Apabila melihat masyarakat hari ini, apakah kaedah yang lebih wajar digunakan untuk mendakwahi mereka. Adakah lisan mampu membuat mereka sedar, atau saluran tulisan lebih menyentuh hati mereka.
Ternyata ketika zaman Rasulullah S.A.W., kata-kata yang keluar dari mulut insan yang mulia itu yang dipandu wahyu dari Ilahi mampu membawa umat yang penuh kehinaan kepada umat yang penuh kemulian. Begitu generasi seterusnya menyambung tugas Rasulullah S.A.W. dengan tarbiyah lisan yang melahirkan generasi Al-Quran yang unik dalam diri setiap anak didik mereka. Merekalah individu yang sentiasa belajar dan mengajar umat dengan kalimah Ilahi.
"..........Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan kerana kamu tetap mempelajarinya"[Ali Imran 3:79]
Dakwah melalui lisan juga mampu merapatkan ukhwah antara penyampai dakwah dan sasaran dakwah mereka, segala permasalahan mereka dapat dirujuk terus kepada pendakwah tersebut. Bahkan ia mampu memberikan keinsafan tika mendengar kalimah kebenaran itu diucapkan dengan intonasi yang bisa mengalirkan air mata. Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya adalah contoh terbaik dalam menyampaikan dakwah secara lisan dengan kata-kata yang cukup indah menyeru kapada RABB yang Satu
" Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata, "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".[Fushilat 41:33]
Lisan juga merupakan salah satu sarana untuk mencegah kemungkaran, andai merasakan tidak mampu untuk mencegah dengan kekuatan yang ada seperti yang disabdakan oleh Nabi kita yang tercinta.
"Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra. Berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda, "Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lisannya; dan jika ia masih tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman."[HR Muslim]
Imam As Syahid Hasan Al Banna juga lebih banyak melaungkan dakwahnya dengan lisan bahkan menolak saranan ikhwah yang memintanya menulis buku-buku tentang agama dan dakwah kerana beliau lebih berminat membina ‘buku hidup’ yang dapat menyebarkan cahaya kebenaran walau di mana ia berada berbanding menulis buku-buku yang hanya bisa terletak di perpustakaan sahaja. Ternyata beliau membuktikan kata-katanya dengan mencetak ‘buku-buku hidup’ yang telah tersebar di merata tempat melaungkan seruan dakwah yang beliau ajarkan dengan petunjuk Ilahi.
Lantas adakah ruang untuk berdakwah lewat tulisan-tulisan harus ditinggalkan pabila melihat dakwah dengan lisan itu lebih berkesan melalui kisah-kisah pejuang kebenaran yang lalu.
Harus kita sedar bahawa para sahabat terdahulu juga adalah orang yang hebat dalam penulisan, bukankah sebelum Islam tiba mereka adalah penyair yang hebat bahkan ketika Islam tiba menyentuh lubuk hati mereka, syair-syair mereka digunakan untuk membela kebenaran menentang kebatilan lewat sebuah penulisan.
Tulisan juga merupakan sarana yang dapat mengekalkan suara-suara kebenaran kepada generasi kemudian hingga membuatkan Umar ra. merasakan Al-Quran harus dibukukan lantaran bimbang kalam Ilahi ini akan lenyap dari muka bumi kerana semakin ramai penghafaz Al-Quran gugur syahid di medan peperangan, juga ALLAH menyebutkan Al-Quran ini adalah sebuah kitab yang pastinya perlu ditulis.
"Kitab(Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa"[Al-Baqarah 2:2]
Begitu juga dengan sabda-sabda Rasulullah S.A.W. yang pastinya kita tidak akan dapat mendengarnya dari lisan Nabi kita yang mulia, maka melalui sebuah penulisanlah kalimah-kalimah dari seorang manusia pilihan Ilahi dapat kita membacanya hingga ke saat ini.
"Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam"[Al-Alaq 96:3,4]
Tulisan juga menjadi kaedah yang digunakan oleh pejuang-pejuang dakwah seperti Imam Malik, Abu Hanifah, As Syafie, Ahmad bin Hanbal, Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim dan banyak lagi dengan khazanah penulisan yang cukup banyak dan bermanfaat kepada generasi mereka dan juga hari ini. Ternyata walau umur mereka tidak selama umat-umat terdahulu namun mampu menghasilkan sumbangan yang tidak terbalas melalui buku-buku mereka. Lantaran memikirkan untuk mendidik umat maka pastinya mereka mengharapkan setiap tulisan mereka mampu membuat umat ini bertemu jalan kebenaran.
"Sungguh jika ALLAH memberikan hidayah kepada satu orang saja melalui perantaraan kamu, itu lebih baik bagimu daripada unta merah(jenis unta yang terbaik-pent.)"[HR Bukhari-Muslim]
Bahkan Hasan Al Banna walau tidak banyak menulis buku, namun lihatlah kepada sekalian yang pernah disentuh oleh dakwahnya. Kebanyakan mereka adalah penulis yang tersohor dalam pelbagai bidang yang turut menyelitkan pemikiran Hasan al Banna dalam buku-buku mereka demi melihat generasi seterusnya dapat merasai hasil pemikiran dan dakwah As Syahid Hasan al Banna.
Terpulang kepada kalian untuk memilih sarana dakwah sama ada lisan atau tulisan bergantung pada kemampuan masing-masing kerana sarana dakwah ini bukan sekadar lisan dan tulisan sahaja. Di sebalik semua ini yang lebih penting adalah kita tetap berada di medan dakwah tidak kira apa sarana dakwah yang kita gunakan. Mudah-mudahan kita tidak menggunakan lisan mahupun tulisan kita untuk menjauhkan umat dari agamanya, tidak menambahkan bibit-bibit kebencian atau pertelingkahan hatta cacian dan makian lewat lisan serta tulisan kita kerana dakwah ini adalah dakwah kasih sayang dan penuh lemah lembut bak pokok yang memberikan buah-buahnya tatkala manusia melemparinya dengan batu dan kayu.
"Maka disebabkan rahmat dari ALLAH-lah kamu berlaku lemah-lembut
terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu......"[Ali Imran 3:159]
Ketahuilah bahawa dakwah melalui sikap dan akhlak juga harus kita utamakan dalam setiap sarana yang kita gunakan kerana manusia mungkin lebih tertarik dengan perwatakan dan akhlak orang yang menyebarkan dakwah berbanding lisan mahupun tulisannya, maka tunjukkanlah perwatakan dan akhlak Rasulullah S.A.W. dalam sarana dakwah kalian.
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH"[Al Ahzab 33:21]
Usahlah kalian bimbang manakah antara sarana dakwah itu yang akan berkekalan kesannya, kerana pastinya setiap yang baik dan bermanfaat itu akan tetap membuahkan hasilnya, kerana tugas kita adalah untuk tetap menunaikan kewajipan walau sarana tersebut tidak mendatangkan hasilnya.
Yakinlah bahawa setiap usaha kita untuk berbakti demi umat ini walau tidak berkekalan di muka bumi ia akan tetap dicatat dalam sebuah kitab yang bakal menjadi bukti di akhirat kelak bahawa kita adalah orang yang ingin berbakti.
"Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang-orang yang berbakti itu (tersimpan) dalam Illiyyin. Tahukah kamu apakah Illiyyin itu. (Iaitu) kitab yang bertulis, yang disaksikan oleh malaikat-malaikat yang didekatkan (kepada ALLAH)"[At-Tatfif 83:18-21]
Jauhilah diri kalian dari bersikap curang dan durhaka kepada ALLAH kerana ia juga bakal dicatat dalam sebuah kitab yang menjadi bukti bahawa kita adalah orang yang akan menyesal akibat perbuatan jahat dan keji dalam kehidupan yang penuh tipu daya ini.
"Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang yang durhaka tersimpan dalam Sijjin. Tahukah kamu apakah Sijjin itu. (Ialah) kitab yang bertulis"[At-Tatfif 83:7-9]
Tulisan ini adalah pandangan peribadiku, sebagai insan biasa yang masih mencari sarana yang bagaimana bisa membuat umat ini mengetahui tugas dan tanggungjawabnya di muka bumi ini. Boleh jadi tulisan ini benar pada pandanganku, boleh jadi salah pada pandangan orang lain.
Terpulang kepada kalian untuk menerima atau menolaknya bak kata Imam Malik "Setiap orang boleh diterima atau ditolak pendapatnya kecuali Rasulullah SA.W."
Persoalannya, adakah kita sudah berdakwah??????
Wallahu’alam
Al Abd Al Faqir,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Kolej Kedua UPM
7 Rabi’ul Akhir 1428H 08:14 a.m.
1 comment:
Masyarakat dapat dikelompokkan menjadi komunitas kafir, musyrik, fasik, munafik, dan muttaqiin. Tiap kelompok membutuhkan strategi dakwah yang berbeda-beda.
Untuk sharing silahkan klik http://sosiologidakwah.blogspot.com
Post a Comment