Monday, February 16, 2009

MEREKA ADALAH GENERASI PEJUANG

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili bahawa nabi S.A.W bersabda : Sekelompok dari umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh- musuh mereka, dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh -musuh mereka kecuali apabila mereka ditimpa kesusahan , dan sehingga datang pertolongan dari Allah dan keadaan mereka akan kembali seperti sedia kala. Para sahabat bertanya : Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah S.A.W ?, Baginda S.A.W menjawab : Di Baitul Maqdis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitul Maqdis.[1]

Pastinya setiap insan yang berada di Palestin saat ini mengetahui hadith di atas ataupun pasti akan disampaikan ke setiap lapisan generasi yang lahir di bumi para Anbiya’ ini. Maka tidak mengejutkan tika kita melihat mereka ditimpa sengsara yang tidak berkesudahan, diserang dari pelbagai sudut, dicabut hak yang mereka miliki,bahkan ditawarkan dengan pelbagai pilihan, namun untuk menyerah kalah tidak sekali-kali. Hadith di atas menjadi pendorong semangat perjuangan mereka untuk tetap tegar dan teguh memegang panji-panji kebenaran sehinggalah mereka mendapat salah satu dari dua kemenangan iaitu mendapat kemuliaan dengan kembalinya hak-hak mereka ataupun gugur sebagai syuhada’ dalam mempertahankan salah satu tempat suci umat Islam. Jauh rasanya diri kita berbanding mereka, manusia yang mengetahui nilai sebuah identiti diri yang Muslim dan Muslih, walhal terkadang kita sering kehilangan identiti diri sebagai Muslim dan Muslih. Wahai saudaraku yang sedang berjuang ketahuilah bahawa kami kan setia bersamamu sejak dulu, kini dan selamanya.

[1]- Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah ibn Ahmad dalam Musnad Ahmad, dan al-Haithami dalam Zawaidnya telah memberikan komentar : Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah Bin Ahmad (anak Imam Ahmad Bin Hanbal) dan juga al-Tabrani, dan perawinya adalah orang - orang yang thiqah (dipercayai).