Tuesday, November 13, 2007

KEBERSIHAN TANDA KEIMANAN




Sebelum memulakan sesuatu eskperimen, khasnya yang melibatkan bakteria, fungi dan virus, setiap peralatan yang bakal digunakan harus dipastikan kebersihannya terlebih dahulu, kebersihan dalam makmal juga cukup penting dalam sesuatu eksperimen, ini bukan tulisan tentang cara-cara menjaga kebersihan semasa membuat eksperimen atau menjaga kebersihan makmal kerana ia boleh didapati dengan mudah di pintu makmal masing-masing bagi yang biasa dengan kehidupan di makmal, andai tiada sila cari dan baca sendiri, tapi sekadar ingin mengaitkan peri pentingnya kebersihan dalam kehidupan hingga mampu menjadi tanda keimanan bagi seorang Muslim.

Istilah yang biasa dipakai sebagai tanda kebersihan segala peralatan di makmal ialah “sterile” agar apa sahaja kotoran mahupun hidupan tidak boleh membiak pada peralatan yang ingin digunakan demi menghalang berlakunya “contamination” atau pencemaran pada eksperimen yang dibuat hingga menyebabkan hasilnya cukup mengecewakan para penyelidiknya termasuklah diri ini yang telah berbulan-bulan belum mendapat hasil lantaran kurangnya menjaga ke’sterile’an semasa membuat eksperimen, walau telah dijaga sebaik mungkin pun masih lagi belum mendatangkan hasil, tension sungguh.rasanya

Namun itulah hakikatnya tanpa kebersihan, segala-galanya pasti tidak akan menghasilkan sesuatu yang baik, kerana itulah agama menekankan aspek kebersihan, lihatlah perjuangan menyedarkan umat bermula dari membersihkan diri dengan aqidah yang jelas tentang Pencipta Yang Satu, kemudian berkembang kepada kebersihan ibadah yang sahih, dan kebersihan akhlak yang suci, namun membersihkan diri sahaja belum cukup untuk membawa perubahan yang besar, maka kebersihan itu harus tersebar ke segenap individu, masyarakat, negara dan sistem yang dipakai agar kehidupan ini diwarnai dengan kebersihan yang berisi keimanan.

Kebersihan yang dimaksudkan adalah kebersihan yang dijaga ke“sterile”annya dengan kebenaran, kejujuran, keberanian dan ketawadukan hingga tidak mampu dikotori oleh sebarang “contamination” yang menyebabkan kesesatan, kebatilan, ketakutan dan kesombongan yang sering menghantui diri dan masyarakat. Tapi realitinya “contamination” itulah yang sering disokong dan ramai pengikutnya manakala yang inginkan kebersihan pula sering ditekan dan disembur serta masih belum cukup “sterile”nya.

Walaupun begitu, harapan masih ada untuk mewujudkan kebersihan yang kita idam-idamkan kerana sejarah membuktikan golongan yang sentiasa menjadikan kebersihan itu satu sarana dan wasilah dalam kehidupannya sentiasa menjadi golongan yang menang, cuma cepat atau lambat menjadi persoalannya, maka jangan terlalu merisaukan hasilnya kerana sekali lagi andai kebersihan itu terjaga yakinlah hasilnya pasti baik persis seperti yang diyakini oleh saintis-saintis yang mempelopori pelbagai kaedah dalam kajian mereka, maka begitu juga dengan perjuangan ini.

Bercakap atau menulis tentang konsep dan teori kebersihan memang mudah namun aplikasinya tidak semudah yang dilaungkan atau ditulis, kerana apakah nilainya laungan kuat kita serta tulisan mantap kita tentang kebersihan andai kita sendiri belum memulakannya. Laungan dan tulisan itu seharusnya diiringi dengan kesungguhan untuk merealisasikannya di alam realiti, hingga mampu menghasilkan individu atau “figure” yang terjaga kebersihannya bukan sahaja dari segi semangat tapi juga kebolehan mempamerkan kebersihan yang cukup “sterile” dalam segenap aspek kehidupannya untuk menjadi tanda keimanan sebagai seorang Muslim.

Inilah saatnya kita berniat untuk membuktikan keimanan dengan berusaha menerapkan kebersihan yang terjaga “sterile”nya dalam kehidupan kita, meramaikan generasi kebersihan ini perlu digiatkan agar mampu membawa masyarakat dan negara ke arah kebenaran dan kebersihan yang Islam inginkan kerana masyarakat juga mendambakan generasi seperti ini, sedihnya ia belum sepenuhnya terhasil hingga masyarakat masih dikotori dengan “contamination” yang dibawa oleh golongan yang membenci kebersihan yang Islam inginkan. Andai kita ingin golongan “contamination” itu berubah menjadi “sterile” maka kita juga perlu berubah disebabkan “contamination minor” yang masih ada pada golongan yang mendambakan kebersihan ini.

Kebersihan sahaja belum cukup untuk membawa perubahan yang besar kerana ia juga perlu “sterile”. Renunglah sebahagian nasihat Al-Quran dan Hadith, ketika hendak berwudhuk air yang digunakan tidak cukup hanya bersih/suci tapi juga menyucikan(sterile), ketika saat solat tidak cukup sekadar melakukan solat ia perlu disertai khusyuk[23:2], ketika menyembelih tidak cukup dengan cara yang baik ia juga memerlukan alat atau pisau yang tajam, ketika berpuasa tidak cukup sekadar menahan lapar dan dahaga ia perlu disertai ketakwaan[2:183] bahkan bertakwa sahaja tidak cukup ia perlulah sebenar-benar takwa[3:102]

Nah, itulah sebahagian yang Islam ajarkan kepada kita dan diri ini yakin kalian lebih tahu banyak lagi, persolannya adakah kita sedang berusaha merealisasikannya atau sekadar berangan-angan di siang dan malam hari menanti pertolongan yang tidak kunjung tiba atau menunggu penyelamat yang belum nampak batang hidung sampai saat ini. Pertolongan tidak pernah tiba, dan penyelamat tidak akan datang andai kita sendiri belum mahu menghasilkannya dengan sebuah pergorbanan dan keikhlasan untuk merealisasikannya.

Betapa diri inilah yang seharusnya risau memikirkan apakah yang diperkatakannya telah dilaksanakannya atau sekadar hebat mencoretkan sebuah tulisan dalam sebuah laman yang cukup sempit, adakah diri ini bakal tergolong dikalangan orang yang pandai berkata-kata namun tidak merealisasikannya hingga layak untuk mendapat murka-NYA. Namun untuk terus membisu seribu bahasa kerana takutkan ancaman itu bukan juga suatu yang baik kerana boleh jadi mendiamkan diri itu salah satu dari bisikan syaitan. A’uzubilLLAHI minasy syaitanir rajim. Mudah-mudahan coretan ini dapat mengingatkan diri yang sering lupa dan lemah ini akan tanggungjawabnya juga agar dapat mengingatkan insan yang membacanya hingga harapnya menjadi salah satu kebersihan yang berisi pahala untuk digunakan sebagai penyelamat di alam yang kekal kelak, mudah-mudahan kalian begitu jua.

KeBERSIHan itu tanda keimananmu.

“…………… Membersihkan diri adalah separuh dari keimanan…….”[sebahagian Hadits 23 Arbain-Kebersihan adalah separuh dari iman]


With best wishes,
Mohd Halimi Abdul Aziz
4 Zulkaedah 1428H 03:22a.m



No comments: