka tidak akan pernah henti untuk cuba merosakkan umat Islam sehingga kita mengikut agama mereka.
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka.Katakanlah:Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.[Al Baqarah;2:120]
Marilah kita bersama-sama menggunakan ‘kanta iman’ dalam hidup kita,agar cahaya yang kita miliki tidak sekadar untuk diri kita,tetapi marilah kita sebarkan cahaya Islam ke seluruh tempat yang kita jejak,supaya kita semua dapat menggunakan ‘kanta iman’ untuk memahami apakah tujuan hidup kita di dunia ini dengan berpandukan Al Qur’an dan Sunnah Rasul kita.Semoga perjuangan yang tidak ada penghujung ini akan menjadikan kita insan yang mulia atau kita gugur sebagai pejuang yang sejati .
Marilah kita lahirkan generasi baru yang penuh dengan semangat dan keyakinan bahawa Islam pasti menang sebagaimana yang telah dilalui oleh Rasul kita dan para sahabat dan sahabiahnya yang tidak pernah kenal erti putus asa dan kecewa dari rahmat dan janji Allah.Mudah-mudahan cahaya Islam akan terus bercambah dalam jiwa setiap pejuang yang selalu rindu akan lahir kejayaan.
“Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut(ucapan-ucapan) mereka,dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci.[Ash Shaff;61:8]
TAXONOMY
Bidang taksonomi (taxonomy) adalah salah satu daripada cabang sains yang umumnya diketahui oleh setiap orang yang menceburi bidang sains.Kajian dalam bidang ini menekankan mengenai pengkelasan organisma yang terdapat di setiap ceruk bumi sama ada organisma hidup maupun yang bukan hidup.Di dalam bidang taksonomi, ia dapat dibahagikan kepada 3 bahagian utama iaitu Penamaan (Nomenclature), Pengkelasan (Classification) dan Pengenalpastian (Identification).
Penamaan dalam taksonomi menekankan tentang tugasan untuk menamakan sesuatu organisma.Bagi pengkelasan ia menumpukan kepada penyusunan organisma dalam sesuatu kumpulan berdasarkan sifat-sifat yang sama yang dimiliki oleh sesuatu organisma (mutual similarity) atau saling kait antara organisma melalui keturunan mereka. (evolutionary relationships).Pengenalpastian pula menunjukkan proses untuk menempatkan organisma tertentu supaya berada di kumpulan organisma yang telah dikenalpasti.
Sesetengah orang memikirkan bahawa bidang taksonomi adalah satu bidang yang membosankan,menyusahkan malah memeningkan kepala walhal bidang ini telah diajar kepada seorang manusia yang mula-mula diciptakan oleh Pencipta bumi dan langit.
“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya…”[Al Baqarah;2:31]
Masihkah kita belum sedar peri pentingnya kita mengetahui nama-nama benda seluruhnya agar kita dapat membezakan sesuatu,dan mengetahui mana satu yang bermanfaat atau tidak untuk kegunaan kita bersama.
Terlanjur kita memperkatakan tentang taksonomi,bunyinya agak sinonim dengan ‘tsunami’.Sudah pasti kita biasa mendengarnya,apatah lagi ia menjadi perbualan hangat sebelum tirai tahun 2004 menutupkan diari peristiwanya sepanjang tahun.
Masihkah kita ingat ketika mana kita mempelajari geografi semasa kita masih di sekolah dulu, yang mana digambarkan bahawa negara Malaysia mempunyai kedudukan yang cukup strategik dimana ia terlindung daripada Lingkaran Api Pasifik,terlindung daripada pelbagai bencana alam yang mempunyai kuasa perosak yang besar seperti gempa bumi, gunung berapi maupun ‘tsunami’.
Tetapi yang nyata sebaliknya yang berlaku, ternyata negara kita tidak terlepas daripada bencana ‘tsunami’.Apakah yang menyebabkan bencana ini menimpa negara kita?Kita juga dapat melihat bagaimana negara jiran kita,Indonesia terutama di Acheh menjadi lautan mayat akibat bencana ‘tsunami’.Jika kita masih ingat Indonesia mempunyai ummat Islam paling ramai,apatah lagi Acheh yang mana satu ketika dulu pernah digelar ‘Serambi Makkah’.Walaupun begitu tetap saja tidak terlepas daripada musibah ‘tsunami’.
Sesetengah orang menganggap bahawa ini adalah sekadar bencana alam yang biasa terjadi,tetapi adakah kita yang mengaku dirinya orang Islam beranggapan seperti itu juga? Masihkah kita masih belum mampu ‘menamakan’ segala yang terjadi adalah dari Pencipta langit dan bumi atau sekadar bencana alam yang terjadi dengan sendiri. Bahkan segala musibah yang terjadi tidak hanya untuk orang-orang tertentu atau kawasan tertentu tetapi semuanya turut sama merasa kesannya.“Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang zalim saja di antara kamu.Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya” [ Al Anfaal;8:25]
Marilah kita bersama-sama membuat ‘pengkelasan amalan’ di atas apa yang telah kita lakukan sehingga musibah ini terkena kawasan kita dan tempat lain, walaupun kita merasa selamat dengan kedudukan kita,keamanan kita,maupun amalan kita. Apalah gunanya segala nikmat-nikmat tersebut jika kita tidak pernah menghargai,mensyukuri maupun menggunakannya dengan sebaik-baiknya.Mungkin inilah salah satu sebab terjadinya musibah.
“Dan Allah telah membuat satu perumpamaan(dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduknya)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat”[Al Nahl;16:112]
Masihkah kita belum sedar dengan apa yang telah terjadi,masihkah kita bergembira dengan keamanan,ketenangan,kebebasan yang sedang kita kecapi sekarang,sampai bilakah kesemuanya itu boleh kekal andaikata Tuan yang memberikan segala-galanya itu ingin mengambilnya semula.Apakah hak kita untuk menolaknya sedangkan kita sendiri dijadikan dari setitis air mani yang hina.
“Tiada satu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”[Al Hadid;57:22]
Masihkah kita belum ‘mengenalpasti musuh’ dalam kehidupan kita yang sentiasa mengharapkan supaya kita semakin jauh Kitabullah,jauh dari Sunnah,jauh dari persaudaraan sesama orang beriman,sehingga mana kita tidak merenung peringatan dari Allah,tidak mengamalkan sunnah Nabi kita,tidak menghiraukan nasib saudara kita yang mana mungkin pada ketika ini sedang dibantai,dipukul,dikejar,ditembak maupun mencari sesuap makanan buat mengalas perut.Walhal kita masih lagi seronok dengan kehidupan dunia yang sementara ini,menyebabkan kita lalai dari amanah yang patut kita tunaikan sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Marilah kita bersama-sama menyeru keluarga kita,sahabat-sahabat kita, dan mereka yang menantikan datangnya seseorang untuk membawanya kejalan yang lurus,tidak ada lagi masa untuk kita bersenang-lenang dengan kehidupan kita,sedangkan ummat masih banyak yang belum ditarbiyah,jangan kita biarkan ummat kita terus leka dengan dunianya walaupun persekitaran kita sentiasa mengajak kita jauh dari petunjuk Ilahi. Marilah kita ‘menamakan’, ‘mengkelaskan’,dan ‘mengenalpasti’ diri kita sebagai orang-orang yang menyeru kepada Allah,mengerjakan amal saleh dan berjuang di jalan-Nya yang benar.
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri’”[Fushshilat;41:33]