Alangkah mulianya bulan ini, penuh dengan rahmat dan kasih sayang Ilahi kepada hamba-hamba-Nya . Dengan kasih sayang-Nya, dapat dilihat berbondong-bondong manusia menuju rumah-Nya saat tiba masa untuk beribadah, terasa begitu mudah untuk melaksanakannya berbanding bulan-bulan yang lalu, semangat juga berbeza saat melakukan ibadah lantaran ramainya manusia yang turut melakukannya. Inilah fitrah yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang makhluk yang bernama hamba ALLAH tanpa mengira masa-masa tertentu, namun manusia mudah lupa kepada Rabb yang menciptakan dirinya. Adakah aku salah seorang daripadanya???
Adakah kemuliaan bulan ini telah tercemar oleh perbuatan kita yang merosakkan kemuliaannya, adakah kalian melihat ada segolongan manusia yang masih tetap menyebarkan hadith-hadith yang palsu saat tibanya bulan yang mulia ini dengan ganjaran yang melampaui batasan akal dan nas yang sahih, ternyata hadith-hadith yang sahih tentang keutamaan bulan yang mulia ini seolah-olah masih belum cukup. Jangan biarkan umat ini bersemangat melakukan ibadah dengan ganjaran –ganjaran yang palsu kerana matlamat yang Islam ingin capai tidak pernah menghalalkan cara yang bukan Islam ajarkan. Cukuplah dengan hadith yang sahih menjadi sandaran kita tentang kelebihan bulan ini. Adakah aku memahaminya???
“Barangsiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana iman dan mencari ridha ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lalu.”[HR Bukhari dan Muslim]
Dimanakah nilai kemuliaan bulan ini andai masih lagi kita lihat segolongan manusia tanpa segan silu berdua-duaan tanpa ikatan yang sah di tempat-tempat yang terbuka, mereka saling berpegangan bahkan berpelukan dengan cukup selamba, sedangkan mata ini cukup sakit memerhatikannya walau hanya sekejap, betapa sedihnya diri ini kerana tidak mampu untuk mencegahnya lantas hanya mampu membenci jauh di sudut hati disamping meluahkannya lewat tulisan yang serba kekurangan ini tanda lemahnya imanku. Sedangkan Nabiku bersabda:
“Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda. “Barangsiapa diantara kalian melihat suatu kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya; jika tidak mampu; maka dengan lisannya;dan jika ia masih tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”[HR Muslim]
Dimanakah sifat malu dalam diri mereka, adakah malu itu sudah hilang dalam jiwa umat ini hingga menjadikan mereka seolah-olah tidak merasa bersalah saat melakukan maksiat dan kemungkaran di bulan kemuliaan ini. Bahkan mereka melakukannya ketika syaitan-syaitan dibelenggu daripada berleluasa menyebarkan kejahatannya, adakah ini tanda hati sudah gelap dengan titik-titik hitam akibat maksiat dan dosa yang mereka perbuat dalam bulan-bulan yang lalu. Jagalah sifat malumu wahai sahabatku kerana ia juga salah satu tanda keimanan orang yang bertakwa.
“Malu adalah sebahagian dari iman”[HR Muslim]
Mudah-mudahan sifat itu masih kukuh dalam sanubari kita, agar dapat menjaga kita daripada melakukan kemungkaran lebih-lebih lagi di bulan yang penuh keberkatan ini, andai ALLAH memberikan pahala berlipat ganda atas amal soleh yang kita lakukan di bulan ini, adakah mungkin ALLAH juga melipat gandakan dosa kita atas kemungkaran dan maksiat yang kita perbuat di bulan ini, mari kita renungkan bersama agar kita dapat meletakkan diri kita dalam golongan yang beruntung kerana kita bebas untuk memilih jalan yang ingin kita lalui, jalan kefasikan atau jalan ketaqwaan.
Jadikanlah bulan ini medan untuk kita mengenang sahabat-sahabat seIslam kita di seluruh bumi ALLAH ini yang mungkin serba kekurangan dan kesedihan melalui bulan kemuliaan ini, jangan kita terlalu mewah dengan pelbagai juadah makanan untuk di ratah sepuas-puasnya hingga terlupa mereka yang tidak mampu menikmatinya seperti kita, apatah lagi andai makanan itu berlebihan hingga dibuang begitu sahaja walau telah cuba untuk menghabiskannya setelah penat melakukan solat sunat tarawih, kerana membazir bukan sifat yang Islam ajarkan, bersederhanalah wahai sahabatku.
".......makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”[Al- A’raf 7:31]
Hiasilah bulan ini dengan sebaik-baiknya kerana ia baru bermula, madrasah Ramadhan ini masih terbuka untuk mentarbiyah umat ini agar dapat melaluinya dengan penuh keimanan dan membentuk peribadi yang terbaik hingga mampu menjadi pejuang yang sejati. Jangan lupakan cita-cita kita agar di penghujung Ramadhan ini kita berjaya menggapai gelaran orang-orang yang bertakwa lantaran aqidah dan amal soleh yang kita perbuat di bulan kemuliaan ini. Bulan ini masih belum tercemar maka sucikanlah iman dan amalmu.
“………..mudah-mudahan kamu bertaqwa.” [Al Baqarah 2:183]
Al ‘Abd Ad ‘Dhaif,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 10 Ramadhan, 12:58a.m.