Pendakian memang sebuah perjalanan yang memenatkan, menyusahkan dan menyakitkan sendi-sendi badan. Itulah lumrah sebuah pendakian. Adakah kalian pernah mendaki? Beberapa hari yang lalu diri ini dan sahabat-sahabatku pergi mendaki sebuah gunung di Kuala Pilah. Ia bukan gunung yang terlalu tinggi, juga bukan gunung yang terlalu sukar didaki namun telah membuatkan kami merasa tidak mampu meneruskan pendakian kerana kembara sebuah pendakian ini bukan semata-mata untuk menuju ‘puncak’ namun untuk mencari ibrah sebuah pendakian yang sukar itu dan berharap agar ia menjadi bekal dalam pendakian sebuah ‘puncak’ kehidupan yang serba singkat ini.
Perjalanan ke kaki gunung memerlukan kami berjalan selama satu jam lebih ditambah dengan hujan yang turun mencurah-curah. Kami masih ingin pergi mendaki walau hujan tidak berhenti setelah bermusyawarah dengan semua sahabatku. Mungkin ini satu keputusan yang silap namun itulah keputusan yang telah kami pilih kerana mudah-mudahan tersalah dalam bermusyawarah lebih baik daripada betul dalam sendirian. Islam juga mengajar umat ini sentiasa mengutamakan musyawarah kemudian bertawakal kepada-Nya setelah dibulatkan tekad.
“.......dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
[Ali ‘Imran 3:159]
Wahai pejuang-pejuang kebenaran usahakanlah untuk sentiasa musyawarah dalam setiap tindakan yang kita perbuat agar keberkatan dalam musyawarah itu bakal memudahkan segala pekerjaan kita. Janganlah kalian mementingkan diri sendiri dengan mengabaikan pandangan orang lain, kerana mendengar pandangan orang lain adalah salah satu tanda kerendahan hati kalian.
Kembara ini juga membuatkan kami mengambil beberapa rukhsah dalam urusan solat. Demi mengurangkan beban semasa pendakian segala perlengkapan solat yang biasa dipakai sehari-hari semuanya ditinggalkan seperti sejadah, kain pelekat, kain telekung dan sebagainya kerana sesungguhnya ia bukan sesuatu yang wajib ada. Kewajipan berwudhuk juga dilakukan tanpa perlu membuka kasut, tanah menjadi tempat sujud kami, pakaian mendaki menjadi pakaian solat kami yang dibasahi oleh titisan hujan dan peluh.
Inilah keindahan dan kemudahan Islam kepada setiap penganutnya, jangan kerana kebiasaan kita dalam menunaikan kewajipan dalam agama ini menjadikan kita tidak mengetahui untuk mengamalkannya dalam kondisi yang lain. Islam adalah agama yang tetap pada prinsip tetapi mudah pada pelaksanaannya. Oleh itu sahabat-sahabatku tambahkan ilmu agama kalian agar ia bisa membuatkan kita merasa bertuah dengan keislaman yang kita anuti ini, kerana ia bukan agama yang kita warisi dari datuk nenek kita tetapi sebuah agama yang kita fahami dari sumbernya yang asli. Rukhsah yang ku sebut diatas bahkan tidak hanya terbatas untuk mendaki sahaja bahkan dimana sahaja kalian berada ia adalah sesuatu yang boleh diamalkan. Mudahkanlah dan jangan mempersulit dalam agama ini selagi tidak mengundang dosa.
“..........Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.....”[Al Hajj 22:78]
“Kalian diutus sebagai orang-orang yang memberikan kemudahan, bukan sebagai orang-orang yang membuat kesulitan.”[HR Bukhari dari Abu Hurairah r.a]
Pendakian diteruskan hingga akhirnya kami mula menyedari jalan yang ditempuh adalah jalan kesesatan (tersalah arah sebab leader mendaki x survey betul2). Maka kami pun berpatah balik mencari jalan yang benar. Lumrah manusia apabila telah tersesat pasti ingin mencari jalan yang benar kembali dalam sebuah perjalanan. Namun dalam perjalanan kehidupan ini berapa ramai yang tetap membiarkan dirinya dalam kesesatan, kelalaian dan kealpaan walau jalan kebenaran ini sedang mencari pejuang-pejuang yang sanggup membela agama-Nya.
Pelbagai alasan diberi kerana merasakan diri ini tidak cukup baik untuk bercakap tentang agamanya sendiri, seolah-olah agama ini hanya boleh dilaungkan dan disebut oleh orang-orang yang studynya memang bidang agama. Masa juga menjadi alasan yang cukup popular untuk tidak melibatkan diri dengan tarbiyah Islamiyyah dan mentarbiyah orang lain demi mencari jalan kebenaran itu. Sedangkan tika diri ini tersesat dalam sebuah perjalanan, biarlah berapa lama pun masa yang diambil agar bertemu dengan jalan yang betul, pasti diri ini sanggup meredahnya. Carilah jalan kebenaran itu wahai sahabatku agar pendakian kehidupan ini menjadi lebih bermakna.
“........Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan kerana kamu tetap mempelajarinya.”[Ali ‘Imran 3:79]
Masa semakin suntuk dan matahari semakin hilang dari pandangan, namun pendakian ini masih belum tiba kemuncaknya. Lantaran memikirkan gelap kian menghampiri kami, maka di mana kami berhenti di situlah ‘puncak’nya. Sedih rasanya tidak dapat meneruskan pendakian, namun keputusan telah dibuat dan kami harus turun dari pendakian ini.
Tahukah kalian ada insan yang telah sampai kepada puncak kenikmatan, melihat keindahan tempat yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata, tempat yang tidak dapat dibayangkan oleh fikiran dalam perjalanan Isra’ dan Mikraj, namun insan ini tetap turun kembali untuk bersama umatnya dengan pelbagai ujian dan dugaan yang membuatkan airmata dan darah insan ini mengalir kerananya. Dialah Rasul ikutan kita, MUHAMMAD S.A.W.
Mudah-mudahan kita adalah orang-orang yang sentiasa ingin bersama umat dalam perjuangan membela Islam agar kelak ketika tiba kembali saat untuk mendaki sebuah puncak ‘kematian’, kitalah insan yang tidak ingin turun kembali demi mendapat gelaran ‘syuhada’
Gelap malam mula menyelubungi kami dengan beberapa suluhan lampu suluh dalam perjalanan balik dari sebuah pendakian singkat. Tanpa suluhan lampu, mata ini seolah-olah tidak mampu untuk melihat apa-apa, tetapi cahaya yang tepancar dari beberapa lampu suluh walau sumber kuasa baterinya diragui dapat bertahan sampai bila, namun hanya itulah yang mampu digunakan untuk menunjuk kami pulang ke pangkal jalan.
Ya, hidup ini memerlukan cahaya demi memandu sebuah perjalanan ke tempat yang selamat. Tiada sesiapa yang ingin hidup dalam kegelapan, kerana fitrah manusia ini perlukan cahaya. Lantaran itulah ALLAH menggambarkan dalam banyak ayat-ayatnya bahawa kebenaran ini adalah cahaya untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Penuhilah hidup kalian dengan berharap agar hidup ini sentiasa disuluhi dengan cahaya kebenaran dari Ilahi.
“ALLAH pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.....”[Al Baqarah 2:257]
Akhirnya kami tiba dengan selamat tanpa sebarang kecederaan kecuali bagi sahabat-sahabat yang telah menderma darah mereka kepada pacat-pacat terpilih dalam kembara ini. Kami juga disambut oleh JPA3 dan polis cawangan khas yang kebetulan turut sama berkampung di situ. Andai terlewat beberapa minit lagi pasti mereka akan kerahkan gerakan untuk mencari kami dan boleh jadi pihak media TV3, NTV7, TV9 juga akan datang andai kami tidak dijumpai. Namun itu semua tidak berlaku kerana dengan pertolongan ALLAH telah membuatkan kami dapat keluar dengan selamat. ALHAMDULILLAH.
“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.”[Yunus 10:12]
Ya ALLAH, jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa bersyukur dengan segala anugerah dan nikmat serta pertolongan yang telah DIKAU berikan kepada kami, janganlah DIKAU membuatkan kami lupa segala pemberian-Mu setelah sebelumnya kami merintih, mengadu dan berharap akan pertolongan-MU.
Ya ALLAH, mudah-mudahan setiap pengalaman yang kami perolehi dalam kembara ini bisa menguatkan azam kami untuk memahami agama-Mu, menyebarkan risalah-Mu dan berkorban demi agama-Mu.
Ya ALLAH, tetapkan hati-hati ini agar sentiasa dalam cahaya hidayah-Mu, berilah kekuatan kepada diri ini untuk tetap istiqamah membela agama-Mu, berilah keinginan dalam diri ini untuk mendaki puncak keridhaan-Mu. Amiiin.....
Artikel ini sempena Kem Pengukuhan Rohani(KPR '07) anjuran Sekretariat Pembangunan Sahsiah Kolej Kedua, UPM
Al Abd Al Faqir
Mohd Halimi Abdul Aziz
Unit Tarbiyah KPR ‘07
28 Rabiul’ Akhir 1428H 19:05 p.m.
Al Abd Al Faqir
Mohd Halimi Abdul Aziz
Unit Tarbiyah KPR ‘07
28 Rabiul’ Akhir 1428H 19:05 p.m.