Hari itu semakin hampir, alangkah indahnya saat tibanya hari yang bersejarah itu, inilah hari yang sentiasa dinantikan oleh seorang mahasiswa setelah memerah keringat untuk mendapat segulung ijazah. Alangkah bertuahnya hari itu dengan pakaian jubah, blazer kot, mortar dan hood yang akan dipakai lagak seorang yang akan menamatkan zaman pembelajarannya di sebuah institusi pendidikan.
Ia adalah hari yang paling bersejarah, hari yang pasti tidak akan dilupakan, setiap saat pasti dirakam lewat kamera mahupun video. Hari Konvokesyen yang penuh gilang gemilang itu sentiasa menjadi dambaan seorang mahasiswa. Segala persiapan telah dibuat dan setiap gerak langkah diajar dengan penuh tertib. Senyuman harus sentiasa terukir dibibir tatkala sampai giliran untuk menerima skrol masing-masing, walau ia hanya mengambil masa beberapa minit mahupun saat sahaja.
Sebagai tanda penghormatan, penyampai ijazah adalah dari kalangan orang-orang kenamaan, bahkan yang namanya Sultan juga sanggup mencemar duli menjadi penyampai ijazah kepada sang mahasiswa. Bertuah sungguh insan tersebut.
Seluruh sanak saudara, rakan taulan akan berkumpul meraikan kejayaan menghabiskan pengajian masing-masing, segala penat lelah mahupun perbelanjaan untuk menghadiri upacara konvokesyen terasa hilang setelah melihat kejayaan sang anak menggulung sekeping ijazah.
Itulah hari yang merakamkan detik-detik yang menggembirakan semua, namun disana ada hari yang bahkan lebih besar dan lebih banyak orang yang menghadirinya. Andai hari konvokesyen hanya untuk individu yang berjaya menamatkan pengajian namun hari yang pasti kita akan temui nanti adalah untuk semua individu sama ada yang berjaya mahupun tidak iaitu “Konvokesyen Mahsyar”
Pakaian yang bakal dipakai nanti tidaklah semegah konvokesyen universiti, hanya sehelai kain putih menyelimuti badan, tidak perlu mengikut pelbagai protokol seperti tunduk hormat mahupun bersalam terlebih dahulu sebelum menerima “skrol kehidupan” masing-masing bezanya adalah sama ada kita menerima “skrol kehidupan” itu sebelah kanan atau sebelah kiri
Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: "Ambillah, bacalah kitabku (ini)". (QS. 69:19)
Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: "Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini), (QS. 69:25)
Jika waktu pengajian kita selama tiga tahun atau lebih membuatkan kita bertungkus lumus demi untuk menyelesaikan pengajian agar dapat menghadiri hari konvokesyen masing-masing, maka persiapan untuk menghadiri Konvokesyen Mahsyar lebih harus dilaksanakan kerana ia adalah hari yang telah ditetapkan, hanya menunggu masa dan ketika dan kita adakah telah bersedia atau tidak untuk menghadirinya. Adakah saat dan ketika itu kita mempunyai wajah yang ceria lantaran “ahsanul amala” yang kita lakukan atau wajah yang muram lantaran “fahsya wal mungkar” yang kita kerjakan.
pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram. Adapun orang-orang yang hitam muram mukanya (kepada mereka dikatakan): "Kenapa kamu kafir sesudah kamu beriman Karena itu rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu". (QS. 3:106)
Adapun orang-orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam rahmat Allah (surga); mereka kekal di dalamnya. (QS. 3:107)
Kalian masih mempunyai masa untuk berubah, andai tersalah memilih jalan kehidupan, andai telah berubah mudah-mudahan ALLAH berikan kekuatan untuk istiqamah di jalan kebenaran dengan memegang Islam secara menyeluruh dalam wajahnya yang sebenar.
Itulah ayat-ayat Allah, Kami bacakan ayat-ayat itu kepadamu dengan benar; dan tiadalah Allah berkehendak untuk menganiaya hamba-hamba-Nya. (QS. 3:108)
Kepada kalian yang telah mahupun bakal menghadiri konvokesyen masing-masing, jadikan ia sebagai permulaan untuk menggapai kejayaan yang lebih hakiki di “Konvokesyen Mahsyar” kita kelak.
Andai konvokesyen adalah tanda sebuah kemerdekaan bagi seorang mahasiswa dalam pengajiannya, moga kelak ketika konvokesyen mahsyar akan menjadi kemerdekaan bagi seorang manusia dalam kehidupannya. Kemerdekaan yang membentuk peribadi dan jiwa yang tenang.
Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diridhoi-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku,dan masuklah ke dalam surga-Ku. (QS. 89:27-30)
Salam kemerdekaan buat negaraku yang tercinta, namun diri ini masih belum mampu memerdekakan dirinya lantaran kurangnya kesungguhan untuk merealisasikan kata-kata seorang pejuang Islam tatkala berhadapan dengan seorang panglima perang.
“Kami berjuang untuk mengeluarkan (memerdekakan) umat daripada penyembahan kepada manusia kepada penyembahan kepada ALLAH semata-mata, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada kejumudan agama kepada keindahan dan keadilan Islam”.
Sempena Hari Konvokesyen UPM kali ke-31 pada 25-29 Ogos yang lalu, sekadar peringatan buat diri dan sahabat.
Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
BS(K)- Microbiology
Now Master of Science(2007/2009)
31 OGOS 2007 11:52a.m
Thursday, August 30, 2007
KONVOKESYEN
Friday, August 24, 2007
Sejarah,
Membataskan kegilaanku,
Pada kedhaifan dan kenaifan.
Sejarah,
Mencampakkan aku,
Ke lurah pengetahuan,
Aku ditimpa,
penyakit kesahihan yang bertubi-tubi.
Melarikan diri dari sejarah,
Umpama meletakkan diri,
Di tebing tertinggi Grand Canyon.
Ia seolah-olah menafikan hembusan
Ilmu seorang guru pada si murid.
Padaku, aku tabalkan sultan,
Yang isinya sejarah,
Kerana ia akan setia menjadi batasan,
Sempadan tindakan dan perlakuan,
Kerana ia bakal menjadi perhatian,
Jiwa yang melirih penuh kedhaifan.
Moga sejarah itu menjadi pokok,
yang cabangnya ku rintis,
dengan bilah-bilah ketaqwaan,
moga sirah itu terpahat,
dalam sanubari insan.
Moga kelak sejarah,
Menjadi tunjang dan penghubung,
Antara dua zaman.
Regards
Faqir il Allah
Sejarah
Majulah ikhwah untuk Dakwah
EF Loyal Mujahid
Terkadang ku takut, Ya Allah,
Kerna diri ini, bila iri,
Lantas ia sering melupai,
Cebisan kerisauan itu, sering
saja membuatkan diri rasa sunyi-
Lantaran kedhaifan diri
yang begitu meragut,
Kerap aku mengecam,
selepas puas dikecam,
namun penghujungnya, penyudahnya,
membutakan hati, merencatkan minda,
Aku risau, lantaran nama-nama hebat,
Sering saja kedengarannya gugur,
Menggugupkan yang tinggal,
Adakah bisa diri ini juga merasa ,
kepahitan sang pengembala,
tatkala mengatur jarum-jarum,
kehidupannya.
Puas aku berkeras,
Untuk memaksa kejahilan,
Keluar dari lekuk-lekuk minda,
Supaya tiada lagi kekangan atau
Sebarang bentuk alasan.
Apakah kekacauan ini,
Bisa memekak telinga,
Dengan pendapat yang sering saja tersasul,
Dengan keputusan yang menzahirkan kebaculan.
Hampir tiba saatnya,
Sekarang diri perlu berdiri,
Kalau perlu ia dihadapan,
Ia jadi tamsilan,
Kalau perlu seiringan,
Ia jadi pedoman.
