Wednesday, January 20, 2010

MUSIBAH ITU INDAH




Bilamana disebut musibah, pelbagai kejadian dan peristiwa mula membayangi pemikiran mahupun ingatan kita. Kebanyakan musibah biasanya berakhir dengan perkara yang kurang kita senangi ataupun paling tidak menyebabkan kita terasa sedih pabila musibah itu terjadi mahupun pabila musibah itu diingat-ingat kembali.

Kadangkala sukar untuk kita menerima hakikat musibah yang menimpa, pertimbangan akal kita akan menghitung segenap kerugian ataupun kesedihan akibat musibah yang menimpa. Belum dikira lagi kesan jangka pendek dan jangka panjang bahana musibah yang mendatang tanpa diundang mahupun dibau.

Fitrah manusia akan merasa sedih dan kecewa bilamana musibah hadir secara tiba-tiba, tiada siapa yang menjemput, tiada siapa yang mencongak, tiada siapa yang mengetahuinya. Namun ALLAH Maha Tahu, makanya Dia mengajarkan kita bagaimana cara mendepani musibah yang menjengah sisi kehidupan kita.

Nabi kita juga mengajarkan perkara yang sama tatkala musibah hadir, dengan kata-kata yang memberikan harapan dan motivasi untuk mendepani setiap musibah.

”Sungguh mengherankan perkara orang mukmin itu, sesungguhnya seluruh perkaranya adalah baik baginya. Dan hal itu tidak dimiliki oleh siapapun kecuali orang mukmin. Jika dia diberi sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka ia menjadi baik baginya. Dan apabila ia ditimpa suatu madharat, ia bersikap sabar, maka itu menjadi baik baginya.”(HR.Muslim)

Seorang muslim tidak ditimpa oleh rasa letih, penyakit, gelisah, sedih, gangguan ataupun kegundahan, hingga duri tertancap padanya melainkan Allah menebus dengannya sebagian dari kesalahan-kesalahannya." (HR.Bukhary & Muslim).

Begitulah sikap yang diajarkan Nabi kepada kita, musibah pasti hadir cuma bagaimana rupa dan cara musibah itu hanya ALLAH yang tahu, sikap kita adalah bersabar dan ridho dengan apa yang menimpa, bukan sesuatu yang mudah namun tidak mustahil untuk dipraktikkan.

Setiap yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya, sama ada kita tahu atau tidak bukan persoalannya, kerana yang penting bagaimana sikap kita tatkala musibah itu datang kepada kita.

Jika kita menelusuri sirah perjuangan para Nabi dan sahabatnya, tentu kita membaca pelbagai musibah yang menimpa liku-liku perjuangan mereka, lalu kerana apa mereka terpaksa menempuh setiap musibah tersebut. Bukankah mereka manusia pilihan ALLAH dan juga para sahabat yang kental imannya, namun ternyata tidak terlepas dari sebarang musibah. Bacalah bagaimana sikap mereka atas segala musibah yang menimpa dalam kehidupan mereka. Lantaran kesabaran mereka menempuh setiap musibah dengan sabar menyebabkan agama ini dapat kita kenal hingga ke hari ini.

Justeru itu dalam kelalaian dan kecuaian kita dalam memahami agama ini, andai kata diberi musibah dari ALLAH, boleh jadi itu untuk kebaikan kita bersama. La Tahzan
Masih terngiang-ngiang dalam benakku akan kata-kata dua orang non-Muslim kepadaku, lantaran musibah yang menimpa baru-baru ini.

“Tuhan” sayang kamu dan Kamu kena terima kasih sama “Tuhan”

Musibah itu indah bila hati yang menerimanya pasrah kerana dia adalah hamba kepada Dia Sang Pencipta(credit to someone who loves poem…)

“….Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”(2:216)


Mohd Halimi Abdul Aziz
5 Safar 1431H

Thursday, January 14, 2010

MENCARI KATA YANG BAIK ATAU DIAM ITU YANG BAIK


Banyak perkara yang terjadi saban hari, pelbagai isu yang timbul setiap hari, pelbagai urusan yang hadir sekian hari, hingga tidak pasti yang mana satu ingin dicoret dahulu atau semakin hilang keinginan mencoretkan sesuatu.

Bila ditanya tentang sesuatu perkara pasti setiap diri mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing, ada yang makin membuatkan orang lain semakin paham, tidak kurang juga yang membuatkan orang lain semakin keliru. Sukar memilih siapa yang lebih patut didengari atau dipakai pendapatnya, kerana terkadang yang dipilih adalah di kalangan orang yang kita kenal atau terkenal dalam memberikan pendapat.

Dalam dunia serba maju dan canggih ini yang dikenali dengan dunia tanpa sempadan, pelbagai isu dan peristiwa boleh diketahui untuk dijadikan bahan untuk diceritakan dalam pelbagai bentuk dan cara. Inilah yang membuatkan kita bebas mencari isu dan memberikan pendapat, namun yang dikesalkan apabila setiap isu dan peristiwa itu diulas dengan cara yang berbentuk hentaman, cemuhan, kejian dan sewaktu dengannya.

Seringkali emosi menjadikan kita menyampaikan sesuatu perkara dengan cara yang nampak memaksa dan terburu-buru hingga hilanglah keindahan dalam berbicara dan menyampaikan pendapat sekalipun intipati pendapat yang diberi cukup bermanfaat.

Manusia itu kebanyakannya tidak suka dipaksa, apatah lagi untuk memaksa orang lain menerima pendapat individu tertentu dalam sesuatu isu dan peristiwa. Terkadang perbezaan dalam menyampaikan pendapat dalam isu yang sama boleh menimbulkan pertelingkahan yang berpanjangan. Sukarnya untuk berlapang dada dan meraikan hujah dan pandangan orang lain terkadang menyebabkan kita sering mengabaikan aspek pemilihan kata-kata yang baik terhadap orang yang berbeza pendapat dengan kita.

Kenapa sering terjadi begitu, walhal masing-masing ada hujah yang pastinya inginkan kebaikan atas setiap pendapat yang diberi, tetapi kerana berbeza sisi pandangan dari segi manfaat dan mudarat sesuatu isu dan peristiwa menyebabkan kita sering berbeza intipati isi dan kaedah dalam memberikan pendapat.

Salahkah mempunyai banyak pendapat dalam isu yang sama, mungkin tidak, kerana sukarnya kita untuk seia dan sekata akibat berbeza latar pendidikan, pemikiran, tempat dan sebagainya. Namun yang dikesalnya pemilihan kata-kata tatkala kita berbeza pendapat itu yang terkadang menyulitkan kita untuk melihat keseragaman dalam memilih pendapat. Berapa ramai yang menyampaikan pendapatnya diiringi kata-kata sindiran, cemuhan bahkan cacian kepada pendapat yang berbeza dengannya.

Teringat sebuah buku yang ditulis oleh Dr Yusuf Al Qaradawi dalam Fiqh Ikhtilaf yang lebih kurang maksudnya beliau tidak takut jika umat Islam diserang dari pelbagai sudut oleh musuh-musuh Islam kerana itu adalah sunnatuLLAH yang memang akan terjadi kepada umat Islam, namun yang lebih beliau risaukan tatkala umat Islam sesama mereka saling bercakaran lantaran perbezaan yang timbul di kalangan mereka. Antara kata-kata hikmah yang beliau pegang adalah “Kita berlapang dada dengan perkara yang kita perselisihkan, kita sepakat dalam perkara yang kita setuju”

Adakah perlu kita bermasam muka dan bertegang leher sesama saudara Islam yang mempunyai pendapat yang berbeza dengan kita. Di zaman yang serba canggih ini adakah sukar untuk saling bertemu untuk mengharmonikan pendapat yang berbeza itu. Sepatutnya apabila teknologi makin hebat, komunikasi sesama kita makin senang untuk diuruskan, namun sebaliknya pula yang terjadi. Semakin susah dan sulit pula untuk berlapang dada, kehebatan sistem teknologi menjadi medan untuk saling memenangkan hujah masing-masing, ditambah lagi dengan hentaman, tuduhan, cemuhan dan sebagainya.

Tatkala musuh Islam nampak bersatu, umat Islam pula yang kian terkial-kial hendak mencari solusi untuk bersatu. Boleh jadi musuh mengambil pepatah “Shooting two birds with one stone”. Kalian tentu tahu apa maksudnya, moga kita tidak makin keliru dan saling bermusuhan lantaran kelicikan musuh terhadap umat Islam.

Maka pesanan buat diriku dan kalian, andai ingin menyampaikan pendapat, silakan tetapi dengan hujah yang baik dan pilihlah kata-kata yang baik dalam menyampaikannya, andai tidak mampu maka boleh jadi diam itu yang lebih baik.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia itu memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu memuliakan tetamunya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Andai tidak mampu bercakap kata-kata yang baik, juga tidak mampu untuk diam boleh jadi ucapan ini lebih sesuai untuk kita.

Wallahu’alam

Mohon maaf jika tersalah dan tersilap dalam menyampaikan kata-kata, teringat kata-kata Imam Malik r.a

“Setiap pendapat boleh diterima dan ditolak, kecuali ucapan RasuluLLAH s.a.w.”





Mohd Halimi Abdul Aziz
29 Muharam 1431H