Thursday, June 28, 2007

PCR


Ingin ku perkenalkan kalian dengan salah satu teknik yang biasa digunakan oleh mereka yang terlibat dengan biologi molekul terutama mengenai DNA(deoxyribonucleic acid) iaitu teknik PCR(Polymerase Chain Reaction). Ia digunakan untuk memperbanyak bilangan gen yang diperlukan melalui beberapa peringkat.

Terdapat tiga peringkat yang kebiasaannya akan digunakan dalam teknik PCR ini. Pertama adalah pemisahan(denaturation), kedua pencantuman(annealing) dan pemanjangan(extension). Sebelum teknik ini diaplikasikan suatu jujukan gen atau digelar ‘primer’ diperlukan untuk memastikan gen yang kita inginkan dapat diperbanyak melalui teknik PCR ini.

Denaturation atau pemecahan DNA adalah proses yang pertama dimana DNA yang berbentuk ganda dua(double strand) akan dipisahkan menjadi satu(single strand), lantaran itu alangkah baik andai dapat kita kaitkan ia sejenak dalam kehidupan kita. Pemisahan adalah satu proses yang sering kita hadapi, kita terpisah dari alam roh ke alam dunia, terpisah dari alam kanak-kanak ke alam dewasa, terpisah dari alam belajar ke alam kerjaya dan akhirnya terpisah dari alam kehidupan ke alam kematian. Namun dalam merentasi setiap pemisahan tersebut kita berharap agar kita sentiasa terpisah dari alam kebatilan ke alam kebenaran. Adapun begitu seringkali kita melihat ada beberapa golongan yang memisahkan diri dari alam kebenaran seperti yang Ustaz Fathi Yakan gambarkan dalam bukunya Golongan yang Tercicir dari Jalan Dakwah. Maka adalah suatu yang tidak mustahil golongan kebenaran bisa terpesong dari arah tujuan dan matlamat Islam yang suci. Oleh itu proses yang seterusnya harus kita aplikasikan.

“…Barangsiapa yang berpegang teguh kepada (agama) ALLAH, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus.[Ali Imran 3:101]

Annealing atau pencantuman ‘primer’ adalah proses yang kedua untuk menyambung kembali ‘single strand’ menjadi ‘double strand’ semula dalam teknik PCR. “Primer” inilah yang kita perlukan dalam kehidupan, agar dapat menetapkan diri ini dalam kebenaran dan menyambung kembali kepada kebenaran andai diri sudah mula tersesat dari jalan-NYA. Tidak cukup sekadar mengaku sebagai Muslim, tetapi harus juga ditampung dengan ‘primer aqidah’, ‘primer ibadah’ dan ‘primer akhlak’ hingga ‘primer-primer’ ini akan menghasilkan individu yang tegar dengan aqidah yang bersih, tekun dengan ibadah yang sahih dan tenang dengan akhlak yang terpuji. Setelah ini terbentuk maka ia tidak akan lengkap tanpa proses yang seterusnya.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhannya….[Al-Baqarah 2:208]

Extension atau pemanjangan gen menggunakan enzim yang dipanggil DNA Polymerase adalah proses yang ketiga dalam teknik PCR untuk menghasilkan berjuta DNA yang mempunyai jujukan gen yang sama. Tidak ada maknanya jika hanya diri ini yang mempunyai aqidah yang suci, ibadah yang sahih dan akhlak yang terpuji, namun membiarkan umat ini terus dengan aqidah, ibadah dan akhlak yang rosak. Betapa harus kita berperanan seperti enzim yang mampu menjadi pemangkin hingga dapat mencetak DNA yang sama jujukan gennya, kita juga seharusnya berusaha untuk mencetak seramai mungkin individu yang mempunyai peribadi Islam yang syumul hingga cita-cita murni untuk melihat dakwah Islam kembali bangkit di muka bumi yang tercinta.

“….kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran[Al-Asr 103:3]

Setiap proses dalam teknik PCR ini memerlukan suhu yang tertentu untuk pemisahan, pencantuman dan pemanjangan. Andai tersalah menentukan suhu bagi setiap proses diatas, maka proses dalam PCR ini tidak akan berlaku. Begitu juga dengan perjuangan menegakkan kebenaran harus mengetahui ‘suhu’ semasa ingin menerapkan proses tersebut dalam jiwa umat ini. Setiap individu berbeza cara pemikiran, budaya dan gaya hidup. Para pendokong perjuangan harus melihat setiap situasi dan keadaan umat dalam menyampaikan risalah kebenaran. Kita tidak mahu kerana kelemahan kita untuk menilai ‘suhu’ dalam setiap proses mendidik umat kepada kebenaran menyebabkan mereka semakin mendekati kebatilan berbanding kebenaran. Ruang untuk memperbaiki umat ini masih ada jika kita memanfaatkan masa, tenaga, harta bahkan jiwa ini demi Islam yang tercinta.

“(Iaitu) kamu beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA dan berjihad di jalan ALLAH dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya”[As Saff 61:11]

Salam kembali kepada semua individu yang bakal meneruskan pengajian mereka, mudah-mudahan kembalinya kalian dengan semangat dan cita-cita menjadi Muslim Profesional dalam menyebarkan risalah dakwah hingga kalian wajar untuk digelar Pemuda/i Cinta Rasul (PCR)

Dari Abu Muhammad Abdullah bin Amr bin Ash ra. Berkata: RasuluLLAH s.a.w. bersabda, “ Tidak beriman seseorang di antara kalian sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran-ajaran yang aku bawa.”(Hadits shahih, kami riwayatkan dalam kitab Al-Hujjah dengan sanad yang shahih)-Hadits 41 dari Hadits Arba’in An Nawawiyah
p/s- Penjelasan lanjut mengenai teknik PCR boleh dibaca melalui http://en.wikipedia.org/wiki/Polymerase_chain_reaction

Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
14 Jamadil Akhir 1428H 02:37a.m.

Thursday, June 21, 2007

REALITI DAN FANTASI



Realiti dan fantasi pastinya dua perkara yang berbeza, realiti adalah yang zahir dan nyata manakala fantasi adalah yang samar-samar dan belum jelas keberadaannya. Inilah pemikiran atau definasi spontan yang dapat kita ulas berkaitan realiti dan fantasi. Bahkan sebahagian ahli sains mengusulkan sesuatu perkara harus dibuktikan keberadaannya barulah ia diterima sebagai suatu yang realiti, sedangkan sesuatu yang tidak dapat dibuktikan hanya akan dianggap fantasi bagi golongan ini. Adakah kita juga begitu, mudah-mudahan tidak kerana sebagai umat yang berpegang pada prinsip Islam yang jelas, segala istilah yang diguna pakai harus disesuaikan dengan bingkai agama kita yang mulia. Andai kaedah ini diabaikan, betapa mudah musuh-musuh Islam meragukan kita tentang keberadaan hari kiamat, syurga dan neraka, malaikat dan perkara-perkara ghaib yang lain, kerana ia semua pada pandangan mereka hanyalah fantasi umat Islam semata-mata sedangkan kita menganggapnya adalah suatu yang realiti kerana salah satu ciri orang beriman adalah mempercayai perkara-perkara ghaib [Al-Baqarah 2:3]

Sikap inilah yang juga menimpa kaum Nabi Musa ketika mereka meminta agar ALLAH menunjukkan wajah-Nya dihadapan mereka, barulah mereka akan beriman,[Al-Baqarah 2:55] bahkan umat Nabi yang lain juga begitu. Kita berdoa agar umat akhir zaman ini tidak begitu. Ya, boleh jadi umat ini tidak akan mempersoalkan perkara-perkara ghaib yang ku sebut diatas, namun realiti dan fantasi yang ingin ku kongsi bersama kalian bersama kalian bukan sekadar itu tetapi tentang sikap umat yang mendokong kebenaran dan yang mendokong kebatilan. Siapakah yang sedang berada dalam realiti dan fantasi?

