Diri kembali menyepi tanpanya di sisi, terasa kehilangan segala-galanya tanpanya, semangat, cita-cita dan perjuangan terasa kosong dan kelam tanpa kehadirannya. Hari-hari yang dilalui kian hilang serinya, kebosanan mula terasa tanpanya.
Tangan juga kaku untuk menulis, otak mula kekeringan idea untuk mencoretkan sesuatu hingga berminggu-minggu tergendala dan ia sering berulang dan terus berulang, akibat diri yang semakin jauh darinya.
Kemalasan mula membaluti diri kerana tidak disibukkan dengannya, angan-angan indah mula terbayang-bayang di benak fikiran tika bersama dengannya. Angan-angan yang belum pernah berhasil kerana kurangnya kesungguhan berjuang bersamanya.
Kesedihan mula hadir saat teringat insan-insan lain meninggalkannya satu demi satu, begitu sedikit insan yang ingin bersamanya termasuklah diri yang serba lemah ini.
Mengapa perasaan itu sering menghantui diri saban hari, tanpanya kehidupan bagaikan sudah tidak bermakna lagi, tiada lagi kata-kata manis tentangnya, tiada lagi pengalaman yang indah dengannya, tiada lagi air mata yang mengalir kerananya.
Kesepian semakin hari semakin bertambah tanpanya, kehilangannya ibarat malapetaka yang besar buat diri yang ingin mencarinya, adakah masih ada ruang dan peluang untuk menemuinya, namun janji Tuhan tidak pernah meleset, hanya masa yang akan menentukannya, tetapi adakah diri ini masih ingin mencarinya atau terus membiarkan kesepian yang melanda tanpanya terus menyeksa diri dan perasaan…..
Betapa sepinya kehidupan ini tanpa:
IMAN DAN IMPIAN
CINTA DAN CITA-CITA
TARBIYAH DAN TANGGUNGJAWAB
SEMANGAT DAN SUMBANGAN
HATI DAN PERASAAN
Hilanglah kesepian, hadirnya ketenangan melewati kembali dakwah di jalan yang diredhaiNya.
Mohd Halimi Abdul Aziz
14 Rejab 1429H, 02:30a.m
No comments:
Post a Comment