Sedar mahupun tidak ia sudah semakin menghampiri penghujungnya, masa semakin suntuk untuk kita mendapat rahmat dan keampunan yang melimpah ruah dari Yang Maha Pemurah dan Pengampun. Ya ALLAH jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa memohon rahmat dan keampunanMU dalam menghadapi malam-malam yang mendatang kelak.
Namun kadang kala jiwa ini merasakan kemalasan untuk beribadah kepada-Nya lantaran semangat yang kian luntur. Boleh jadi kerana menjelangnya pertengahan Ramadhan, semangat beribadah sudah bertukar menjadi semangat untuk berhari raya, apatah lagi bila mendengar dendangan lagu-lagu raya yang cukup indah mahupun menyayat hati, bahkan cukup mudah untuk mendengarnya saat berkunjung di pasaraya di setiap tempat, tidak terkecuali bagi mereka yang menjadikan lagu-lagu raya sebagai lagu tema alat komunikasi dan komputer masing-masing. Ayuh kita menyambut kehadiran syawal, itulah laungan mereka.
Sedangkan Ramadhan masih lagi menyediakan pelbagai tawaran yang maha hebat bagi umat akhir zaman ini, ternyata tawaran itu hanya diketahui oleh mereka yang sentiasa mendambakan maghfirah-Nya, tawaran itu tidak bermakna andai kita tidak merebutnya, adakah kita masih lagi mengharapkan agar selepas berakhirnya Ramadhan ini kita bakal menjadi orang-orang yang bertakwa, andai itu masih menjadi cita-cita kita maka pendamkan dahulu kegembiraan syawal kita dengan mengisi hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan beribadah kepada-Nya dengan jiwa yang tenang dan ikhlas.
Betapa harus kita bimbang andai Ramadhan ini berlalu begitu sahaja tanpa ada perubahan dari segi amalan mahupun identiti kita kelak sebagai seorang Muslim. Andai Ramadhan ini belum mampu mendidik diri kita agar merealisasikan firman ALLAH mudah-mudahan kita menjadi orang bertakwa, maka boleh jadi Ramadhan ini hanya menjadikan kita penat dan lapar semata-mata dan lebih menyedihkan selepas Ramadhan kita terus tenggelam dalam kelalaian dan kealpaan dunia.
“ Betapa banyak orang yang berpuasa, tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu dari puasanya itu melainkan lapar. Dan betapa banyak orang yang melakukan solat malam, tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu dari solat malamnya itu kecuali tidak tidur [HR Nasa’i,Ibnu Majah dan Al Hakim]
Wahai sahabatku doakanlah agar diri ini dan kalian semua memanfaatkan saat-saat yang berharga ini agar dapat bertemu dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan kerana kita belum dijamin bakal mendapat saat-saat seperti ini lagi kelak bahkan esok sahaja kita masih belum tahu sama ada masih ada peluang untuk memohon keampunan-NYA. Diri ini terlalu banyak melupakan nikmat-nikmat-Mu, bahkan berapa banyak maksiat dan dosa yang diri ini lakukan sama ada sedar mahupun tidak, sama ada secara zahir mahupun tersembunyi.
Ya ALLAH jadikanlah kami hamba-hambaMu yang mengetahui segala kesilapan dan dosa yang kami lakukan agar dengan mengingatinya kami akan sentiasa memohon ihsanMu agar mengampuni segala dosa-dosa kami.
Ya ALLAH berikanlah semangat dan kekuatan kepada diri yang serba lemah ini agar tegar beribadah kepadaMu, melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan kepada diri ini, membina kembali generasi baru yang bakal menyebarkan cahaya agamu-Mu walau ada yang membencinya, menerapkan kembali syariatMu dalam jiwa-jiwa kami agar ia dapat tertegak kembali di bumiMu.
Ya ALLAH tabahkanlah jiwa ini menghadapi segala ujian dan dugaan yang kami tempuhi dalam kehidupan yang penuh tipu daya ini dengan bersyukur dengan segala nikmat yang kami terima dariMu dan bersabar dengan musibah yang juga dariMu.
Ya ALLAH masa semakin suntuk bagi kami dalam mengharapkan maghfirahMu, maka kami berharap dapat merasai nikmat beribadah kepadaMu dalam malam-malam kemuliaan yang bakal kami lalui, mudah-mudahan malam yang istimewa dan penuh barakah itu dapat kami gapai sebagai hambaMu yang bertuah.
Ya ALLAH ingatkan kami andai terlupa untuk memanfaatkan madrasah Ramadhan ini dengan sebaik-baik amalan yang mampu kami berikan agar kelak kami dapat menuai hasilnya sebagai hambaMu yang bertakwa. Amiiin.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukan kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dah Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.”[Al-Qadr 97:1-5]
Al Faqir IlaLLAH
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 20 Ramadhan 1428H 11:44p.m.
Sunday, September 30, 2007
MASA SEMAKIN SUNTUK
Monday, September 17, 2007
KEMULIAAN YANG TERCEMAR
Alangkah mulianya bulan ini, penuh dengan rahmat dan kasih sayang Ilahi kepada hamba-hamba-Nya . Dengan kasih sayang-Nya, dapat dilihat berbondong-bondong manusia menuju rumah-Nya saat tiba masa untuk beribadah, terasa begitu mudah untuk melaksanakannya berbanding bulan-bulan yang lalu, semangat juga berbeza saat melakukan ibadah lantaran ramainya manusia yang turut melakukannya. Inilah fitrah yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang makhluk yang bernama hamba ALLAH tanpa mengira masa-masa tertentu, namun manusia mudah lupa kepada Rabb yang menciptakan dirinya. Adakah aku salah seorang daripadanya???
Adakah kemuliaan bulan ini telah tercemar oleh perbuatan kita yang merosakkan kemuliaannya, adakah kalian melihat ada segolongan manusia yang masih tetap menyebarkan hadith-hadith yang palsu saat tibanya bulan yang mulia ini dengan ganjaran yang melampaui batasan akal dan nas yang sahih, ternyata hadith-hadith yang sahih tentang keutamaan bulan yang mulia ini seolah-olah masih belum cukup. Jangan biarkan umat ini bersemangat melakukan ibadah dengan ganjaran –ganjaran yang palsu kerana matlamat yang Islam ingin capai tidak pernah menghalalkan cara yang bukan Islam ajarkan. Cukuplah dengan hadith yang sahih menjadi sandaran kita tentang kelebihan bulan ini. Adakah aku memahaminya???
“Barangsiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana iman dan mencari ridha ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lalu.”[HR Bukhari dan Muslim]
Dimanakah nilai kemuliaan bulan ini andai masih lagi kita lihat segolongan manusia tanpa segan silu berdua-duaan tanpa ikatan yang sah di tempat-tempat yang terbuka, mereka saling berpegangan bahkan berpelukan dengan cukup selamba, sedangkan mata ini cukup sakit memerhatikannya walau hanya sekejap, betapa sedihnya diri ini kerana tidak mampu untuk mencegahnya lantas hanya mampu membenci jauh di sudut hati disamping meluahkannya lewat tulisan yang serba kekurangan ini tanda lemahnya imanku. Sedangkan Nabiku bersabda:
“Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda. “Barangsiapa diantara kalian melihat suatu kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya; jika tidak mampu; maka dengan lisannya;dan jika ia masih tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”[HR Muslim]
Dimanakah sifat malu dalam diri mereka, adakah malu itu sudah hilang dalam jiwa umat ini hingga menjadikan mereka seolah-olah tidak merasa bersalah saat melakukan maksiat dan kemungkaran di bulan kemuliaan ini. Bahkan mereka melakukannya ketika syaitan-syaitan dibelenggu daripada berleluasa menyebarkan kejahatannya, adakah ini tanda hati sudah gelap dengan titik-titik hitam akibat maksiat dan dosa yang mereka perbuat dalam bulan-bulan yang lalu. Jagalah sifat malumu wahai sahabatku kerana ia juga salah satu tanda keimanan orang yang bertakwa.
“Malu adalah sebahagian dari iman”[HR Muslim]
Mudah-mudahan sifat itu masih kukuh dalam sanubari kita, agar dapat menjaga kita daripada melakukan kemungkaran lebih-lebih lagi di bulan yang penuh keberkatan ini, andai ALLAH memberikan pahala berlipat ganda atas amal soleh yang kita lakukan di bulan ini, adakah mungkin ALLAH juga melipat gandakan dosa kita atas kemungkaran dan maksiat yang kita perbuat di bulan ini, mari kita renungkan bersama agar kita dapat meletakkan diri kita dalam golongan yang beruntung kerana kita bebas untuk memilih jalan yang ingin kita lalui, jalan kefasikan atau jalan ketaqwaan.
Jadikanlah bulan ini medan untuk kita mengenang sahabat-sahabat seIslam kita di seluruh bumi ALLAH ini yang mungkin serba kekurangan dan kesedihan melalui bulan kemuliaan ini, jangan kita terlalu mewah dengan pelbagai juadah makanan untuk di ratah sepuas-puasnya hingga terlupa mereka yang tidak mampu menikmatinya seperti kita, apatah lagi andai makanan itu berlebihan hingga dibuang begitu sahaja walau telah cuba untuk menghabiskannya setelah penat melakukan solat sunat tarawih, kerana membazir bukan sifat yang Islam ajarkan, bersederhanalah wahai sahabatku.
".......makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”[Al- A’raf 7:31]
Hiasilah bulan ini dengan sebaik-baiknya kerana ia baru bermula, madrasah Ramadhan ini masih terbuka untuk mentarbiyah umat ini agar dapat melaluinya dengan penuh keimanan dan membentuk peribadi yang terbaik hingga mampu menjadi pejuang yang sejati. Jangan lupakan cita-cita kita agar di penghujung Ramadhan ini kita berjaya menggapai gelaran orang-orang yang bertakwa lantaran aqidah dan amal soleh yang kita perbuat di bulan kemuliaan ini. Bulan ini masih belum tercemar maka sucikanlah iman dan amalmu.
“………..mudah-mudahan kamu bertaqwa.” [Al Baqarah 2:183]
Al ‘Abd Ad ‘Dhaif,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 10 Ramadhan, 12:58a.m.
Tuesday, September 11, 2007
SUCIKAN DIRIMU
Ia hadir di saat jiwa ini merinduinya, ia tiba tatkala hati ini ingin mendapatkannya, ia datang ketika diri ini ingin menghampirinya, perasaan yang hanya dirasai oleh mereka yang benar-benar ingin menjadi orang yang bertakwa dalam kehidupan mereka. Adakah aku merasai kehadirannya???
Hadirnya menyerikan seluruh penghuni langit dan bumi, melimpahkan rahmat ke seluruh alam, menyelimuti jiwa-jiwa yang sentiasa mendambakan keindahannya. Bulan yang penuh berkat dan rahmat, RAMADHAN kembali menyinarkan cahayanya buat umat ini.
Ternyata ALLAH masih memberi kesempatan buat diri ini bertemu dengan Ramadhan, bulan untuk membersihkan diri dari dosa dan noda yang dilakukan pada bulan-bulan yang lalu. Moga diri ini dapat memanfaatkan hari-hari mulia yang tiba nanti untuk menyucikan dirinya. Renungilah setiap apa yang ingin kusampaikan buat mereka yang ingin mendengarnya.
Sucikan dirimu daripada pengaruh kesesatan yang dapat mengugat akidah suci yang kita miliki, kesesatan yang menjauhkan kita daripada hidayah-Nya lantaran membelakangkan ajaran Ilahi, ingatlah pesan Luqman kepada anaknya yang tercinta;
"Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."[Luqman 31:13]
Sucikan dirimu daripada menyebarkan sesuatu yang tidak pasti hujung pangkalnya, apatah lagi yang melibatkan hukum tanpa dalil dan hujah yang nyata kerana ulama salaf mahupun khalaf sahaja cukup berhati-hati dalam soal hukum, juga kerana agama ini dibina dengan kekuatan dalil dan hujah yang jelas, setiap ucapan dan amalan yang dibuat harus bersandarkan kaedah yang Islam ajarkan agar agama ini tidak dicaci dan dihina lantaran kesilapan yang kita lakukan akibat kejahilan diri sendiri. Andai tidak tahu maka tanyakan kepada mereka yang lebih arif.
“……maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu
tidak mengetahui”[An-Nahl 16:43]
Sucikan dirimu daripada pelbagai prasangka buruk kepada insan lain, lebih-lebih lagi sahabatmu kerana kebanyakan prasangka itu adalah dosa, andai tersilap dalam ucapan mahupun tindakannya ia adalah kelemahan seorang insan yang sering lupa dan tersilap, jika ALLAH saja mengampunkan umat ini atas kesilapan atau kelupaannya, lalu kita lebih harus memaafkan insan yang bernama sahabat.
“Dari Ibnu Abbas ra. Bahawa Rasulullah saw bersabda, “ Sesungguhnya ALLAH mengampuni umat atas kesalahan , kelupaan dan atas sesuatu yang dipaksakan kepadanya.”[Hadith Arba’in- 39 hadith hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah , Baihaqi dan lain-lain]
Sucikan dirimu daripada terlalu mengharapkan balasan atas segala kerja mahupun pengorbanan kepada insan lain sekalipun ucapan terima kasih atau lebih rendah daripadanya, ia memang tidak adil andai tidak ada sebarang penghormatan atas segala usaha yang kita sumbangkan, namun siapalah kita untuk mengeluh hanya kerana tiada balasan setimpal yang kita merasakan harus memilikinya, kerana Raja segala makhluk sahaja sering berfirman hanya segelintir yang berterima kasih kepada-Nya.
“…….Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih”[Saba’ 34:13].
Sucikan dirimu daripada melihat aurat yang bukan hakmu selagi belum sampai saat dan ketika untuk melihatnya, kerana menjaga kesucian itu lebih utama daripada memuaskan hawa nafsu tanpa kaedah dan jalan yang Islam tunjukkan.
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya…[An Nuur 24:30]
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya…[An Nuur 24:31]
Sucikan dirimu daripada membuka segala ‘perhiasanmu’ selagi belum sampai saat dan ketika untuk membukanya daripada dilihat oleh mereka yang tidak layak melihatnya hingga mampu menggoncang nafsu sang lelaki mahupun wanita, lantas jiwa semakin tertekan kerana gelojak nafsu yang kian membara hingga membawa kepada kemaksiatan yang menghancurkan moral umat dan tamadun.
“Semua peristiwa(penzinaan) itu bermula dari memandang. Dan api yang besar itu berasal dari percikan api yang kecil”[kata-kata seorang penyair]
Sucikan dirimu dengan solat yang khusyuk agar menjadi tanda bagi orang-orang yang berjaya sebagai seorang mukmin.
Sucikan dirimu dengan tilawah quran dan tadabbur ayat-ayat-Nya agar ia dapat menyucikan jiwa yang sering kotor ini dengan cahaya-Nya,
Sucikan dirimu dengan hadith-hadith sahih di bulan yang mulia ini agar tidak sekali-kali dicemari dengan amalan atau ganjaran yang datang dari sumber yang palsu,
Sucikan dirimu dengan tahajud dikala insan lain senang lena diulit mimpi agar diri ini terjaga dari bisikan syaitan dan hawa nafsu,
Sucikan dirimu dengan menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh agar ia menjadi penyuluh kehidupan dunia dan akhirat,
Sucikan dirimu dengan bekerja sebaik mungkin dengan penuh amanah dan ikhlas dalam melaksanakannya agar ia bakal menjadi amal kita yang terbaik,
Sucikan dirimu dengan RAMADHAN yang tiba dengan sungguh-sungguh, mengharapkan keampunan-Nya, petunjuk-Nya dan rahmat-Nya kerana siapa tahu ini adalah Ramadhan kita yang terakhir sebelum kita menghadap-Nya.
Selamat datang wahai bulan kemulian, moga kehadiranmu membuatkan diri ini lebih bersemangat untuk menjadi dan membina generasi Rabbani yang mendambakan kemenangan Islam.Adakah kalian pun begitu?????
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”[Al Baqarah 2:83]
Al Faqir ila Rabbihi,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 1 Ramadhan 1428H 12:55am
Menjelang 1 Ramadhan 1428H 12:55am
Subscribe to:
Posts (Atom)