Thursday, June 7, 2007

RESEARCH ASSISTANT (R.A)



Research assistant (R.A) ataupun dalam Bahasa Malaysia (dulu Melayu) ialah pembantu penyelidik adalah tugas yang kupikul setelah menamatkan pengajianku. Tanpa kusedari sudah lebih sebulan menjadi R.A, namun ada persoalan mula terbayang ketika mendapat tawaran sebagai R.A. Kenapa ingin menjadi R.A.? Adakah hanya kerana memikirkan peluang kerja cukup sukar untuk didapati saat ini, tambah pula ketika sahabat-sahabat lain masih belum tahu kemana hala tuju selepas tamat pengajian, diri ini telah pun memulakan tugasnya sebagai R.A. Adakah kerana ingin mendapatkan gaji setiap bulan untuk menampung kehidupan sehari-hari atau mengumpul duit untuk mendapat pasangan hidup semata-mata. Adakah kerana ingin membangga diri kepada sahabat-sahabat yang belum menerima apa-apa tawaran pekerjaan. Apakah tujuan dan matlamat menjadi R.A.

Tujuan dan matlamat harus diketahui terlebih dahulu sebelum kita memulakan sesuatu perkara, agar setiap yang dilakukan tidak tersasar dari tujuan dan matlamat yang kita tetapkan. Lantaran itu ingatkan diri ini dan diri kalian agar sentiasa menetapkan tujuan dan matlamat yang tepat dan jelas dalam setiap tindakan kita. ALLAH menetapkan tujuan penciptaan kita untuk mengabdikan diri kepada-NYA sebelum kita diciptakan.[Az Zariyat, 51:56]

Menjadi R.A bukanlah cita-citaku, bahkan tidak pernah terlintas untuk menjadi R.A ketika zaman kanak-kanak dulu, namun kenyataannya inilah pekerjaanku sekarang.
Mulanya diri ini tidak pasti adakah aku sesuai untuk menjadi R.A, bahkan ingin menyambung pengajianku ke peringkat Master selepas ini, tetapi ketika ALLAH menetapkan kita di suatu posisi, maka sewajarnya kita melakukan sebaik mungkin setiap pekerjaan yang kita lakukan agar ia bakal menjadi amal yang terbaik di akhirat kelak.
Maka tujuan dan matlamat harus ditetapkan terlebih dahulu.

Mudah-mudahan ini adalah jalan yang kupilih dengan penuh kerelaaan dan bukan kerana terpaksa, demi menjadi seorang Muslim Profesional, mungkin inilah salah satu jalannya agar matlamat untuk mencari ridha-NYA juga bisa tercapai.

Wahai generasi pewaris kebenaran tetapkanlah prinsipmu walau di medan mana kamu berada, kerana ketika kita memilih jalan perjuangan, ia harus dilalui dengan keinginan dalaman kita dan bukan keinginan luaran kita. Ketika tujuan dan matlamat telah jelas maka ikutilah prinsip tersebut semampu kalian, kerana kita bimbang andai prinsip kebenaran yang berpaksikan ALLAH sebagai ILAH YANG SATU dan MUHAMMAD IKUTAN KAMI sudah mula terhakis sedikit-demi sedikit, lantas pelbagai masalah dan pertelingkahan mula timbul sekalipun kita bergelar pejuang kebenaran.

Kalian pasti maklum bahawa setiap sahabat adalah R.A.(bukan pembantu penyelidik) tetapi insan- insan yang telah ALLAH ridhai, setiap kali nama mereka disebut pasti disusuli dengan RADHIYALLAAHU‘ANHU (R.A), namun adakah mereka harapkan setiap kali nama mereka ditulis harus dicatat R.A. Pastinya tidak kerana mereka bukan orang yang ingin berbangga dengan istilah pada nama semata-mata, tetapi kerana amal pengorbanan dan taqwa yang mereka usahakan dalam kehidupan yang serba singkat ini.

Mereka adalah orang-orang yang berpegang pada prinsip yang jelas dan benar-benar mengerti tujuan dan matlamat perjuangan ini. Lihatlah 10 orang sahabat yang telah mengetahui bahawa mereka adalah penghuni syurga di saat mereka masih hidup, tetapi sedikitpun tidak mengurangkan amal dan taqwa mereka apatah lagi mengorbankan prinsip, tujuan dan matlamat perjuangan mereka. Di saat Umar merasa tidak percaya bahawa Muhammad S.A.W telah wafat, Abu Bakar tenang mengingatkan bahawa hanya ALLAH yang harus disembah dan bukan Muhammad seraya membaca surah [Ali ‘Imran 3:144]


Tidak wajar kita menjadi murtad sekalipun Muhammad S.A.W telah wafat, kerana perjuangan berdasarkan tujuan dan matlamat yang jelas harus tetap diteruskan. Sayangnya ketika ini kita tidak mampu menyelamatkan aqidah insan-insan di negara sendiri bahkan mengingati nama-nama 10 sahabat pejuang umat pun terlalu sukar berbanding 10 bintang “pejuang cinta”.

