Wednesday, November 24, 2010

Makanan dan Kesihatan




Setiap hari pasti kita akan menjamah makanan, cuma banyak atau sedikit dan apa yang dimakan sahaja yang membezakan kita. Kita perlu makanan untuk meneruskan kehidupan bukan hidup untuk makan semata-mata. Makanan juga boleh memberikan tenaga pada tubuh badan dan juga lemak pada tubuh badan. Sekiranya kita menjaga pemakanan kita mengikut zat-zat yang diperlukan tubuh maka pastilah kesihatan kita terjaga, tetapi sebaliknya berlaku jika pemakanan kita tidak dijaga dengan baik ia boleh membunuh. Demikian itulah makanan yang kita makan cukup penting dalam kehidupan bahkan sahaja Quran juga mengungkapkan perihal makanan sejak dahulu lagi. Mari kita lihat sejenak:

Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu "manna" dan "salwa" .Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu; dan tidaklah mereka menganiaya Kami; akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri[Al-Baqarah 2:57]

Bagaimana Bani Israel dianugerahkan ALLAH akan “manna” dan “ salwa”, makanan dari langit yang cukup istimewa, ALLAH juga menyuruh kita agar makan dari makanan yang baik-baik. Maka menjaga pemakanan yang baik juga salah satu suruhan agama agar tidak menjadi seperti Bani Israel yang demikian telah mendapat makanan yang baik dari ALLAH, tetap sahaja meminta makanan yang rendah mutu dan kualitinya seperti mana yang Quran rakamkan:

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: "Hai Musa, kami tidak bisa sabar (tahan) dengan satu macam makanan saja. Sebab itu mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu, agar Dia mengeluarkan bagi kami dari apa yang ditumbuhkan bumi, yaitu sayur-mayurnya, ketimunnya, bawang putihnya, kacang adasnya, dan bawang merahnya." Musa berkata: "Maukah kamu mengambil yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik ? Pergilah kamu ke suatu kota, pasti kamu memperoleh apa yang kamu minta." Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah….[Al-Baqarah 2:61]

Begitulah sifat kaum yang tidak pernah puas dengan makanan yang ALLAH berikan, akhirnya makanan yang rendah mutu dan kualiti yang diminta mereka menjadikan mereka juga ditimpa kehinaan dan kemurkaan dari ALLAH.

Maka makanan yang baik menjamin kesihatan yang baik, memilih makanan yang terbaik untuk tubuh badan juga adalah penting dan agama menyarankannya. Lalu janganlah kita mengambil mudah akan apa yang kita makan bak kata pepatah: You are what you eat!!

Demikian pula menjaga kesihatan juga penting dalam kehidupan, bagaimana Hasan Al-Banna mengarahkan para pengikutnya agar sentiasa memeriksa kesihatan dalam selang waktu yang sesuai agar sentiasa dalam keadaan sihat dalam mengemban tugas dakwah. Juga menjadi peringatan kita bersama untuk memeriksa kesihatan tubuh badan kita, apatah lagi seandainya jadual pemakanan dan apa yang kita makan kurang di jaga dengan baik.

Berikut saya kongsikan beberapa fakta-fakta kesihatan untuk manfaat kita bersama. Pertama Indek Jisim Tubuh kita haruslah pada nilai yang sesuai iaitu tidak melebihi 23.0 kerana nilai tersebut menandakan anda pada tahap pra-kegemukan. Silalah mencari bagaimana mengira Indek jisim tubuh anda ataupun biasa dikenali dengan Body Mass Index. Moga anda tidak terlalu kurus dan berada pada tahap normal dalam lingkungan 18.5 hingga 22.9.

Kedua adalah memeriksa tekanan darah anda supaya kekal pada tahap normal iaitu di bawah 130 untuk sistolik dan di bawah 85 untuk diastolic, sekiranya melebihi nilaian di atas maka anda berada pasa tahap pra-hipertensi dan boleh mencecah hipertensi tahap 3 seandainya mencapai nilai melebihi 210/120. Moga segala tekanan dan ujian yang anda hadapi tidak meningkatkan tahap tekanan darah anda. Tenangkan dirimu dengan zikrullah.

Ketiga adalah ujian urinalisis atau ujian air kencing, di mana sampel air kencing anda akan di uji sama ada mengandungi glukos, protein mahupun darah. Sekiranya dalam air kencing anda terdapat ketiga-tiga bahan tadi kemungkinan besar anda mempunyai penyakit diabetes, masalah buah pinggang atau jangkitan salur kencing. Maka periksalah segera sebelum terlewat.

Keempat adalah ujian glukos dalam darah secara rambang bergantung kepada pengambilan makanan terakhir anda, seandainya kandungan glukos dalam darah anda di bawah 5.6 maka kemungkinan diabetes adalah rendah, jika melebihi nilai tersebut maka berjumpa doktor untuk ujian selanjutnya adalah yang terbaik.

Keenam adalah kandungan kolestrol dalam darah juga bergantung kepada pengambilan makanan terakhir anda. Kadar kolestrol yang memuaskan adalah di bawah 5.17 dan melebihi nilai tersebut menunjukan anda berisiko tinggi sebagai pesakit diabetes.

Itulah serba ringkas ujian kesihatan yang boleh anda lakukan untuk menilai kadar kesihatan anda, juga sebagai nasihat untuk diri dan teman, rajin-rajinlah untuk bersenam, minima 3 kali seminggu selama 30 minit sekali senaman atau lebih. Juga pentingnya kita menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian agar mendapat berat badan unggul dan sejahtera bahagia hendaknya. Ameen

AUTOCLAVE





Sebelum sesuatu ujikaji dilaksanakan, ada beberapa tahapan yang perlu dilalui oleh mereka yang ingin mendapat hasil ujikaji yang baik. Minima terdapat 3 tahapan iaitu membaca keseluruhan langkah-langkah ataupun panduan untuk melaksanakan sesuatu ujikaji. Kedua memastikan kesemua kelengkapan untuk membuat ujikaji tersebut dalam keaadaan bersih dan suci dan ketiga melaksanakan ujikaji mengikut panduan yang di baca.

Saya ingin memperkenalkan sebuah mesin yang digunakan untuk memastikan langkah yang kedua tadi dapat dilaksanakan iaitu membersihkan segala kelengkapan untuk membuat ujikaji daripada sebarang kekotoran dalaman dan luaran. Mesin tersebut dinamakan “Autoclave”. Digunakan secara meluas dalam bidang mikrobiologi, perubatan, sains veterinar, mikologi dan sewaktu dengannya. Demikian pula antara perkakas yang selalu menggunakan mesin ini adalah radas-radas makmal, alat-alat pembedahan, juga barang-barang untuk kegunaan pesakit.

Autoclave berfungsi untuk menghapuskan segala kemungkinan terdapatnya ‘makhluk-makhluk halus’(baca: bakteria) yang mengotorkan barang-barang yang ingin digunakan semasa ujikaji mahupun barang-barang yang dinyatakan tadi. “Makhluk halus” tersebut dapat dihilangkan ketika mana segala barang-barang tersebut dimasukan ke dalam ‘autoclave’ dan memerlukan tekanan yang tinggi pada suhu 121oC selama 15 ke 20 min. Maka setelah itu barulah barang-barang tersebut dapat digunakan dan terjamin kebersihannya. Sedikit sebanyak begitulah kebiasaannya yang wajib dilakukan bagi mereka sebelum sesuatu ujikaji dilaksanakan terutamanya bagi mereka di dalam bidang-bidang yang telah dinyatakan.

Mari kita tinjau sedikit sebanyak bahawa kaedah yang dilaksanakan di atas sebenarnya juga bukan hanya perlu untuk barang-barang ujikaji bahkan manusia juga memerlukan kaedah tersebut. Bahkan Islam sahaja sudah mempelopori kaedah tersebut lama dahulu dari segi prinsipnya iaitu pembacaan, penyucian dan pengajaran.

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata[Al-Jumuah:62:2]

Lihatlah dalam ayat di atas ternyata terdapat 3 kaedah yang seakan sama dengan kaedah yang digunakan oleh para saintis di atas. Kaedah pertama menyuruh kita membaca ayat-ayat-Nya, begitu juga saintis perlu membaca buku panduannya untuk melaksanakan ujikaji, dan kita menyedari bahawa Al-Quran adalah buku panduan yang Maha lengkap dari-Nya serta lebih perlu bagi kita untuk membacanya.

Kedua adalah menyucikan mereka yang membaca ayat-ayat-Nya, lalu bukankah para saintis tadi perlu membersihkan barang-barang yang bakal digunakan dengan mesin ‘autoclave’. Ketiga barulah mengajarkan mereka Kitab dan As-sunnah, sepertimana sang saintis setelah membaca buku panduan, membersihkan alat-alat kemudian barulah ujikaji tersebut dapat dilaksanakan.

Mari kita tumpukan pada aspek yang kedua iaitu mensucikan di mana mesin ‘autoclave’ tadi memerlukan tekanan dan suhu yang tinggi untuk membersihkan alat-alat yang bakal digunakan. Jika kita melihat bagaimana Rasul SAW mentarbiyah sahabatnya dengan kaedah penyucian yang cukup hebat walau tekanan demi tekanan yang mereka terima. Ternyata tekanan dan ujian yang maha hebat tersebut semakin menyakinkan mereka bahkan menyucikan jiwa-jiwa mereka dari sebarang “makhluk halus”(baca: syaitan) yang cuba mengotorkan jiwa-jiwa mereka.

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [Al-Ankabut:29:2,3]

Begitulah tekanan dan ujian yang menimpa demi membezakan kita berada di pihak mana, seandaikan kaedah penyucian kita berhasil, maka pastilah kita akan tetap bertahan daripada sebarang gangguan ‘makhluk halus’ yang seringkali cuba menyesatkan kita.
Mudah-mudah kita dapat membersihkan jiwa-jiwa kita walau di uji dengan pelbagai ujian dan tekanan sebagai tanda kasih dari Tuhan.

Maka jangan lupa ‘autoclave’ jiwamu.

Thursday, November 4, 2010

MERENDAHLAH SEPERTI BINTANG




“Merendahlah seperti bintang yang kelihatan di atas riak-riak air sedangkan dirinya nun jauh tinggi di atas, jangan seperti asap yang menjulang dirinya tinggi di atas sedang dirinya rendah dan hina..”

Indah sekali kiasan yang terdapat dalam filem Sang Murobbi, dalam maknanya dan tinggi nilai pengajaran yang boleh kita ambil darinya. Secara kebiasaannya kita melihat seseorang melalui zahirnya sahaja sedangkan hakikat sebenar hanya yang empunya diri yang lebih mengetahuinya.

Dulu-dulu biasa kita dengar slogan “Kepimpinan Melalui Teladan” dan banyak lagi slogan seumpamanya dan begitulah kita kaya dengan pelbagai slogan-slogan yang indah-indah tapi kosong isinya. Lihat sahaja suri teladan terbaik buat kita Muhammad RasuluLLAH menunjukan peribadi yang terbaik dalam segala peranan, sebagai Nabi dan Rasul, sebagai pemimpin negara, pemimpin tentera, sebagai sahabat, sebagai ayah, sebagai datuk, dan sebagainya. Nabi tidak pernah menyibukan diri memikirkan slogan apa yang perlu dilontarkan kepada umatnya untuk memperlihatkan dirinya adalah orang yang terpilih, tetapi bahkan Nabi menunjukan contoh yang terbaik sebelum menjadi Nabi apatah lagi setelah menjadi Nabi. Begitulah ramai yang terharu dengan sikap dan akhlak yang Nabi paparkan menjadi asbab dakwahnya diterima dan ternyata nilaian perbuatan itu lebih bernilai berbanding apa yang diucapkan.

Sepertimana bintang-bintang yang bisa dilihat hanya di atas riak-riak air, memunculkan dirinya tanpa perlu mendongak ke atas langit, walhal hakikatnya memang bintang itu kedudukannya di atas, sekadar perumpamaan supaya kita mampu tawadhuk dan rendah diri atas kelemahan dan kekurangan tatkala kita sedang berada di puncak kedudukan, kekayaan dan kesenangan duniawi. Berapa ramai yang diberikan ALLAH sedikit kesenangan dunia mula meninggi diri, menghina yang lain bahkan melupakan teman-teman. Godaan pangkat, harta dan dunia bukan mudah untuk dikawal, hatta para sahabat sahaja pernah mengeluh lantaran tiada ganjaran harta setelah kemenangan tiba. Demikianlah fitrah manusia itu jika tidak dikawal pasti tidak akan pernah puas hinggalah tanah menimbusnya. Mudah-mudahan di saat kita belum dibuka segala kesenangan duniawi kita masih mampu merendahkan diri dengan penuh tawadhuk dan di saat pintu-pintu kesenangan dibuka moga kita juga masih mampu merendahkan diri bak bintang nan tinggi di atas namun senang di lihat ke bawah.

