Thursday, June 14, 2007

BLACKLIST



Bila terdengar perkataan ‘blacklist’ pasti yang mula timbul di benak fikiran tentang perkara yang buruk, boleh jadi berkaitan tentang salah laku atau jenayah yang dilakukan hingga wajar di ‘blacklist’kan. Tiada siapa pun yang ingin di‘blacklist’ sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara. Lihat sajalah ketika mana Washington mem‘blacklist’kan Malaysia antara negara yang menyeludup manusia, pantas beberapa pemimpin negara mengeluarkan kritikan bahawa dakwaan itu tidak benar dan tidak sah. Persoalannya bukanlah siapa yang benar dan siapa yang salah tetapi yang pastinya kita tidak mahu di‘blacklist’ kerana ia suatu yang memalukan dan boleh jadi menjatuhkan maruah. Apakah ‘indicator’ untuk menggunakan perkataan blacklist pada orang lain dan siapakah yang paling layak untuk mem‘blacklist’ orang lain.

Lalu terdapat dua golongan yang pasti terlibat iaitu yang menuduh dan yang dituduh, dan kebiasaannya kita akan lebih selesa berada di zon golongan yang menuduh kerana yang dituduh biasanya orang yang melakukan kesalahan. Adakah kenyataan ini benar?

Andai manusia menjadi pemutus segala sesuatu pastinya yang kuat akan sentiasa menuduh yang lemah dan yang lemah pastinya akan sentiasa dituduh seperti mana teori Darwin “Survival of the Fittest”. Maka manusia tidak layak untuk menetapkan sesuatu kerana lemahnya fikiran hingga sentiasa ada golongan yang menindas dan ditindas pabila suatu ketetapan dibuat oleh tangan manusia.

Maka Islam datang untuk mengajar manusia siapa dirinya yang sebenar, bagaimana hidup ini harus dimanfaatkan, apakah ketetapan yang harus diikuti dan siapa yang layak untuk di‘blacklist’kan. Kerana Islam adalah AD-Deen yang datang dari RABB yang menciptakan manusia yang pastinya Maha mengetahui apa yang sesuai dan tidak untuk manusia.

Jadi seharusnya ‘blacklist’ tadi juga mengikut acuan dan aturan yang Islam gariskan. Sama ada orang awam mahupun ahli agama harus mengikut jalan ini. Ingatkah kalian ketika tersebarnya berita mem‘blacklist’kan F&N, Gardenia, sosej, kes Azhar Mansor,kes Lina Joy dengan pelbagai tuduhan lewat SMS, maka tanpa pertimbangan agama kita sentiasa berada dikalangan orang yang menuduh walhal Islam telah menetapkan kaedah untuk memeriksa berita dan bersikap adil terhadap kawan mahupun lawan. Saksikanlah sendiri [ Al-Hujurat 49:6, Al-Maidah 5:8]

Dalam dunia tanpa sempadan saat ini, pelbagai teknologi dapat dimanfaatkan sama ada unutk kepentingan duniawi mahupun untuk menyebarkan risalah agama, cuma sayang andai segala teknologi tersebut lebih banyak digunakan untuk berbalah dan mempertahankan pendapat masing-masing. Persoalan antara salaf dan khalaf, sunnah dan bid’ah, taqlid dan talfiq mazhab, jemaah dan ummah centric, kaedah dan manhaj perjuangan bahkan pelbagai isu yang kontroversi memenuhi segenap laman web, blog, dan forum. Jika perbincangan demi mencari sebuah kebenaran maka ia adalah suatu yang cukup baik namun jika hanya ingin menjadi pemenang maka emosi mula menguasai diri lalu bertambahlah ‘blacklist’ masing-masing tanpa ada sudahnya. Nabi yang mulia telah mengingatkan kita

“….kesombongan itu menolak kebenaran dan menghina orang lain”
[H.R. Muslim]

Akhirnya sebahagian umat yang kurang kefahaman agamanya, lemah imannya, sakit jiwanya mengambil keputusan keluar dari agama ini. Saat itu kita pun mula serba tidak keruan pabila golongan ini bukan sahaja membiarkan dirinya berada dalam ‘blacklist’ orang murtad bahkan ingin menghilangkan segala identiti Islam sama ada dalam bentuk amalan mahupun tulisan melalui tindakan undang-undang. Lantas barulah kita mula merapatkan barisan mempertahankan sebahagian akta berkaitan Islam dan keputusannya kita menang tipis dengan agregat 2-1. Lalu bersorak gembiralah kerana telah berjaya memenangi sebuah perlawanan walau insan yang berbangsa Melayu itu tetap saja sudah tidak inginkan Islam dalam kehidupannnya. Jangan kita menjadi seperti kisah dahulu kala “menang sorak aqidah tergadai”(maaf andai tersalah).

Sama-samalah kita muhasabah daripada ujian ini, adakah kita ingin Islam ini pada nama dan gelaran semata-mata, sedangkan pegangan, pemikiran dan sikap berkiblatkan selain daripada Islam. Pastinya TIDAK!!!

Jika begitu, bangkitkan jiwa umat ini dengan Islam yang INDAH, MUDAH dan SA’ADAH, maka betapa seharusnya kita memahami apa yang seharusnya kita utamakan untuk menyedarkan umat, kenapa dan mengapa umat ini jauh dari agamanya, salah kita atau mereka. Renungilah baik-baik sahabatku, kerana kita bimbang jika diri ini menyangka dirinya telah melakukan kebaikan namun ia hanya menambahkan kerosakan kepada umat ini atas kejahilan diri sendiri.

Kita berdoa agar ALLAH tidak meletakkan kita dalam senarai ‘blacklist’-NYA, kerana senarai itu sudah pastinya sesuatu yang tidak boleh disangkal persis golongan yang mengakui dengan lidahnya bahawa mereka orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian namun ALLAH meletakkan mereka dalam ‘blacklist’-NYA sebagai orang munafik [Al-Baqarah 2:8]

Apatah lagi lebih menakutkan andai kita berada dalam ‘blacklist’ ILAHI sebagai orang yang murtad dari agamanya. Nau’zubiLLAH kerana yang merana dan sengsara adalah diri kita sendiri. Perhatikan ayat ini,

“……Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal didalamnya.”[Al-Baqarah 2:217]

Iringi doa-doa solat kita dengan sebuah doa yang dapat mengekalkan kita dalam petunjuk-NYA. INSYA’ALLAH



“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi(kurnia)”[Ali ‘Imran 3:8]

Nama kalian tidak akan di‘blacklist’ setelah membaca tulisan ini, andai di‘blacklist’, yang ‘black’ itu hanya ‘list’nya bukan kalian, kerana kalian tetap ‘white’(putih) dengan cahaya kemuliaan, keagungan dan ketinggian ISLAM selagi mana kalian mengatakan dan membuktikan bahawa SAYA ADALAH MUSLIM…..

Al ‘Abd Al Faqir,
Mohd Halimi Abdul Aziz
29 Jamadil ‘Awal 1428H 02:10a.m