Luar biasa sekali kehadiran orang ramai ke Masjid Shah Alam pada malam itu, persis kehadiran semasa solat jumaat barangkali atau bahkan lebih lagi, berbondong-bondong manusia ingin melihat dengan mata kepala sendiri sosok seorang insan yang namanya telah dikenali di seantero pelusok bumi,insya ALLAH, namun kehadirannya kali ini ke Malaysia tidak mahu dilepaskan begitu sahaja oleh penduduk bumi Malaysia. Beliau adalah Syeikh Yusuf Al-Qaradawi.
Pelbagai gelagat boleh dilihat menunjukan kesungguhan orang ramai ingin mendengar ceramah yang disampaikan oleh Al-Qaradawi, ada antara mereka datang sejak dari pagi mengikuti perjalanan ceramah Al-Qaradhawi bermula di Putrajaya, ada juga yang sanggup mendukung anak yang masih lagi dalam proses berpantang selepas berkhatan, juga yang datang dari jauh semata-mata untuk melihat Al-Qaradawi dan mendengar ceramahnya. Begitu hebat pengaruh dan aura Al-Qaradawi.
Bagiku Syeikh Yusuf Al-Qaradawi bukan sekadar gah dengan nama yang dimilikinya namun kerana nilai pergorbanan yang ada pada dirinya selama berjuang dan berdakwah, sumbangan yang diberikannya, kesungguhan yang ditunjuknya, buku-buku yang ditulisnya, pemikiran dan kesarjanaan yang dimilikinya membuatkan ramai orang mengenalinya dan ingin bertemu dengannya. Kehadirannya kali ini benar-benar menjadi impian ramai orang yang telah lama mengenalinya lewat buku dan pemikirannya.
Beliau menyampaikan ceramah berkaitan dengan ibrah atau pengajaran yang boleh diambil dalam peristiwa Hijrah Rasul dan para sahabatnya. Antara input yang disampaikannya adalah:
1) Hijrah merupakan titik permulaan terbangunnya masyarakat Islam dari segenap sisi
2) Hijrah mengajar umat agar berstrategi dalam mengatur gerak langkah perjuangan
3) Hijrah membentuk keyakinan diri akan pertolongan ALLAH.
4) Kepentingan berjemaah
5) Peristiwa Hadisul ifki terhadap Aisyah r.a
6) Berjuang dengan sepenuhnya dan selebihnya tawakal pada ALLAH.
Itulah antara bahan-bahan yang disampaikan yang sempat kucatat dan pastinya ada yang terlepas pandang dan tidak sempat dicatat kerana disibukkan dengan aktiviti menangkap dan merakam gambar-gambar Al-Qaradawi dan sekitarnya. Apatah lagi hanya dapat melihatnya melalui skrin besar yang disediakan, bukan berada di saf pertama untuk mendengar ceramahnya, kerana ramai yang lebih awal tiba dan berebut-rebut untuk duduk di saf pertama, harap bukan untuk kali yang pertama dan terakhir seperti itu. Sehingga pengerusi majlis terpaksa meminta untuk jemaah yang penuh sesak dihadapan ke belakang sedikit agar dapat memberi ruang kepada Al- Qaradawi berucap.
Jika dilihat apa yang disampaikan pasti ada yang pernah mendengarnya dari orang lain atau diri sendiri pernah menyampaikannya, namun ada sedikit yang berbeza apabila Al-Qaradawi menyampaikannya, pertama kerana beliau tokoh ulama dan kedua beliau menyampaikan ceramah dalam bahasa Arab. Seronok mendengar bahasa Al-Quran itu dilontarkan oleh Al-Qaradawi, dan terima kasih kepada penterjemah yang padaku cukup jelas menterjemah setiap butir isi ceramah dari Al-Qaradawi termasuk kelantangan suara sekali walaupun tidak selantang Al-Qaradawi.
Setelah berakhirnya ceramah, saat untuk memulakan solat Isyak juga agak terganggu kerana masih ada yang mungkin ingin bersalam atau menangkap gambar sehingga ada petugas meminta jemaah untuk segera masuk ke saf. Kami yang di belakang menunggu lebih kurang 5 minit setelah qamat sebelum memulakan solat Isyak bukan kerana saf depan tidak penuh tapi mungkin kerana saf depan terlalu penuh. Luar biasa.Wallahu’alam apa yang terjadi waktu itu, ini hanya anggapanku.
Akhirnya setelah solat Al-Qaradawi bergambar dengan pemimpin Pakatan Rakyat dan Wakil Masjid Shah Alam di bilik bawah masjid. Pintu-pintu sekitar bilik tersebut dikunci untuk mengelakan serbuan terjadi di kalangan para hadirin kerana mereka menunggu di luar pintu untuk melihat Al-Qaradawi dari dekat setelah gagal semasa mendengar ceramah tadi.
Ternyata diriku sendiri diberi peluang untuk melihat Al-Qaradawi secara dekat secara tidak sengaja, kerana selepas solat dan berjumpa teman-teman yang telah lama tidak jumpa ingin segera pulang, namun tersesat mencari tempat rak selipar hingga akhirnya tiba-tiba Al-Qaradawi keluar dari salah satu pintu berhampiran denganku. Kelihatan orang lain yang berada di sekitar berebut-rebut ingin mengambil gambarnya termasuklah diriku sendiri. AlhamduliLLAH berjaya juga menangkap gambar Al-Qaradawi dari dekat. Nanti akan kupaparkan gambar-gambar sekitar ceramah dan gambar Al-Qaradawi dari dekat yang sempat diambil dalam keadaan berlari-lari, seolah-olah macam wartawan jadinya kerana beliau bukan sekadar selebriti tetapi juga Murobbi.
Moga kehadirannya bukan sekadar untuk ditangkap atau merakam gambarnya tapi bagaimana kita ingin mengambil manfaat dari apa yang disampaikannya dan bagaimana ingin mencontohi gerak langkah perjuangannya.
Wallahu’alam
Mohd Halimi Abdul Aziz
04 Muharram 1431H
No comments:
Post a Comment