“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa “ringan” maupun “berat”, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”[At-Taubah 9:41]
Ayat diatas pernah dibacakan oleh seorang sahabat RasuluLLAH saat dirinya telah berumur 80 tahun dan menyatakan hasratnya kepada kaum Muslimin untuk turut berperang bersama mereka menentang Konstantinople, kubawakan kisahnya di sini.
Dia berkata kepada kaum Muslimin, “Ajaklah saya untuk berperang!!!” Mereka menjawab, “Engkau tidak bisa melakukan itu. Jika engkau berperang, maka engkau akan jatuh.” Mendengar hal ini, dia membaca firman ALLAH swt di atas. Nama sahabat itu adalah Abu Ayyub Al-Ashari r.a.
Lihatlah semangat dan kesungguhan yang cukup luar biasa, dari seorang tua yang mempunyai semangat seperti pemuda, dia merasakan ayat di atas menjadi dalil dan hujah baginya untuk tetap berjuang di medan perang walau usia semakin lanjut, kerana baginya yang “ringan” itu adalah untuk orang-orang muda yang ada kekuatan untuk pergi berperang sedangkan yang “berat” itu adalah untuk dirinya yang semakin lanjut usia dan kekuatan juga semakin kurang namun kewajipan untuk berangkat dalam menegakkan agama ALLAH harus tetap dipikul.
Saat membaca kisah ini, kumerasakan betapa prinsip sahabat ini yang merasakan yang “berat” itu adalah dirinya seolah-olah suatu pemaksaan atas dirinya untuk berjuang. Namun baginya ia bukanlah suatu paksaan tapi merupakan sebuah kewajipan baginya. Insan yang mempunyai prinsip seperti ini terlalu sukar untuk dijumpai saat ini, ingin membina kembali sifat-sifat seperti para sahabat juga bukan suatu tugas yang mudah di zaman ini.
Manusia tidak pernah suka jika dipaksa melakukan sesuatu, hatta binatang pun benci dan marah jika dipaksa. Begitu jua tatkala seorang insan ingin masuk ke dalam agama fitrah ini tidak boleh dengan paksaan. Tetapi jika kaki telah melangkah memasuki agama ini, ada kewajipan dan tanggungjawab yang harus dipikul, pun begitu seringkali kewajipan dan tanggungjawab itu ditafsir seolah-olah seperti pemaksaan ke atas individu Muslim.
“Kenapa mesti solat?”
“Kenapa mesti pakai tudung?”
“Kenapa mesti tutup aurat?”
“Kenapa mesti puasa?”
“Kenapa mesti jauhi riba’?”
“Kenapa mesti berdakwah?”
“Kenapa mesti…??????
Logik akalnya, memang nampak suatu pemaksaan, tatkala sebahagian kewajipan tersebut diistilahkan sebagai “mesti buat”. Lalu kita pun melakukannya dengan istilah “janji buat” . Akhirnya kesan dari setiap amalan itu tidak mampu menghalang kita dari mencampur adukan antara kebatilan dan kebenaran dalam masa yang sama.
“Surau dah pergi, konsert pun join sekali”
“Aurat dah tutup, tapi nampak segalanya”
“Hari nie puasa sunat, bukak puasa dengan awek”
“Hari nie bagi tazkirah, esok caci-maki orang lain”
“Buat baik salah, buat jahat salah, apa maknanya nie?,
“Takde maknanya” bak kata muda-mudi sekarang,
“Tau takpe” sampuk yang lain pula.
Adakah itu jawapan yang sewajarnya kita terima andai betul setiap amalan kita tiada maknanya sama ada yang baik mahupun buruk. Adakah cukup sekadar tahu sahaja tanpa mahu mengubahnya?
Di sisi yang lain, sebahagian kita tidak merasakan seperti dipaksa semasa bersekolah dahulu seperti mesti mematuhi beberapa peraturan “batch” bagi yang tinggal di asrama, sama ada peraturan itu cerdik mahupun tidak, semuanya patuh dan taat.