Mari kita lihat sejenak umat yang dibelenggu oleh anasir kebatilan ini, betapa mereka dilalaikan dan dilekakan dengan pelbagai aktiviti dan program yang hanya membuang masa mereka, memalukan diri mereka, merosakkan diri mereka dengan hiburan yang tidak ada tujuan dan matlamat yang jelas. Krisis ini bukan hanya menimpa orang dewasa bahkan telah merebak ke jiwa anak-anak kecil, kalau sebelum ini program mencungkil bakat baru hanya untuk si dewasa yang merasakan dirinya harus memberikan sumbangan dalam industri hiburan walau suara tidak sebaik mana, namun lebih menyedihkan ketika mana jiwa-jiwa yang baru mengenal dunia turut terlibat dalam studio si kecil untuk membuktikan bahawa mereka juga ada hak untuk menyumbang sesuatu dalam industri hiburan walau yang menarik boleh jadi dari segi gaya tangan dan kaki mereka sahaja.

Pada pandangan pendokong kebenaran mereka ini tidak sedar bahawa mereka sedang berada dalam fantasi yang hanya mementingkan nilai dunia semata-mata, namun hakikatnya wahai sahabatku mereka telah merealisasikan fantasi mereka lewat program dan aktiviti mereka. Bagaimana mereka dapat mengubah peribadi seorang penduduk kampung yang dulunya mungkin dianggap budak surau, akhirnya bertukar personaliti diri dengan pelbagai gosip dan kontroversi setelah bertukar medan kehidupan. Inilah realiti yang berjaya mereka bina.

Sedangkan di satu pihak lagi yakni pendokong kebenaran merasakan berada dalam realiti yang sebenar, berusaha untuk membina umat agar mengingati tujuan dan matlamat kehidupan mereka, mencegah mereka dari kemaksiatan, menuntun mereka menuju mardhatiLLAH, namun hakikatnya sahabatku kita mungkin masih banyak berfantasi inginkan Islam ini tertegak dibumi yang tercinta, namun jiwa umat ini belum merasai ia bisa tertegak di dalam jiwa mereka, bandingkan antara program yang melalaikan umat dan yang menyedarkan umat mana yang lebih banyak pengaruh dan kehadirannya. Ya, bukan semuanya begitu namun ia menunjukkan perjuangan masih jauh, umat yang lalai itu mungkin menganggap kita hanya berada dalam dunia fantasi kita sendiri lantaran tidak mampu untuk memberi alternatif terbaik untuk mendidik mereka menuju jalan kebaikan yang Islam inginkan, ditambah lagi dengan pertelingkahan sesama golongan kebenaran yang merugikan masa dan umat.

Kita harus berusaha untuk merealisasikan Islam ini dalam segenap aspek kehidupan, agar umat bisa menerimanya dengan hati yang bersih untuk kembali kepada jalan kebenaran ini. Setiap dari kita harus memainkan peranan melalui posisi masing-masing untuk membawa umat yang terlena ini kepada umat yang sedar akan tanggungjawabnya di muka bumi.

Teguhkan diri ini dalam kebenaran untuk menghadapi segala ujian dan cubaan dari serangan kebatilan agar setiap impian dan cita-cita Islam kita tidak sekadar fantasi lagi namun adalah realiti yang bakal kita bina sama ada diri ini sempat melihatnya atau gugur kerana ingin merealisasikannnya.

“Walaubagaimana lajunya jalan kejahatan, akan dapat dikejar oleh kebenaran, tetapi walau bagaimana lambatnya jalan kebenaran, tidak akan dapat dikejar oleh kejahatan”-Dr. Aidh Al-Qarni

Hamba yang Dhoif,
Mohd Halimi Abdul Aziz
7 Jamadil Akhir 1428H 02:48a.m
ikhwah00@yahoo.com

Thursday, June 14, 2007

BLACKLIST



Bila terdengar perkataan ‘blacklist’ pasti yang mula timbul di benak fikiran tentang perkara yang buruk, boleh jadi berkaitan tentang salah laku atau jenayah yang dilakukan hingga wajar di ‘blacklist’kan. Tiada siapa pun yang ingin di‘blacklist’ sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara. Lihat sajalah ketika mana Washington mem‘blacklist’kan Malaysia antara negara yang menyeludup manusia, pantas beberapa pemimpin negara mengeluarkan kritikan bahawa dakwaan itu tidak benar dan tidak sah. Persoalannya bukanlah siapa yang benar dan siapa yang salah tetapi yang pastinya kita tidak mahu di‘blacklist’ kerana ia suatu yang memalukan dan boleh jadi menjatuhkan maruah. Apakah ‘indicator’ untuk menggunakan perkataan blacklist pada orang lain dan siapakah yang paling layak untuk mem‘blacklist’ orang lain.