Jadilah umat yang sedar tujuan dan matlamat perjuangan ini, agar kita bisa saling menguatkan satu sama lain membina ‘bangunan kemuliaan’ yang bakal meruntuhkan ‘bangunan kehinaan’. Sekarang masa untuk berubah bukan untuk Digi, tapi untuk umat.....

Betapa diri ini berharap dapat menjadi Penyelidik kebenaran dalam mencari makna dan hakikat kehidupan agar bakal berada bersama R.A yang telah mendapat ridha-NYA. Amiin....

“......ALLAH ridha terhadap mereka dan mereka pun ridha kepadaNYA......
[Al Bayyinah, 98:8]

Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Research Assistant (R.A),
Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul
22 Jamadil Awal 1428H 01.43a.m.

Wednesday, May 16, 2007

KEMBARA SEBUAH PENDAKIAN



Pendakian memang sebuah perjalanan yang memenatkan, menyusahkan dan menyakitkan sendi-sendi badan. Itulah lumrah sebuah pendakian. Adakah kalian pernah mendaki? Beberapa hari yang lalu diri ini dan sahabat-sahabatku pergi mendaki sebuah gunung di Kuala Pilah. Ia bukan gunung yang terlalu tinggi, juga bukan gunung yang terlalu sukar didaki namun telah membuatkan kami merasa tidak mampu meneruskan pendakian kerana kembara sebuah pendakian ini bukan semata-mata untuk menuju ‘puncak’ namun untuk mencari ibrah sebuah pendakian yang sukar itu dan berharap agar ia menjadi bekal dalam pendakian sebuah ‘puncak’ kehidupan yang serba singkat ini.

Perjalanan ke kaki gunung memerlukan kami berjalan selama satu jam lebih ditambah dengan hujan yang turun mencurah-curah. Kami masih ingin pergi mendaki walau hujan tidak berhenti setelah bermusyawarah dengan semua sahabatku. Mungkin ini satu keputusan yang silap namun itulah keputusan yang telah kami pilih kerana mudah-mudahan tersalah dalam bermusyawarah lebih baik daripada betul dalam sendirian. Islam juga mengajar umat ini sentiasa mengutamakan musyawarah kemudian bertawakal kepada-Nya setelah dibulatkan tekad.

“.......dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
[Ali ‘Imran 3:159]

Wahai pejuang-pejuang kebenaran usahakanlah untuk sentiasa musyawarah dalam setiap tindakan yang kita perbuat agar keberkatan dalam musyawarah itu bakal memudahkan segala pekerjaan kita. Janganlah kalian mementingkan diri sendiri dengan mengabaikan pandangan orang lain, kerana mendengar pandangan orang lain adalah salah satu tanda kerendahan hati kalian.

Kembara ini juga membuatkan kami mengambil beberapa rukhsah dalam urusan solat. Demi mengurangkan beban semasa pendakian segala perlengkapan solat yang biasa dipakai sehari-hari semuanya ditinggalkan seperti sejadah, kain pelekat, kain telekung dan sebagainya kerana sesungguhnya ia bukan sesuatu yang wajib ada. Kewajipan berwudhuk juga dilakukan tanpa perlu membuka kasut, tanah menjadi tempat sujud kami, pakaian mendaki menjadi pakaian solat kami yang dibasahi oleh titisan hujan dan peluh.

Inilah keindahan dan kemudahan Islam kepada setiap penganutnya, jangan kerana kebiasaan kita dalam menunaikan kewajipan dalam agama ini menjadikan kita tidak mengetahui untuk mengamalkannya dalam kondisi yang lain. Islam adalah agama yang tetap pada prinsip tetapi mudah pada pelaksanaannya. Oleh itu sahabat-sahabatku tambahkan ilmu agama kalian agar ia bisa membuatkan kita merasa bertuah dengan keislaman yang kita anuti ini, kerana ia bukan agama yang kita warisi dari datuk nenek kita tetapi sebuah agama yang kita fahami dari sumbernya yang asli. Rukhsah yang ku sebut diatas bahkan tidak hanya terbatas untuk mendaki sahaja bahkan dimana sahaja kalian berada ia adalah sesuatu yang boleh diamalkan. Mudahkanlah dan jangan mempersulit dalam agama ini selagi tidak mengundang dosa.

