Friday, April 6, 2007

DEMI CINTA SUCI

Sudah menjadi fitrah manusia bahawa mereka mengetahui apa itu cinta walaupun masing-masing mempunyai persepsi tersendiri dengan kalimah tersebut tetapi pokoknya tidak ada manusia yang tidak pernah mendengar kalimah cinta. Aku sekadar ingin berkongsi dengan kalian tentang golongan-golongan yang mengenal erti cinta dalam kehidupan mereka, sekali lagi kuingatkan ini hanyalah pandangan seorang insan yang ingin mencari kebenaran dalam cinta yang hakiki, kerana cinta itu bisa membuat kita bertemu jalan ketakwaan atau menempuh jalan kesesatan.

CINTA SATU KEPERLUAN

Boleh jadi kerana merasakan cinta itu satu keperluan maka ia perlu hadir dalam diri setiap insan. Lantaran itu janganlah kita terlalu hairan melihat masyarakat kita dimomokkan dengan pelbagai cerita-cerita tentang cinta dalam pelbagai versi. Golongan ini menampilkan bintang-bintang yang dianggap cukup layak untuk membangkitkan persoalan cinta kepada semua peringkat umur hatta insan yang masih kanak-kanak juga patut diberikan hak untuk bercinta kerana setiap orang ada cinta pertama masing-masing, walaupun terpaksa melanggar batas-batas agama. Inilah cinta mereka.
Bagi yang bernama mahasiswa pula, mungkin kerana terlalu cinta akan ‘study’nya pasti sanggup bersekang mata setiap malam untuk menyiapkan ‘assignment’ atau membuat persedian untuk ‘exam’ yang bakal tiba. Segala urusan yang mengganggu ‘study’ mereka akan dibuang atau tidak dilayan walaupun urusan tersebut untuk kebaikan dunia dan akhiratnya, kerana mungkin hidup ini untuk ‘study’ dan naikkan CGPA. Kemudian bagi yang telalu aktif dengan pelbagai program anjuran pelbagai pertubuhan sanggup mengorbankan masa dan harta demi menjayakan program yang disertai dengan harapan dapat membina personaliti dalam aspek kepimpinan walaupun terpaksa meninggalkan program yang lebih membina jatidiri Muslim dalam diri umat. Mungkin inilah cinta mereka.
Seterusnya bagi yang berstatus pekerja dalam pelbagai sektor dan bidang di negara tercinta, pasti sanggup mengambil ‘overtime’ untuk menambah ‘salary for month’ atau menggadai cuti-cuti mereka demi berada di tempat kerja masing-masing dan meninggalkan anak dan isteri di rumah dengan harapan segala pergorbanan tersebut bukan hanya dapat meningkatkan pendapatan bahkan juga dapat meningkatkan ekonomi negara walaupun terpaksa mengurangkan masa-masa untuk mendidik diri dan umat ini demi menambah ‘salary for life’ di akhirat kelak.
Pada sisi yang lain pula ramai penulis-penulis lagu menggambarkan cinta ini dengan lirik-lirik yang cukup indah, bukan saja dari golongan yang kurang kefahaman agamanya bahkan juga golongan yang memenuhi lagu-lagu mereka dengan ‘nasihat-nasihat’ agama turut sama khayal dengan tema cinta mereka hingga ada seorang ustaz menggambarkan lagu-lagu mereka sebagai lagu yang melemahkan semangat perjuangan.
Demikian pula kerana cinta kepada individu, kelompok atau amalan tertentu mereka sanggup mempertahankan hujah, dalil dan pendapat masing-masing demi untuk mencari kemenangan atau mungkin kepuasan, lebih menyedihkan lagi andai ini turut melibatkan golongan yang mempelajari agamanya, mereka berdebat tanpa henti seolah-olah seperti mahu bertumbuk dan boleh jadi mereka mungkin akan lakukannya walau terpaksa mengorbankan ukhwah sesama umat Islam. Kata-kata yang mereka lafazkan seolah-olah Rasulullah S.A.W tidak pernah mendidik umat ini erti akhlak, adab dan ukhwah sedangkan insan yang mulia ini pernah bersabda;
“ Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”[1]

Bahkan Al-Quran menghubungkan iman dan ukhwah dalam kalimah yang sama dan tidak cukup dengan itu, seharusnya kita menjadi Muslim yang sentiasa mendamaikan petelingkahan dan pergaduhan serta bukan membangkitkan api kemarahan, menumbuhkan benih kebencian dalam diri setiap yang mengaku Muslim. Adakah kalian lupa...
“ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu mendapat rahmat” [Al-Hujurat 49:10]

