Thursday, June 7, 2007

RESEARCH ASSISTANT (R.A)



Research assistant (R.A) ataupun dalam Bahasa Malaysia (dulu Melayu) ialah pembantu penyelidik adalah tugas yang kupikul setelah menamatkan pengajianku. Tanpa kusedari sudah lebih sebulan menjadi R.A, namun ada persoalan mula terbayang ketika mendapat tawaran sebagai R.A. Kenapa ingin menjadi R.A.? Adakah hanya kerana memikirkan peluang kerja cukup sukar untuk didapati saat ini, tambah pula ketika sahabat-sahabat lain masih belum tahu kemana hala tuju selepas tamat pengajian, diri ini telah pun memulakan tugasnya sebagai R.A. Adakah kerana ingin mendapatkan gaji setiap bulan untuk menampung kehidupan sehari-hari atau mengumpul duit untuk mendapat pasangan hidup semata-mata. Adakah kerana ingin membangga diri kepada sahabat-sahabat yang belum menerima apa-apa tawaran pekerjaan. Apakah tujuan dan matlamat menjadi R.A.

Tujuan dan matlamat harus diketahui terlebih dahulu sebelum kita memulakan sesuatu perkara, agar setiap yang dilakukan tidak tersasar dari tujuan dan matlamat yang kita tetapkan. Lantaran itu ingatkan diri ini dan diri kalian agar sentiasa menetapkan tujuan dan matlamat yang tepat dan jelas dalam setiap tindakan kita. ALLAH menetapkan tujuan penciptaan kita untuk mengabdikan diri kepada-NYA sebelum kita diciptakan.[Az Zariyat, 51:56]

Menjadi R.A bukanlah cita-citaku, bahkan tidak pernah terlintas untuk menjadi R.A ketika zaman kanak-kanak dulu, namun kenyataannya inilah pekerjaanku sekarang.
Mulanya diri ini tidak pasti adakah aku sesuai untuk menjadi R.A, bahkan ingin menyambung pengajianku ke peringkat Master selepas ini, tetapi ketika ALLAH menetapkan kita di suatu posisi, maka sewajarnya kita melakukan sebaik mungkin setiap pekerjaan yang kita lakukan agar ia bakal menjadi amal yang terbaik di akhirat kelak.
Maka tujuan dan matlamat harus ditetapkan terlebih dahulu.

Mudah-mudahan ini adalah jalan yang kupilih dengan penuh kerelaaan dan bukan kerana terpaksa, demi menjadi seorang Muslim Profesional, mungkin inilah salah satu jalannya agar matlamat untuk mencari ridha-NYA juga bisa tercapai.

Wahai generasi pewaris kebenaran tetapkanlah prinsipmu walau di medan mana kamu berada, kerana ketika kita memilih jalan perjuangan, ia harus dilalui dengan keinginan dalaman kita dan bukan keinginan luaran kita. Ketika tujuan dan matlamat telah jelas maka ikutilah prinsip tersebut semampu kalian, kerana kita bimbang andai prinsip kebenaran yang berpaksikan ALLAH sebagai ILAH YANG SATU dan MUHAMMAD IKUTAN KAMI sudah mula terhakis sedikit-demi sedikit, lantas pelbagai masalah dan pertelingkahan mula timbul sekalipun kita bergelar pejuang kebenaran.

Kalian pasti maklum bahawa setiap sahabat adalah R.A.(bukan pembantu penyelidik) tetapi insan- insan yang telah ALLAH ridhai, setiap kali nama mereka disebut pasti disusuli dengan RADHIYALLAAHU‘ANHU (R.A), namun adakah mereka harapkan setiap kali nama mereka ditulis harus dicatat R.A. Pastinya tidak kerana mereka bukan orang yang ingin berbangga dengan istilah pada nama semata-mata, tetapi kerana amal pengorbanan dan taqwa yang mereka usahakan dalam kehidupan yang serba singkat ini.

Mereka adalah orang-orang yang berpegang pada prinsip yang jelas dan benar-benar mengerti tujuan dan matlamat perjuangan ini. Lihatlah 10 orang sahabat yang telah mengetahui bahawa mereka adalah penghuni syurga di saat mereka masih hidup, tetapi sedikitpun tidak mengurangkan amal dan taqwa mereka apatah lagi mengorbankan prinsip, tujuan dan matlamat perjuangan mereka. Di saat Umar merasa tidak percaya bahawa Muhammad S.A.W telah wafat, Abu Bakar tenang mengingatkan bahawa hanya ALLAH yang harus disembah dan bukan Muhammad seraya membaca surah [Ali ‘Imran 3:144]


Tidak wajar kita menjadi murtad sekalipun Muhammad S.A.W telah wafat, kerana perjuangan berdasarkan tujuan dan matlamat yang jelas harus tetap diteruskan. Sayangnya ketika ini kita tidak mampu menyelamatkan aqidah insan-insan di negara sendiri bahkan mengingati nama-nama 10 sahabat pejuang umat pun terlalu sukar berbanding 10 bintang “pejuang cinta”.

Jadilah umat yang sedar tujuan dan matlamat perjuangan ini, agar kita bisa saling menguatkan satu sama lain membina ‘bangunan kemuliaan’ yang bakal meruntuhkan ‘bangunan kehinaan’. Sekarang masa untuk berubah bukan untuk Digi, tapi untuk umat.....

Betapa diri ini berharap dapat menjadi Penyelidik kebenaran dalam mencari makna dan hakikat kehidupan agar bakal berada bersama R.A yang telah mendapat ridha-NYA. Amiin....

“......ALLAH ridha terhadap mereka dan mereka pun ridha kepadaNYA......
[Al Bayyinah, 98:8]

Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Research Assistant (R.A),
Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul
22 Jamadil Awal 1428H 01.43a.m.