Saturday, September 27, 2008

SALAM LEBARAN


Idul Fitri kembali lagi setelah sebulan kita berpuasa, inilah salah satu hari yang diharamkan untuk berpuasa padanya, kerana ia adalah hari kemenangan, hari kejayaan dan juga hari kembali kepada fitrah yang asal. Sebulan berpuasa seharusnya mendidik kita untuk menjadi insan bertaqwa dan hari ini adalah untuk meraikan kejayaan mengharungi ujian Ilahi lewat perintah puasa yang bukan sedakar menahan lapar dan dahaga tetapi juga syahwat-syahwat yang sering menguasai diri sebelum ramadhan. Juga sebagai bekalan menghadapi 11 bulan yang mendatang dengan ibadah-ibadah yang telah biasa dilakukan semasa bulan ramadhan yang lalu. Bekalan sebulan itu sepatutnya cukup untuk membentengi diri dari melanggar perintah-Nya dan istiqamah dengan kebenaran dari-Nya. Malang andainya bulan ramadhan yang lalu tidak membuahkan apa-apa perubahan pada diri, lebih malang jika setelah ramadhan ibadah, akhlak dan perilaku kita semakin teruk berbanding sebelum ramadhan. Menjadi tanda kita tidak termasuk dalam generasi taqwa yang ingin dihasilkan semasa ramadhan yang lalu.

Fitrah insani itu sewajarnya menginsafi dan mengetahui siapa dirinya, serta tahu apa tanggungjawab yang dipikulnya dalam menghadapi bulan-bulan seterusnya. Cuma saat melafazkan ataupun mendengar takbir raya berkumandang, perasaan kita semakin sayu dan sedih, boleh jadi kerana lenggok irama takbir raya di Malaysia yang mendayu-dayu itu sedikit sebanyak mengundang rasa sebak di hati, lebih-lebih lagi bagi yang tidak dapat balik beraya, berada jauh dari keluarga, terkenang insan yang telah menghadap Ilahi, terjadi kecelakaan dan pelbagai lagi alasan yang membuatkan airmata mengalir bila mendengar takbir raya, walhal saat ramadhan dulu begitu sukar untuk mengalir walau setitis airmata.

Sedangkan tasbih, tahmid dan takbir yang kita sebutkan itu adalah laungan kemenangan, lanugan kebangkitan, laungan kebebasan dari kehinaan tanpa Islam kepada kebanggan dengan Islam. Idul Fitri yang disambut menjadi titik tolak kepada perubahan diri yang lebih baik tahap kefahaman agamanya, lebih banyak tahap ibadahnya, lebih sopan tutur bicaranya, lebih sempurna akhlaknya. Inilah generasi takwa yang diharapkan agar menjadi pejuang agama-Nya untuk kembali mendidik umat setelah mendapat tarbiyah ramadhan selama sebulan, menaikkan kembali semangat pejuang agama-Nya untuk kembali membangkitkan jiwa-jiwa yang masih tidur walau mereka juga menempuh bulan ramadhan yang lalu.

Ceriakan dirimu pada hari kemenangan ini, ukirkan senyuman yang paling manis yang mampu dikau berikan pada saudaramu, serta ucapkanlah semoga ALLAH menerima segala amal-amal kita semasa ramadhan yang lalu. Hubungkan silatulrahmi dengan saudara-maramu agar ukhwah dengan mereka kembali bertaut, kerana mereka juga adalah mad’u-mad’u kita yang sewajarnya kita berikan perhatian kerana dakwah itu adalah juga pada saudara yang terdekat dengan kita.

Semoga Idul fitri ini juga mengajar kita erti pengorbanan pada mereka yang telah bekerja kerana terpaksa menyediakan beberapa sampul duit raya untuk anak-anak kecil yang lebih lebar senyumannya menanti dihulurkan duit raya sebanyak yang boleh. Walau bukan suatu amalan yang seharusnya dibiasakan dalam masyarakat kita, tetapi bukankah rezeki yang kita dapat adalah dari-Nya, maka segala harta yang kita miliki di dalamnya ada hak orang lain. Mudah-mudahan duit-duit raya yang kita berikan itu sebagai tanda syukur kepada-Nya, dan moga ALLAH akan memberikan rezeki yang lebih baik kelak, boleh jadi apa sahaja. Ku ucapkan Selamat Rari Raya Idul Fitri kepada mereka yang mengenaliku dan kudoakan agar ALLAH menerima segala ibadah dan amal soleh kita lewat ramadhan yang lalu serta kekalkan kita dalam agama-Nya. Ku mohon maaf jika ada tersalah dan terkhilaf dalam berbicara lewat lisan mahupun tulisan kepada sahabat dan sahabiah yang pernah mendengar atau membaca apa-apa yang kusampaikan. Semoga kita senantiasa dalam ridha-Nya di dunia dan juga di akhirat kelak.

Mohd Halimi Abdul Aziz
28 Ramadhan 1429H, 12:00p.m.

BILAKAH MALAM ITU KAN TIBA

Seringkali kedengaran bacaan surah Al Qadr di penghujung ramadhan yang dibacakan oleh para imam solat terawih bagi mengingatkan para jemaahnya akan kedatangan malam yang dijanjikan Tuhan. Seringkali juga dapat dilihat di penghujung ramadhan bilangan jemaah yang memenuhi surau dan masjid semakin mengecil dan susut ‘rating’nya, berbeza saat melihat jemaah yang memenuhi pusat beli-belah di mana-mana, kelihatan sentiasa penuh dan di’imarah’kan sebaik-baiknya bermula awal ramadhan dan semakin kerap kunjungannya bila ramadhan semakin berakhir.Adakah kerana tarikan ke pusat beli-belah itu lebih mantap diselangi lagu-lagu yang menusuk kalbu dan mengimbau nostalgia lama dengan lagu-lagu raya yang memenuhi segenap ruang yang ada, sedangkan di surau dan masjid hanya dialunkan selawat yang tidak pernah berubah gaya lagunya serta seragam liriknya. Walhal fasa terakhir inilah seharusnya digandakan usaha dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah kepada-Nya. Sesungguhnya manusia itu diberikan sifat lupa pada dirinya, menyebabkan kita selalu terlupa apa yang paling penting dalam kehidupan ini, kesukaran untuk menentukan apa yang sepatutnya didahulukan dalam hidup ini juga menjadi penghalang terbesar untuk melihat umat ini bangkit dari lenanya yang panjang

Bagaimana caranya mahu mengembalikan semangat beragama dalam masyarakat kita, kerana saban tahun ramadhan hadir, masih ramai yang zahirnya hanya berubah saat ramadhan tiba dan pabila tamatnya musim ramadhan, tabiat lama kembali merosakkan diri untuk bulan-bulan seterusnya. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk meneruskan kebaikan yang telah bersemai dalam jiwa umat saat tarbiyah ramadhan mendidik umat ini.

Kalimah ‘mudah-mudahan kamu bertakwa’ di penghujung ayat 183 surah al-baqarah harus menjadi petunjuk buat kita bahawa ramadhan ini bakal mendidik umat ini menjadi generasi takwa ataupun didikan ramadhan ini tidak memberikan apa-apa manfaat buat mereka yang tidak merasa ingin menjadi generasi takwa sebagai tujuan utama dalam ibadah puasa kita. Takwa yang bakal memandu kita mengharungi 11 bulan mendatang pastinya bukan sahaja untuk istiqamah dalam beribadah bahkan lebih lagi dengan menjaga diri dari melakukan perkara yang ALLAH larang dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu dengan mengambil kira pandangan agama dalam setiap aspek perbuatan dan percakapan kita, persis seperti kita sedang berjalan di atas jalan yang berduri. Inilah makna takwa yang digambarkan oleh seorang sahabat Nabi kepada Umar.

Bilakah saatnya malam Al-Qadr itu akan tiba tidak perlu kita sibukkan dengan pelbagai perbahasan walau bukanlah sesuatu yang salah jika kita membicarakannya, cuma bimbang kesannya dalam beribadah hanya sekadar untuk malam itu semata-mata. Apatah lagi jika sudah berpuas hati setelah berqiamullai malamnya, pabila siangnya tiba lalu mengatakan bahawa semalam adalah malam Al-Qadr kerana tanda-tandanya cukup jelas berpandukan beberapa pandangan tentang tanda-tanda malam Al-Qadr.

Ikhlaskan diri kita dalam beribadah kepada-Nya, berdoalah dengan penuh keyakinan agar Dia mengampunkan kita di bulan ramadhan yang masih berbaki ini, ada hikmah yang besar ALLAH tidak menyatakan waktu yang tepat bilakah malam al-Qadr itu kan tiba. Pokoknya relakah kita memaksa diri mengorbankan masa tidur kita untuk bangkit menyembahnya saat manusia lain yang tidak menghiraukan kedatangan malam yang indah di bulan ini lena dengan mimpi-mimpinya yang tidak pernah berakhir. Kuatkanlah semangatmu untuk mengisi malam-malam terakhir ini dengan sujud kepada-Nya dan pasti akan lebih bermakna jika kita mampu mengalirkan walau setitis air mata keinsafan di malam yang istimewa ini kerana mengingatkan segala dosa-dosa yang sering membayangi kita.

Lailatul-Qadr
Malam yang sejahtera,
Menjadi rebutan insan bertaqwa,
Mengharap dosa kan terampun,
Agar kekal dalam kebenaran,
Buat bekalan bulan mendatang.

Tibalah saat kembali pergi,
Sinar fajar mula memancar,
Berlalulah malam dambaan umat,
Menangisi pemergian yang pasti,
Bertemu kembali hanya Tuhan yang tahu.

Ayuh wahai teman sekalian kita penuhi malam-malam kita dengan kenangan indah bersama-Nya. Airmata itu kan pasti mengalir seandainya kita tahu ini adalah ramadhan kita yang terakhir untuk mengucap kata taubat pada-Nya.


“Dan orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal saleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya”[Al Furqan 25:71]

“Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka karena Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar.”[An Nisaa 4:146]


Mohd Halimi Abdul Aziz
28 Ramadhan 1429H, 11:15a.m

Sunday, September 21, 2008

SYUKUR PADAMU YA ALLAH

Ramadhan telah memasuki fasanya yang terakhir, fasa yang dipenuhi keberkahan dan kemulian jika benar-benar dimanfaatkan sebaiknya bagi mereka yang benar-benar ingin menggengam nilai keampunan dan ketaqwaan dari-Nya pada kesempatan yang masih ada saat ini.

Malam yang indah itu kembali lagi bagi umat ini, tiada siapa yang mengetahui bilakah malam yang lebih baik dari seribu bulan itu, tapi yang pasti ia berada pada fasa-fasa terakhir ini. Marilah kita rebut peluang keemasan yang masih ada ini untuk mencari ketenangan malam yang indah itu dengan beribadah kepada-Nya, jangan biarkan malam itu berlalu sahaja tanpa dirasakan kehangatannya, lantaran kelekaan kita untuk menyambut hari lebaran yang bakal tiba. Malam itu belum tentu dapat kita kecapi setelah tahun ini, kerana siapa tahu inilah ramadhan kita yang terakhir. Ayuh, kita meriahkan malam-malam ramadhan ini dengan bersujud kepada-Nya, menangisi segala dosa dan noda kita, menginsafi segala kesilapan yang lalu, memohon keampunan-Nya dan mengharap dikekalkan dalam hidayah-Nya bagi bulan-bulan yang mendatang.

Diri ini juga berharap agar ramadhan kali ini tidak seperti ramadhan yang lalu, ingin rasanya merasai kenikmatan malam-malam ramadhan yang masih tinggal ini dengan sebaiknya, walau diri masih belum merasai apa-apa perubahan yang ketara, ditambah dengan kegusaran yang melanda fikiran saban hari, walau luaran tampak biasa dan masih mampu mengukir senyuman namun derita diri siapa yang tahu melainkan Tuhan yang Satu bak kata sahabatku. Namun saat merasakan semangat sudah semakin pudar dari diri, ternyata ALLAH mempertemukan diri ini dengan seorang yang benar-benar membuatkan diri ini tersentuh dan sedikit sebanyak menaikkan kembali semangat hidupku.

Setelah menunaikan solat terawih, lalu membaca beberapa kalimah-Nya di salah satu sudut di dalam masjid, bersama angin kipas yang berpusing laju, kemudian ditegur seseorang yang ku kenal rupanya, tapi sudah terlupa namanya. Dia adalah seniorku saat tinggal di kolej kedua tiga tahun lepas, kami berbual-bual sambil mengenang kembali mereka yang pernah tinggal di kolej kedua serta kenangan-kenangan di situ. Dia bukanlah senior yang kukenali secara dekat, cuma saat di kolej dulu boleh dikategorikan sebagai mereka yang “huha-huha”. Setelah beberapa ketika berbicara, dia mula menyebut beberapa ayat Al-Quran yang kebetulan saat itu sedang memegang terjemahan Al-Quran, hingga membuatkan ku tergamam seketika, namun buat muka selamba sambil mengiakan apa yang disampaikannya. Saat itu kurasakan dia bukan lagi seperti dulu, ada perbezaan dan perubahan telah berlaku padanya. Bicara itu terhenti kerana masing-masing ada urusan yang perlu dibuat, lalu dia meminta jika masih dapat bertemu keesokkan harinya selepas tarawih dan diri ini bersetuju untuk menemuinya lagi.

Keesokannya dia mengajak ku kedai makan, sekadar untuk minum-minum setelah kami selesai menunaikan solat terawih. Satu lagi kejutan bagi diriku, bila dia mengeluarkan terjemahan Al-Quran lalu menceritakan pelbagai kehebatan Al-Quran, sejarah kemunduran umat Islam, apa yang perlu kita buat saat ini, dan kisah-kisah dia berdakwah pada kawan-kawan sekerjanya. Bukan ku terkejut kerana dia membawa terjemahan Al-Quran tapi pada penerangan serta perubahan dirinya yang luar biasa, apatah lagi perbincangan kami di salah sebuah kedai makan, satu suasana pengisian yang jarang-jarang kudapati walau telah beberapa tahun bersama tarbiyah. Dia menceritakan segala-galanya dengan cukup baik bersama nas-nas Al-Quran yang diingatinya dan kami mentaddaburkan beberapa ayat Al-Quran diselang –seli dengan hirupan teh tarik. Semasa dia menerangkan segala yang diketahuinya, diri ini mula terkenang kembali saat berada di kolej bersama dengannya, ternyata dia tidak pernah bercerita seperti ini, dan kujuga belum pernah berbicara dengannya pasal Al-Quran, dakwah, tarbiyah dan selainnya.Rupanya dia katakan dia mendapat semua ini setelah keluar dari kolej dan mula berkerja, lalu dia mengatakan setelah itu ALLAH memberikannya jalan yang lurus seperti mana yang sering diungkapkan dalam Al-Fatihah.

Betapa hebatnya hidayah yang ALLAH berikan pada seseorang, mampu menyentuh hati-hati yang satu ketika dulu agak sukar berbicara tentang agama, tetapi sekali hidayah mula menyentuh diri, lihatlah perubahan dan keupayaan yang ALLAH berikan, maka benarlah apa yang Umar ucapkan “Kita dahulu adalah bangsa yang hina, dan Islam telah memuliakan kita, sesiapa yang mencari kemulian selain dari Islam, maka hinalah dirinya”. Itulah ungkapan yang dapat kurasakan padanya, petahnya dalam berbicara tentang agama dan masalah yang sedang umat ini hadapi, di samping taddabur ayat-ayat Al-Quran yang dibacanya, benar-benar membuatku rasa gembira dan bersyukur.

Saat diri ini merasa lemah dan malas, lantas ALLAH mempertemukan dengan seorang insan yang membuatkan diri ini kembali bersemangat dan terharu serta merasakan bahawa hidayah ALLAH itu benar-benar satu anugerah yang maha hebat, diberikan-Nya pada siapa yang dikehendaki-Nya. Hati ini kembali terisi dengan pengisian-pengisiannya pada malam itu, lebih-lebih lagi dengan kesungguhanya untuk bertemu lagi demi menyampaikan apa yang diketahui padaku, semangat dakwahnya sangat menginsafkan diri ini, kerana diri ini juga kadang-kadang semakin hilang semangat dakwahnya. Harus menjadi ibrah padaku bahawa jangan sekali-kali membenci atau membiarkan mereka yang kita rasakan susah untuk dibawa bicara tentang Islam, kerana boleh jadi sekali mereka tersentuh dengan risalah-Nya, maka lihatlah kesungguhan dakwahnya, bahkan lebih hebat berbanding mereka yang telah lama ditarbiyah. Inilah salah satu buktinya.

Syukur pada-Mu ya ALLAH, mempertemukan aku dengannya, mengisi dan mengubati kesedihanku saat ini, mengembirakan hati ini dengan kalimah-Mu, memberikan seorang teman lama dengan wajah diri yang baru dan tutur kata yang sentiasa mengingatkanku pada-Mu. Ramadhan kali ini, cukup berbeza dengan sebelum ini, semoga ada hikmah yang cukup bermakna bagi dakwah ini, lewat pertemuan yang tidak pernah kufikirkan dan rancangkan ini. Sebuah pemberian yang kunantikan selama ini, moga dapat bertemu lebih ramai insan yang sepertinya.

Kuucapkan syukur padaMu
Ya ALLAH
Atas segala pemberianMu
Kudambakan cintaMu
Kuhamparkan ibadahku
Melewati malam maghfirahMu
Demi menebus segala
Dosa nodaku padaMu
Terimalah taubatku
Sebelum bertemuMu
Di alam kekal abadi
p/s- Selamat beribadah memohon ampunan-Nya di lailatul qadr dan jgn lupa bayar zakat fitrahmu. Selagi masa masih ada...

Mohd Halimi Abdul Aziz
20 Ramadhan 1429H, 02:08a.m

Saturday, September 13, 2008

BULAN MEMBERI CINTA


Ramadhan telah berada di penghujung fasa pertamanya dan kini hampir memasuki fasa kedua buat hamba-hamba-Nya. Mereka yang benar-benar menghayati ramadhan kali ini pasti tambah bersemangat meneruskan hari-hari mendatang dengan ibadah kepada-Nya demi sebuah perubahan diri yang lebih baik untuk mencapai cita-cita ketaqwaan melalui puasa yg dikerjakan. Supaya ramadhan kali ini tidak lagi sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi menahan diri dari segala yang boleh membawa kita jauh dari cinta-Nya.

Keghairahan kita mencari cinta Ilahi dengan amal yang sebanyak-banyaknya kadangkala dirasakan kosong tanpa apa-apa perubahan dalam diri, boleh menghabiskan 1 juz quran dalam sehari, qiamullai saban malam, ibadah sunat saban waktu, tetapi masih belum dapat merasakan cinta-Nya. Apatah lagi jika disusuli dengan kemaksiatan yang masih dilakukan walau ibadah sudah dikerjakan sebaiknya. Dimana salah silapnya kita dalam beramal, kenapa masih gagal meraih cinta-Nya.

Diri ini juga masih mencari jawapan yg sesuai bagi mereka yg merasakan seperti yg digambarkan, dalam kerungsingan memikirkannya tiba-tiba terkenang kembali segala ibadah yang dibuat selama ini, benarkah ingin mencari cinta-Nya atau sebenarnya meminta atau lebih tepatnya memaksa agar Tuhan memberi cinta-Nya kepada diri asbab dari segala ibadah yang telah dilakukan. Pencarian itu biasanya mengharapkan keberhasilan untuk mendapatkannya walau dengan apa cara sekalipun dan biasanya kekecewaan akan muncul jika pencarian itu tidak membawa apa-apa hasil yang diharapkan hingga kadangkala boleh memudaratkan sang pencari sendiri.

Lihatlah mereka yang meminta kepada RasuluLLAH untuk beribadat sepanjang malam tanpa tidur, berpuasa tanpa berbuka dan menolak untuk menikah serta menghabiskan bacaan quran dengan secepat yang boleh demi mencari cinta Rabb mereka, namun Rasul tidak membenarkannya lantaran bukan begitu caranya meraih cinta Ilahi. Ia hanya semangat yang hadir seketika serta melampau-lampau dalam beribadah kepada-Nya kerana kelak ia hanya menghadirkan kelesuan dan kesusahan pada yang empunya diri walau zahirnya tampak itulah sebuah amalan yang hebat untuk menggengam cinta Ilah Yang Satu.

Cinta itu sebenarnya harus diberi dan bukan dicari secara membabi buta tanpa arah dan tujuan. Tuluskah cinta yang cuba kita berikan pada-Nya saat melakukan segala ibadah untuk-Nya. Betapa ALLAH telah memberikan cinta-Nya dengan nikmat-nikmat yang tidak terkira kepada kita sedangkan kita masih belum benar-benar memberikan cinta kita pada-Nya, lalu layakkah kita untuk memiliki cinta-Nya walhal dalam hati ini terkumpul beberapa cinta-cinta lain yang menghambat hadirnya cinta-Nya.

Cinta pada kehidupan, cinta pada kedudukan, cinta kepada pekerjaan, cinta kepada pengajian dan cinta kepada insan yang belum menjadi hak sebenar buat yang empunya diri adalah sebahagian cinta yang masih melekat dalam jiwa-jiwa kita dan terlalu sukar untuk dibuang. Salahkan mencintainya, bukankah ia juga sebahagian nikmat yang ALLAH berikan pada kita semua, ya mungkin tidak salah jika cinta pada-Nya mengatasi segala cinta yang lain kerana ia bakal membatasi kecintaan kita pada selain-Nya menurut jalan yang diredhai-Nya. Ternyata realiti yang terjadi kita sering mendahulukan cinta selain-Nya mengisi kebanyakan ruang-ruang masa yang kita ada, dan di sela-sela masa yang berbaki itulah baru kita mengingati-Nya. Adakah ini cinta namanya.

Lantaran itu pencarian kita hanya membawa pada keletihan dan kemurungan kerana cinta-Nya seolah-olah tidak pernah hadir dalam kehidupan walau hakikatnya kita sendiri belum memberikan sepenuh cinta kita pada-Nya. Sepatutnya madrasah ramadhan yang tiba kali ini harus menjadi medan untuk memberi cinta kita pada-Nya bukan lagi pencarian semata-mata.

Begitulah kiranya kumelihat sebagian mereka yang bersungguh mencari cinta insani seringkali menempuh kekecewaan yang luar biasa andai cinta yang dicari terputus di persimpangan kerana merasakan sudah berbuat segala-galanya demi insan tersayang kononnya.. Perhatikan mereka yang sering berpegangan tangan ataupun menghabisi masa-masa yang ada berbual dan bermadah kata dengan pelbagai wasilah demi melahirkan dan mencari cinta sejati, namun kerana cinta yang dicari tidak dibatasi kaedah yang ALLAH tunjukkan, maka cinta yang dicari untuk hanya sekadar menjadi pemuas nafsu yang tak pernah puas dan medan untuk meluah rasa dan kekosongan serta kesepian yang melanda diri, tidak cukup sekadar itu, cinta yang tidak dibatasi cinta-Nya itu diterjemahkan dengan hilangnya maruah dan kehormatan serta kemuliaan sang pelakunya, untuk membuktikan cinta mereka. Inikah yang mereka namakan cinta.

Termasuk juga mereka yang beragama mencari-cari alasan untuk bercinta juga atas nama agama walau belum tiba saat dan ketikanya, kerana cinta itu fitrah manusiawi setiap insan maka pasti tiada siapa dapat melepasinya. Ia tetap akan hadir kadangkala tanpa dipinta dan dicari, namun kita tetap diberi pilihan untuk mengawalnya dan di sinilah peranan cinta-Nya akan bermula. Sudah berapa ramaikah yang meninggalkan jalan perjuangan hanya kerana terlalu dikuasai cinta insani ini.Timbul pertanyaan seorang sahabat yang masih di bangku sekolah, jika tidak bercinta, gaimana akan wujudnya pernikahan. Benar tanpa cinta hambarlah kehidupan suami isteri kelak. Cuma adakah benar hubungan sebelum pernikahan itu benar-benar cinta atau sekadar nafsu yang ingin mengisi ruang kesunyian dalam diri dan mungkin sekadar trial and error sesama insan demi mencari ‘chemistry’ yang berlanjutan bertahun-tahun untuk dijumpai. Lebih menyedihkan setelah menjalinkan hubungan bertahun-tahun tanpa ikatan yang sah, lantas setelah benar-benar yakin itulah pasangan sehidup semati, akhirnya perkahwinan yang dibina ternyata hanya bertahan sementara bahkan lebih pendek dari masa mereka bercinta. Betulkah ini namanya cinta.

Jadi apa solusinya bagi mereka yang benar-benar ingin menjaga diri dan agamanya daripada dicemari cinta-cinta berbaur nafsu itu, sedangkan mereka juga insan biasa yang memerlukan teman untuk mengisi kekosongan dan kesepian diri dengan kata-kata semangat dan gurau senda serta medan meluah segala derita di samping wadah meluah janji-janji manis dengan kata-kata cinta, tetapi masih belum mempunyai kemampuan untuk menikah maupun persedian menempuhi era “Aku terima nikahnya”. RasuluLLAH mengajar sahabatnya bukan hanya untuk mencintai isteri-isteri mereka tetapi jua sesama mereka para sahabat laki-laki dan juga perempuan. Bahkan ukuran iman juga diukur melalui kadar kecintaan kita pada saudara atau sahabat kita. Lantaran itu di saat masih belum tiba masa untuk memiliki insan yang bernama isteri atau suami, eratkanlah ukhwah sesama sahabat dan jadikanlah mereka tempat rujukan dan tempat luahan rasa yang pertama agar cinta sesama sesama sahabat lelaki ataupun sesama perempuan akan berkembang mekar kembali.

Kegagalan kita memahami dan mengenali sesama sahabat yang lelaki mahupun yang perempuan menyebabkan adanya ruang-ruang kelemahan sesama kita hingga mengakibatkan hilangnya rasa percaya dan cinta sesama kita, lantas segala masalah yang kita hadapi tidak lagi dikongsi sesama lelaki ataupun perempuan sahaja bahkan ‘cross linking’ mula terjadi, meluahkan segala-galanya pada insan yang berbeza jantina, lantaran merasakan rasa percaya kepadanya lebih tinggi dan ukhwah pada insan yang berbeza jantina itu terasa lebih erat berbanding saat bercerita sesama lelaki atau perempuan semata-mata. Harus menjadi muhasabah kita bersama sejauh mana ukhwah yang telah kita bina selama ini, adakah ia telah melahirkan rasa cinta dan percaya sesama kita atau sebaliknya, jika sebaliknya yang terjadi bagaimana caranya kita ingin menghadirkan kembali rasa cinta dan percaya andai kita melihat sahabat-sahabat yang lain juga tidak menunjukkan rasa cinta dan percaya kepada kita. Kesedihan yang kita rasakan tidak pernah dipedulikan oleh sahabat lain, derita yang dihadapi seolah-olah ditanggung sendirian tanpa ada sahabat yang ambil tahu. Jadi untuk apa lagi meneruskan jalan perjuangan yang ditempuhi bersama mereka jika ukhwah itu sendiri seolah-olah telah hilang dari sanubari masing-masing.

Wahai diri dan sahabatku sekalian, seperti yang kucoretkan di permulaan agar bulan ini menjadi medan untuk memberi cinta, maka nasihatku buat diri dan mereka yang cintakan agama-Nya berilah kecintaan dan kepercayaan kita terlebih dahulu kepada sahabat-sahabat kita, tidak perlu menunggu dan menanti mereka memberikannya, bukankah para sahabat Ansar berlumba-lumba ingin memberikan pertolongan kepada sahabat Muhajirin yang baru kali pertama mereka bertemu, sebuah ukhwah yang cukup luar biasa RasuluLLAH terapkan dalam jiwa sahabatnya, masing-masing ingin menjadi yang pertama dalam berbuat kebaikan seperti mana yang kalimah-Nya anjurkan. Lantas kenapa tidak kita ingin mengikuti jejak langkah mereka dalam memberikan cinta dan percaya kita pada sahabat yang pastinya sudah kita kenali sejak dulu. Mudah-mudahan diri ini dan sahabat yang lain akan mula memekarkan kembali cinta itu sesama kita. Biarlah bagaimana sekalipun layanan sahabat kita, yang penting pada kita dialah sahabat yang ingin kita berikan rasa cinta dan perhatian kita kepadanya. Jadilah mereka yang pertama memberikan cinta dan kasih kita pada insan bergelar sahabat dalam mengharungi liku-liku perjuangan kita.

Ramadhan masih menyebarkan rahmat dan keampunan Ilahi kepada kita, lalu sebaiknya kita mengenang kembali segala dosa dan noda yang pernah kita lakukan dahulu kerana jalan pulang untuk kembali ke jalan yang diredhai-Nya masih terbentang luas, jangan pernah rasa kecewa dalam memberikan rasa cinta itu dan yakinlah kelak ALLAH akan membalas cinta itu dengan sebuah ikatan hati yang tidak pernah kita gambarkan saat bersama sahabat-sahabat kita. Manusia tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan dan kekhilafan, maka maafkanlah mereka yang kadangkala gagal menunjukkan rasa cinta itu sesama kita kerana boleh jadi jauh di sudut hati merekalah orang yang benar-benar ingin menyintai saudara seagama mereka. Cintailah mereka agar kelak mereka akan menyintai kita.

Mudah-mudahan bulan kemulian kali ini mengajar kita nilai cinta yang hakiki di sisi-Nya, marilah kita memohon ditunjukkan jalan cinta-Nya, mengharapkan keampunan dengan menyintai-Nya, merenung diri lewat cinta-Nya yang telah diberikan kepada kita.

Percintaan itu bukanlah pada pencarian kepada insan, tetapi pada pemberian dari Tuhan Yang Maha Memberi.

Sudahkah dikau berikan cintamu pada-Nya…..

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”[Ali ‘Imran 3:31]


Mohd Halimi Abdul Aziz

13 Ramadhan 1429H, 11:20a.m

Monday, September 1, 2008

MADRASAH RAMADHAN KEMBALI LAGI



TEGARKAN DIRI DI JALAN-NYA
TULUSKAN HATI MEMOHON MAGHFIRAH-NYA
FASIHKAN LIDAH DENGAN KALIMAH-NYA
HIASI DIRI DENGAN AKHLAQ-NYA
MENIKMATI HARI-HARI YANG DIBERKATI
PENDUDUK LANGIT DAN BUMI
AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN