Thursday, March 6, 2008

INDAH DI MATA, PEDIH DI HATI





Negaraku yang tercinta ini sedang menuju status negara majunya, indah dalam pandangan mata ini saat melihat pembangunan yang kiat pesat direalisasikan oleh pihak yang bertanggungjawab, segala binaan dibangunkan dengan segenap keindahan yang menjadikan mata ini hampir tidak bekelip melihat keindahan rekabentuk dan hiasannya. Pembangunan pesat ini sangat penting dalam sesebuah negara, menunjukkan kita memang bersungguh-sungguh ingin menjadi negara maju kelak. Mata ini juga terpukau dengan segenap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan dari segi pendidikan, sosial, kesihatan, ekonomi dan sebagainya.

Tapi jauh disudut hati terasa kepedihannya bila mana segenap pembangunan yang maha hebat itu hanya bertahan seketika tatkala mendengar runtuhan dan kebocoran disana sini, hingga terpaksa membina semula dengan kos yang juga maha banyak. Pedih tatkala melihat pembangunan itu hanya dinikmati oleh golongan tertentu sedangkan golongan yang merasakan dirinya serba dhaif hingga layak memasuki rancangan BersamuMu pasti hanya mampu menelan air liur melihat pembangunan batu dan besi di sana sini dan hakikatnya kehidupan mereka masih belum membangun.

Pedih tatkala melihat kesombongan sesetengah pekerja dengan segala kerenah birokrasi walau mereka sentiasa mendapat sijil pengiktirafan ISO yang menyatakan bahawa mereka mempunyai perkhidmatan yang terbaik. Pedih melihat masjid yang bercambah di sana sini dengan keluasan seolah-olah sebesar Padang Sahara namun yang banyak hanya tiang yang menyokong batu dan simen berbanding manusia yang mengimarahkannya. Indah pada batu dan besi yang tercacak namun pedih melihat manusia yang membinanya.

Indah terasa pabila ada sahabat yang turut sama ingin menyebarkan risalah dakwah, indah pabila ada sahabat yang turut sama menyambung pengajian agar dapat memajukan negara dengan menjadi seorang professional dalam bidang masing-masing kelak, indah pabila melihat mereka juga sedar akan kepincangan yang terjadi pada umat ini, melihat mereka membenci segenap penipuan, penindasan, kezaliman dan kemungkaran yang terjadi di bumi yang tercinta ini.

Sayangnya, terasa pedih di hati melihat mereka tidak mahu menunaikan tanggungjawab memilih individu yang bakal mencorakkan negara untuk beberapa tahun kehadapan, yang akan membuat pelbagai keputusan untuk kemajuan negara, yang akan mengolah dan mengurus segenap hasil mahsul negara, yang akan menghalang segala agenda yang bakal merosakkan masyarakat dan negara kita. Pedih terasa saat mereka mengatakan masih belum mendaftar sebagai pengundi, yang telah mendaftar pula tidak mahu balik ke kampung, dan yang malas nak mengundi kerana tiada wakil Islam. Pedih terasa saat mereka tidak kisah dengan sumbangan yang boleh mereka berikan walau hanya dalam beberapa minit memilih bakal pemimpin mereka. Mungkin mereka sibuk dengan kehidupan sendiri lalu terpaksa mengorbankan beberapa tanggungjawab yang dirasakan kurang hasilnya jika terlibat.

Maka berterusanlah kita dengan membenci dalam hati semata-mata, mengeluh sampai tak sudah dengan kerosakan yang terjadi, namun tidak mahu mengubah saat peluang sudah ada. Segala kebaikan, keadilan, kebenaran yang kita impikan akan hadir pada masyarakat dan negara ini hanya tinggal angan-angan jika kita tidak mahu bekerja untuk mengubahnya dengan pelbagai sarana yang ada. Ingatlah kata-kata Ibnu Athoillah dalam Al-Hikamnya lebih kurang maksudnya,

“ Pengharapan yang tidak disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh maka ia hanyalah angan-angan”

Kalian adalah sebahagian dari masyarakat yang merdeka, maka jadikanlah peluang mengundi ini sebagai sumbangan kecil kita untuk menggapai cita-cita kita yang besar kelak. Masa terus berjalan dan kita harus terus berjuang agar indahnya perjuangan ini bukan hanya di mata bahkan indahnya harus dirasakan ke segenap relung hati kita supaya kelak dapat mengadap-NYA dengan jiwa yang tenang dan melihat keindahan syurga-NYA dalam kehidupan yang abadi.

Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
07 Mac 2008/29 Safar 1429H 12:34p.m

No comments: