Wednesday, May 16, 2007

PANDULAH BERLAMPU DI WAKTU HUJAN...


Jika anda seorang pemandu berhemah, tentu anda sudah sedia maklum, akan kesulitan, bahaya dan risiko yang dihadapi oleh seorang pemandu tatkala hujan lebat datang menjelma. Jika sampai hujan yang turun sampai-sampai menyulitkan pemandangan, sekurang-kurangnya dua peralatan yang harus anda hidupkan sebagai langkah keselematan di samping kelajuan yang dikurangkan dan pemanduan yang penuh kehati-hatian: hidupkan wiper dan nyalakan lampu.

Terkadang orang salah memahami akan tujuan atau maqasid syariah untuk menyalakan lampu di waktu hujan. Pada mereka, kehadiran lampu tidak langsung membantu penglihatan mereka, lantaran efek cahaya yang dihadirkan sang lampu seakan tidak kelihatan. Di sini mereka gagal memahami, bahawa menyalakan lampu di waktu hujan justeru bukan untuk kemudahan peribadi, tetapi bahkan untuk orang lain. Anda nyalakan lampu bukan untuk memudahkan penglihatan anda, tetapi memudahkan pemandu lain menyedari kehadiran kenderaan anda!

Ertinya, sifirnya songsang daripada yang anda sangkakan! Menyalakan lampu itu bukan bersifat “menerima”, tetapi lebih kepada “memberi”. Ia lebih kepada “menyumbang”, berbanding hanya “menikmati”. Anda memandu sambil menyalakan lampu justeru kerana memikirkan orang lain, berbanding memikirkan diri sendiri. Lalu, jadilah anda pemandu berhemah yang sering di promosikan oleh JPJ dan media massa .

Jika saja Ubai Bin Kaab hidup di zaman kini, barangkali definasi “taqwa” yang ditanyakan oleh Saydina Umar al-Khattab akan dijawabnya “umpama memandu kenderaan di waktu hujan.” Kerana di sana , terdapat juga unsur kehati-hatian sepertinya juga berjalan di jalanan yang berduri, bahkan ditambah sikap “memikirkan umat” berbanding hanya diri sendiri sebagai pelengkap ciri-ciri insan bertaqwa.

Lalu sedarlah wahai saudaraku, betapa para anbiya’ wal mursalihin, beserta para sahabat dan pengikutnya, adalah orang yang hidupnya “untuk orang lain”, bukan untuk diri sendiri. Mereka hidup untuk “memberi”, bukan hidup merintihkan “pemberian.” Hidup mereka bahkan rela dikorbankan, demi kemanfaatan dan kesejahteraan umat dalam naungan Islam yang indah. Umpamanya ungkapan Mujadid nan mulia Hassan al-Banna; “Kami bekerja untuk manusia kerana ALLAH lebih daripada kami bekerja untuk diri kami sendiri..”

Musibah yang menimpa mereka tidak pernah menikam sukma, lantaran jiwa mereka sibuk memikul musibah umat. Musykilah (permasalahan) mereka umpama kecil hendaknya, lantaran akal mereka sibuk memikirkan penyelesaian musykilah umat. Air mata mereka mahal harganya dan tidak pernah dan tidak akan pernah mereka tumpahkan air mata mereka yang sedia terhad itu untuk menangisi nasib mereka, lantaran air mata itu mereka optimakan guna menangisi kesedihan umat. Kerana mereka “menyalakan lampu kenderaan” itu di waktu “ribut”, bukan untuk diri mereka, tetapi bahkan untuk umat!

Seumpama ungkapan-ungkapan akhir Junjungan tercinta, “umatku! Umatku!”, maka sebegitulah juga mereka, dan sebegitulah pula hendaknya kita. Hingga tenanglah hatimu menghadapi ribut badai kehidupan, kerana “lampu”mu menyala bukan mengubat duka lara jiwamu, tetapi menghibur dan membelai duka lara umat.

Maka marilah kita memikirkan pula nasib saudara-saudara kita, hingga selamatlah pemanduan kita, hingga tiba bahagia, di destinasi abadi sana .

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencinta iuntuk saudaranya seperti apa yang ia cintai untuk dirinya.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)




Thank you.

"The believers, in their love, mercy, and kindness to one another are like a body: if any part of it is ill, the whole body shares its sleeplessness and fever" -Prophet Muhammad (P.B.U.H.)

Best Regards,
Faridul Farhan Abd Wahab
Electrical Engineer
Jimah O&M Sdn. Bhd.
2 x 700MW Coal Fired Power Plant Project
PT 7308 & PT 7309,
Mukim Jimah, Daerah Port Dickson,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
(Tel: 06-658 1158/ 06-658 1149 Ext: 1090)
Email: faridul@jimahev.com

No comments: