Bila berbicara masalah rezeki, pasti akal kita akan membayangkan wang ringgit sebagai sumber rezeki yang utama. Tanpa duit seolah-olah dunia ini tidak ada nilainya lagi. Tanpa duit, hati ini akan mula merasa gelisah dan pastinya kita akan melakukan sesuatu untuk memperolehinya. Lantaran itu, kita akan melihat pelbagai cara dan kaedah yang digunakan oleh manusia hari ini untuk mengumpulkan rezeki.
Sebagai insan yang bergelar Muslim juga tidak akan terlepas daripada mencari rezeki masing-masing, kerana agama ini tidak semata-mata untuk beribadat kepada ALLAH tetapi juga untuk memanfaatkan kehidupan di muka bumi. Lalu sudah pasti Islam juga memberikan cara dan kaedah yang terbaik untuk umat ini hatta dalam pencarian rezeki kerana Islam adalah agama yang menyeluruh dan mencakupi segenap aspek kehidupan kita . Justeru itu kita wajar mengarahkan kehidupan kita berpandukan syariat Islam
“ Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.[ Al Baqarah 2:208 ]
Keberkatan dalam setiap rezeki yang diperoleh perlu ditekankan dalam diri setiap Muslim kerana ia akan dipersoalkan di akhirat kelak seperti makna sabda Rasulullah S.A.W.
“ Belum berganjak lagi kedua kaki seseorang hamba (di hadapan ALLAH S.W.T. pada hari kiamat), sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya, untuk apa dibinasakannya(digunakannya).” [ H. R. Tirmizi mengatakan Hadis hasan sahih][1]
Perhatikanlah wahai sahabat-sahabatku, betapa harus kita berusaha untuk mencari harta dari sumber yang halal agar ia juga dapat kita manfaatkan di jalan kebaikan. Tidak salah mengumpul duit dan harta yang banyak kerana para sahabat Rasulullah juga ramai yang berstatus ‘businessman’ , ‘millionaire’ dan sebagainya tetapi mereka juga insan yang beriman, pemurah, dan bertakwa, bahkan 10 orang sahabat yang disebut oleh Rasulullah S.A.W sebagai penghuni syurga ketika mereka masih hidup kebanyakannya adalah individu yang kaya-raya dengan harta yang banyak. Walaupun begitu harta dan duit yang mereka perolehi tidak pernah melupakan dan melalaikan mereka daripada tanggungjawab agama. Merekalah orang yang sanggup meninggalkan harta demi untuk berhijrah bersama Rasulullah S.A.W, juga memberikan harta mereka untuk berjihad menentang musuh-musuh ALLAH. Inilah orang-orang yang memiliki harta yang terbaik persis sabda Rasulullah S.A.W.
“Sebaik-baik harta yang halal adalah harta yang dimiliki oleh orang yang soleh[2]
Mencari duit dan harta dari sumber yang halal adalah kewajipan bagi setiap Muslim, kerana kita inginkan rezeki yang barakah yang mampu menyelamatkan kita di akhirat kelak. ALLAH pasti memberikan rezeki-Nya kepada hamba-hambanya kerana Dia Yang Maha Pemberi Rezeki.
“ Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu” [ Az-Zariyat 51: 22]
“.......Barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH, niscaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan)-nya.....[At-Talaq 65: 2,3]
Perhatikan ayat-ayat tersebut mengajak kita meyakini bahawa ALLAH adalah pemberi rezeki kepada hidup kita, dan pastinya mereka mencari rezeki dari sumber yang halal dan menggunakannya di jalan ALLAH, seperti yang difirmankan ALLAH bahawa mereka adalah orang yang bertakwa dan bertawakal kepada ALLAH.
Dalam dunia yang semakin berkembang dengan pelbagai kemajuan, manusia juga akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing agar dapat menyesuaikan kehidupan mereka dalam dunia kemajuan hari ini. Lantaran itu masa-masa yang ada akan dikorbankan untuk mengumpul harta dan kekayaan. Lebih malang lagi andaikata soal halal dan haram dalam mencari rezeki sudah tidak dipedulikan lagi bagi insan yang bernama Muslim.
Islam hadir dalam masyarakat yang penuh dengan kesesatan aqidah, kerosakan akhlak dan kecelaruan sistem ekonomi. Kemudian Islam bukan sekadar membersihkan segala kesesatan dan penyimpangan sistem jahiliyah tersebut bahkan memberikan penyelesaian dan kaedah baru untuk menggantikan sistem jahiliyah tersebut. Maka kerana itu dalam soal mencari rezeki, Islam tidak sekadar menyuruh umatnya mengumpul harta dan kekayaan tetapi juga memikirkan keberkatan dari harta yang diperoleh. Islam mengajar umatnya untuk memanfaatkan dunia dan juga menyediakan bekalan untuk akhiratnya, lalu setiap rezeki yang dicari mudah-mudahan juga menjadi ‘rezeki’ di akhirat kelak.
Perniagaan adalah salah satu cara untuk memperoleh rezeki, bahkan ia merupakan kaedah yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah untuk mendapatkan rezeki. Sebelum Islam tiba perniagaan zaman jahiliyah penuh dengan penipuan, penindasan dan pemaksaan, harta kekayaan hanya berlegar di kalangan orang kaya manakala yang miskin terus dengan kemiskinan mereka. Kemudian Rasulullah mengubah sistem perniagaan tersebut dengan penuh ketelusan dan keadilan yang dapat dirasai oleh golongan yang kaya dan miskin. Di zaman ini pelbagai jenis perniagaaan boleh kita lihat dan kita sedia maklum sistem ekonomi Islam masih belum menyeluruh ke dalam sistem perniagaan yang ada. Jikalau ada, Alhamdulillah, cuma mungkin masih dalam kuantiti yang kecil.
Mudah-mudahan kita tidak terlibat dengan perniagaan yang penuh dengan penipuan, pemaksaan dan apatah lagi yang haram sekalipun ia bakal membuatkan kita mendapat duit dan harta yang tidak pernah diimpikan sebelum ini. Ingatlah sahabat-sahabatku walau sebanyak mana kekayaan dan duit yang dikumpul tetapi andaikata tidak ada keberkatan di dalamnya, kita bimbang ia bakal menjauhkan kita daripada jalan yang ALLAH redhai yang akhirnya bisa membuatkan kita tidak mampu untuk menjawab persoalan harta kekayaan kita di Mahkamah Qadhi Rabbun Jalil[3]
Hidup ini juga merupakan perniagaan bagi sesiapa yang mengetahuinya kerana segala yang kita perbuat dalam kehidupan kita bakal diperoleh ‘rezeki’nya di akhirat kelak sama ada kita menjadi orang yang beruntung atau rugi bergantung apakah ‘perniagaan dunia’ yang kita usahakan. Oleh itu hayatilah ayat Al-Quran ini agar bisa mengingatkan kita bahawa kehidupan ini memerlukan ‘rezeki yang berkat’
“ Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?.(Yaitu) kamu beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan ALLAH dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. niscaya ALLAH akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.” [ As Saff 61:10,11,12]
RUJUKAN :
[1] Buku 40 Hadis Penawar Hati, Hadis Pertama- Empat Pertanyaan Yang Mesti Dijawab, m/s 15 susunan Abu Ali al-Banjari An- Nadwi, terbitan Khazanah Banjariah.
[2] Sanad Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari ‘Amr al-Ash radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari (al-Adab al-Mufrad) dan Abu Ya’la, sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad Abu Ya’la – no:7336 (Musnad ‘Amr bin al-‘Ash, hadis pertama). Diambil dari Hadis-Hadis Bercanggah karya Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
[3] Buku 40 Hadis Penawar Hati, Hadis Ketujuh- Mahkamah Qadhi Rabbun Jalil, m/s 28 susunan Abu Ali al-Banjari An- Nadwi, terbitan Khazanah Banjariah.
Mohd Halimi Abdul Aziz
22 Rabiul’awal
12:17 p.m.
No comments:
Post a Comment