“..........Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.....”[Al Hajj 22:78]

“Kalian diutus sebagai orang-orang yang memberikan kemudahan, bukan sebagai orang-orang yang membuat kesulitan.”[HR Bukhari dari Abu Hurairah r.a]

Pendakian diteruskan hingga akhirnya kami mula menyedari jalan yang ditempuh adalah jalan kesesatan (tersalah arah sebab leader mendaki x survey betul2). Maka kami pun berpatah balik mencari jalan yang benar. Lumrah manusia apabila telah tersesat pasti ingin mencari jalan yang benar kembali dalam sebuah perjalanan. Namun dalam perjalanan kehidupan ini berapa ramai yang tetap membiarkan dirinya dalam kesesatan, kelalaian dan kealpaan walau jalan kebenaran ini sedang mencari pejuang-pejuang yang sanggup membela agama-Nya.

Pelbagai alasan diberi kerana merasakan diri ini tidak cukup baik untuk bercakap tentang agamanya sendiri, seolah-olah agama ini hanya boleh dilaungkan dan disebut oleh orang-orang yang studynya memang bidang agama. Masa juga menjadi alasan yang cukup popular untuk tidak melibatkan diri dengan tarbiyah Islamiyyah dan mentarbiyah orang lain demi mencari jalan kebenaran itu. Sedangkan tika diri ini tersesat dalam sebuah perjalanan, biarlah berapa lama pun masa yang diambil agar bertemu dengan jalan yang betul, pasti diri ini sanggup meredahnya. Carilah jalan kebenaran itu wahai sahabatku agar pendakian kehidupan ini menjadi lebih bermakna.

“........Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan kerana kamu tetap mempelajarinya.”[Ali ‘Imran 3:79]

Masa semakin suntuk dan matahari semakin hilang dari pandangan, namun pendakian ini masih belum tiba kemuncaknya. Lantaran memikirkan gelap kian menghampiri kami, maka di mana kami berhenti di situlah ‘puncak’nya. Sedih rasanya tidak dapat meneruskan pendakian, namun keputusan telah dibuat dan kami harus turun dari pendakian ini.

Tahukah kalian ada insan yang telah sampai kepada puncak kenikmatan, melihat keindahan tempat yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata, tempat yang tidak dapat dibayangkan oleh fikiran dalam perjalanan Isra’ dan Mikraj, namun insan ini tetap turun kembali untuk bersama umatnya dengan pelbagai ujian dan dugaan yang membuatkan airmata dan darah insan ini mengalir kerananya. Dialah Rasul ikutan kita, MUHAMMAD S.A.W.

Mudah-mudahan kita adalah orang-orang yang sentiasa ingin bersama umat dalam perjuangan membela Islam agar kelak ketika tiba kembali saat untuk mendaki sebuah puncak ‘kematian’, kitalah insan yang tidak ingin turun kembali demi mendapat gelaran ‘syuhada’

Gelap malam mula menyelubungi kami dengan beberapa suluhan lampu suluh dalam perjalanan balik dari sebuah pendakian singkat. Tanpa suluhan lampu, mata ini seolah-olah tidak mampu untuk melihat apa-apa, tetapi cahaya yang tepancar dari beberapa lampu suluh walau sumber kuasa baterinya diragui dapat bertahan sampai bila, namun hanya itulah yang mampu digunakan untuk menunjuk kami pulang ke pangkal jalan.

Ya, hidup ini memerlukan cahaya demi memandu sebuah perjalanan ke tempat yang selamat. Tiada sesiapa yang ingin hidup dalam kegelapan, kerana fitrah manusia ini perlukan cahaya. Lantaran itulah ALLAH menggambarkan dalam banyak ayat-ayatnya bahawa kebenaran ini adalah cahaya untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Penuhilah hidup kalian dengan berharap agar hidup ini sentiasa disuluhi dengan cahaya kebenaran dari Ilahi.

“ALLAH pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.....”[Al Baqarah 2:257]

Akhirnya kami tiba dengan selamat tanpa sebarang kecederaan kecuali bagi sahabat-sahabat yang telah menderma darah mereka kepada pacat-pacat terpilih dalam kembara ini. Kami juga disambut oleh JPA3 dan polis cawangan khas yang kebetulan turut sama berkampung di situ. Andai terlewat beberapa minit lagi pasti mereka akan kerahkan gerakan untuk mencari kami dan boleh jadi pihak media TV3, NTV7, TV9 juga akan datang andai kami tidak dijumpai. Namun itu semua tidak berlaku kerana dengan pertolongan ALLAH telah membuatkan kami dapat keluar dengan selamat. ALHAMDULILLAH.

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.”[Yunus 10:12]

Ya ALLAH, jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa bersyukur dengan segala anugerah dan nikmat serta pertolongan yang telah DIKAU berikan kepada kami, janganlah DIKAU membuatkan kami lupa segala pemberian-Mu setelah sebelumnya kami merintih, mengadu dan berharap akan pertolongan-MU.
Ya ALLAH, mudah-mudahan setiap pengalaman yang kami perolehi dalam kembara ini bisa menguatkan azam kami untuk memahami agama-Mu, menyebarkan risalah-Mu dan berkorban demi agama-Mu.
Ya ALLAH, tetapkan hati-hati ini agar sentiasa dalam cahaya hidayah-Mu, berilah kekuatan kepada diri ini untuk tetap istiqamah membela agama-Mu, berilah keinginan dalam diri ini untuk mendaki puncak keridhaan-Mu. Amiiin.....
Artikel ini sempena Kem Pengukuhan Rohani(KPR '07) anjuran Sekretariat Pembangunan Sahsiah Kolej Kedua, UPM

Al Abd Al Faqir
Mohd Halimi Abdul Aziz
Unit Tarbiyah KPR ‘07
28 Rabiul’ Akhir 1428H 19:05 p.m.

SERUAN BUAT SI BELANGKAS...


Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana-sini. Pemuda meratah dara sesuka hati. Gadis hilang harga diri. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya.

Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!
Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.

“Ingat nikah tu senang?!” Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Samada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat suci tersebut boleh mengundang limpahan keberkatan dari sisi-Nya. Niat yang bersih berperanan mengawal haluan cinta agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumah-tangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi,
Dalam urusan jodoh, apapun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang) . Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis. Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syara’ yang di bina. Awas! Hindari segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya.

Bagi gadis suci yang belum berpunya, andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah. Ingat, urusan jodoh bukan ditentukan oleh lelaki, ibubapa atau sesiapa, tetapi ianya urusan Allah s.w.t. Dah sedia termaktub di loh mahfuz. Berkait usaha, anda juga boleh memulakannya jika punyai keberanian yang tinggi. Manusia hanya mampu berusaha tapi tak berdaya menentukan apa-apa tanpa izin-Nya. Oleh itu, jangan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu buat anda untuk terus melangkah menggapai cita-cita dan Dia pasti menguji anda sedikit masa lagi. Bersiap-sedialah. Anda pasti dijodohkan. Jika tidak di dunia nun di syurga.

Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, tabahlah dan teruskan berusaha. Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha!
“Apa yang memberi faedah kepada orang beriman selepas taqwa kepada Allah, kebaikan buatnya ialah isteri yang solehah.” (HR Thobrani).

Khusus buat pemuda-pemudi yang sudah jatuh cinta,
Dengarilah kalamku seterusnya istimewa buatmu. Yang masih tak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, teruskan belajar atau berkerja atau mengejar cita-cita. Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam lautan cinta.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap. Sedangkan ada hadis yang menyuruh agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Syabab selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bidadarinya dan seluruh isi rumahnya. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betul kan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah. Ia lahir dari sifat bertanggung- jawab. Ia juga lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggung-jawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiripun sukar dibiaya apatah lagi hidup orang lain? Faktor ini membuatkan syabab takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani kehidupan.

Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin:
“Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (An-Nur:32).
Nah, Allah telahpun memberi jaminan! Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai?
Umar Al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi:
“Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya.”
Nabi Muhammad s.a.w. juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a.:
“Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang.” (HR Bukhori dan Muslim).

Tidak hairanlah Ibnu Mas’ud pernah berkata,
“Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan,” kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa, yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Samada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.

Buat syabab, rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda:
“Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik.” (HR Ahmad, Baihaqi dan lain-lain).

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!

Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan) . Perlaksanaan khitbah dalam Islam ada pelbagai cara sebagaimana dicontohkan dalam sirah antaranya,
1) Khitbah melalui keluarga si gadis
2) Khitbah dengan menyampaikan secara langsung kepada si gadis bukan walinya
3) Khitbah si gadis kepada lelaki soleh melalui orang tua atau kerabat atau dirinya sendiri.
4) Khitbah secara sindiran semasa iddah.
Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina.
Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki.
Aisyah r.a. menjelaskan,
“Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya.” (HR. Ahmad).
Oh, kaum Hawa! Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!

Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

“Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka berpuasalah.” (HR Bukhori).
Penulis: Fatimah Syarha Mohd Noordin
fs_loveislam@ yahoo.com