Thursday, August 27, 2009

MEMERDEKAKAN RAMADHAN



Ramadhan semakin menuju separuh masanya yang pertama, dan alhamduliLLAH kita masih diberi kesempatan meneruskan ibadah puasa sehingga hari ini. Pastinya kebanyakan kita dah hafal ayat tentang puasa dalam Al-Quran, kerana saban tahun diulang-ulang ayat yang sama, jangan sampai dah berpuluh tahun puasa masih belum jumpa ayat tersebut, kerana kita inginkan kefahaman kita tentang puasa lebih baik dari sebelumnya, bukan sekadar ikutan lagi tapi dengan keinginan yang hadir dengan kefahaman yang lebih baik tahun ini.Ameen

Apa kaitannya merdeka dengan ramadhan?

Kebetulan tahun ini hari kemerdekaan disambut dalam bulan ramadhan, itulah kaitannya, sekadar ingin meminjam istilah merdeka untuk diaplikasikan dalam bulan ramadhan, juga agar tidak perlu menulis dua entry untuk dua tajuk, save masa (baca: alasan je nie)

Istilah merdeka mempunyai definisi yang pelbagai bergantung kepada siapa kita bertanya.

“Merdeka itu kebebasan melakukan apa sahaja” kata-kata seorang pelumba tidak terlatih di jalan biasa.

“Merdeka itu tanda Negara bebas dari penjajah asing!!” penuh bersemangat seorang pejuang bangsa mengucapkannya

“Merdeka itu bebas dari ideologi, sosial dan peribadi penjajah” tazkirah seorang ustaz di sebuah masjid kampung yang penuh dengan generasi akhir umur.

Apa pula jawapan kita andai ditanya soalan yang sama, bergantung pada tahap kefahaman kita dan bagaimana kita melihat merdeka itu sendiri. Terpulang pada diri masing-masing bagaimana nak menjawabnya.

Menjelang ramadhan yang masih awal ini, perlu juga rasanya dimerdekakan ramadhan dari segala unsur-unsur yang boleh merosakkannya. Bulan yang penuh keberkahan ini pastinya tidak wajar kita merosakkannya. Bahkan banyak hadis menyatakan akan kelebihan ramadhan antaranya.

"Telah datang kepada kalian bulan Ramadan. Bulan keberkahan yang Allah wajibkan kepada puasa di dalamnya. Dalam bulan ini pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, setan-setan dibelenggu. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapat kebaikan di dalamnya, maka ia telah luput dari banyak kebaikan." (H.R. Ahmad)

Seharusnya kita memanfaatkan bulan ramadhan ini untuk menilai kembali ibadah kita, menambah kembali kefahaman kita tentang puasa dan agama dan memperbaiki akhlak kita dalam bulan yang mulia ini. Jangan biarkan kesibukan kita menghalang kita menambah amal dan iman kerana ia mungkin ramadhan kita yang terakhir. Begitu juga kita tidak ingin puasa kali ini hanya sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Begitulah Quran mengungkapkan kalimah “La’ala” iaitu “mudah-mudahan” sebagai peluang untuk kita meraih taqwa ataupun tidak. The choice is in your hand.

Demikian kita melihat walau berada di bulan mulia yang mana dikhabarkan syaitan-syaitan telah dibelenggu, namun masih ada kemungkaran yang terjadi. Adakah masih ada syaitan yang terlepas atau diri sudah ditransform bersifat seperti syaitan. Nauzubilah

Lihatlah di dalam berita-berita yang menulis tentang jenayah yang masih berlaku di bulan ramadhan ini, ia agak menyedihkan juga memalukan kita sebagai umat Islam.
Begitu juga kita sendiri harus berhati-hati kerana walaupun tidak melakukan jenayah namun terkadang ada kesilapan yang kita buat.

Berapa ramai yang sukar menjaga pandangan matanya di pasar ramadhan

Berapa ramai yang masih berdua-duaan sesama bukan mahram di tengah kesunyian mahupun kesibukan kota dan kampung

Berapa ramai yang mengabaikan bangun sahur dengan sengaja

Berapa ramai yang ghairah membeli berpuluh juadah makanan untuk seorang

Berapa ramai yang melantak berpinggan-pinggan saat berbuka

Berapa ramai yang segera menunaikan solat maghrib setelah berbuka

Berapa ramai yang menghidupkan malam ramadhannya dengan ibadah

Tidak perlu dijawab kerana yang lebih penting untuk dinilai adalah diri kita sendiri, demikian kita sering melihat kesalahan orang lain, sebenarnya kita membuka kesalahan diri kita sendiri dengan melupakan kesilapan yang kita buat.

Mudah-mudah kalimah taqwa itu masih dapat kita usahakan di sela waktu yang masih diberi Tuhan, bimbang saat itu tidak kembali lagi. Maafkan segala salah silap andai ada yang tersalah kata dan bicara. Ini hanya peringatan buat diri agar lebih menghargai peluang yang diberi.Ameen

Salam kemerdekaan ke 52 buat negaraku yang tercinta

Ayuh kita Memerdekakan Ramadhan kita kali ini.

MERDEKA!!!!! 3X

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”[2:183]

Ameen ya rabbal a’lameen

Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
7 Ramadhan 1430H



1 comment:

Anonymous said...

alhamdulillah ramadhan dapat dirasai sekali lagi pada tahun ini.. syukur..

ramadhan kali ini banyak memberi erti kepada kita terutamanya saya.. sesungguhnya ramadhan yang dilalui pada tahun ini merupakan ramadhan yang terbaik saya jalani setakat ini seumur hidup saya...

dengan suasana yang berbeza akhirnya saya mampu merasai keseronokkan ramadhan.. mudah-mudahan saya mampu meningkatkan dan seterusnya istiqamah dalam melaksanakan ibadah.Amin..