Tuesday, April 14, 2009

KEMBALI KE ASAL


Hampir sebulan lamanya blog ini senyap tanpa artikel terbaru atas sebab-sebab yang sukar nak diceritakan, ditambah lagi saat membaca blog sebahagian ikhwah yang mula menimbang kembali apa yang pernah ditulis, menajamkan kembali idea-idea yang ingin dilontarkan, mentafsir sebaiknya isu dan isi yang ingin dikembangkan agar setiap tulisan yang terpapar dan terbentang di laman maya mampu memberi impak yang bermanfaat bagi diri dan insan lain.

Diri ini juga masih mencari di mana salah silapnya setiap langkah yang diambil hingga ke saat ini, kerana pastinya setiap masalah yang terjadi pasti ada punca dan sebabnya. Namun kadangkala mencari punca dan sebab setiap masalah bukan suatu yang mudah kerana seringkali masalah semakin bertambah tanpa diketahui puncanya apatah lagi solusinya. Bak kata Abu Saif yang biasa tampak adalah masalah yang timbul (presenting problem) tetapi kita sukar melihat hakikat sebenar masalah yang terjadi (real problem). Lantaran itu masalah tidak pernah selesai bahkan mengundang masalah baru yang mungkin lebih parah.

Hari demi hari yang dilalui dirasakan semakin membuatkan diri disibukkan dengan perkara-perkara yang dirasakan penting untuk diselesaikan. Namun disebalik kesibukan itu ada perkara yang terlepas pandang hingga terkadang mengabaikannya. Menentukan mana yang seharusnya kita utamakan dan yang mana harus dikemudiankan, menghendaki kita membuat perancangan yang baik.

Bila difikirkan diri yang serba kekurangan, terlalu banyak kesilapan dalam perancangan dalam meneruskan kehidupan yang masih ada ini, banyak benda yang terabai, banyak benda yang tertinggal, banyak benda yang terpendam.

Kegagalan dalam merancang kehidupan membuatkan diri terasa hidup terkadang sudah tiada nilainya, hari-hari yang dilalui terasa berlalu begitu sahaja, keinginan mula hilang, semangat mula pudar hingga selalu meresahkan jiwa dan menghadirkan keluh-kesah yang berpanjangan.

Demikian tahunya akan masalah yang menimpa, tapi belum mampu merubah apa yang tersilap dan tersalah hanya membuatkan hidup terasa sia-sia tanpa arah tujuan. Inilah salah satu tanda kemunduran umat Islam.

Pelbagai cara diguna untuk melarikan diri dari kegagalan merancang kehidupan dengan alasan mencari damai diri yang hanya tiba seketika, namun masalah masih tetap kekal. Berapa banyak nasihat dan kata-kata semangat diberi, namun diri masih tampak murung dan gelisah. Senyuman yang terukir hanya sekadar mengharap agar tiada apa yang merungsingkan diri, namun di hati terpendam suatu kisah misteri yang sukar dirungkai.

Dakwah yang disampaikan masih berjalan seperti biasa, namun ruh dakwah sendiri semakin mula tampak malap lantaran hubungan dengan Tuhan yang kian susah untuk istiqamah dengan kualiti ibadah yang mantap.

Semuanya bermula dari diri yang tiada mahu berubah, sikap diri yang masih belum matang menilai erti sebuah kehidupan, diri yang hanya melihat masa berjalan dan berlalu, meninggalkan waktu-waktu muda itu menuju waktu tuanya tanpa cita-cita dan impian. Yang ada hanyalah angan-angan dan khayalan tanpa usaha ke arahnya.

Buat sahabat dan yang paling utama diriku yang pernah merasakan detik-detik seperti yang kulakarkan di atas, marilah kita kembali ke asal. Kembali pada tujuan kita dihidupkan, kembali pada janji yang kita lafazkan, kembali pada erti sebuah perjuangan, kembali pada kemenangan yang pernah Islam kecapi dahulu. Ia tidak terjadi secara tiba-tiba, tetapi dengan usaha dan perancangan yang tidak kenal erti berhenti dan kecewa. Mereka telah melakar sejarah dan kini tibalah masa untuk kita melakar sejarah kita sendiri dengan tujuan dan semangat serta perancangan seperti yang generasi dahulu contohkan dengan keimanan dan ketaqwaan yang mantap.

Lagu ini untuk mengingatkan kembali agar jangan sesekali kita lupa bahawa dahulu kita pernah berjaya. Marilah kita hayati sejenak, mudah-mudahan dapat membangkitkan kembali semangat dan mula merancang untuk merubah diri kepada yang lebih baik. Andai tiada insan yang sudi mendengar rintihan hati, yakinlah bahawa kita masih ada Tuhan Yang Maha Mendengar.

“Don’t worry about something that you can’t change, but worry about something that you can change”



Mohd Halimi Abdul Aziz
18 Rabiulakhir 1429H