Bagaimana pula bagi mereka yang tiada kedudukan dan kekayaan bahkan kesenangan tetapi masih sahaja meninggi diri laksana asap yang seringkali menjulang dirinya tinggi di atas namun hakikatnya rendah dan hina di bawah. Pastinya ia suatu yang lebih mendukacitakan jika ada yang memiliki sikap seperti ini. Namun masih ada segelintir manusia yang sanggup menghinakan dirinya dengan pelbagai cara yang buruk demi melihat dirinya di sanjung, di puja dan di puji. Dia tidak pernah menghiraukan perasaan orang lain apatah lain batasan agama kerana baginya pujian dan sanjungan itu lebih penting dalam kehidupannya. Cuba lihat bagaimana Abdullah bin Ubai yang seringkali menjadi musuh dalam selimut bagi umat Islam di Madinah, seringkali juga menonjolkan kebaikan-kebaikan yang dilakukannya di hadapan orang-orang yang beriman, bahkan di akhir hayatnya juga meminta pakaian yang di pakai Nabi SAW untuk menjadi kain kafannya. Bukankah itu tampak sebuah kemuliaan yang jarang dimiliki oleh orang lain, dapat memakai pakaian Nabi SAW di akhir hayatnya juga jenazahnya di solatkan oleh Nabi SAW dan kemudian di tegur oleh ALLAH SWT kerana ALLAH SWT lebih mengetahui hakikat sebenar siapakah Abdullah bin Ubai, walau dirinya mengaku Islam namun kebenciaan terhadap Islam juga tinggi. Begitulah rendahnya hakikat peribadi yang dimiliki oleh Abdullah bin Ubai yang senantiasa cuba menjulang dirinya tinggi melangit sehingga terlupa dirinya hanyalah seperti asap yang rendah dan hina.

Marilah kita bermuhasabah tentang diri kita sendiri, adakah mampu menjadi seperti bintang di langit atau semakin menghampiri ciri-ciri asap yang rendah dan hina ketika di bawah mahupun di atas.

Merendahlah dalam tutur bicara kita dan berangkatlah dengan amal yang terbaik di saat-saat senang mahupun di saat-saat sukar kita.

Demikianlah yang Nabi SAW dan sahabatnya contohkan kepada kita hingga Nabi SAW menggelar sahabatnya laksana bintang-bintang yang menjadi petunjuk bagi manusia walau siapa pun yang kita ikuti.

Moga kita mampu mengikut jejak-jejak langkah amal yang telah mereka lakarkan dalam sejarah perjuangan yang panjang ini. Ameen.

Mohd Halimi Abdul Aziz
04 November 2010.

Tuesday, September 7, 2010

SALAM LEBARAN

Wednesday, March 10, 2010

APOPTOSIS: KEMATIAN YANG BAIK




Setelah lama tidak mencoret sesuatu lantaran kesulitan yang menimpa diri, maka izinkan kali ini untuk kuberikan sedikit pendahuluan berkaitan apa yg telah kupelajari.

Pernahlah kalian mendengar kalimah yang tertera di atas iaitu “apoptosis”. Jika pernah pastinya kalian berada dalam bidang bioteknologi dan seumpama dengannya ataupun paling tidak pernah membacanya di mana-mana. Kalimah itu merupakan suatu proses yang sebenarnya selalu terjadi dalam diri kita semua. Ia merupakan suatu proses yang sistematik dalam litar sel-sel badan kita, bahkan senantiasa berjalan seiring keperluan badan kita semua. Mari kita lihat sejenak maksud sebenar kalimah yang dinamakan “apoptosis” ini.

“Apoptosis is the process of programmed cell death (PCD) that may occur in multicellular organisms. Programmed cell death involves a series of biochemical events leading to a characteristic cell morphology and death”{Riwayat Wikipedia}

Demikian begitulah maksudnya secara ringkas berkaitan “apoptosis” yang mana merupakan sebuah proses kematian. Kematian yang bagaimana?? Kematian yang baik..
Kematian yang dinamakan “apoptosis” ini adalah suatu proses yang terjadi demi kebaikan tubuh badan kita. Contohnya cuba lihat tangan kalian, berapakah bilangan jari yang kalian punyai? Manusia normal kebiasaannya akan memiliki 5 jari pada satu tangan. Tahukah kalian proses apa yang menyebabkan kalian mempunyai 5 jari, tidak kurang dan tidak lebih. Tidak lain dan tidak bukan kerana berlakunya kematian yang baik itu.

Di saat kita masih berada dalam kandungan si ibu yang mithali, kematian yang baik itu terjadi untuk memisahkan sel-sel tangan kita yang asalnya saling bercantum antara satu sama lain akhirnya terpisah menjadi jari-jari yang tersusun cantik dan rupawan. Ia tidak terjadi dengan sendiri, namun kerana adanya proses “apoptosis” yang senantiasa bersama kita hatta ke hari ini. Kajian menunjukan bahawa secara purata hampir 50 ke 70 billion sel kita mengalami proses kematian yang baik setiap hari dalam badan orang dewasa demi keberlangsungan sel-sel lain untuk terus hidup. Proses “apoptosis” juga perlu seimbang dalam menyingkirkan sel-sel yang mati, kerana tanpa keseimbangan proses ini boleh menyumbang kepada kesan buruk yang lain pula.

Istilah “apoptosis” hanyalah satu terma untuk menggambarkan proses yang terjadi, yang diberikan oleh saintis bernama John Foxton Ross Kerr dan James Cormack. Kajian mereka membuktikan proses ini cukup penting untuk dikaji demi kemandirian manusia sejagat.

Lalu apa pengajaran yang boleh kita ambil dari kajian yang telah dibuat berkaitan proses “apoptosis’ tersebut?? Adakah ia sekadar satu proses biasa lantaran kita tidak pernah melihat dan merasai proses itu terjadi dalam tubuh badan kita?? Adakah ia sekadar ilmu pengetahuan untuk mereka yang terlibat dalam bidang berkaitan??. Pastinya tidak..

Inilah salah satu tanda kehebatan penciptaan manusia oleh ALLAH untuk kita renungi bersama, demikian saintis barat mengkaji sesuatu proses yang terjadi semata-mata untuk mengetahui APA yang terjadi, namun kita mempelajari untuk mengenali SIAPA yang mengaturnya.

Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang[Surah 82:7]

Lantaran itulah proses ini menunjukan bahawa kematian itu adalah suatu proses yang berkesinambungan dalam kehidupan kita. Saban hari kematian sentiasa memenuhi ruangan berita dalam pelbagai media. Namun persoalannya adakah ia suatu kematian yang baik atau buruk.

Kematian yang baik atau buruk bukanlah ditentukan melalui cara kematian seseorang, tetapi bagaimana persiapan seseorang itu mendepani kematian. Tiadalah yang kita pinta melainkan ALLAH mematikan kita dengan kematian yang baik dan menjauhkan kita dari kematian yang buruk. Sepertimana proses “apoptosis” itu terjadi menjadi kebaikan kepada sel-sel yang lain, begitu juga kita mengharapkan kehidupan kita mampu memberi kebaikan kepada insan lain.

“Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia.”

Moga mendapat manfaat dari sebuah proses yang sedang dipelajari, bukan hanya manfaat untuk secubit ilmu bahkan manfaat untuk sebuah pengajaran dalam kehidupan.

p/s : Necrosis: Kematian yang buruk

Thursday, February 11, 2010

INSHA ALLAH

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can`t see which way to go
Don`t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side

Insha Allah
Insha Allah

Insha Allah,
you`ll find your way
Insha Allah
Insha Allah

Insha Allah,
you`ll find your way

Everytime you can make one more mistake

You feel you can`t repent
And that its way too late
You`re so confused,wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame
Don`t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side

Insha Allah
Insha Allah

Insha Allah, you`ll find your way
Insha Allah
Insha Allah

Insha Allah, you`ll find your way

Turn to Allah
He`s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO
Ya Allah
Guide my steps don`t let me go astray
You`re the only one that showed me the way,
Showed me the way
Showed me the way

Showed me the way
Insha Allah
Insha Allah

Insha Allah we`ll find the way

Maher zain

Thank you very much...really appreciate this song


Wednesday, January 20, 2010

MUSIBAH ITU INDAH




Bilamana disebut musibah, pelbagai kejadian dan peristiwa mula membayangi pemikiran mahupun ingatan kita. Kebanyakan musibah biasanya berakhir dengan perkara yang kurang kita senangi ataupun paling tidak menyebabkan kita terasa sedih pabila musibah itu terjadi mahupun pabila musibah itu diingat-ingat kembali.

Kadangkala sukar untuk kita menerima hakikat musibah yang menimpa, pertimbangan akal kita akan menghitung segenap kerugian ataupun kesedihan akibat musibah yang menimpa. Belum dikira lagi kesan jangka pendek dan jangka panjang bahana musibah yang mendatang tanpa diundang mahupun dibau.

Fitrah manusia akan merasa sedih dan kecewa bilamana musibah hadir secara tiba-tiba, tiada siapa yang menjemput, tiada siapa yang mencongak, tiada siapa yang mengetahuinya. Namun ALLAH Maha Tahu, makanya Dia mengajarkan kita bagaimana cara mendepani musibah yang menjengah sisi kehidupan kita.

Nabi kita juga mengajarkan perkara yang sama tatkala musibah hadir, dengan kata-kata yang memberikan harapan dan motivasi untuk mendepani setiap musibah.

”Sungguh mengherankan perkara orang mukmin itu, sesungguhnya seluruh perkaranya adalah baik baginya. Dan hal itu tidak dimiliki oleh siapapun kecuali orang mukmin. Jika dia diberi sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka ia menjadi baik baginya. Dan apabila ia ditimpa suatu madharat, ia bersikap sabar, maka itu menjadi baik baginya.”(HR.Muslim)

Seorang muslim tidak ditimpa oleh rasa letih, penyakit, gelisah, sedih, gangguan ataupun kegundahan, hingga duri tertancap padanya melainkan Allah menebus dengannya sebagian dari kesalahan-kesalahannya." (HR.Bukhary & Muslim).

Begitulah sikap yang diajarkan Nabi kepada kita, musibah pasti hadir cuma bagaimana rupa dan cara musibah itu hanya ALLAH yang tahu, sikap kita adalah bersabar dan ridho dengan apa yang menimpa, bukan sesuatu yang mudah namun tidak mustahil untuk dipraktikkan.

Setiap yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya, sama ada kita tahu atau tidak bukan persoalannya, kerana yang penting bagaimana sikap kita tatkala musibah itu datang kepada kita.

Jika kita menelusuri sirah perjuangan para Nabi dan sahabatnya, tentu kita membaca pelbagai musibah yang menimpa liku-liku perjuangan mereka, lalu kerana apa mereka terpaksa menempuh setiap musibah tersebut. Bukankah mereka manusia pilihan ALLAH dan juga para sahabat yang kental imannya, namun ternyata tidak terlepas dari sebarang musibah. Bacalah bagaimana sikap mereka atas segala musibah yang menimpa dalam kehidupan mereka. Lantaran kesabaran mereka menempuh setiap musibah dengan sabar menyebabkan agama ini dapat kita kenal hingga ke hari ini.

Justeru itu dalam kelalaian dan kecuaian kita dalam memahami agama ini, andai kata diberi musibah dari ALLAH, boleh jadi itu untuk kebaikan kita bersama. La Tahzan
Masih terngiang-ngiang dalam benakku akan kata-kata dua orang non-Muslim kepadaku, lantaran musibah yang menimpa baru-baru ini.

“Tuhan” sayang kamu dan Kamu kena terima kasih sama “Tuhan”

Musibah itu indah bila hati yang menerimanya pasrah kerana dia adalah hamba kepada Dia Sang Pencipta(credit to someone who loves poem…)

“….Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”(2:216)


Mohd Halimi Abdul Aziz
5 Safar 1431H

Thursday, January 14, 2010

MENCARI KATA YANG BAIK ATAU DIAM ITU YANG BAIK


Banyak perkara yang terjadi saban hari, pelbagai isu yang timbul setiap hari, pelbagai urusan yang hadir sekian hari, hingga tidak pasti yang mana satu ingin dicoret dahulu atau semakin hilang keinginan mencoretkan sesuatu.

Bila ditanya tentang sesuatu perkara pasti setiap diri mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing, ada yang makin membuatkan orang lain semakin paham, tidak kurang juga yang membuatkan orang lain semakin keliru. Sukar memilih siapa yang lebih patut didengari atau dipakai pendapatnya, kerana terkadang yang dipilih adalah di kalangan orang yang kita kenal atau terkenal dalam memberikan pendapat.

Dalam dunia serba maju dan canggih ini yang dikenali dengan dunia tanpa sempadan, pelbagai isu dan peristiwa boleh diketahui untuk dijadikan bahan untuk diceritakan dalam pelbagai bentuk dan cara. Inilah yang membuatkan kita bebas mencari isu dan memberikan pendapat, namun yang dikesalkan apabila setiap isu dan peristiwa itu diulas dengan cara yang berbentuk hentaman, cemuhan, kejian dan sewaktu dengannya.

Seringkali emosi menjadikan kita menyampaikan sesuatu perkara dengan cara yang nampak memaksa dan terburu-buru hingga hilanglah keindahan dalam berbicara dan menyampaikan pendapat sekalipun intipati pendapat yang diberi cukup bermanfaat.

Manusia itu kebanyakannya tidak suka dipaksa, apatah lagi untuk memaksa orang lain menerima pendapat individu tertentu dalam sesuatu isu dan peristiwa. Terkadang perbezaan dalam menyampaikan pendapat dalam isu yang sama boleh menimbulkan pertelingkahan yang berpanjangan. Sukarnya untuk berlapang dada dan meraikan hujah dan pandangan orang lain terkadang menyebabkan kita sering mengabaikan aspek pemilihan kata-kata yang baik terhadap orang yang berbeza pendapat dengan kita.

Kenapa sering terjadi begitu, walhal masing-masing ada hujah yang pastinya inginkan kebaikan atas setiap pendapat yang diberi, tetapi kerana berbeza sisi pandangan dari segi manfaat dan mudarat sesuatu isu dan peristiwa menyebabkan kita sering berbeza intipati isi dan kaedah dalam memberikan pendapat.

Salahkah mempunyai banyak pendapat dalam isu yang sama, mungkin tidak, kerana sukarnya kita untuk seia dan sekata akibat berbeza latar pendidikan, pemikiran, tempat dan sebagainya. Namun yang dikesalnya pemilihan kata-kata tatkala kita berbeza pendapat itu yang terkadang menyulitkan kita untuk melihat keseragaman dalam memilih pendapat. Berapa ramai yang menyampaikan pendapatnya diiringi kata-kata sindiran, cemuhan bahkan cacian kepada pendapat yang berbeza dengannya.

Teringat sebuah buku yang ditulis oleh Dr Yusuf Al Qaradawi dalam Fiqh Ikhtilaf yang lebih kurang maksudnya beliau tidak takut jika umat Islam diserang dari pelbagai sudut oleh musuh-musuh Islam kerana itu adalah sunnatuLLAH yang memang akan terjadi kepada umat Islam, namun yang lebih beliau risaukan tatkala umat Islam sesama mereka saling bercakaran lantaran perbezaan yang timbul di kalangan mereka. Antara kata-kata hikmah yang beliau pegang adalah “Kita berlapang dada dengan perkara yang kita perselisihkan, kita sepakat dalam perkara yang kita setuju”

Adakah perlu kita bermasam muka dan bertegang leher sesama saudara Islam yang mempunyai pendapat yang berbeza dengan kita. Di zaman yang serba canggih ini adakah sukar untuk saling bertemu untuk mengharmonikan pendapat yang berbeza itu. Sepatutnya apabila teknologi makin hebat, komunikasi sesama kita makin senang untuk diuruskan, namun sebaliknya pula yang terjadi. Semakin susah dan sulit pula untuk berlapang dada, kehebatan sistem teknologi menjadi medan untuk saling memenangkan hujah masing-masing, ditambah lagi dengan hentaman, tuduhan, cemuhan dan sebagainya.

Tatkala musuh Islam nampak bersatu, umat Islam pula yang kian terkial-kial hendak mencari solusi untuk bersatu. Boleh jadi musuh mengambil pepatah “Shooting two birds with one stone”. Kalian tentu tahu apa maksudnya, moga kita tidak makin keliru dan saling bermusuhan lantaran kelicikan musuh terhadap umat Islam.

Maka pesanan buat diriku dan kalian, andai ingin menyampaikan pendapat, silakan tetapi dengan hujah yang baik dan pilihlah kata-kata yang baik dalam menyampaikannya, andai tidak mampu maka boleh jadi diam itu yang lebih baik.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia itu memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu memuliakan tetamunya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Andai tidak mampu bercakap kata-kata yang baik, juga tidak mampu untuk diam boleh jadi ucapan ini lebih sesuai untuk kita.

Wallahu’alam

Mohon maaf jika tersalah dan tersilap dalam menyampaikan kata-kata, teringat kata-kata Imam Malik r.a

“Setiap pendapat boleh diterima dan ditolak, kecuali ucapan RasuluLLAH s.a.w.”





Mohd Halimi Abdul Aziz
29 Muharam 1431H