Sebelum ini kita diberikan kesedaran dan hidayah untuk mengenal untuk apa kita hidup di muka bumi ini, lantas timbul keinginan untuk menyebarkannya kepada insan yang belum sedar dan kenal hakikat kehidupan ini. Saat itu kita hanya mampu membenci lewat perasaan yang terpendam jauh di sudut hati yang kecil itu, perasaan itu semakin kuat tatkala melihat pelbagai kemungkaran, kezaliman dan penindasan yang terjadi pada masyarakat sekeliling. Namun ia masih dipendam kerana masih belum ada kekuatan untuk mengungkapkannya kepada insan lain.
Hari demi hari berlalu, dan kita berusaha untuk memperbaiki diri dengan segenap kemampuan, meningkatkan ibadah dengan sebaiknya, menambahkan pengetahuan lewat buku-buku dan mengikuti pengisian-pengisian hinggalah akhirnya muncul kekuatan baru bahawa keinginan untuk mengubah diri dan masyarakat tidak cukup dengan hanya membenci di sudut hati, lantaran itu kita mula bergerak mengatur langkah memasuki medan baru dengan menyebarkan perasaan tadi dalam jiwa umat yang ingin berubah lewat ucapan mahupun tulisan, berusaha memberikan kata-kata yang dapat membangkitkan umat yang sedang tidur dalam kelalaian dan kealpaan mereka, menunjukkan kepada umat agar dapat membezakan apa itu kebenaran dan kebatilan, kezaliman dan keadilan, kesempitan dan keluasan, dan keindahan dan keburukan yang Islam gariskan.
Masa terus berlalu dan kita masih terus berusaha memperbaiki diri dan insan lain walaupun ada ketikanya kita merasa kecewa dengan sambutan yang diberikan, namun untuk berhenti tidak sama sekali, kita tetap harus memberikan sumbangan seadanya walau hasilnya mungkin tiada, kerana kita orang yang yakin akan janji ALLAH akan membalas setiap perbuatan walau sekecil zarrah…
Kini, kita merasakan bahawa untuk mengubah masyarakat dan negara masih belum cukup dengan hanya membenci dalam hati dan mengingatkan mereka dengan lisan, lalu kita harus bergerak ke medan baru untuk mengubahnya dengan tangan yang ada, ataupun kuasa yang kita miliki. Saat itu telah tiba kerana tangan ini telah mempunyai kuasa untuk memilih siapa insan yang bakal menentukan halatuju masyarakat dan negara untuk tahun-tahun mendatang, maka menjadi tanggungjawab untuk kita memanfaatkan kuasa yang ada di tangan ini memilih individu yang dapat menyebarkan perasaan kita dahulu yang bencikan kemungkaran dan kezaliman, menyebarkan lisan kita dahulu yang inginkan kebenaran tertegak dan kebatilan hilang lenyap dengan kuasa yang ada oleh individu yang dipilih nanti.
Perasaan telah bertukar menjadi perbuatan membawa kepada perubahan dalam masyarakat dan negara, jadi marilah kita mencegah kemungkaran dan keangkuhan dengan tangan-tangan kita, kibarkanlah semangat Rubi’ bin Amir yang mengatakan kami datang untuk membebaskan manusia dari penyembahan dan ketakutan kepada manusia menuju penyembahan dan ketakutan kepada ALLAH semata-mata, melepaskan manusia dari kezaliman agama kepada keadilan Islam, dan dari kesempitan dan penindasan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat dengan Islam yang sejati.
SELAMAT MENGUNDI KEPADA SEMUA
MASA UNTUK BERUBAH
TERUSKAN BERJUANG
Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
07 Mac 2008/ 29 Safar 1429H 01:09p.m