Realiti dan fantasi pastinya dua perkara yang berbeza, realiti adalah yang zahir dan nyata manakala fantasi adalah yang samar-samar dan belum jelas keberadaannya. Inilah pemikiran atau definasi spontan yang dapat kita ulas berkaitan realiti dan fantasi. Bahkan sebahagian ahli sains mengusulkan sesuatu perkara harus dibuktikan keberadaannya barulah ia diterima sebagai suatu yang realiti, sedangkan sesuatu yang tidak dapat dibuktikan hanya akan dianggap fantasi bagi golongan ini. Adakah kita juga begitu, mudah-mudahan tidak kerana sebagai umat yang berpegang pada prinsip Islam yang jelas, segala istilah yang diguna pakai harus disesuaikan dengan bingkai agama kita yang mulia. Andai kaedah ini diabaikan, betapa mudah musuh-musuh Islam meragukan kita tentang keberadaan hari kiamat, syurga dan neraka, malaikat dan perkara-perkara ghaib yang lain, kerana ia semua pada pandangan mereka hanyalah fantasi umat Islam semata-mata sedangkan kita menganggapnya adalah suatu yang realiti kerana salah satu ciri orang beriman adalah mempercayai perkara-perkara ghaib [Al-Baqarah 2:3]
Sikap inilah yang juga menimpa kaum Nabi Musa ketika mereka meminta agar ALLAH menunjukkan wajah-Nya dihadapan mereka, barulah mereka akan beriman,[Al-Baqarah 2:55] bahkan umat Nabi yang lain juga begitu. Kita berdoa agar umat akhir zaman ini tidak begitu. Ya, boleh jadi umat ini tidak akan mempersoalkan perkara-perkara ghaib yang ku sebut diatas, namun realiti dan fantasi yang ingin ku kongsi bersama kalian bersama kalian bukan sekadar itu tetapi tentang sikap umat yang mendokong kebenaran dan yang mendokong kebatilan. Siapakah yang sedang berada dalam realiti dan fantasi?
Mari kita lihat sejenak umat yang dibelenggu oleh anasir kebatilan ini, betapa mereka dilalaikan dan dilekakan dengan pelbagai aktiviti dan program yang hanya membuang masa mereka, memalukan diri mereka, merosakkan diri mereka dengan hiburan yang tidak ada tujuan dan matlamat yang jelas. Krisis ini bukan hanya menimpa orang dewasa bahkan telah merebak ke jiwa anak-anak kecil, kalau sebelum ini program mencungkil bakat baru hanya untuk si dewasa yang merasakan dirinya harus memberikan sumbangan dalam industri hiburan walau suara tidak sebaik mana, namun lebih menyedihkan ketika mana jiwa-jiwa yang baru mengenal dunia turut terlibat dalam studio si kecil untuk membuktikan bahawa mereka juga ada hak untuk menyumbang sesuatu dalam industri hiburan walau yang menarik boleh jadi dari segi gaya tangan dan kaki mereka sahaja.
Pada pandangan pendokong kebenaran mereka ini tidak sedar bahawa mereka sedang berada dalam fantasi yang hanya mementingkan nilai dunia semata-mata, namun hakikatnya wahai sahabatku mereka telah merealisasikan fantasi mereka lewat program dan aktiviti mereka. Bagaimana mereka dapat mengubah peribadi seorang penduduk kampung yang dulunya mungkin dianggap budak surau, akhirnya bertukar personaliti diri dengan pelbagai gosip dan kontroversi setelah bertukar medan kehidupan. Inilah realiti yang berjaya mereka bina.
Sedangkan di satu pihak lagi yakni pendokong kebenaran merasakan berada dalam realiti yang sebenar, berusaha untuk membina umat agar mengingati tujuan dan matlamat kehidupan mereka, mencegah mereka dari kemaksiatan, menuntun mereka menuju mardhatiLLAH, namun hakikatnya sahabatku kita mungkin masih banyak berfantasi inginkan Islam ini tertegak dibumi yang tercinta, namun jiwa umat ini belum merasai ia bisa tertegak di dalam jiwa mereka, bandingkan antara program yang melalaikan umat dan yang menyedarkan umat mana yang lebih banyak pengaruh dan kehadirannya. Ya, bukan semuanya begitu namun ia menunjukkan perjuangan masih jauh, umat yang lalai itu mungkin menganggap kita hanya berada dalam dunia fantasi kita sendiri lantaran tidak mampu untuk memberi alternatif terbaik untuk mendidik mereka menuju jalan kebaikan yang Islam inginkan, ditambah lagi dengan pertelingkahan sesama golongan kebenaran yang merugikan masa dan umat.
Kita harus berusaha untuk merealisasikan Islam ini dalam segenap aspek kehidupan, agar umat bisa menerimanya dengan hati yang bersih untuk kembali kepada jalan kebenaran ini. Setiap dari kita harus memainkan peranan melalui posisi masing-masing untuk membawa umat yang terlena ini kepada umat yang sedar akan tanggungjawabnya di muka bumi.
Teguhkan diri ini dalam kebenaran untuk menghadapi segala ujian dan cubaan dari serangan kebatilan agar setiap impian dan cita-cita Islam kita tidak sekadar fantasi lagi namun adalah realiti yang bakal kita bina sama ada diri ini sempat melihatnya atau gugur kerana ingin merealisasikannnya.
“Walaubagaimana lajunya jalan kejahatan, akan dapat dikejar oleh kebenaran, tetapi walau bagaimana lambatnya jalan kebenaran, tidak akan dapat dikejar oleh kejahatan”-Dr. Aidh Al-Qarni
Hamba yang Dhoif,
Mohd Halimi Abdul Aziz
7 Jamadil Akhir 1428H 02:48a.m
ikhwah00@yahoo.com