Lalu terdapat dua golongan yang pasti terlibat iaitu yang menuduh dan yang dituduh, dan kebiasaannya kita akan lebih selesa berada di zon golongan yang menuduh kerana yang dituduh biasanya orang yang melakukan kesalahan. Adakah kenyataan ini benar?

Andai manusia menjadi pemutus segala sesuatu pastinya yang kuat akan sentiasa menuduh yang lemah dan yang lemah pastinya akan sentiasa dituduh seperti mana teori Darwin “Survival of the Fittest”. Maka manusia tidak layak untuk menetapkan sesuatu kerana lemahnya fikiran hingga sentiasa ada golongan yang menindas dan ditindas pabila suatu ketetapan dibuat oleh tangan manusia.

Maka Islam datang untuk mengajar manusia siapa dirinya yang sebenar, bagaimana hidup ini harus dimanfaatkan, apakah ketetapan yang harus diikuti dan siapa yang layak untuk di‘blacklist’kan. Kerana Islam adalah AD-Deen yang datang dari RABB yang menciptakan manusia yang pastinya Maha mengetahui apa yang sesuai dan tidak untuk manusia.

Jadi seharusnya ‘blacklist’ tadi juga mengikut acuan dan aturan yang Islam gariskan. Sama ada orang awam mahupun ahli agama harus mengikut jalan ini. Ingatkah kalian ketika tersebarnya berita mem‘blacklist’kan F&N, Gardenia, sosej, kes Azhar Mansor,kes Lina Joy dengan pelbagai tuduhan lewat SMS, maka tanpa pertimbangan agama kita sentiasa berada dikalangan orang yang menuduh walhal Islam telah menetapkan kaedah untuk memeriksa berita dan bersikap adil terhadap kawan mahupun lawan. Saksikanlah sendiri [ Al-Hujurat 49:6, Al-Maidah 5:8]

Dalam dunia tanpa sempadan saat ini, pelbagai teknologi dapat dimanfaatkan sama ada unutk kepentingan duniawi mahupun untuk menyebarkan risalah agama, cuma sayang andai segala teknologi tersebut lebih banyak digunakan untuk berbalah dan mempertahankan pendapat masing-masing. Persoalan antara salaf dan khalaf, sunnah dan bid’ah, taqlid dan talfiq mazhab, jemaah dan ummah centric, kaedah dan manhaj perjuangan bahkan pelbagai isu yang kontroversi memenuhi segenap laman web, blog, dan forum. Jika perbincangan demi mencari sebuah kebenaran maka ia adalah suatu yang cukup baik namun jika hanya ingin menjadi pemenang maka emosi mula menguasai diri lalu bertambahlah ‘blacklist’ masing-masing tanpa ada sudahnya. Nabi yang mulia telah mengingatkan kita

“….kesombongan itu menolak kebenaran dan menghina orang lain”
[H.R. Muslim]

Akhirnya sebahagian umat yang kurang kefahaman agamanya, lemah imannya, sakit jiwanya mengambil keputusan keluar dari agama ini. Saat itu kita pun mula serba tidak keruan pabila golongan ini bukan sahaja membiarkan dirinya berada dalam ‘blacklist’ orang murtad bahkan ingin menghilangkan segala identiti Islam sama ada dalam bentuk amalan mahupun tulisan melalui tindakan undang-undang. Lantas barulah kita mula merapatkan barisan mempertahankan sebahagian akta berkaitan Islam dan keputusannya kita menang tipis dengan agregat 2-1. Lalu bersorak gembiralah kerana telah berjaya memenangi sebuah perlawanan walau insan yang berbangsa Melayu itu tetap saja sudah tidak inginkan Islam dalam kehidupannnya. Jangan kita menjadi seperti kisah dahulu kala “menang sorak aqidah tergadai”(maaf andai tersalah).

Sama-samalah kita muhasabah daripada ujian ini, adakah kita ingin Islam ini pada nama dan gelaran semata-mata, sedangkan pegangan, pemikiran dan sikap berkiblatkan selain daripada Islam. Pastinya TIDAK!!!

Jika begitu, bangkitkan jiwa umat ini dengan Islam yang INDAH, MUDAH dan SA’ADAH, maka betapa seharusnya kita memahami apa yang seharusnya kita utamakan untuk menyedarkan umat, kenapa dan mengapa umat ini jauh dari agamanya, salah kita atau mereka. Renungilah baik-baik sahabatku, kerana kita bimbang jika diri ini menyangka dirinya telah melakukan kebaikan namun ia hanya menambahkan kerosakan kepada umat ini atas kejahilan diri sendiri.

Kita berdoa agar ALLAH tidak meletakkan kita dalam senarai ‘blacklist’-NYA, kerana senarai itu sudah pastinya sesuatu yang tidak boleh disangkal persis golongan yang mengakui dengan lidahnya bahawa mereka orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian namun ALLAH meletakkan mereka dalam ‘blacklist’-NYA sebagai orang munafik [Al-Baqarah 2:8]

Apatah lagi lebih menakutkan andai kita berada dalam ‘blacklist’ ILAHI sebagai orang yang murtad dari agamanya. Nau’zubiLLAH kerana yang merana dan sengsara adalah diri kita sendiri. Perhatikan ayat ini,

“……Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal didalamnya.”[Al-Baqarah 2:217]

Iringi doa-doa solat kita dengan sebuah doa yang dapat mengekalkan kita dalam petunjuk-NYA. INSYA’ALLAH



“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi(kurnia)”[Ali ‘Imran 3:8]

Nama kalian tidak akan di‘blacklist’ setelah membaca tulisan ini, andai di‘blacklist’, yang ‘black’ itu hanya ‘list’nya bukan kalian, kerana kalian tetap ‘white’(putih) dengan cahaya kemuliaan, keagungan dan ketinggian ISLAM selagi mana kalian mengatakan dan membuktikan bahawa SAYA ADALAH MUSLIM…..

Al ‘Abd Al Faqir,
Mohd Halimi Abdul Aziz
29 Jamadil ‘Awal 1428H 02:10a.m

Thursday, June 7, 2007

RESEARCH ASSISTANT (R.A)



Research assistant (R.A) ataupun dalam Bahasa Malaysia (dulu Melayu) ialah pembantu penyelidik adalah tugas yang kupikul setelah menamatkan pengajianku. Tanpa kusedari sudah lebih sebulan menjadi R.A, namun ada persoalan mula terbayang ketika mendapat tawaran sebagai R.A. Kenapa ingin menjadi R.A.? Adakah hanya kerana memikirkan peluang kerja cukup sukar untuk didapati saat ini, tambah pula ketika sahabat-sahabat lain masih belum tahu kemana hala tuju selepas tamat pengajian, diri ini telah pun memulakan tugasnya sebagai R.A. Adakah kerana ingin mendapatkan gaji setiap bulan untuk menampung kehidupan sehari-hari atau mengumpul duit untuk mendapat pasangan hidup semata-mata. Adakah kerana ingin membangga diri kepada sahabat-sahabat yang belum menerima apa-apa tawaran pekerjaan. Apakah tujuan dan matlamat menjadi R.A.

Tujuan dan matlamat harus diketahui terlebih dahulu sebelum kita memulakan sesuatu perkara, agar setiap yang dilakukan tidak tersasar dari tujuan dan matlamat yang kita tetapkan. Lantaran itu ingatkan diri ini dan diri kalian agar sentiasa menetapkan tujuan dan matlamat yang tepat dan jelas dalam setiap tindakan kita. ALLAH menetapkan tujuan penciptaan kita untuk mengabdikan diri kepada-NYA sebelum kita diciptakan.[Az Zariyat, 51:56]

Menjadi R.A bukanlah cita-citaku, bahkan tidak pernah terlintas untuk menjadi R.A ketika zaman kanak-kanak dulu, namun kenyataannya inilah pekerjaanku sekarang.
Mulanya diri ini tidak pasti adakah aku sesuai untuk menjadi R.A, bahkan ingin menyambung pengajianku ke peringkat Master selepas ini, tetapi ketika ALLAH menetapkan kita di suatu posisi, maka sewajarnya kita melakukan sebaik mungkin setiap pekerjaan yang kita lakukan agar ia bakal menjadi amal yang terbaik di akhirat kelak.
Maka tujuan dan matlamat harus ditetapkan terlebih dahulu.

Mudah-mudahan ini adalah jalan yang kupilih dengan penuh kerelaaan dan bukan kerana terpaksa, demi menjadi seorang Muslim Profesional, mungkin inilah salah satu jalannya agar matlamat untuk mencari ridha-NYA juga bisa tercapai.

Wahai generasi pewaris kebenaran tetapkanlah prinsipmu walau di medan mana kamu berada, kerana ketika kita memilih jalan perjuangan, ia harus dilalui dengan keinginan dalaman kita dan bukan keinginan luaran kita. Ketika tujuan dan matlamat telah jelas maka ikutilah prinsip tersebut semampu kalian, kerana kita bimbang andai prinsip kebenaran yang berpaksikan ALLAH sebagai ILAH YANG SATU dan MUHAMMAD IKUTAN KAMI sudah mula terhakis sedikit-demi sedikit, lantas pelbagai masalah dan pertelingkahan mula timbul sekalipun kita bergelar pejuang kebenaran.

Kalian pasti maklum bahawa setiap sahabat adalah R.A.(bukan pembantu penyelidik) tetapi insan- insan yang telah ALLAH ridhai, setiap kali nama mereka disebut pasti disusuli dengan RADHIYALLAAHU‘ANHU (R.A), namun adakah mereka harapkan setiap kali nama mereka ditulis harus dicatat R.A. Pastinya tidak kerana mereka bukan orang yang ingin berbangga dengan istilah pada nama semata-mata, tetapi kerana amal pengorbanan dan taqwa yang mereka usahakan dalam kehidupan yang serba singkat ini.

Mereka adalah orang-orang yang berpegang pada prinsip yang jelas dan benar-benar mengerti tujuan dan matlamat perjuangan ini. Lihatlah 10 orang sahabat yang telah mengetahui bahawa mereka adalah penghuni syurga di saat mereka masih hidup, tetapi sedikitpun tidak mengurangkan amal dan taqwa mereka apatah lagi mengorbankan prinsip, tujuan dan matlamat perjuangan mereka. Di saat Umar merasa tidak percaya bahawa Muhammad S.A.W telah wafat, Abu Bakar tenang mengingatkan bahawa hanya ALLAH yang harus disembah dan bukan Muhammad seraya membaca surah [Ali ‘Imran 3:144]


Tidak wajar kita menjadi murtad sekalipun Muhammad S.A.W telah wafat, kerana perjuangan berdasarkan tujuan dan matlamat yang jelas harus tetap diteruskan. Sayangnya ketika ini kita tidak mampu menyelamatkan aqidah insan-insan di negara sendiri bahkan mengingati nama-nama 10 sahabat pejuang umat pun terlalu sukar berbanding 10 bintang “pejuang cinta”.

Jadilah umat yang sedar tujuan dan matlamat perjuangan ini, agar kita bisa saling menguatkan satu sama lain membina ‘bangunan kemuliaan’ yang bakal meruntuhkan ‘bangunan kehinaan’. Sekarang masa untuk berubah bukan untuk Digi, tapi untuk umat.....

Betapa diri ini berharap dapat menjadi Penyelidik kebenaran dalam mencari makna dan hakikat kehidupan agar bakal berada bersama R.A yang telah mendapat ridha-NYA. Amiin....

“......ALLAH ridha terhadap mereka dan mereka pun ridha kepadaNYA......
[Al Bayyinah, 98:8]

Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Research Assistant (R.A),
Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul
22 Jamadil Awal 1428H 01.43a.m.