Kemenangan adalah suatu cita-cita yang diinginkan oleh setiap insan, yang sentiasa dicari dan dikejar walau selama mana masa yang terpaksa diambil untuk menggapainya. Seringkali istilah kemenangan lebih layak diberikan kepada golongan yang inginkan kebaikan, kebenaran dan keadilan sedangkan golongan kejahatan, kebatilan dan kezaliman juga mendambakan kemenangan dalam perjuangan mereka. Maka kemenangan merupakan sebuah anugerah yang tidak mengira golongan kebenaran atau kebatilan yang layak memilikinya namun bergantung kepada usaha dan gerak kerja masing-masing.
Sehebat manapun sebuah kemenangan itu pastinya bertemu dengan zaman kejatuhannya. Jatuhnya sebuah kemenangan itu pastinya disebabkan pelbagai faktor dalaman mahupun luaran hingga kemenangan tidak lagi dapat dipertahankan. Sejarah membuktikan bahawa kemenangan kaum kafir Quraisy, kaum Nasrani dan Yahudi mula jatuh setelah mereka melakukan pelbagai kebatilan dan kezaliman dengan kedatangan Islam yang benar, lalu kemenangan pun mula bertukar tangan kepada golongan kebenaran dan keadilan selama beberapa kurun lamanya.
Kemenangan yang dikecapi oleh golongan kebenaran yang diharapkan berpanjangan ternyata bertemu jua dengan zaman kejatuhannya dengan turunnya Khalifah Turki Uthmaniyyah, lantaran itu bangunnya sebuah kemenangan bagi golongan sekularisme, sosialisme, kapitalisme dan nasionalisme ke seluruh muka bumi hingga mampu memegang tali pemikiran, ekonomi, sosial dan budaya umat saat ini. Kemenangan itu masih lagi berada pada golongan ini dan ternyata mereka benar-benar mempertahankan ideologi perjuangan itu agar kemenangan tetap milik mereka.
Kini gerakan-gerakan Islam yang ada di seluruh pelosok muka bumi mula menggerakkan usaha dan strategi demi membersihkan kembali umat kepada jalan Ilahi yang sebenar agar kemenangan akan kembali menjadi milik golongan kebenaran dan keadilan kerana inilah janji-Nya yang semakin menunjukkan hasilnya di sebahagian tempat dan wilayah bumi ini. Jika kita ingin melihat kemenangan itu bertukar tangan maka tidak cukup sekadar melihat dan menunggu semata-mata namun memerlukan pengorbanan dan usaha yang berterusan kerana kita bukan hanya ingin menggapai kemenangan bahkan berusaha mengekalkan kemenangan itu hingga ke hari kiamat.
Andai kemenangan sudah kita kecapi, lalu gerak kerja harus lebih tersusun di samping bersyukur dengan anugerah kemenangan itu. Kemenangan harus diisi dengan sebuah pemikiran yang dapat memajukan umat, disirami dengan kecekapan dalam setiap pekerjaan, dipenuhi dengan keadilan dalam segenap kondisi kehidupan sebagai tanda ketakwaan bagi golongan yang selayaknya mendapat kemenangan. Tidak mustahil kemenangan yang dikecapi itu bakal bertukar wajah kembali menjadi zalim dan kotor jika syarat-syarat kemenangan tidak dijaga dengan sebaik-baiknya.
Kebatilan yang tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun sepatutnya menjadi nasihat yang harus ditekankan untuk mendapat dan mengekalkan sebuah kemenangan yang kita harapkan. Berusahalah dengan segala kemampuan yang kita miliki demi melihat kemenangan sentiasa berada di tangan Islam yang benar, adil dan syumul.
Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
09 Rabiul’awal 1429H/ 02:50a.m
No comments:
Post a Comment