Masa terlalu pantas berlalu, membuatkan diri ini kembali terkenang saat-saat indah ketika pertama kali bertemu dengan tarbiyah, waktu itu tidak pernah luput dari ingatan kerana di situlah bermulanya sebuah kehidupan yang baru, sebuah pengalaman yang baru dan yang paling penting sebuah perkenalan yang cukup bermakna.
Wajah-wajah sahabat yang sudah lama tidak bertemu sering terbayang seakan-akan mereka sedang berada disebelahku, sukar untuk diungkap dengan sebuah kata-kata, walau berbeza sekolah, berbeza tempat, berbeza loghat, namun pertemuan itu telah menumbuhkan sebuah ikatan yang cukup bermakna.
Pastinya setiap pengalaman yang ditempuh selama setahun sebelum melangkah ke alam universiti terlalu sukar untuk dilupakan dan diri ini juga yakin kalian yang pernah bersama diri ini juga tidak akan melupakannya.
Gambar-gambar bersama kalian masih segar dalam pandangan mata ini, seolah-olah gambar-gambar itu baru saja ditangkap oleh lensa kamera kalian, namun gambar-gambar itu masih kekurangan sesuatu, walau secantik mana pun gambar yang diambil ia masih belum dapat menangkap perasaan diri ini dan kalian ketika gambar-gambar itu diambil. Perasaan itulah yang diri ini kenangkan saat ini dan gambar-gambar itu hanya merakam wajah kalian tapi tidak perasaan kalian. Perasaan itu cukup mendalam dalam hati ini ketika mengenang kembali saat-saat kita bersama. Mudah-mudahan perasaan itu tidak pernah pudar sampai bila-bila dan diri ini mengharapkan kalian juga begitu.
Masa terus berlalu dan ternyata kita semua mendapat tempat pengajian yang berbeza-beza, berbeza bidang, berbeza sistem dan berbeza bayaran pengajiannya, biarlah seribu perbezaaan yang kita tempuhi, diri ini berharap agar kita masih dapat bertemu dan perasaan itu akan tetap mekar dalam diri ini dan kalian juga.
Ternyata akhirnya pertemuan itu hanya sementara, sahabat-sahabat yang pernah bersama diri ini semakin lama semakin hilang seorang demi seorang, hilang tanpa sebarang khabar berita, dan perasaan itu juga semakin hilang sedikit demi sedikit, setelah tamat pengajian diri ini belum mengetahui apa sebab-musababnya kalian hilang begitu sahaja.
Setelah sekian lama mengenang kehilangan kalian dan diri ini masih yakin kalian bukan insan yang suka menghilangkan diri secara tiba-tiba, rasa bersalah semakin menghantui diri ini kerana boleh jadi diri ini yang menyebabkan kalian pergi tanpa sebarang berita, maafkan diri ini andai membiarkan kalian bersendirian dikala kalian sedang dalam kesedihan, kesakitan dan kesunyian tanpa sebarang nasihat dan kata-kata semangat.
Teringat akan pesan Abbas As-Siisiy tentang dakwah adalah
RUH dan
PERASAAN, ketika beliau pergi memenuhi jemputan untuk menyampaikan sebuah ceramah, namun ikhwah-ikhwah yang mendengarnya hadir dengan wajah yang hambar, perasaan yang dingin dan pandangan yang kosong hingga menyebabkan beliau merasa sedih dengan nilai ukhwah yang ditunjukkan oleh ikhwah-ikhwah tersebut lalu menceritakan perihal itu kepada penangungjawab acara tersebut dan mengungkapkan sebuah nasihat yang wajar kita hayati:
“Sesungguhnya potensi ruhiyah, sentuhan rasa, kecintaan kepada kebaikan, serta perasaan yang lembut itu tidak akan muncul hanya sekadar dengan peringatan dan perintah. Sedarilah bahawa yang dapat membangkitkannya adalah dengan sentuhan-sentuhan hati yang penuh kasih-sayang dan kerinduan yang sangat mendalam terhadap pasangan seaqidahnya yang melekat di hati”
Boleh jadi ukhwah kita masih kurang
RUH dan
PERASAAN, hingga menyebabkan ia terputus bukan sahaja dari medan perjuangan bahkan hingga hubungan sebagai kawan juga terputus. Maafkan diri ini sekali lagi kerana gagal menjadi sahabat yang dapat menumbuhkan ruh dan perasaan dalam berukhwah sesama kalian bahkan kerana kurangnya ruh dan perasaan inilah kita sering terjebak dengan pelbagai pertelingkahan sesama rakan perjuangan apabila berbeza pendapat dalam sesuatu isu.
Kalian adalah sahabat-sahabat yang terlalu ingin ku temui agar diri ini dapat mengucapkan bahawa diri ini merindui kalian dan semoga rindu itu akan hadir bersama sebuah cinta sebagai bukti keimanan seorang insan yang ingin menjadi MUKMIN
“Dari Abu Hamzah Anas bin Malik ra, pelayan RasululLLAH saw, bahawa RasuluLLAH saw bersabda, “Seseorang diantara kalian tidak beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” [HR Bukhari dan Muslim]
Diri ini doakan agar kalian tetap teguh menghadapi cabaran kehidupan, dan warnailah kehidupan kalian dengan ibadah kepada-NYA dengan harapan andai kita tidak dipertemukan lagi di dunia ini moga kita dapat bertemu di ‘sana’ nanti
Dimana sahaja kalian berada, semoga rahmat dan hidayah ALLAH senantiasa bersama kalian dan juga diri yang serba lemah ini, doakanlah agar ruh dan perasaan itu senantiasa mekar dalam ukhwah kita samaada yang masih tinggal atau yang telah pergi
Buat kalian yang sudah lama tidak kutemui dan bakal kutemui, kupetik kata-kata Imam Nawawi bahawa
aku mencintai kalian kerana agama yang ada pada dirimu, ketika hilangnya agama itu dari dirimu maka hilanglah cintaku padamu….
MOHD HALIMI ABDUL AZIZ
17 ZULHIJJAH 1428H 02:47p.m