Wednesday, November 24, 2010

Makanan dan Kesihatan




Setiap hari pasti kita akan menjamah makanan, cuma banyak atau sedikit dan apa yang dimakan sahaja yang membezakan kita. Kita perlu makanan untuk meneruskan kehidupan bukan hidup untuk makan semata-mata. Makanan juga boleh memberikan tenaga pada tubuh badan dan juga lemak pada tubuh badan. Sekiranya kita menjaga pemakanan kita mengikut zat-zat yang diperlukan tubuh maka pastilah kesihatan kita terjaga, tetapi sebaliknya berlaku jika pemakanan kita tidak dijaga dengan baik ia boleh membunuh. Demikian itulah makanan yang kita makan cukup penting dalam kehidupan bahkan sahaja Quran juga mengungkapkan perihal makanan sejak dahulu lagi. Mari kita lihat sejenak:

Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu "manna" dan "salwa" .Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu; dan tidaklah mereka menganiaya Kami; akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri[Al-Baqarah 2:57]

Bagaimana Bani Israel dianugerahkan ALLAH akan “manna” dan “ salwa”, makanan dari langit yang cukup istimewa, ALLAH juga menyuruh kita agar makan dari makanan yang baik-baik. Maka menjaga pemakanan yang baik juga salah satu suruhan agama agar tidak menjadi seperti Bani Israel yang demikian telah mendapat makanan yang baik dari ALLAH, tetap sahaja meminta makanan yang rendah mutu dan kualitinya seperti mana yang Quran rakamkan:

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: "Hai Musa, kami tidak bisa sabar (tahan) dengan satu macam makanan saja. Sebab itu mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu, agar Dia mengeluarkan bagi kami dari apa yang ditumbuhkan bumi, yaitu sayur-mayurnya, ketimunnya, bawang putihnya, kacang adasnya, dan bawang merahnya." Musa berkata: "Maukah kamu mengambil yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik ? Pergilah kamu ke suatu kota, pasti kamu memperoleh apa yang kamu minta." Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah….[Al-Baqarah 2:61]

Begitulah sifat kaum yang tidak pernah puas dengan makanan yang ALLAH berikan, akhirnya makanan yang rendah mutu dan kualiti yang diminta mereka menjadikan mereka juga ditimpa kehinaan dan kemurkaan dari ALLAH.

Maka makanan yang baik menjamin kesihatan yang baik, memilih makanan yang terbaik untuk tubuh badan juga adalah penting dan agama menyarankannya. Lalu janganlah kita mengambil mudah akan apa yang kita makan bak kata pepatah: You are what you eat!!

Demikian pula menjaga kesihatan juga penting dalam kehidupan, bagaimana Hasan Al-Banna mengarahkan para pengikutnya agar sentiasa memeriksa kesihatan dalam selang waktu yang sesuai agar sentiasa dalam keadaan sihat dalam mengemban tugas dakwah. Juga menjadi peringatan kita bersama untuk memeriksa kesihatan tubuh badan kita, apatah lagi seandainya jadual pemakanan dan apa yang kita makan kurang di jaga dengan baik.

Berikut saya kongsikan beberapa fakta-fakta kesihatan untuk manfaat kita bersama. Pertama Indek Jisim Tubuh kita haruslah pada nilai yang sesuai iaitu tidak melebihi 23.0 kerana nilai tersebut menandakan anda pada tahap pra-kegemukan. Silalah mencari bagaimana mengira Indek jisim tubuh anda ataupun biasa dikenali dengan Body Mass Index. Moga anda tidak terlalu kurus dan berada pada tahap normal dalam lingkungan 18.5 hingga 22.9.

Kedua adalah memeriksa tekanan darah anda supaya kekal pada tahap normal iaitu di bawah 130 untuk sistolik dan di bawah 85 untuk diastolic, sekiranya melebihi nilaian di atas maka anda berada pasa tahap pra-hipertensi dan boleh mencecah hipertensi tahap 3 seandainya mencapai nilai melebihi 210/120. Moga segala tekanan dan ujian yang anda hadapi tidak meningkatkan tahap tekanan darah anda. Tenangkan dirimu dengan zikrullah.

Ketiga adalah ujian urinalisis atau ujian air kencing, di mana sampel air kencing anda akan di uji sama ada mengandungi glukos, protein mahupun darah. Sekiranya dalam air kencing anda terdapat ketiga-tiga bahan tadi kemungkinan besar anda mempunyai penyakit diabetes, masalah buah pinggang atau jangkitan salur kencing. Maka periksalah segera sebelum terlewat.

Keempat adalah ujian glukos dalam darah secara rambang bergantung kepada pengambilan makanan terakhir anda, seandainya kandungan glukos dalam darah anda di bawah 5.6 maka kemungkinan diabetes adalah rendah, jika melebihi nilai tersebut maka berjumpa doktor untuk ujian selanjutnya adalah yang terbaik.

Keenam adalah kandungan kolestrol dalam darah juga bergantung kepada pengambilan makanan terakhir anda. Kadar kolestrol yang memuaskan adalah di bawah 5.17 dan melebihi nilai tersebut menunjukan anda berisiko tinggi sebagai pesakit diabetes.

Itulah serba ringkas ujian kesihatan yang boleh anda lakukan untuk menilai kadar kesihatan anda, juga sebagai nasihat untuk diri dan teman, rajin-rajinlah untuk bersenam, minima 3 kali seminggu selama 30 minit sekali senaman atau lebih. Juga pentingnya kita menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian agar mendapat berat badan unggul dan sejahtera bahagia hendaknya. Ameen

No comments: