“Ok, sekarang semua buka buku latihan masing-masing” kataku kepada pelajar Tahun 1
“Saya tak bawak buku, cikgu” jawab salah seorang daripada mereka
“Kenapa tak bawak?” soalku
“Terlupa cikgu…”balasnya dengan penuh syahdu
“Dia tipu cikgu, nie buku dia” rakan sebelahnya menarik sesuatu dari beg murid tadi
Buku latihan yang kuminta tadi rupanya disimpan kemas dalam beg.
“Kenapa tipu cikgu?” soalku kepada murid tadi, dan hati dah mula panas.
Dan murid tersebut hanya tersenyum simpul melihatku
“Tak baik tipu cikgu..” kata salah seorang kawannya dalam kelas itu
“Nanti dapat dosa, pastu masuk neraka” nasihatnya lagi sambil disokong oleh lapan kawannya yang lain.
Hati yang panas tadi mula luntur saat mereka menyebut perkataan dosa dan neraka, ternyata walau umur baru mengenal dunia, namun telah tahu bahawa perbuatan yang salah itu satu dosa, bahkan diancam dengan neraka sebagai balasan sebuah dosa yang dibuat. Sedangkan yang berbicara itu seorang pelajar perempuan yang masih tidak bertudung dan pakaiannya seolah-olah seperti ingin membuat persembahan nyanyian di sebuah konsert ala-ala “Jom Heboh”. Moga kelak dia akan tahu, bahawa tidak memakai tudung dan tidak menutup aurat juga satu dosa yang jika tidak diubah bakal menjerumuskan diri ke dalam neraka-Nya.
Kemudian masing-masing mula mengeluarkan suara sejati mereka ditambah dengan “mines one” ciptaan sendiri menjadikan kelas begitu bising hingga rasanya cermin kelas pun hampir retak, tak termasuk lagi ada yang menarik rambut kawan-kawan lain, yang mula memanjat meja dengan tujuan nak memadam papan putih di hadapan, yang bekejar-kejaran sekeliling kelas dan yang selalu meminta izin nak ke tandas setiap saat.
Kepala hampir nak pecah melihat gelagat mereka semuanya, terasa macam tangan dan kaki nak berbicara agar keadaan kembali normal, namun perasaan masih dapat dikawal cuma tangan yang mula berbicara dengan memberikan mereka sedikit “hadiah” sebagai tanda “sayang” seorang cikgu kepada murid-muridnya. Akhirnya kelas tamat setelah 2 jam “bertarung” dengan gelagat kanak-kanak yang sentiasa suka bermain.
Saat pulang, fikiran mula terbayang bagaimana susah dan peritnya cikguku dahulu mengajar diri ini dan kawan-kawan yang ada seribu satu macam personaliti, perangai dan telatah masing-masing, bukan hanya untuk 2 jam, bukan hanya setakat 10 orang tetapi dari pagi sampai ke petang menjaga hampir 20 orang murid ke atas.
Pengorbanan yang cukup besar yang harus dipikul oleh seorang yang bergelar Cikgu, berusaha untuk memahamkan anak muridnya dengan sukatan pelajaran, memahami sikap dan perangai setiap anak murid, mengawal kenakalan harian setiap muridnya dan pelbagai lagi ujian dan cabaran bagi seorang cikgu.
Saban tahun sambutan Hari Guru pasti disambut dan saat itulah digunakan untuk para pelajar memohon maaf atas kesilapan dan kenakalan yang pernah dilakukan lebih-lebih lagi jika tahun tersebut akan menduduki peperiksaan yang penting dalam hidup ini. Namun kadangkala berlalunya tarikh 16 Mei, sikap lama kembali datang lalu kenakalan dahulu berulang kembali dengan wajah dan versi yang baru pula. Dan cikgu-cikgu kembali gusar dan semakin gugur rambutnya bagi yang lelaki, air mata mula mengalir bagi yang perempuan memikirkan jalan keluar yang terbaik untuk mendidik setiap pelajar-pelajar mereka.
Kita jarang menghargai sumbangan mereka yang telah banyak berjasa dalam kehidupan kita terutama cikgu-cikgu yang mendidik kita kerana kita tidak berada dalam posisi mereka, serta tidak merasakan apa yang mereka alami. Saat kita mula ada tanggungjawab untuk mendidik insan lain tidak kira sebagai seorang cikgu, seorang bapa, seorang ibu, seorang bos, atau seorang pendakwah, barulah kita mula merasai pahit manisnya kesukaran dan kesulitan yang harus ditempuhi sebagai seorang pendidik.
Begitu jua dalam kehidupan yang singkat ini, saat kita belum merasakan mati, maka segala kesenangan dan kemewahan yang dikecapi membuatkan kita berasa selesa dengan apa yang ada seolah-olah akan hidup selama-lamanya hingga terlupa untuk mencari kesenangan dan kemewahan di akhirat kelak, lantaran itulah saat kematian telah dirasai dan azab-Nya telah mula dirasakan, pelbagai ucapan mula dilontarkan untuk kembali ke muka bumi untuk memperbaiki diri walaupun permintaan itu tidak mungkin ditunaikan lagi kerana masa yang diberikan telahpun tamat saat nyawa sudah tiba di kerongkong. Al-Quran merakamkan beberapa ucapan bagi golongan yang ingin kembali hidup setelah merasakan kekesalan akibat mengabaikan akhirat mereka dahulu.
“ Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami." Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.[Al Baqarah 2:167]
“Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (dan kembalikanlah kami ke dunia ), maka jika kami kembali (juga kepada kekafiran), sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim."[ Al Mukminun 23:107]
“maka sekiranya kita dapat kembali sekali lagi (ke dunia) niscaya kami menjadi orang-orang yang beriman."[Asy Syu’araa 26:102]
“Dan siapa yang disesatkan Allah maka tidak ada baginya seorang pemimpinpun sesudah itu. Dan kamu akan melihat orang-orang yang zalim ketika mereka melihat azab berkata: "Adakah kiranya jalan untuk kembali (ke dunia)?"[Asy Syu’araa 26:44]
Hargailah mereka yang pernah berjasa dalam kehidupan ini dan kutujukan kepada para pendidik umat masa kini, kerana mereka adalah pembimbing kita yang mudah-mudahan bukan hanya untuk menambah pengetahuan keduniaan kita tetapi juga pengetahuan akhirat kita. Begitu juga, hargailah peluang kita yang singkat di muka bumi ini untuk mendapat dan menjaga hidayah yang diberikan-Nya kepada kita agar kelak ia dapat menyelamatkan kita dari siksa-Nya yang tiada siapa pun dapat menahan pedihnya.
Kuucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Ilahi atas pemberian-Nya kepadaku melalui individu-individu yang pernah mendidik diri ini sejak dulu, kini dan akan datang, semoga mereka diberikan pahala yang berterusan atas kesungguhan dan kesabaran mendidik umat agar mampu menjadi manusia yang benar-benar manusia, yang tahu tujuan dan matlamat kehidupan ini.
Kepada mereka yang bakal menjadi cikgu kelak ataupun yang telah bergelar cikgu, teruskanlah usaha kalian dengan sebaik-baiknya kerana pastinya setiap yang bermanfaat itu akan tetap kekal jika tidak pada insan lain, diri yang menyampaikan pasti akan mendapat manfaatnya jua, kesabaran dalam mendidik umat ini bakal menjadi bekalan untuk kita menempuh ujian dan dugaan yang lain kelak, mudah-mudahan dapat meningkatkan iman kita yang sering turun dan naik saban minggu.
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?[Al Ankabut 29:2]
TERIMA KASIH CIKGU….kata-kata yang mungkin biasa bagi murid-murid yang mengucapkannya namun cukup bermakna bagi seorang cikgu yang mengajar mereka hatta sekadar mengajar secara part-time. Kenapa, tak percaya?? Cubalah jadi cikgu....
Sempena Hari Guru, walau belum lagi namun kita bukan orang yang sekadar menyambut Hari Guru pada tarikh 16 Mei semata-mata tapi mengenang jasa mereka sepanjang hayat ini..
Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
6 Jamadil Awal 1429H 3:17a.m
No comments:
Post a Comment