Regards
Faqir il Allah
Diri Ini
Majulah ikhwah untuk Dakwah
EF Loyal Mujahid
Yang aku sering lari daripadanya,
Dimana aku menampakkan tawanya,
Menilai kehidupan pada kelompok kealpaan.
Sungguh, manusia itu dalam keraguan,
Pada masa, ruang dan tenaga,
Sungguh apa yang dibazirkan itu,
Bakal dituntut untuk perhitungan.
Apa yang hnedak dibahaskan,
Pada ketika dan saat yang dharurat ini,
Duduk sendiri, amal nafsi-nafsi,
Sedangkan titisan darah mencorak palitan jihad.
Persekitaran yang memerlukan pemantauan,
Pada ketika dunia meraung mengharap perhatian,
Disinilah aku dan kau bertindak,
Merenjis kembali mahmudah yang semakin sirna.
Inilah yang perlu kita turuti,
Membimbing mana yang tersasar,
Menasihati pada yang tergesa-gesa.
Regards,
Faqir il Allah
Demi Masa
Majulah ikhwah untuk Dakwah,
EF Loyal Mujahid.
Thursday, August 16, 2007
PERMATA YANG HILANG
Insan itu telah pergi meninggalkannya keseorangan dalam kesedihan, perit terasa olehnya kerana insan itu tidak akan kembali lagi dalam kehidupan ini menuju kehidupan yang lebih abadi. Bahkan bukan seorang tetapi dua individu yang cukup bermakna dalam perjuangannya walau mereka adalah dua insan yang berbeza watak dan pegangannya.
Dialah antara insan yang pertama menyahut suara kebenaran dari sang suami yang dipilih ALLAH menjadi rahmat sekalian alam di saat kaumnya mencaci dan menghinanya dengan pelbagai tuduhan hanya kerana mengajak umatnya mengatakan ALLAH sebagai ILAH mereka. Insan ini juga yang sanggup membela agama ini dengan segenap kekayaannya, menemani dan menenangkan suaminya menghadapi segala mehnah dalam perjuangan yang tidak pernah mengenal henti. Dia adalah permata yang cukup sukar dicari ganti walau telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini hingga mampu membangkitkan rasa cemburu isteri yang kemudiannya lantaran telalu kerap menyebut kebaikan-kebaikan insan yang laksana permata itu sepertimana sabdanya dalam sebuah hadith
“Dia beriman ketika orang-orang ingkar, dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakanku, dia membela dengan hartanya ketika orang-orang menghalangiku dan aku dikurniai ALLAH anak darinya, sementara aku tidak dikurniai anak sama sekali dari isteri lainnya.”
Dialah Khadijah binti Khuwailid, permata pertama yang meninggalkan sang Rasul pembawa risalah ILAHI, di saat dakwah mula menampakkan sinarnya, namun takdir ALLAH menetapkan dia harus kembali kepada Penciptanya.
Permata yang kedua juga adalah seorang insan yang membantu dakwah sang Nabi walau dia tidak menjadi pengikut agama sang Nabi, dia mempertahankan RasuluLLAH di hadapan kaumnya lantaran ketokohannya dalam masyarakat, memudahkan dakwah Islam tersebar ke dalam jiwa masyarakat, memberi ruang yang cukup bermakna dalam perjuangan Islam. Namun takdir mendahului segalanya, dia juga dipanggil pulang kepada Penciptanya. Kesedihan demi kesedihan menimpa jiwa Rasul terakhir ini, apatah lagi permata yang kedua ini menuju RABBnya tanpa membawa kalimah syahadah bersamanya sehingga layak ditempatkan ALLAH dalam senarai orang yang akan diazabNYA sekalipun dia adalah ayah saudara sang Nabi yang mulia, Abu Thalib. Lantas ‘Tahun Duka Cita’ menjadi gelaran waktu itu.
Hilanglah sudah dua permata berharga dalam perjuangan ini, tapi itu bukan tanda perjuangan harus berhenti kerana perjuangan dakwah adalah milik Sang Penguasa Alam, hanya kepadaNya segala pertolongan dan pengharapan harus ditujukan, bukan kepada manusia sama ada Muslim atau tidak agar menjadi ibrah kepada Rasul dan umatnya lewat kematian dua permata itu.
Zaman telah berlalu tapi perjuangan masih sama, ujian dan dugaan masih sama, namun adakah individu seperti Khadijah dan Abu Thalib dapat hadir dalam perjuangan zaman ini. Kenapa tidak…andai ALLAH menginginkannya ia bukan suatu yang mustahil, cuma persolannya adakah kita ingin membina kembali generasi seperti Khadijah dan Abu Talib?
Ya, mereka adalah dua watak dan pegangan yang berbeza, membina generasi seperti Khadijah mungkin tidak pelik namun Abu Thalib adakah wajar membina generasi ini. Kegagalan kita mendidik generasi seperti Abu Talib menyebabkan golongan non muslim tidak memahami Islam bahkan menjadi pembenci Islam, maka tidak hairan andai ada yang sanggup membuat video klip menghina azan umat Islam walau hanya beberapa minit. Hatta berbeza pegangan tapi andai bermanfaat untuk dakwah maka wajar digunakan.
Marilah bina kembali jiwa-jiwa seperti Khadijah dan Abu Thalib dalam jiwa umat ini kerana kita memerlukan permata-permata seperti mereka. Bukan satu tugas yang mudah namun andai bukan kita siapa lagi. Kita akan dipersoalkan kelak dihadapan ALLAH lantaran tanggungjawab yang kita tidak laksanakan. Adakah kita akan berikan alasan-alasan kesibukan kedunian kita kepada ALLAH kelak??? Fikirkan wahai sahabatku
‘Tahun Duka Cita’ itu telah berlalu dan ALLAH mengembirakan Nabi dengan sebuah pengembaraan ‘Isra Mikraj’ yang mudah-mudahan dapat kita garap segala ibrah yang terkandung didalamnya dalam meniti jalan kebenaran menuju kemenangan menggapai mardhatiLLAH. Siapakah yang ingin menjadi pembantu-pembantu agama ALLAH?????
Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
28 Rejab 1428H 09:20a.m
Friday, August 10, 2007
Mulai saat itu,
Kaki terus melangkah,
Meredah denai-denai,
Merintis tapak dan laluan yang sama,
Lantas mencuba nasib di batasan dakwah,
kerna keliru melihat kepincangan semasa,
Dahulu,
Yang dibanggakan adalah teladan,
Yang selayaknya dijadikan iktibar,
Tapi itu dulu,
zaman kejahilan disempadankan,
saat kemuliaan diasah di fikiran.
kini,
segalanya memuncak,
atas alasan paling logika,
hanya dengan slogan “menuju puncak”,
mereka berbondong-bondong,
meratap kehadiran pemuka-pemuka baru,
martabat, imej, personaliti, maruah,
aaaah, apa saja,
ditatap dengan parameter dan skala yang berlainan,
rumus yang terlalu mudah untuk ditafsirkan,
lekat di ingatan,
hatta kanak-kanak yang kita gelar hingusan,
mudah dan sangat mudah.
manusia ditertawakan,
oleh apa yang ditangan mereka,
mereka dihina,
dihadapan teknologi yang digelar dunia,
yang telah bertukar rentak dan irama.
adakah silibus kita,
telah lapuk dek hujan,
atau tsunami yang melanda,
meninggalkan lopak selama-lamanya.
Tunjangkan kembali,
Apa yang telah diraih,
Pada sidang nubuwwah,
Pada dewan para sahabah,
Moga-moga,
Apa yang kita laung dan bahaskan,
Didengar dan dinilai,
Dihadapan yang Maha Mulia.
Regards
Tunjang dibatasan dakwah
Majulah ikhwah untuk dakwah
EF Loyal Mujahid.