“Mencari yang halal itu fardhu bagi orang Islam”
Antara beberapa petikan lafaz yang biasa kedengaran di media-media massa ketika ingin mempromosikan salah satu produk ubat gigi, kata-kata yang cukup simple namun begitu menusuk hati orang-orang yang masih mempunyai kesedaran agama dalam dirinya dan kebanyakan masyarakat mula berhati-hati dalam memilih produk yang ingin dibeli, setiap yang dibeli harus ada signature “HALAL”. Maka ketika umat Islam mula beralih untuk mencari yang halal, gelabahlah pengusaha-pengusaha perniagaan yang tidak melabelkan “HALAL” pada produk mereka. Lalu kita melihat sebahagian daripada mereka begitu bersungguh-sungguh ingin mendapatkan cop “Halal” walau dari negara lain dan meminta pihak bertanggungjawab mengesahkannya ditambah lagi dengan pelbagai iklan melalui pelbagai saluran media untuk menghebahkan ke “halal”an produk mereka. Kesannya memang cukup besar…..
Begitu juga tika melihat umat Islam mula mencari cop “ISLAMIC” dalam setiap urusan kewangan mereka sama ada yang melibatkan pinjaman, pembelian kereta, pembiayaan rumah, insuran dan sebagainya, lantas berebut-rebut pihak perbankkan berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkan Penasihat Syariah masing-masing agar dapat meng“Islamic”kan segala tranksaksi yang telah disebutkan diatas, hingga lahirlah bagai cendawan tumbuh selepas hujan pada setiap bank-bank tersebut mesti ada cawangannya yang “ISLAMIC”. Satu perubahan yang cukup ketara……
Kemudian ketika menyentuh hal makan-minum, lagilah umat kita begitu sensitif bila disebut soal halal atau tidak. Pantang datuk-nenek andai makan sesuatu yang tidak halal terutama bila babi menjadi isunya, usahkan makan menyentuhnya saja bagai nak gugur jantung melihatnya hingga pelbagai kritikan diberikan walau tanpa hujah dan dalil yang jelas. Sebab itu kita dapat melihat pihak bertanggungjawab berusaha sedaya mungkin memastikan setiap makanan harus dipastikan ke“halal”annya terlebih dahulu sebelum dipasarkan, apatah lagi ketika saat ingin menjadikan negara tercinta ini nanti sebagai hab-halal di peringkat antarabangsa. Hatta orang bukan Islam saja merasakan peluang ini tidak harus dilepaskan hingga majoriti pengusaha makanan halal adalah dikalangan mereka. Wah boleh untung besar ma….
AlhamduliLLAH ini tandanya umat Islam di Negara ini masih mempunyai kesedaran agama yang baik walau masih banyak yang perlu diperbaiki namun sebagai permulaan ke arah perubahan ia suatu fenomena yang bagus, menunjukkan kita masih belum terlewat untuk mengubahnya dan juga tanda kita mempunyai kekuatan yang cukup besar untuk mengubahnya andai masyarakat benar-benar inginkan perubahan.
Walaupun begitu ada beberapa bidang atau aspek yang masyarakat masih kurang mencari cop “HALAL” nya, lihat sejenak dari segi seni dan hiburan yang masih menjadi kegilaan umat Islam untuk menjadi penghibur atau penyanyi tersohor yang hanya ibarat fantasia di alam mimpi.
Namun begitu kita juga belum mempunyai alternatif terbaik yang menawarkan seni hiburan yang terjaga ke“halal”annya hingga mampu menarik umat ini untuk mengubahnya, hanya seketika kita melihat sekumpulan penyanyi nasyid yang menggegarkan negara dengan kutipan jualan melebihi ratusan ribu unit yang belum mampu diatasi saat ini oleh penyanyi lain. Sayangnya ia belum berjaya meneruskan kesinambungan hingga akhirnya tetap tenggelam dek hiburan hedonisme para pencinta hiburan moden.
Bahkan mereka cukup rancak merancang pelbagai program yang cukup gah dan “enjoy forever” di serata pelusuk negeri. Sedangkan hiburan yang sedikit “Islamic” hanya terselit di celah-celah kesesakan hiburan moden. Nampaknya aspek ini masih kurang kesedaran untuk mencari yang “HALAL” jauh sekali dikalangan bukan Islam.Emm…
Satu lagi bila melihat aspek perhubungan antara lelaki dan wanita, masih banyak yang belum mahu mencari cop “HALAL” masing-masing, hingga pelbagai kisah dapat kita saksikan dan dengar dimana-mana tentang masalah sosial dikalangan lelaki dan wanita. Silakan membaca luahan-luahan segelintir masyarakat kepada ustaz-ustaz ataupun para motivator yang pastinya cukup lali diadukan permasalahan kronik antara lelaki dan wanita yang bukan sahaja menimpa kalangan awam bahkan di kalangan mereka yang mempunyai fikrah Islam saja bisa terjadi, hanya diri yang terlibat saja dapat menjawab benar atau tidak bahawa ia memang berlaku.
Mereka masih belum bersungguh-sungguh mencari ke“halal”an perhubungan mereka walau pelbagai peristiwa yang merosakkan jiwa dan tubuh mereka telah dirobek-robek akibat keenganan mereka mendapatkan pengesahan “HALAL” hanya dengan sepotong kalimah yang cukup pendek yang namanya “AKAD”, menjadi perjanjian yang kukuh antara dua insan yang pastinya mempunyai fitrah dan keinginan masing-masing. Ketika kalimah itu telah terlafaz maka hilanglah segala yang diharamkan kemudian kalian telah memperoleh lesen “HALAL” untuk digunakan sebaik-baiknya selagi belum diucapkan “expired date”nya. Ya ia masih belum disedari masyarakat sepenuhnya untuk mencari “halal” dalam perhubungan akibat pelbagai tekanan dan kekangan. Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah mahupun yang bakal mendapatkan cop “HALAL” kalian dengan sebuah “PERNIKAHAN”. Moga bakal menjadi pemimpin generasi bertakwa yang bakal merasai syiar Islam di bumi tercinta ini. Lalu mudah-mudahan bagi mereka yang belum termasuk diri ini berdoalah dan berusahalah agar kita bakal merubahnya hingga masyarakat akan melihatnya sebagai satu tuntutan yang harus dilaksanakan sebaik mungkin.
Sekadar menyebut beberapa aspek kehidupan agar dapat menjadi renungan bersama, realitinya masih banyak yang belum kita cari cop “HALAL” dalam hidup ini, berusahalah untuk mendapatkan yang halal kerana ia adalah suatu kewajipan sebagai seorang MUSLIM, tanda kalian adalah orang yang menjaga agama dan dirimu. INSYA ALLAH
“Dari Abu Abdillah An-Numan bin Basyir ra. berkata: Aku mendengar RasululLLAH saw. bersabda, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, antara keduanya terdapat yang samar yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. Barangsiapa menjaga diri dari hal-hal yang samar itu, maka ia telah menjaga agama dan harga dirinya, dan barangsiapa yang jatuh dalam perkara yang samar, maka ia telah jatuh dalam wilayah haram, seperti seorang pengembala yang menggembala di sekitar daerah terlarang, sedikit sahaja ia akan masuk kedalamnya. Ketahuilah setiap Raja mempunyai daerah larangan. Ketahuilah sesungguhnya daerah larangan ALLAH adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad terdapat segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rosak maka rosaklah pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.” [HR Bukhari dan Muslim]
Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
20 Syawal 1428H, 01:20a.m