Wednesday, May 21, 2008

ENAM DEKAD TELAH BERLALU, NAMUN....



(Sempena 60 tahun Nakbah (malapetaka) pembentukan Negara Haram Israel sejak 15hb Mei 1948)




Istilah Nakbah mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.




NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam buat penduduk asal bumi Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya.




Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.




Pencetus penubuhan negara Yahudi




Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Israel) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Zionis di Palestin.




Pemangkin pendudukan haram Yahudi di bumi Palestin




British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin. Ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ianya mencabuli perjanjian antarabangsa. Dengan angkuhnya deklarasi ini telah menidakkan hak dan aspirasi penduduk bumi Palestin yang sah yang kemudiannya telah diikuti dengan penjajahan Palestin oleh tentera British.




Selepas itu berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.




Peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)




Isu Palestin semakin panas dan mula dibawa ke peringkat antarabangsa di atas tuntutan British yang meminta supaya PBB memasukkan isu tersebut ke dalam agendanya. Laporan Badan Penyelidik Antarabangsa Palestin (UNSCOP) milik PBB telah mengakui tentang ketidak-adilan pengambilan tanah serta cadangan pembahagian bumi Palestin kepada dua buah negara yang berasingan iaitu Palestin dan Yahudi. Namun rentetan duka Palestin semakin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah.Ketetapan ini sangat bercanggah dengan prinsip PBB sendiri iaitu untuk melaksanakan ketetapan hak-hak bangsa dari segi kebebasan dan penentuan nasib mereka sendiri. Rakyat Palestin yang terlibat dengan isu ini tidak langsung diminta pendapat dan keizinan malahan mereka mengalami kezaliman dan penindasan yang amat dahsyat.



Laporan Badan Penyelidik Antarabangsa Palestin (UNSCOP) milik PBB telah mengakui tentang ketidak-adilan pengambilan tanah serta cadangan pembahagian bumi Palestin kepada dua buah negara yang berasingan iaitu Palestin dan Yahudi.



Kelemahan Liga Negara Arab




Rakyat Palestin adalah antara bangsa yang paling malang di dunia kerana dilupakan oleh PBB, negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Yahudi Zionis erat bekerjasama dengan British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya.




Penglibatan tentera dari Liga Negara Arab yang digembar-gemburkan itu hanyalah merupakan tragedi apabila mereka telah ditewaskan dengan mudah oleh angkatan tentera pengganas Yahudi yang juga telah meresap ke dalam pimpinan tentera Liga Negara Arab.Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948.




Tertubuhnya Israel adalah Malapetaka Palestin




Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800 000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.




Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9hb April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang-orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Dalam serangan itu, wanita-wanita yang hamil telah dibelah perutnya dan dikeluarkan janin dan bayi hidup-hidup dari rahim ibunya. 52 orang kanak-kanak pula telah disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,”Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil Sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.




Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya. Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.



Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.



Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.Jenayah ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.




Enam Dekad Nakbah




Kini 60 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan Negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan :




1. Rejim Zionis terus yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini yahudi telahpun merampas dan menguasai kira-kira 90 % dari keseluruhan bumi Palestin.


2. Peningkatan serangan ke atas Masjid Al Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian qiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka MengYahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa dan mendirikan Kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang.


3. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang-orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.


4. Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.


5. Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.


6. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.
Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini. '


7. Dijangkakan seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 60 tahun yang lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai di dalam sejarah peradaban dunia.


8. Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.




Peranan masyarakat antarabangsa,




Fakta-fakta sejarah, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa amat memihak kepada rakyat Palestin yang berhak memiliki ketuanan dan kedaulatan di bumi mereka sediri.Rejim Zionis Israel kini mendapati bahawa mereka tidak boleh mengawal keadaan rakyat dan negara Palestin. Malahan mereka terpaksa membuat berbagai pendekatan yang keras mahupun dengan cara berkompromi untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat Palestin.




Mereka menggunakan pelbagai strategi terutamanya dengan mempengaruhi sekutu kuat mereka iaitu Amerika Syarikat untuk menangai permasalahan yang terus berpanjangan.PBB dan masyarakat antarabangsa yang sentiasa memperjuangkan keadilan semestinya teguh dalam membuat pendirian dan tidak dipengaruhi oleh lobi Yahudi Zionis di dalam membuat dan melaksanakan keputusan-keputusan mereka. Kependudukan dan negara Palestin mesti dikembalikan kepada pemilik asal yang sah yang pernah mendiami bumi ini sejak sekian lama.




Peranan umat Islam




Bumi Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mi’raj, Tanah Suci umat Islam yang ke tiga yang juga merupakan bumi para Nabi. Isu Palestin bukanlah sekadar isu untuk orang-orang Palestin atau orang-orang Arab sahaja. Bahkan isu ini adalah isu penting yang berkaitan dengan keimanan untuk semua umat Islam di seluruh dunia.Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini. Negara –negara Islam perlu berani dan ikhlas membantu terutamanya dari segi kemanusiaan setelah ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban dalam krisis yang berlarutan sekian lamanya.




Di Malaysia




Kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperluaskan lagi di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai melalui penulisan di akhbar-akhbar dan majalah, ceramah-ceramah dan pameran-pameran serta media elektronik. Sumbangan kemanusiaan pula mesti dipergiatkan bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan kita bahkan di persada antarabangsa.Persoalannya, adakah kita telah berbuat sesuatu bagi meringankan beban dan kesangsaraan yang mereka alami selama ini?




oleh : Dr Zainur Rashid Zainuddin PerundingAman Palestin


Sunday, May 11, 2008

TERIMA KASIH CIKGU...



“Ok, sekarang semua buka buku latihan masing-masing” kataku kepada pelajar Tahun 1
“Saya tak bawak buku, cikgu” jawab salah seorang daripada mereka
“Kenapa tak bawak?” soalku
“Terlupa cikgu…”balasnya dengan penuh syahdu
“Dia tipu cikgu, nie buku dia” rakan sebelahnya menarik sesuatu dari beg murid tadi
Buku latihan yang kuminta tadi rupanya disimpan kemas dalam beg.

“Kenapa tipu cikgu?” soalku kepada murid tadi, dan hati dah mula panas.
Dan murid tersebut hanya tersenyum simpul melihatku
“Tak baik tipu cikgu..” kata salah seorang kawannya dalam kelas itu
“Nanti dapat dosa, pastu masuk neraka” nasihatnya lagi sambil disokong oleh lapan kawannya yang lain.

Hati yang panas tadi mula luntur saat mereka menyebut perkataan dosa dan neraka, ternyata walau umur baru mengenal dunia, namun telah tahu bahawa perbuatan yang salah itu satu dosa, bahkan diancam dengan neraka sebagai balasan sebuah dosa yang dibuat. Sedangkan yang berbicara itu seorang pelajar perempuan yang masih tidak bertudung dan pakaiannya seolah-olah seperti ingin membuat persembahan nyanyian di sebuah konsert ala-ala “Jom Heboh”. Moga kelak dia akan tahu, bahawa tidak memakai tudung dan tidak menutup aurat juga satu dosa yang jika tidak diubah bakal menjerumuskan diri ke dalam neraka-Nya.

Kemudian masing-masing mula mengeluarkan suara sejati mereka ditambah dengan “mines one” ciptaan sendiri menjadikan kelas begitu bising hingga rasanya cermin kelas pun hampir retak, tak termasuk lagi ada yang menarik rambut kawan-kawan lain, yang mula memanjat meja dengan tujuan nak memadam papan putih di hadapan, yang bekejar-kejaran sekeliling kelas dan yang selalu meminta izin nak ke tandas setiap saat.

Kepala hampir nak pecah melihat gelagat mereka semuanya, terasa macam tangan dan kaki nak berbicara agar keadaan kembali normal, namun perasaan masih dapat dikawal cuma tangan yang mula berbicara dengan memberikan mereka sedikit “hadiah” sebagai tanda “sayang” seorang cikgu kepada murid-muridnya. Akhirnya kelas tamat setelah 2 jam “bertarung” dengan gelagat kanak-kanak yang sentiasa suka bermain.

Saat pulang, fikiran mula terbayang bagaimana susah dan peritnya cikguku dahulu mengajar diri ini dan kawan-kawan yang ada seribu satu macam personaliti, perangai dan telatah masing-masing, bukan hanya untuk 2 jam, bukan hanya setakat 10 orang tetapi dari pagi sampai ke petang menjaga hampir 20 orang murid ke atas.

Pengorbanan yang cukup besar yang harus dipikul oleh seorang yang bergelar Cikgu, berusaha untuk memahamkan anak muridnya dengan sukatan pelajaran, memahami sikap dan perangai setiap anak murid, mengawal kenakalan harian setiap muridnya dan pelbagai lagi ujian dan cabaran bagi seorang cikgu.

Saban tahun sambutan Hari Guru pasti disambut dan saat itulah digunakan untuk para pelajar memohon maaf atas kesilapan dan kenakalan yang pernah dilakukan lebih-lebih lagi jika tahun tersebut akan menduduki peperiksaan yang penting dalam hidup ini. Namun kadangkala berlalunya tarikh 16 Mei, sikap lama kembali datang lalu kenakalan dahulu berulang kembali dengan wajah dan versi yang baru pula. Dan cikgu-cikgu kembali gusar dan semakin gugur rambutnya bagi yang lelaki, air mata mula mengalir bagi yang perempuan memikirkan jalan keluar yang terbaik untuk mendidik setiap pelajar-pelajar mereka.

Kita jarang menghargai sumbangan mereka yang telah banyak berjasa dalam kehidupan kita terutama cikgu-cikgu yang mendidik kita kerana kita tidak berada dalam posisi mereka, serta tidak merasakan apa yang mereka alami. Saat kita mula ada tanggungjawab untuk mendidik insan lain tidak kira sebagai seorang cikgu, seorang bapa, seorang ibu, seorang bos, atau seorang pendakwah, barulah kita mula merasai pahit manisnya kesukaran dan kesulitan yang harus ditempuhi sebagai seorang pendidik.

Begitu jua dalam kehidupan yang singkat ini, saat kita belum merasakan mati, maka segala kesenangan dan kemewahan yang dikecapi membuatkan kita berasa selesa dengan apa yang ada seolah-olah akan hidup selama-lamanya hingga terlupa untuk mencari kesenangan dan kemewahan di akhirat kelak, lantaran itulah saat kematian telah dirasai dan azab-Nya telah mula dirasakan, pelbagai ucapan mula dilontarkan untuk kembali ke muka bumi untuk memperbaiki diri walaupun permintaan itu tidak mungkin ditunaikan lagi kerana masa yang diberikan telahpun tamat saat nyawa sudah tiba di kerongkong. Al-Quran merakamkan beberapa ucapan bagi golongan yang ingin kembali hidup setelah merasakan kekesalan akibat mengabaikan akhirat mereka dahulu.

“ Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami." Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.[Al Baqarah 2:167]

“Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia ), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim."[ Al Mukminun 23:107]

“maka sekiranya kita dapat kembali sekali lagi (ke dunia) niscaya kami menjadi orang-orang yang beriman."[Asy Syu’araa 26:102]

“Dan siapa yang disesatkan Allah maka tidak ada baginya seorang pemimpinpun sesudah itu. Dan kamu akan melihat orang-orang yang zalim ketika mereka melihat azab berkata: "Adakah kiranya jalan untuk kembali (ke dunia)?"[Asy Syu’araa 26:44]

Hargailah mereka yang pernah berjasa dalam kehidupan ini dan kutujukan kepada para pendidik umat masa kini, kerana mereka adalah pembimbing kita yang mudah-mudahan bukan hanya untuk menambah pengetahuan keduniaan kita tetapi juga pengetahuan akhirat kita. Begitu juga, hargailah peluang kita yang singkat di muka bumi ini untuk mendapat dan menjaga hidayah yang diberikan-Nya kepada kita agar kelak ia dapat menyelamatkan kita dari siksa-Nya yang tiada siapa pun dapat menahan pedihnya.

Kuucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Ilahi atas pemberian-Nya kepadaku melalui individu-individu yang pernah mendidik diri ini sejak dulu, kini dan akan datang, semoga mereka diberikan pahala yang berterusan atas kesungguhan dan kesabaran mendidik umat agar mampu menjadi manusia yang benar-benar manusia, yang tahu tujuan dan matlamat kehidupan ini.

Kepada mereka yang bakal menjadi cikgu kelak ataupun yang telah bergelar cikgu, teruskanlah usaha kalian dengan sebaik-baiknya kerana pastinya setiap yang bermanfaat itu akan tetap kekal jika tidak pada insan lain, diri yang menyampaikan pasti akan mendapat manfaatnya jua, kesabaran dalam mendidik umat ini bakal menjadi bekalan untuk kita menempuh ujian dan dugaan yang lain kelak, mudah-mudahan dapat meningkatkan iman kita yang sering turun dan naik saban minggu.

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?[Al Ankabut 29:2]

TERIMA KASIH CIKGU….kata-kata yang mungkin biasa bagi murid-murid yang mengucapkannya namun cukup bermakna bagi seorang cikgu yang mengajar mereka hatta sekadar mengajar secara part-time. Kenapa, tak percaya?? Cubalah jadi cikgu....

Sempena Hari Guru, walau belum lagi namun kita bukan orang yang sekadar menyambut Hari Guru pada tarikh 16 Mei semata-mata tapi mengenang jasa mereka sepanjang hayat ini..

Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
6 Jamadil Awal 1429H 3:17a.m

Wednesday, May 7, 2008

ADAKAH SOLAT KITA DITERIMA...



Solat merupakan ibadah yang diwajibkan oleh ALLAH kepada umat ini yang dikhabarkan dalam banyak ayat dalam Al-Quran antaranya.

“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku.”[Thaha 20:14]

Solat juga menjadi pemisah untuk membezakan antara orang yang beriman dengan orang yang musyrik. Maka tidak ada alasan untuk mengelakkan diri dari mengabaikan kewajipan solat kecuali bagi wanita yang ada keuzuran yang dibenarkan oleh syara’.
Solat juga harus dilakukan seperti mana yang diajarkan oleh RasuluLLAH kerana sabdanya.

“Kamu dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat.”[HR Bukhari]

Maksud “lihat” dalam hadis di atas adalah ILMU iaitu seolah-olah ia berbunyi “sebagaimana kamu mengetahui kaedah dan sifat aku solat”[1]

Kerana solat adalah perintah ALLAH, maka tatacara melakukannya juga harus mengikut seperti mana yang dikehendaki-Nya, tidak boleh direka-reka mengikut kehendak sendiri kerana kaedah fiqh menyebut dalam ibadah segalanya haram kecuali ada dalil yang mengharuskannya. Jadi mengetahui segala pergerakan yang RasuluLLAH tunjukan harus kita ketahui dan pelajari sebaik-baiknya.

Persolannya jika segala rukun dan syarat sahnya telah kita penuhi, adakah kita yakin solat kita diterima ALLAH, jika hanya rukun dan tatacara solat diambil kira maka pasti insan yang kucoretkan cara solatnya dalam SEHARIAN BERSAMA TUHAN itu tidak ada kurangnya, walau dilakukan bukan pada waktu masuk solat, bukan secara berjemaah, dilakukan dengan kadar kecepatan seolah-olah ingin menyamai sebuah kereta F1 menukar tayar di pit stop masing-masing. Adakah begini nilainya solat yang RasuluLLAH sarankan agar mengikutinya. Sekali-kali tidak!!!

Solat bukan hanya proses yang mesti berjalan tetapi proses yang mampu menghasilkan produk yang bermutu tinggi dan mahal harganya. Sayangnya seringkali solat itu menjadi aktiviti yang dianggap “janji buat” semata-mata tanpa memikirkan kesan daripada solat itu sendiri.

Solat tidak pernah tinggal, namun khusyuk sering tertinggal bahkan kadang-kadang tidak hadir bersama solat yang dibuat, pelbagai bayangan dan ingatan mula hadir saat takbir mula dilafazkan hingga terkadang sudah rakaat ke berapa pun susah untuk diyakini bilangannya. Bukankah syarat pertama menjadi orang beriman yang berjaya itu adalah khusyuk dalam solatnya.

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya.[Al Mu’minun 23:1,2]


Ku senaraikan beberapa kaedah untuk mendapatkan khusyuk dalam solat, agar sedikit sebanyak dapat kita amalkan bersama..

1) AL-TAFAHHUM- Memahamkan semua bacaan di dalam solat dan menghayati maknanya.

2) AL-TAKZIM- Merasakan kebesaran ALLAH seolah-olah anda berada di hadapan-Nya.

3) AL-HAYBAH- Menghadirkan rasa gerun terhadap kekuasaan ALLAH, dengan demikian rasa hebat terhadap ALLAH akan dapat dihasilkan.

4) AL-RAJAK- Mengharapkan rahmat ALLAH dengan sepenuh harapan bahawa ibadat anda akan dapat diterima.

5) AL- HAYAK- Berasa malu kepada ALLAH kerana kecuaian dalam mengotakan janji kita terhadap-Nya dan kekurangan kita dalam melakukan ibadat terhadap-Nya[2]










Demikian sebahagian kaedah yang mungkin dapat kita biasakan dalam setiap solat-solat kita dengan harapan agar hadirnya khusyuk sebagai tanda kejayaan kita sebagai orang mukmin, hingga solat yang kita lakukan mampu menjadi benteng diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar dalam kehidupan seharian sebagaimana firman-Nya.

“…..Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar….”[Al- Ankabut 29: 45]

Hasil inilah yang kita dambakan dari setiap solat yang kita laksanakan, kerana andai diri masih lagi melakukan perbuatan keji dan mungkar walau saban hari tidak pernah meninggalkan solat lima waktu, dibimbangi ia menjadi tanda solat yang kita buat tidak diterima-Nya.

Kebimbangan itu seharusnya dirasai oleh semua orang lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai fikrah Islam yang baik, selalu menginginkan agar Islam menjadi agama yang dihormati, sentiasa berusaha menggerakkan dakwah di tempat masing-masing, maka solat harus diberi perhatian yang serius dan teliti.

Saat membaca artikel-artikel di website saifulislam.com berkenaan individu-individu yang berada dalam barisan penggerak mahupun pendokong kebenaran, yang mana dicemari dengan pelbagai kerosakan dan kemungkaran yang dilakukan menjadi kegusaran dalam diri ini andai ia bakal terkena diri sendiri kelak.
Lantaran itu seharusnya kita kembali menilai dan memuhasabah kembali setiap solat yang kita lakukan adakah benar-benar mampu menjaga diri kita dari godaan dan hasutan syaitan yang tidak pernah mengira sama ada kita di kalangan pendokong kebatilan mahupun kebenaran. Apatah lagi solat merupakan amalan pertama yang akan disoal kelak di hadapan-Nya, jika solatnya diterima maka amalan lain pun akan diterima jua, namun jika solat kita ditolak adakah mungkin segala seruan dakwah ataupun keberadaan kita di sisi penggerak kebenaran boleh menyelamatkan diri dari azab-NYA yang MAHA PEDIH. Moga diri ini yang pertama-tama memikirkannya dan kalian jua begitu.

“….Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya….”[Al-Maauun 107:4,5]

“Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu', (yaitu) orang-orang yang meyakini, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya.”[Al- Baqarah 2:45-46]


Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
2 Jamadil Awal 1429H 03:45a.m.

RUJUKAN:
[1] Mughni al- Muhtaj, Khatib al-Syarbini, 1/210(Cet. Dar al-Fikr)- dari buku Formula Solat Sempurna-Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman m/s 2
[2] Formula Solat Sempurna-Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman m/s 133



SEHARIAN BERSAMA TUHAN



Malam semakin menghampiri penghujungnya, menandakan siang akan mula menampakkan wajahnya, cahaya mentari semakin memenuhi segenap ruang yang ada di kamar, tatkala itu seorang insan sedang menggosokkan matanya melihat keadaan sekitar yang semakin terang-benderang.

“Allah, subuh belum lagi….” katanya sambil menggaru-garu kepala yang tak gatal

Bergegas-gegas insan itu ke bilik air mengambil wudhu’ sekadarnya lalu menunaikan solat dua rakaat secara individu tanpa berpasangan dengan sesiapa, kelihatan sahabat yang lain juga menunaikan solat saat jam mula melepasi pukul 7 pagi ke atas.

Kemudian mula berangkat ke tempat kerja masing-masing hinggalah matahari mula terik seolah-olah berada dekat di atas kepala, menunjukkan waktu zuhur tiba, dan insan itu..

“Banyak lagi keje tak siap lagi, nie last, pastu pegi surau….” kata hatinya berbicara sambil tangan sedang bekerja keras menyiapkan tugasan yang ada.

Waktu semakin berlalu dan insan tadi bergerak ke surau berdekatan dan menunaikan solat zuhurnya sekitar pukul 2 petang ke atas, lalu menyambung tugasan hingga tiba waktu pulang dan waktu asarnya mula dikerjakan setelah waktu menunjukkan pukul 5 ke atas tanpa teman yang lain, sendirian melaksanakan kewajipan dalam masa 10 minit.

Matahari mula hilang cahayanya di bumi, dan malam kembali menyelimuti bumi, insan itu jua pulang ke rumahnya dan merebahkan diri di pembaringannya buat menghilangkan penat dan lelah buat sementara, namun

“Ya Allah, dah pukul 10 malam…” terkejut melihat jam dan bilik yang gelap-gelita…

Maghrib dan Isyak dijamak sekaligus dengan penuh ketenangan tanpa insan lain di sebelah dan memanjatkan doa memohon bantuan agar dimudahkan segala urusan dan diberi keberkatan dalam kehidupan serta memohon agar kebenaran akan tertegak di muka buminya.

Malam terus berlalu dengan dihiasi bintang-bintang bergemerlapan, lantas insan itu menyambung lenanya yang terganggu tadi dengan sebuah dengkuran akibat kelelahan bekerja di siang hari, dan esok kena bekerja lagi….

Seharian telah berlalu…

Sendirian dan sementara…

Bersama Tuhan….

Yang Memberi Rezeki…

Yang Menghidup dan Mematikan…


Insan itu sentiasa menghantui diri ini yang kadangkala menjadi sepertinya dalam hidup yang sementara ini. Adakah masih ada esok untuk mengubahnya????


Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
2 Jamadil awal 1429H 2:24a.m.