Zaman ini kita lihat banyak cerita-cerita seram dan cinta ditayangkan di pawagam mahupun televisyen khususnya di negara yang kita cintai ini. Bagi yang meminati cerita seram pasti boleh senaraikan tajuk-tajuk cerita sebegitu contohnya Jangan Pandang Belakang, Pontianak Harum Sundal Malam , Anak Pontianak, Susuk dan banyak lagi
Kemudian bagi yang meminati kisah-kisah cinta pastinya sentiasa menonton Cinta, Kuliah Cinta, Ada Apa Dengan Cinta , Cintaku forever, Tentang Bulan, Spa Q, dan pelbagai lagi. Adakah kita salah seorang daripada ribuan atau jutaan insan yang menonton cerita-cerita sebegini.
Setiap penerbit sama ada yang menerbitkan cerita seram atau cinta pasti ada matlamat dan sasaran penonton yang ingin dicapainya dan yang pasti masyarakat kita sangat meminati cerita-cerita sebegini walau bukan semuanya.
Cerita-cerita seram yang ditayangkan lewat pawagam mahupun televisyen sama ada versi Malaysia atau negara luar mampu menegakkan bulu roma mereka yang menontonnya hingga ketakutan mula menyelubungi diri masing-masing apatah lagi bagi kanak-kanak yang baru mengenal dunia bahkan boleh menjadi modal untuk menakutkan mereka pabila ingin melarang mereka melakukan sesuatu perkara.
Manakala cerita berkaitan cinta mampu membuatkan masyarakat kita dibuai mimpi-mimpi indah disiang hari apatah lagi saat menontonnya bersama ‘teman tapi mesra’ masing-masing seolah-olah menganggap bahawa merekalah hero dan heroin seperti yang ditonjolkan dalam cerita-cerita cinta baik untuk golongan dewasa mahupun kanak-kanak
Ketakutan dan Kecintaan adalah sifat fitrah yang ada pada setiap insan termasuk juga yang namanya binatang. Dua sifat ini cukup penting dalam kehidupan seorang insan hingga mampu mempengaruhi corak kehidupan kita di dunia ini.
Lantaran sifat ini dimiliki setiap orang, maka cerita-cerita diatas mempunyai penonton yang cukup ramai kerana telah berjaya menonjolkan sifat ketakutan dan kecintaan dalam diri masing-masing. Sayangnya kedua-dua sifat ini hanya mampu dikenal dari segi luarannya sahaja tanpa memahami apakah tujuan sebenar hakikat keberadaan sifat takut dan cinta yang ALLAH berikan pada setiap manusia.
Bukanlah suatu yang menghairankan jika masyarakat kita tidak memahami hakikat sebenar sifat takut dan cinta kerana cerita-cerita yang dilihat juga tidak mengarah kepada mendidik masyarakat mengenal hakikat tersebut tetapi sekadar ingin mengaut keuntungan, merancakkan industri lakonan dan mungkin sekadar memuaskan nafsu masyarakat yang dahagakan sifat takut dan cinta itu.
Bukan juga suatu yang menghairankan andai sikap masyarakat masih terus menyokong cerita-cerita sebegini walau ia hanya sekadar menghabiskan masa lapang dan duit mereka dan memewahkan pembuat cerita-cerita sebegitu kerana saat ini golongan karyawan dalam bidang lakonan dan penerbitan yang benar-benar mampu menerapkan cerita-cerita yang dapat mendidik umat tentang hakikat sebenar ketakutan dan kecintaan itu harus ditujukan masih kurang dihasilkan. Maka tulisan ini sekadar mahu menjelaskan sekelumit pengertian tentang ketakutan dan kecintaan itu harus ditujukan. Jangan biarkan kelekaan kita melihat cerita-cerita sebegitu melupakan tujuan sebenar dua sifat mulia yang ALLAH kurniakan kepada kita namun menjadi cukup jelek ketika ia ditonjolkan dalam bentuk yang tidak Islam ajarkan.
Setiap Muslim pastinya yakin bahawa tidak ada ILAH melainkan ALLAH yang sentiasa dilafazkan melalui syahadah kita saban hari bahkan sebahagian golongan Kristian juga ingin menggunakan nama ALLAH dalam akhbar-akhbar mereka dan sememangnya kita juga harus mengetahui bahawa ALLAH adalah Tuhan untuk semua manusia seperti kata-kata Nabi Isa a.s kepada Bani Israil yang belum percaya akan agama tauhid ini:
“Sesungguhnya ALLAH, Tuhanku dan Tuhanmu, karena itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.”[Ali ‘Imran 3:51]
. Ketakutan yang sebenar harus ditujukan kepada ALLAH semata-mata kerana DIA yang telah memberi pelbagai nikmat dalam kehidupan ini, seharusnya kita mengambil iktibar dari peringatan ALLAH kepada Bani Israil dalam kalam-Nya yang mulia:
“Hai Bani Israil, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu, dan penuhilah janjimu kepada-Ku, niscaya Aku penuhi janji-Ku kepadamu; dan hanya kepada-Ku-lah kamu harus takut.”[Al Baqarah 2:40]
Begitu juga kepada pendokong kebenaran sewajarnya menjadikan ALLAH sahaja yang perlu ditakuti agar risalah kebenaran ini dapat disebarkan dengan penuh amanah dan kesungguhan tanpa sebarang ketakutan menghadapi segala ujian dan dugaan yang mendatang.
“(yaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah ALLAH, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang(pun) selain kepada ALLAH. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan”[Al Ahzab 33:39]
Bukan semestinya perasaan takut itu tidak boleh tika melihat perkara yang menakutkan cuma agar kita memahami ketakutan hakiki yang lebih wajar kita semai dalam diri masing-masing. Kemungkinan setelah melihat cerita-cerita seram dan seumpamanya kita menjadi terlalu takut ketika berseorangan kerana kesannya andai terdapat seorang insan yang terluka atau dipukul dimalam yang gelap gelita lantas menahan kereta atau motor yang sedang dipandu oleh kita, sanggupkah kita berhenti untuk menolong insan itu apatah lagi jika insan itu menahan kita dengan muka yang berdarah-darah, akhirnya kerana terlalu kerap melihat cerita-cerita seram, boleh jadi kita akan memecut selaju boleh kerana menyangka hantu, polong, momok dan sewaktu dengannya yang sedang melambai-lambaikan tangannya. Hakikatnya insan itu terus ditinggalkan tanpa sebarang pertolongan akibat masyarakatnya terlalu takut dengan bayangan seram yang semakin sebati dalam fikiran mereka, sedangkan agama memandang berat perihal menolong sesama saudara dalam apa jua perkara kebaikan apatah lagi dalam kondisi yang memerlukan pertolongan kita. Renungilah sebentar sebahagian sabda Nabi ini:
“Dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda, “Barangsiapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, niscaya ALLAH akan melepaskannya darinya kesusahan dihari kiamat, barangsiapa memudahkan urusan yang sulit niscaya ALLAH akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat…..”[HR Muslim]
Begitu jua dengan kecintaan yang hakiki hanya untuk ILAH yang SATU kerana DIA yang memberikan kepada jiwa kita sifat kecintaan itu maka selayaknya hanya kepadanya kecintaan itu harus disalurkan.
Bukan suatu kesalahan jika kita juga mencintai sesuatu selain-NYA namun bak kata Imam Nawawi “Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu ketika agama itu hilang darimu maka hilanglah cintaku padamu”. Jangan sampai kecintaan kepada yang lain itu membuatkan kita melupakan-NYA apatah lagi jika sampai melanggar perintah-NYA seperti yang Al-Quran lantunkan dalam salah satu surah-NYA
“Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”.[At Taubah 9:24]
Sayangnya kecintaan ini sering disalah fahami oleh ramai kalangan hingga kemurnian cinta itu sendiri semakin hilang akibat kejahilan kita memahaminya ditambah lagi dengan meluasnya cerita-cerita cinta dengan pelbagai pengertian yang mereka rasakan itulah cinta sebenar.
Kemungkinan kesan yang terjadi ialah masyarakat kita akan merasakan bahawa berdua-duaan antara lelaki dan perempuan itu satu fenomena yang sudah menjadi ‘trend’ dalam kehidupan, lalu mereka dibiarkan sahaja bergaul dengan sesiapa yang mereka inginkan kerana terpengaruh dengan kisah-kisah cinta yang mereka lihat di pelbagai media massa. Inilah cinta yang sejati bagi mereka walhal kalam ALLAH telah lama mengingatkan umat ini akan bahaya yang bakal muncul akibat membiarkan hawa nafsu bermaharajalela dalam masyarakat.
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”[Al Isra 17:32]
Mendekati jalan yang membawa kearah kemaksiatan sahaja dilarang apatah lagi jika melakukannya. Seharusnya kita merasa bimbang dengan laknat ALLAH kepada Bani Israil lantaran membiarkan kerosakan umatnya tanpa sebarang peringatan, lalu tidak mustahil kita juga ditimpa laknat yang sama andai hanya diam seribu bahasa dengan kemungkaran yang terjadi. Na’uzubiLLAH
“Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu”[Al Maidah 5:78-79]
Kemanakah arah cerita-cerita seram dan cinta ini jika ia hanya menambahkan kesakitan untuk menyedarkan umat ini, terus lena dan leka serta lalai dengan cerita sebegitu. Namun sekali lagi kita belum mampu memberikan alternatif terbaik untuk menyedarkan mereka lewat filem dan drama walaupun sebahagiannya sudah menampakkan ke arah tersebut tetapi sambutannya masih samar-samar.
Sekadar mencoret apa yang terbuku dihati lewat cerita seram dan cinta yang diharapkan agar lebih bermakna di kemudian hari. Mudah-mudahan ketakutan dan kecintaan itu dapat kita semai sebaik-baiknya dan menyalurkannya dengan jalan yang diridhai-NYA
Semoga Tahun 2007 yang bakal berlalu menambahkan ketakutan atas dosa-dosa yang kita lakukan serta tanggungjawab yang tidak kita laksanakan dan dengan harapan Tahun 2008 yang bakal tiba menambahkan kecintaan kita kepada-NYA dengan amalan-amalan kebaikan yang dapat memperbaiki diri dan umat ini.
Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
20 Zulhijjah 1428H 04:38p.m.