Semasa mula melanjutkan pelajaran di universiti, pernahkah kita mengatakan yang belajar hingga larut malam itu satu pemaksaan, mengikuti aktiviti kolej dan asrama itu satu pemaksaan, mengikuti segala program universiti demi mengumpul merit sebanyak-banyaknya sebagai satu pemaksaan walau semuanya seringkali mencengkam jiwa dan raga namun diri tetap akur melaksanakan kesemuanya.
Semasa mendapatkan pekerjaan untuk menampung sisi kehidupan di muka bumi ini, pernahkah kita mengatakan bahawa kerja ‘overtime’ itu satu pemaksaan, punch card seawal pagi itu satu pemaksaan, menyiapkan tugasan pada masanya itu satu pemaksaan, walau hati seringkali memberontak tapi hakikatnya semuanya dilakukan dengan sebaik-baiknya agar tidak digugurkan di kemudian hari.
Berbeza pula sikapnya pabila tanggungjawab agama yang sejak azali lagi telah dibebankan kepada seorang Muslim, merasakan ia adalah satu pemaksaan atas dirinya serta menceroboh kebebasan hak asasi mereka!!! Merasakan tugasan yang diberi suatu yang berat dan memaksa umatnya untuk bekerja demi agama-Nya.
Begitulah sedikitnya insan yang sanggup memikul ‘berat’nya tanggungjawab agama ini seperti Abu Ayyub, kerana kita lebih selesa untuk mengerjakan yang ‘ringan’ sahaja.
“Solat sunat?, tak wajib pun kan”
“Baca Quran?, bukan selalunya baca malam jumaat?”
“Tahujud?, huaaa…ngantuknya…..”
“Tazkirah?, aku dengar jelah, nak bagi tazkirah tak cukup ilmu.”
Lanjutan itu juga ruang dan masa untuk agama ini cuma di saat-saat kita “ringan” atau lapang sahaja dilakukan, namun bila bertembung dengan aktiviti, komitmen ataupun urusan lain, agama menjadi aktiviti terakhir dilakukan. Saat diajak untuk menjadi pendokong kebenaran dan pemberi peringatan di saat-saat “berat” itu pelbagai alasan mula terlontar.
“Banyak assignment tak siap lagi”
“Merit tak cukup lagi, banyak aktiviti kena join dulu”
“Sepanjang minggu ada test harian”
“Nak balik rumah saban minggu”
“Jurnal berlambak tak abih baca”
“Research project banyak tak siap lagi”
“Kerja overtime hari-hari”
“Isteri dan anak-anak dirumah takde orang jaga”
Masa yang “berat” itu adalah keterpaksaan bagi mereka tapi tidak dalam hal-hal lain, lantas golongan yang sedikit itulah yang memaksa diri mereka untuk tetap berjuang walau terpaksa mengorbankan masa-masa “berat” mereka.
Seolah-olah golongan yang sedikit itu tidak ada tanggungjawab dan urusan lain, tetapi tatkala melihat kurangnya sambutan golongan yang ramai itu terhadap tanggungjawab agama ini, apakah lagi bahasa yang boleh diungkapkan melainkan melaksanakan tanggungjawab itu dengan bahasa amal yang mereka termampu daripada hanya berpangku tubuh tanpa berbuat apa-apa, apatah lagi jika hanya tahu melihat dan mendengar sahaja, lebih teruk jika hanya tahu mencari-cari kesalahan orang lain sedangkan diri sendiri masih tidak berbuat apa-apa.
“Berat” itu bagi seorang pejuang adalah sebuah “keterpaksaan” dengan hati yang rela kerana keterpaksaan itu merupakan tanggungjawab yang harus dipikul sebelum nyawa diambil, dan agar keterpaksaan itu bakal menjadi jawapan di sana kelak bahawa mereka telah menyampaikan apa yang diperintahkan-Nya. Harapan menggunung agar keterpaksaan itu akan membawa kepada kerelaan Sang Pencipta memasukkan mereka ke dalam “Rumah yang berat dengan perhiasan dan keindahan”
Dimanakah Abu Ayyub Al-Ashari zaman ini???
“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.[At-Taubah 9:42]
Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
10 Rabiul Akhir 1429H 02:46a.m.
No comments:
Post a Comment