Kerana cinta satu keperluan ramai insan menyambut Maulidur Rasul dengan berarak dan selawat keliling bandar dan kampung dan pelbagai program lain sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. Di samping itu program-program yang tidak islami juga ditangguhkan demi menghormati sensitiviti umat Islam walaupun hanya untuk hari sambutan sahaja. Inilah sebahagian cinta-cinta yang dapat kulihat, boleh jadi benar dan boleh jadi salah bergantung bagaimana kita menilainya. Ada seorang penyair pernah mengatakan;
“ Cinta bukan kerana keindahan dan yang tampak di mata, tetapi kerana yang menyatukan hati dan jiwa.”[2]

KERANA CINTA KUBERJUANG


Sekarang ingin kupersembahkan kepada kalian insan-insan yang memahami nilai cinta dalam pandangan dan kefahaman mereka, insan yang mungkin tidak diendahkan oleh ramai orang tetapi bagi mereka inilah cinta yang mereka inginkan.
Kerana cinta insan itu melangkahkan kakinya bersama sahabatnya pergi ke Ta’if, dengan harapan untuk menyeru kaum di situ menerima Islam dengan kecintaan yang hakiki. Kecintaan yang diharapkan bertukar menjadi kebencian, lalu insan itu dan sahabatnya di caci, di hina bahkan di lempar dengan batu-batu hingga mengalirlah darah dari tubuhnya yang mulia itu. Walau malaikat ingin menghempap mereka dengan gunung tetapi insan yang cukup mencintai umatnya ini hanya sekadar mengatakan;
“ Tidak! Semoga ALLAH mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah ALLAH!”[3]

Ucapan ini hanya mampu diucapkan oleh insan yang ALLAH angkat sebagai kekasih-NYA, MUHAMMAD RASULULLAH. Kemudian cinta itu mengalir ke seluruh sahabatnya dan merakamkan kisah-kisah cinta yang hebat.
Bagaimana Hanzalah sanggup meninggalkan ‘kemanisan cinta’ malam pertamanya untuk menyahut panggilan jihad demi untuk mencari ‘kemanisan cinta’ yang lebih kekal di syurga-NYA. Begitu juga Abu Thalhah sanggup menggagahkan dirinya ke medan perjuangan walau sudah di penghujung hayatnya kerana baginya cinta itu bukan hanya ketika muda bahkan hingga nadi sudah tidak berdenyut seraya membacakan ayat Al-Quran kepada anak dan cucunya yang menasihatinya agar tidak ke medan jihad.[4]
“Berangkatlah kamu, baik dalam keadaan merasa ringan(muda) ataupun merasa berat(tua), dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan ALLAH. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”[At Taubah 9:41]
Akhirnya di dalam perjalanan ke medan jihad dia pun menemui Tuhan yang dicintainya. Bagi mereka cinta agama inilah yang membuatkan mereka terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir untuk bertemu Sang Pencipta yang juga mencintai mereka.
“ ......maka kelak ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang ALLAH mencintai mereka dan mereka pun mencintai-NYA.......”[Al Maidah 5:54]

CINTA ITU MASIH MEKAR

Cinta yang pernah merakam sejarah umat ini masih terus mekar dalam jiwa-jiwa yang mencintai agama-NYA. Ingatkah kalian pada Hasan al-Banna yang telah membina generasi-generasi yang juga penuh dengan rasa cinta kepada perjuangan Islam, tetapi insan ini telah dibunuh dengan konspirasi pembunuhan yang cukup jijik hanya kerana dia berjuang untuk agama tercinta.
Begitu juga dengan Sayid Qutb yang menyambut hukuman gantung yang bakal menamatkan riwayat hidupnya dengan sebuah senyuman yang cukup indah kerana merasakan dia akan mendapatkan kekasih yang sedang merindu [5] dirinya. Syeikh Ahmad Yasin yang sanggup melupakan kelumpuhannya demi cinta suci menyebarkan risalah dakwah, kerana cinta Dr. Abdul Aziz Rantisi ketika ditanya tentang kematian lebih rela dibedil dengan Apache daripada mati kerana sakit jantung dengan kata-katanya ‘I prefer Apache’.
Juga demi cinta Dr Abdullah Azzam sanggup meninggalkan tugasnya sebagai pensyarah lalu pergi ke medan jihad bersama pejuang-pejuang Afghan dan mengusir Soviet Union dari bumi umat Islam bernama Afghanistan. Segala amal-amal mereka demi cinta suci ini akhirnya mengorbankan nyawa mereka sebagai syuhada’ dan sesungguhnya pengorbanan yang mereka sumbangkan adalah untuk mencari keridhaan KEKASIH mereka;
“ Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keridhaan ALLAH dan ALLAH Maha Penyantun kepada hamba-hamba-NYA”[Al Baqarah 2:207]

Andai ada yang bertanya adakah perjuangan ini tiada pejuang-pejuang wanita, ketahuilah setiap pejuang-pejuang lelaki itu lahir ke muka bumi dari perut seorang insan yang bernama wanita. Betapa wanita-wanita ini menjadi ibu kepada insan yang mengorbankan diri untuk agama-NYA.
Generasi wanita ini yang pastinya juga cinta akan agama-NYA telah mewariskan kecintaan tersebut dalam jiwa anak-anak mereka dan inilah sumbangan besar mereka dalam melahirkan anak-anak yang bernama pejuang. Sesungguhnya perjuangan ini memerlukan sumbangan daripada kalangan lelaki dan wanita mengikut posisi masing-masing seperti yang digambarkan dalam kalam ALLAH;
“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.....[ At Taubah 9:71]

Ternyata cinta mampu membuatkan manusia menemui erti kehidupan, mampu memberi sesuatu demi sebuah kehidupan yang lebih abadi. Tetapi untuk membina insan-insan seperti mereka bukan mudah bahkan satu jalan yang panjang dan memenatkan, hanya orang-orang yang yakin bahawa jalan ini adalah milik ALLAH pasti akan membangkitkan kembali seruan dakwah-NYA dalam jiwa para mukmin, cahaya Islam ini akan tetap bersinar walau pelbagai ujian dan dugaan yang bakal ditempuhi.
“Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) ALLAH dengan mulut(ucapan-ucapan) mereka, dan ALLAH tetap menyempurnakan cahaya-NYA meskipun orang-orang kafir benci”[As Saff 61:8]

Semarakkanlah cinta yang sedang tidur dalam diri kalian untuk digunakan demi sebuah percintaan yang lebih luas makna dan nilainya agar nanti ketika ia bangkit bisa digunakan untuk perjuangan agama yang mulia ini;
“Hai orang-orang yang berkemul(berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan.” [Al Muddassir 74: 1,2]

Buanglah ‘selimut cinta’ yang telah lama melekakan kita serta melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan untuk membina kembali generasi baru yang mengenal cinta-NYA, bak sebuah syair yang pernah diungkapkan;
“Telah bekulah daya juang di hati manusia itu,
Mereka leka mencari kekayaan dan kehidupan yang rutin,
kealpaan orang-orang yang baik dan semangat orang-orang yang keliru,
hampir-hampir menggoncangkan daku dari cita-cita dan perjuanganku” [6]

Sekarang kalian yang membaca tulisanku ini lebih berhak untuk memilih cinta yang kalian inginkan sama ada tergolong dalam kelompok yang menginginkan kepuasan dunia dan isinya atau tergolong dalam kelompok yang mencintai dan meridhai ALLAH sebagai RABB, Muhammad sebagai RASUL dan Islam sebagai AD-DEEN.
Selagi ALLAH masih lagi memberi segala nikmat-NYA kepada kita, jalan untuk berubah tidak pernah tertutup dan hanya kepada ALLAH jualah kita mohon jalan petunjuk-NYA untuk meniti jalan kebenaran kerana insan ini hanya mampu menyeru kalian dengan tulisan yang andai tidak mampu menyedarkan insan lain, mudah-mudahan dapat mengingatkan diri ini akan tanggungjawabnya demi untuk mendapatkan cinta yang suci dari Ilahi yang kelak ingin kubawa bersama menuju keridhaan-NYA. AMIIN......

“ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata, “ Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”[ Fusshilat 41:33









RUJUKAN:
[1] Hadith diambil dari buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, dalam Bab 3, Saya
Mestilah Muslim dari Sudut Akhlak, Fathi Yakan m/s 45 terbitan Dewan Pustaka
Fajar (DPF) tanpa dinyatakan riwayat dan darjat hadith.
[2] Buku Cinta dan Rindu menurut Al-Quran dan As Sunnah, dalam Bab V, Motif
Dan Pendorong Cinta, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah m/s 51 terbitan Albaz Publishing & Distribution Sdn. Bhd.
[3] Buku Bagaimana Menyentuh Hati, dalam Bab Optimisme yang Penuh Senyum dan Lapang Dada, Abbas As-Siisiy m/s 137 terbitan Era Intermedia.
[4] Buku Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden, dalam Bab 2 Dakwah Profesional dan Persiapannya Kewajipan Melaksanakan Tugas Paling Mulia, Dr. Danial Zainal Abidin, m/s 101,102 terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. dengan sedikit perubahan
[5] Salah satu bait syair Sayid Qutb sebelum menemui syahid dalam buku “ Petunjuk Sepanjang Jalan” terbitan Crescent News(K.L.) Sdn. Bhd. m/s 210.
[6] Buku Munthalaq, dalam Bab 2 Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari,
Muhammad Ahmad Al Rasyid- Amiri, Diwan Ma’a Allah, m.s. 110


Al ‘Abd Al Faqir.
Mohd Halimi Abdul Aziz
Final Year Student 2007
15 Rabiul’awal 1428H
02:28 a.m