Thursday, April 23, 2009
Wednesday, April 15, 2009
UKHWAH ITU KERJASAMA
“Abang, ukhwah tu apa ye?” tanya seorang adik berumur 7 tahun kepada abangnya.
“Mana adik dengar perkataan tu?” abangnya bertanya kembali
“Kat sekolah, ustaz selalu cakap, tapi masih tak fahamlah”. keluh si adik yang sebenarnya malu nak bertanya masa di kelas.
“Emm, adik selalu main bola dengan kawan kan waktu petang?” abangnya cuba memberi kiasan.
“A’ah, selalunya adik jaga gol, yang penting jangan bagi bola masuk gol.” cerita si adik dengan semangatnya.
“Ok, andaikata adik sorang je yang jaga gol, kawan yang lain semua tak main,maksudnya takde penyerang, pertahanan, dan semua lah. camne?” Abangnya cuba menguji.
“Mana boleh!! Kalah teruklah camtu, semua orang kena mainlah, tolong adik jaga gol, baru boleh menang!!! Bentak si adik
“Hah, tau xpe, itulah ukhwah namanya, walaupun setiap pemain bola ada posisi masing-masing, tapi setiap orang kena tolong kawan yang lain terutama penjaga gol, yang penting jangan bagi bola masuk dalam gol. Setiap orang kena saling bekerjasama untuk jaringkan gol, tak boleh pentingkan diri sendiri, kena banyak komunikasi masa bermain, Insya ALLAH boleh menang, bahkan bukan masa main bola je, waktu-waktu biasa macam nie pun kita kena saling bantu-membantu, apatah lagi sesama Islam, kerana setiap orang beriman itu bersaudara, faham?” ulas si abang dengan panjang lebar
“Oo, kalau macam tu adik tak nak jadi penjaga gol jelah lepas nie” kata adiknya
“La.. kenapa pulak tak nak jaga gol?” Tanya si abang sambil berkerut dahinya
“Dah, tadi abang jugak cakap setiap pemain kena tolong kawan yang lain, adik pun kena tolong jugaklah kawan-kawan adik jaringkan gol” terang si adik
“Oo, bijak, bijak adik abang.. cuma jangan kamu yang masuk gol sudah” abangnya melawak.
“Huhu…sekarang adik dah faham, makna ukhwah tu cikit, nanti adik tanya lagi” tanda puas mula kelihatan di wajah si adik.
“Ok, no problem, jadi adik dalam ukhwah nie apa yang penting?” tanya si abang lagi
“KERJASAMA….” jawab si abang dan si adik serentak dengan nada ala ala cerita Wonder Pets kesukaan mereka berdua.
Mohd Halimi Abdul Aziz
19 Rabi’ul Akhir 1429H
Tuesday, April 14, 2009
KEMBALI KE ASAL
Hampir sebulan lamanya blog ini senyap tanpa artikel terbaru atas sebab-sebab yang sukar nak diceritakan, ditambah lagi saat membaca blog sebahagian ikhwah yang mula menimbang kembali apa yang pernah ditulis, menajamkan kembali idea-idea yang ingin dilontarkan, mentafsir sebaiknya isu dan isi yang ingin dikembangkan agar setiap tulisan yang terpapar dan terbentang di laman maya mampu memberi impak yang bermanfaat bagi diri dan insan lain.
Diri ini juga masih mencari di mana salah silapnya setiap langkah yang diambil hingga ke saat ini, kerana pastinya setiap masalah yang terjadi pasti ada punca dan sebabnya. Namun kadangkala mencari punca dan sebab setiap masalah bukan suatu yang mudah kerana seringkali masalah semakin bertambah tanpa diketahui puncanya apatah lagi solusinya. Bak kata Abu Saif yang biasa tampak adalah masalah yang timbul (presenting problem) tetapi kita sukar melihat hakikat sebenar masalah yang terjadi (real problem). Lantaran itu masalah tidak pernah selesai bahkan mengundang masalah baru yang mungkin lebih parah.
Hari demi hari yang dilalui dirasakan semakin membuatkan diri disibukkan dengan perkara-perkara yang dirasakan penting untuk diselesaikan. Namun disebalik kesibukan itu ada perkara yang terlepas pandang hingga terkadang mengabaikannya. Menentukan mana yang seharusnya kita utamakan dan yang mana harus dikemudiankan, menghendaki kita membuat perancangan yang baik.
Bila difikirkan diri yang serba kekurangan, terlalu banyak kesilapan dalam perancangan dalam meneruskan kehidupan yang masih ada ini, banyak benda yang terabai, banyak benda yang tertinggal, banyak benda yang terpendam.
Kegagalan dalam merancang kehidupan membuatkan diri terasa hidup terkadang sudah tiada nilainya, hari-hari yang dilalui terasa berlalu begitu sahaja, keinginan mula hilang, semangat mula pudar hingga selalu meresahkan jiwa dan menghadirkan keluh-kesah yang berpanjangan.
Demikian tahunya akan masalah yang menimpa, tapi belum mampu merubah apa yang tersilap dan tersalah hanya membuatkan hidup terasa sia-sia tanpa arah tujuan. Inilah salah satu tanda kemunduran umat Islam.
Pelbagai cara diguna untuk melarikan diri dari kegagalan merancang kehidupan dengan alasan mencari damai diri yang hanya tiba seketika, namun masalah masih tetap kekal. Berapa banyak nasihat dan kata-kata semangat diberi, namun diri masih tampak murung dan gelisah. Senyuman yang terukir hanya sekadar mengharap agar tiada apa yang merungsingkan diri, namun di hati terpendam suatu kisah misteri yang sukar dirungkai.
Dakwah yang disampaikan masih berjalan seperti biasa, namun ruh dakwah sendiri semakin mula tampak malap lantaran hubungan dengan Tuhan yang kian susah untuk istiqamah dengan kualiti ibadah yang mantap.
Semuanya bermula dari diri yang tiada mahu berubah, sikap diri yang masih belum matang menilai erti sebuah kehidupan, diri yang hanya melihat masa berjalan dan berlalu, meninggalkan waktu-waktu muda itu menuju waktu tuanya tanpa cita-cita dan impian. Yang ada hanyalah angan-angan dan khayalan tanpa usaha ke arahnya.
Buat sahabat dan yang paling utama diriku yang pernah merasakan detik-detik seperti yang kulakarkan di atas, marilah kita kembali ke asal. Kembali pada tujuan kita dihidupkan, kembali pada janji yang kita lafazkan, kembali pada erti sebuah perjuangan, kembali pada kemenangan yang pernah Islam kecapi dahulu. Ia tidak terjadi secara tiba-tiba, tetapi dengan usaha dan perancangan yang tidak kenal erti berhenti dan kecewa. Mereka telah melakar sejarah dan kini tibalah masa untuk kita melakar sejarah kita sendiri dengan tujuan dan semangat serta perancangan seperti yang generasi dahulu contohkan dengan keimanan dan ketaqwaan yang mantap.
Lagu ini untuk mengingatkan kembali agar jangan sesekali kita lupa bahawa dahulu kita pernah berjaya. Marilah kita hayati sejenak, mudah-mudahan dapat membangkitkan kembali semangat dan mula merancang untuk merubah diri kepada yang lebih baik. Andai tiada insan yang sudi mendengar rintihan hati, yakinlah bahawa kita masih ada Tuhan Yang Maha Mendengar.
“Don’t worry about something that you can’t change, but worry about something that you can change”
Mohd Halimi Abdul Aziz
18 Rabiulakhir 1429H