Wednesday, November 24, 2010

AUTOCLAVE





Sebelum sesuatu ujikaji dilaksanakan, ada beberapa tahapan yang perlu dilalui oleh mereka yang ingin mendapat hasil ujikaji yang baik. Minima terdapat 3 tahapan iaitu membaca keseluruhan langkah-langkah ataupun panduan untuk melaksanakan sesuatu ujikaji. Kedua memastikan kesemua kelengkapan untuk membuat ujikaji tersebut dalam keaadaan bersih dan suci dan ketiga melaksanakan ujikaji mengikut panduan yang di baca.

Saya ingin memperkenalkan sebuah mesin yang digunakan untuk memastikan langkah yang kedua tadi dapat dilaksanakan iaitu membersihkan segala kelengkapan untuk membuat ujikaji daripada sebarang kekotoran dalaman dan luaran. Mesin tersebut dinamakan “Autoclave”. Digunakan secara meluas dalam bidang mikrobiologi, perubatan, sains veterinar, mikologi dan sewaktu dengannya. Demikian pula antara perkakas yang selalu menggunakan mesin ini adalah radas-radas makmal, alat-alat pembedahan, juga barang-barang untuk kegunaan pesakit.

Autoclave berfungsi untuk menghapuskan segala kemungkinan terdapatnya ‘makhluk-makhluk halus’(baca: bakteria) yang mengotorkan barang-barang yang ingin digunakan semasa ujikaji mahupun barang-barang yang dinyatakan tadi. “Makhluk halus” tersebut dapat dihilangkan ketika mana segala barang-barang tersebut dimasukan ke dalam ‘autoclave’ dan memerlukan tekanan yang tinggi pada suhu 121oC selama 15 ke 20 min. Maka setelah itu barulah barang-barang tersebut dapat digunakan dan terjamin kebersihannya. Sedikit sebanyak begitulah kebiasaannya yang wajib dilakukan bagi mereka sebelum sesuatu ujikaji dilaksanakan terutamanya bagi mereka di dalam bidang-bidang yang telah dinyatakan.

Mari kita tinjau sedikit sebanyak bahawa kaedah yang dilaksanakan di atas sebenarnya juga bukan hanya perlu untuk barang-barang ujikaji bahkan manusia juga memerlukan kaedah tersebut. Bahkan Islam sahaja sudah mempelopori kaedah tersebut lama dahulu dari segi prinsipnya iaitu pembacaan, penyucian dan pengajaran.

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata[Al-Jumuah:62:2]

Lihatlah dalam ayat di atas ternyata terdapat 3 kaedah yang seakan sama dengan kaedah yang digunakan oleh para saintis di atas. Kaedah pertama menyuruh kita membaca ayat-ayat-Nya, begitu juga saintis perlu membaca buku panduannya untuk melaksanakan ujikaji, dan kita menyedari bahawa Al-Quran adalah buku panduan yang Maha lengkap dari-Nya serta lebih perlu bagi kita untuk membacanya.

Kedua adalah menyucikan mereka yang membaca ayat-ayat-Nya, lalu bukankah para saintis tadi perlu membersihkan barang-barang yang bakal digunakan dengan mesin ‘autoclave’. Ketiga barulah mengajarkan mereka Kitab dan As-sunnah, sepertimana sang saintis setelah membaca buku panduan, membersihkan alat-alat kemudian barulah ujikaji tersebut dapat dilaksanakan.

Mari kita tumpukan pada aspek yang kedua iaitu mensucikan di mana mesin ‘autoclave’ tadi memerlukan tekanan dan suhu yang tinggi untuk membersihkan alat-alat yang bakal digunakan. Jika kita melihat bagaimana Rasul SAW mentarbiyah sahabatnya dengan kaedah penyucian yang cukup hebat walau tekanan demi tekanan yang mereka terima. Ternyata tekanan dan ujian yang maha hebat tersebut semakin menyakinkan mereka bahkan menyucikan jiwa-jiwa mereka dari sebarang “makhluk halus”(baca: syaitan) yang cuba mengotorkan jiwa-jiwa mereka.

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [Al-Ankabut:29:2,3]

Begitulah tekanan dan ujian yang menimpa demi membezakan kita berada di pihak mana, seandaikan kaedah penyucian kita berhasil, maka pastilah kita akan tetap bertahan daripada sebarang gangguan ‘makhluk halus’ yang seringkali cuba menyesatkan kita.
Mudah-mudah kita dapat membersihkan jiwa-jiwa kita walau di uji dengan pelbagai ujian dan tekanan sebagai tanda kasih dari Tuhan.

Maka jangan lupa ‘autoclave’ jiwamu.

No comments: