Monday, August 10, 2009

SUKARNYA MENJAGA KATA DAN PERASAAN




Saban hari kita akan senantiasa berkomunikasi antara satu sama lain, pelbagai topik dan isu dapat dibicarakan, cuma kali ini ingin ku bicarakan perihal menjaga kata dan perasaan di kalangan lelaki dan wanita khususnya bagi mereka yang di istilahkan sebagai kawan atau sahabat semata. Pabila bercakap pastinya keluar kata-kata yang pelbagai dan juga perasaan yang lahir.


Antara kata-kata dan perasaan itu ada kecenderungan yang berbeza bagi lelaki dan wanita. Pada ku kata-kata itu lebih cenderung pada lelaki dan perasaan itu pada wanita, bukan bermaksud lelaki tidak berperasaan dan wanita tidak berkata-kata, cuma perbezaan dari segi penyampaian maksud sebuah perbualan.


Bagi mereka yang pernah membaca buku John Gray bertajuk Men are from Mars and Women are from Venus, pasti memahami perbezaan ketara bagi lelaki dan wanita dalam sebuah perhubungan, walau tulisan buku tersebut lebih menekankan hubungan antara suami isteri, namun ia tidak lari dari membincangkan bagaimana perbezaan di antara maksud kata-kata seorang lelaki dan perasaan seorang wanita dalam berbicara.






Sebagaimana tajuk yang kucoretkan diatas betapa sukarnya ingin menjaga kata-kata seorang lelaki kepada seorang wanita, begitulah juga sukarnya menjaga perasaan seorang wanita kepada seorang lelaki. Demikian ada kata-kata yang biasa bagi seorang lelaki seperti kata-kata semangat, penghargaan, perhatian, cadangan dan sebagainya, boleh ditafsir dengan pelbagai perasaan bagi seorang wanita, begitu juga bagaimana perasaan biasa seorang wanita seperti terharu, gembira, sedih, seronok dan sebagainya boleh ditafsir dengan pelbagai ‘kata-kata’ keramat bagi seorang lelaki. Adakah tidak boleh berkata-kata pada seorang wanita dan salahkah berperasaan pada seorang lelaki??


Berkata-kata dan berperasaan itu adalah dua perkara yang menjadi fitrah dalam kehidupan kita, begitu juga hubungan antara lelaki dan wanita, mana mungkin fitrah itu boleh dihalang dan dibantah. Namun agama tidak membiarkan fitrah itu dibiarkan begitu sahaja tanpa panduan kerana agama mengajar kita agar FITRAH itu tidak menjadi FITNAH.


Andai hubungan antara lelaki dan wanita, serta kata-kata dan perasaan itu, yang asalnya bersifat fitrah mula membibitkan fitnah, maka agama menjadi pembeza antara dua sifat tersebut. Agama meraikan fitrah tetapi melarang fitnah dari terjadi. Fitrah itu indah dan mulia tetapi fitnah itu mampu merosakkan fitrah menjadi hina dan kotor.



Lihatlah apa yang terjadi kepada wanita yang termakan pujuk rayu kata-kata seorang lelaki, begitu juga bagaimana lelaki terpengaruh dan terlena dengan perasaan seorang wanita. Begitulah sukarnya menjaga kata-kata dari seorang lelaki dan menjaga perasaan dari seorang wanita. Jika nilaian agama tidak menjadi panduan dalam berkata-kata dan berperasaan, kemungkinan rosaknya hubungan antara lelaki dan wanita semakin jelas dan akhirnya bertukarlah fitrah tadi menjadi fitnah yang berpanjangan.



Mari kita renung sejenak peringatan ALLAH tentang isteri-isteri dan anak-anak yang bakal menjadi fitnah.



“Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”[At-taghaabun 64:14]


Nah, jika isteri-isteri dan anak-anak yang pastinya menjadi fitrah setiap manusia inginkannya, tidak mustahil menjadi musuh yang bakal menjerumuskan suami dan ayah mereka yang bernama lelaki ke lembah yang tidak dibenarkan agama, apatah lagi yang belum menjadi suami mahupun isteri. ALLAH menasihatkan lelaki bernama suami agar berhati-hati terhadap mereka, lebih-lebih lagi lelaki yang bergelar “Bachelor”.



Maka nasihatku buat diri yang terkadang sukar mengawal kata dan perasaan dan buat sahabat dan temanku yang lain, berhati-hatilah kalian dalam berbicara kepada wanita dan begitu juga buat wanita agar berhati-hatilah dalam berperasaan terhadap lelaki, tidak kira mereka yang terlibat di medan islami atau tidak, kerana yang berkata dan berperasaan itu tetap sahaja seorang insan yang bersifat lelaki dan seorang insan yang bersifat wanita. Walau bukan semuanya begitu namun untuk menidakkan realiti yang terjadi antara lelaki dan wanita dewasa ini maka tulisan ini ku coretkan.



Jika ingin berkata-kata dengan ucapan yang istimewa, yang bakal membuahkan rasa kasih dan sayang, rasa setia dan seia sekata, rasa suka dan duka, biarlah pada seorang wanita bernama isteri, dan jika ingin berperasaan dimanja dan dibelai, dicintai dan dikasihi, dipercayai dan dihargai biarlah kepada seorang lelaki bernama suami.



Andai ini dianggap kolot dan asing, biarlah kita terus menjadi kolot dan asing di tengah-tengah badai ujian yang melanda. Sekali lagi kuingatkan diri dan kalian bahawa ia tidak semudah yang disangka, menulis memang mudah, namun jika ujian itu tiba berapa ramai yang sanggup bertahan menjaga kata dan perasaan. It’s really complicated.


Jangan biarkan FITRAH itu menjadi FITNAH.
Na’uzubillahi min zalik.

p/s- Ibrah atau pengajaran itu diambil dari umumnya ayat. Moga bermanfaat buat diri dan kalian.


Wallahu’alam.



Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
20 Sya’ban 1430H

No comments: