Thursday, April 26, 2007

DAKWAH LISAN ATAU TULISAN


Apabila melihat masyarakat hari ini, apakah kaedah yang lebih wajar digunakan untuk mendakwahi mereka. Adakah lisan mampu membuat mereka sedar, atau saluran tulisan lebih menyentuh hati mereka.

Ternyata ketika zaman Rasulullah S.A.W., kata-kata yang keluar dari mulut insan yang mulia itu yang dipandu wahyu dari Ilahi mampu membawa umat yang penuh kehinaan kepada umat yang penuh kemulian. Begitu generasi seterusnya menyambung tugas Rasulullah S.A.W. dengan tarbiyah lisan yang melahirkan generasi Al-Quran yang unik dalam diri setiap anak didik mereka. Merekalah individu yang sentiasa belajar dan mengajar umat dengan kalimah Ilahi.

"..........Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan kerana kamu tetap mempelajarinya"[Ali Imran 3:79]

Dakwah melalui lisan juga mampu merapatkan ukhwah antara penyampai dakwah dan sasaran dakwah mereka, segala permasalahan mereka dapat dirujuk terus kepada pendakwah tersebut. Bahkan ia mampu memberikan keinsafan tika mendengar kalimah kebenaran itu diucapkan dengan intonasi yang bisa mengalirkan air mata. Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya adalah contoh terbaik dalam menyampaikan dakwah secara lisan dengan kata-kata yang cukup indah menyeru kapada RABB yang Satu

" Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata, "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".[Fushilat 41:33]

Lisan juga merupakan salah satu sarana untuk mencegah kemungkaran, andai merasakan tidak mampu untuk mencegah dengan kekuatan yang ada seperti yang disabdakan oleh Nabi kita yang tercinta.

"Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra. Berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda, "Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lisannya; dan jika ia masih tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman."[HR Muslim]

Imam As Syahid Hasan Al Banna juga lebih banyak melaungkan dakwahnya dengan lisan bahkan menolak saranan ikhwah yang memintanya menulis buku-buku tentang agama dan dakwah kerana beliau lebih berminat membina ‘buku hidup’ yang dapat menyebarkan cahaya kebenaran walau di mana ia berada berbanding menulis buku-buku yang hanya bisa terletak di perpustakaan sahaja. Ternyata beliau membuktikan kata-katanya dengan mencetak ‘buku-buku hidup’ yang telah tersebar di merata tempat melaungkan seruan dakwah yang beliau ajarkan dengan petunjuk Ilahi.

Lantas adakah ruang untuk berdakwah lewat tulisan-tulisan harus ditinggalkan pabila melihat dakwah dengan lisan itu lebih berkesan melalui kisah-kisah pejuang kebenaran yang lalu.

Harus kita sedar bahawa para sahabat terdahulu juga adalah orang yang hebat dalam penulisan, bukankah sebelum Islam tiba mereka adalah penyair yang hebat bahkan ketika Islam tiba menyentuh lubuk hati mereka, syair-syair mereka digunakan untuk membela kebenaran menentang kebatilan lewat sebuah penulisan.

Tulisan juga merupakan sarana yang dapat mengekalkan suara-suara kebenaran kepada generasi kemudian hingga membuatkan Umar ra. merasakan Al-Quran harus dibukukan lantaran bimbang kalam Ilahi ini akan lenyap dari muka bumi kerana semakin ramai penghafaz Al-Quran gugur syahid di medan peperangan, juga ALLAH menyebutkan Al-Quran ini adalah sebuah kitab yang pastinya perlu ditulis.

"Kitab(Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa"[Al-Baqarah 2:2]

Begitu juga dengan sabda-sabda Rasulullah S.A.W. yang pastinya kita tidak akan dapat mendengarnya dari lisan Nabi kita yang mulia, maka melalui sebuah penulisanlah kalimah-kalimah dari seorang manusia pilihan Ilahi dapat kita membacanya hingga ke saat ini.

"Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam"[Al-Alaq 96:3,4]

Tulisan juga menjadi kaedah yang digunakan oleh pejuang-pejuang dakwah seperti Imam Malik, Abu Hanifah, As Syafie, Ahmad bin Hanbal, Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim dan banyak lagi dengan khazanah penulisan yang cukup banyak dan bermanfaat kepada generasi mereka dan juga hari ini. Ternyata walau umur mereka tidak selama umat-umat terdahulu namun mampu menghasilkan sumbangan yang tidak terbalas melalui buku-buku mereka. Lantaran memikirkan untuk mendidik umat maka pastinya mereka mengharapkan setiap tulisan mereka mampu membuat umat ini bertemu jalan kebenaran.

"Sungguh jika ALLAH memberikan hidayah kepada satu orang saja melalui perantaraan kamu, itu lebih baik bagimu daripada unta merah(jenis unta yang terbaik-pent.)"[HR Bukhari-Muslim]

Bahkan Hasan Al Banna walau tidak banyak menulis buku, namun lihatlah kepada sekalian yang pernah disentuh oleh dakwahnya. Kebanyakan mereka adalah penulis yang tersohor dalam pelbagai bidang yang turut menyelitkan pemikiran Hasan al Banna dalam buku-buku mereka demi melihat generasi seterusnya dapat merasai hasil pemikiran dan dakwah As Syahid Hasan al Banna.

Terpulang kepada kalian untuk memilih sarana dakwah sama ada lisan atau tulisan bergantung pada kemampuan masing-masing kerana sarana dakwah ini bukan sekadar lisan dan tulisan sahaja. Di sebalik semua ini yang lebih penting adalah kita tetap berada di medan dakwah tidak kira apa sarana dakwah yang kita gunakan. Mudah-mudahan kita tidak menggunakan lisan mahupun tulisan kita untuk menjauhkan umat dari agamanya, tidak menambahkan bibit-bibit kebencian atau pertelingkahan hatta cacian dan makian lewat lisan serta tulisan kita kerana dakwah ini adalah dakwah kasih sayang dan penuh lemah lembut bak pokok yang memberikan buah-buahnya tatkala manusia melemparinya dengan batu dan kayu.

"Maka disebabkan rahmat dari ALLAH-lah kamu berlaku lemah-lembut
terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu......"[Ali Imran 3:159]

Ketahuilah bahawa dakwah melalui sikap dan akhlak juga harus kita utamakan dalam setiap sarana yang kita gunakan kerana manusia mungkin lebih tertarik dengan perwatakan dan akhlak orang yang menyebarkan dakwah berbanding lisan mahupun tulisannya, maka tunjukkanlah perwatakan dan akhlak Rasulullah S.A.W. dalam sarana dakwah kalian.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH"[Al Ahzab 33:21]

Usahlah kalian bimbang manakah antara sarana dakwah itu yang akan berkekalan kesannya, kerana pastinya setiap yang baik dan bermanfaat itu akan tetap membuahkan hasilnya, kerana tugas kita adalah untuk tetap menunaikan kewajipan walau sarana tersebut tidak mendatangkan hasilnya.

Yakinlah bahawa setiap usaha kita untuk berbakti demi umat ini walau tidak berkekalan di muka bumi ia akan tetap dicatat dalam sebuah kitab yang bakal menjadi bukti di akhirat kelak bahawa kita adalah orang yang ingin berbakti.

"Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang-orang yang berbakti itu (tersimpan) dalam Illiyyin. Tahukah kamu apakah Illiyyin itu. (Iaitu) kitab yang bertulis, yang disaksikan oleh malaikat-malaikat yang didekatkan (kepada ALLAH)"[At-Tatfif 83:18-21]

Jauhilah diri kalian dari bersikap curang dan durhaka kepada ALLAH kerana ia juga bakal dicatat dalam sebuah kitab yang menjadi bukti bahawa kita adalah orang yang akan menyesal akibat perbuatan jahat dan keji dalam kehidupan yang penuh tipu daya ini.

"Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang yang durhaka tersimpan dalam Sijjin. Tahukah kamu apakah Sijjin itu. (Ialah) kitab yang bertulis"[At-Tatfif 83:7-9]

Tulisan ini adalah pandangan peribadiku, sebagai insan biasa yang masih mencari sarana yang bagaimana bisa membuat umat ini mengetahui tugas dan tanggungjawabnya di muka bumi ini. Boleh jadi tulisan ini benar pada pandanganku, boleh jadi salah pada pandangan orang lain.
Terpulang kepada kalian untuk menerima atau menolaknya bak kata Imam Malik "Setiap orang boleh diterima atau ditolak pendapatnya kecuali Rasulullah SA.W."

Persoalannya, adakah kita sudah berdakwah??????
Wallahu’alam

Al Abd Al Faqir,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Kolej Kedua UPM
7 Rabi’ul Akhir 1428H 08:14 a.m.

PENCIPTAANKU BUKAN SIA-SIA

Kamu mencari ketenangan dalam kesesakan.
Kamu mendiami dunia tanpa kehidupan,
Dan kamu menilai kenyataan dengan neraca kepalsuan,
Bak fatamorgana tanpa kesudahan.

Disana terletak sebuah ketentuan,
Yang pasti, Yang realiti dan yang sudah mesti akan dimiliki
tapi disini kamu dikaburi,
dengan kesungguhan dajjal-dajjal yang dianggap suci.

Kamu melihat, menilai dan mentafsir,
dengan parameter yang dicanai sendiri,
tanya pada diri, adakah pasti, nanti,
kamu tidak akan dinodai.

Aku cuba menjadi benteng,
antara kesesakan dan ketenangan,
Laksana gagahnya Raja Zulkarnain,
Mencipta pemisah antara kerosakan dan kebaikan,
Menyebak ketabahannya menggempur timur dan barat,
dan mencecah debu-debu dunia.

Aku melihat pada Al-Azhar,
Aku menilai dari Fi Zhilalil Quran,
dan aku mentafsir dengan lembaran Sunnah,


Kerna aku percaya,
Kedaulatan Agama terletak pada asasnya,
Kerna aku percaya,
kesempurnaan agama ini,
hanya terletak pada yang mengikuti sunnahnya
dan kerna aku percaya,
Kesucian agama ini tertumpu pada peribadi penganutnya.

Dan sungguh,
telah aku meminta janji dari Tuhan,
tanpa aku memberi janji para siddiqin, syuhada
dan para salihin.

Aku menangis,
tanpa aku tatapi betapa khilafnya diri,
Aku tersedu,
tanpa aku soroti kesilapan diri,

Inilah punca dari rentetan,
sejarah dan peristiwa,
yang telah diselami,
oleh mereka-mereka yang punyai harga diri.

Kekadang ku tersedar,
setelah kekadang ku tersilap,
Oh Tuhan, telah Kau firmankan untuk hambamu,

Dalam kalamMu,-Manusia adalah sebaik-baik kejadian,
dan manusia dipilih untuk menjadi Khalifah.

Namun terkadang sukar untuk diri akui,
Bahawa, Penciptaanku bukan sia-sia.

Al Faqir IlaLLAH
Saif-al-Mizan

Friday, April 20, 2007

ERTI SEBUAH UJIAN

Hidup ini tidak pernah lekang dengan pelbagai ujian dan dugaan yang menimpa. Ujian dan dugaan itu memerlukan kita mengorbankan masa dan tenaga bahkan harta untuk menyelesaikannya. Inilah lumrah kehidupan seorang manusia. Cuma yang membezakan kita adalah bagaimana cara dan kaedah yang diambil tika menghadapi ujian-ujian itu. Bila terkenang zaman kanak-kanak dulu, seolah-olah setiap ujian dan masalah yang menimpa dirasakan tidak terlalu membebankan, namun bila semakin meningkat dewasa, cabaran dan rintangan juga meningkat. Lantaran itu apakah ertinya semua ujian yang kita tempuhi.

Bagi seorang pelajar, pastinya akan menempuh ujian-ujian atau ‘exam’ untuk menyelesaikan pengajian mereka. Demi untuk melihat segala yang dipelajari dapat difahami dan dihayati dengan baik maka peperiksaan harus dihadapi dan markah yang diperoleh akan menjadi ukuran tahap kefahaman kita. Inilah ujian yang harus bahkan wajib ditempuh oleh seorang pelajar. Setiap teori-teori yang dipelajari harus dibuktikan aplikasinya melalui ujian yang diberikan. Bagi yang berjaya memperoleh keputusan yang terbaik, maka merekalah insan yang dianggap telah menguasai setiap yang dipelajari.

Begitu jualah dengan akidah dan iman yang ada di dalam sanubari kita, yang mana tidak cukup dengan mempelajari subjek-subjek atau pengisian tentang akidah dan iman tanpa adanya sebuah ujian untuk membuktikan kekuatan dan keutuhan akidah dan iman di dalam diri ini. Akidah dan iman yang kuat itulah akan menjadi sandaran tika menghadapi situasi yang susah dan sulit. Apatah lagi bagi pejuang-pejuang kebenaran, ujian merupakan ukuran keimanan dari ALLAH untuk mengetahui siapakah hamba-Nya yang benar-benar berjuang untuk agama-Nya dan orang-orang yang berdusta seperti yang termaktub dalam kalam-Nya yang mulia:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan , “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”[Al-Ankabut, 29: 2,3]

Sesungguhnya ujian yang menimpa umat-umat terdahulu adalah kerana mempertahankan akidah dan iman kepada ALLAH, ujian yang mereka tempuhi adalah kerana mendidik umat ini dengan kemulian dan keagungan kalimah-NYA, ujian yang mereka tempuhi adalah kerana membebaskan umat dari berhala dan taghut yang merendahkan martabat mereka, ujian yang mereka tempuhi adalah kerana menyebarkan risalah dakwah yang diberikan oleh ALLAH untuk Bani Adam sebagai khalifah di muka bumi.

Ujian yang mereka tempuhi menyebabkan mereka menitiskan air mata pabila memikirkan masalah umat yang leka dengan kehidupan dan kemewahan dunia. Ujian yang mereka tempuhi bahkan menghendaki mereka menitiskan darah demi sebuah perjuangan membela kebenaran hingga akhirnya menjadi sebab untuk ALLAH memberikan pertolongan-NYA dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang abadi.


“ Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, “Bilakah datangnya pertolongan ALLAH?”. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amat dekat.”[Al-Baqarah, 2:214]

Saksikanlah segala pengorbanan dan ujian yang mereka tempuhi dan kemudian bandingkan dengan diri kita, adakah ujian kita lebih hebat dan dahsyat daripada mereka, adakah ujian dan cubaan yang kita tempuhi kerana membela kebenaran demi umat akhir zaman ini, adakah segala ‘exam dunia’ yang kita lalui membuatkan kita menitiskan air mata, membuatkan kita mengeluarkan belanja yang besar atau membuatkan darah yang mengalir dalam diri ini mula menitis hanya kerana ‘exam dunia’ itu, adakah kita salah seorang dari mereka?

Jika hanya sekadar ‘exam dunia’ yang kita hadapi sudah terasa berat untuk kita hadapi hingga akhirnya berlalulah masa yang lama untuk menyelesaikan ujian dunia tersebut, maka mungkin kita cuma ingin memikirkan masalah peribadi kita yang tidak pernah selesai. Seharusnya kita bimbang masa yang hanya dihabiskan untuk urusan dunia tersebut bisa membuatkan hati ini menjadi keras lantaran hanya sibuk untuk urusan peribadi berbanding berusaha menghabiskan masa untuk urusan agama dan umat.

“..............dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.”[Al-Hadid, 57:16]

Didiklah hati ini agar sentiasa tenang menghadapi segala dugaan dan rintangan, kerana orang beriman sentiasa dalam kebahagiaan baik tika waktu diberi nikmat atau ditimpa musibah. Bersyukur bila mendapat nikmat dan bersabar dengan ujian yang menimpa adalah tanda kebahagiaan bagi seorang Mukmin.

Jangan kita biarkan ujian dunia ini menjadi sebab untuk kita meninggalkan tanggungjawab untuk mendidik diri dan umat yang seringkali mendambakan sentuhan Al-Quran dan Sunnah, agar setiap ujian dan cubaan dunia itu kelihatan kecil berbanding rintangan tarbiyah dan dakwah yang kita ingin perjuangkan.

Penuhilah waktu-waktu kita untuk mendekatkan diri kepada-NYA, agar bisa menambahkan keimanan dan ketakwaan kita dalam meniti perjalanan hidup yang serba singkat ini. Mudah-mudahan kitalah orang-orang yang ALLAH pilih sebagai penolong agama-NYA, hingga selayaknya kita mendapat pertolongan dari-NYA.

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) ALLAH, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”[Muhammad, 47:7]

Teguhkan dirimu dengan kesabaran yang bisa mengekalkan kita dalam hidayah ALLAH walau sebanyak mana ujian yang menimpa, kerana kita inginkan keridhaan Ilahi yang dapat menunjukkan jalan kebenaran kepada diri ini yang serba kekurangan, keseorangan dan kekosongan tanpa bimbingan dari-NYA.

“ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya ALLAH benar –benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”[Al-Ankabut, 29:69]

Salam imtihan kepada mereka yang sedang menghadapinya, mudah-mudahan ALLAH memudahkan kalian menghadapi peperiksaan tersebut dengan sebuah kejayaan dan sediakan sekali persiapan untuk menghadapi ‘exam’ yang lebih besar dan berat di alam yang kekal abadi agar setiap ‘exam’ yang kita hadapi di dunia akan lebih beerti dengan sebuah ‘kejayaan yang kekal abadi’.


Mohd Halimi Abdul Aziz
Ex-Matrik Gopeng 2003/2004
1 Rabi’ul Akhir 1428H, 19:04 p.m.

Tuesday, April 10, 2007

Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing' atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, sistem yang sama juga digunakan oleh industri penjualan Saham Amanah Islam dan beberapa produk Takaful. Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4 bilion dan lebih dari 3 juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga MLM.
Akibat dari kebanjiran produk dan syarikat yang menggunakan sistem ini dalam mempromosi dan penjualan produk mereka. MLM kini boleh dianggap sebagai sebuah sistem pemasaran yang diterima ramai. Bagaimanapun, amat jarang dijumpai ilmuan Shariah samada dalam atau luar negara yang ingin atau berminat untuk menghuraikan sistem ini dari aspek Shariah dengan terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan kerumitan atau kurangnya minat ilmuan Shariah untuk mendalami proses sistem ini.
Para ‘Ustaz' dan Multi Level Marketing
Saya juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi soalan berkenaan hal ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak disebabkan terlampau banyak bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan sesiapa juga untuk memandu dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di tambah pula mengenagkan pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan kebanyakkannya pula kelihatan ‘taksub' dan amat yakin akan halalnya kaedah MLM ini.

Tidak kurang juga terdapat para graduan Shariah atau pengajian Islam yang digelar ‘Ustaz' dan Ustazah' yang juga kuat berkempen produk-produk syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan meriah lagi, kumpulan ini kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam berniaga, kuat ekonomi dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini bukanlah khusus untuk menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.

Ikhlas saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga orang ramai yang terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama seperti ini, menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi berkenaan halal atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah diiktiraf oleh seorang ‘ustaz'. Justeru, saya ingin menasihatkan semua rakan-rakan lulusan Shariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati memberikan sebarang hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum berkempen dan mendakwa halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana ia mendapat keuntungan besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga saya dapati orang ramai yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen MLM mereka. Berkatalah Al-Laith bin Sa'ad :
« Seandainya orang-orang yang memiliki pemahaman halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah mereka tidak akan membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur perjudian » ( Riwayat Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:
لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين
Ertinya : "Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya" ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)

Bagi membantu masyarakat yang semakin ‘hangus' dalam industri ini, saya merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan umum Shariah dalam hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah mampu untuk menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM yang wujud di Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan sedikit gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang Islam dalam hal MLM ini.

Pengertian MLM
Secara umum ‘Multi Level Marketing' adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah ‘Upline' (tingkat atas) dan ‘Downline' (tingakt bawah), orang akan disebut ‘Upline' jika mempunyai ‘Downline'. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat ‘vertikal' atas bawah mahupun ‘horizontal kiri kanan' ataupun gabungan antara keduanya. (Lihat All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum Syara MLM oleh Hafidz Abd Rahman, MA)

Bentuk MLM yang Haram atau syubhat

Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya atau keraguannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :

1) Harga tinggi dari biasa : Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh' menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy' ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)

2) Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".
Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau "brokerage" (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas "brokerage" tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker' atau ‘agen' untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker' atau ‘agen' menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam.

3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun).
Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma sebahagianya sahaja.

5) Terdapat juga unsur mirip "shafqatayn fi shafqah", atau bay'atayn fi bay'ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : "
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة
Ertinya : "Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad" ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay'atayn fi bay'ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu'awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya :
"Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

Justeru, saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah saya juga suka menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham dan Takaful secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam bab MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM ini, saya sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah berikut dapat dipatuhi :-

1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).

2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.

3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.

4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).

5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.

6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.

7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.

8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.

9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas. Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan Shariah Asia Tenggara untuk membantu masyarakat untuk mengetahui pandangan Shariah tentang MLM ini.
Tulisan ringkas saya hanyalah pandangan awal bagi memberi peringatan bahawa dengan sekadar pandangan, kelihatan begitu banyak keraguan boleh muncul dalam perniagaan MLM ini. Tidak perlulah pembaca merasa marah dan benci dengan tulisan ini. Ini sekadar nasihat bagi mereka yang mengambil berat tentang pendapatan serta memikirkan barzakh dan akhirat mereka yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.
Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)
Dipetik dari www.zaharuddin.net

REZEKI YANG BERKAT


Bila berbicara masalah rezeki, pasti akal kita akan membayangkan wang ringgit sebagai sumber rezeki yang utama. Tanpa duit seolah-olah dunia ini tidak ada nilainya lagi. Tanpa duit, hati ini akan mula merasa gelisah dan pastinya kita akan melakukan sesuatu untuk memperolehinya. Lantaran itu, kita akan melihat pelbagai cara dan kaedah yang digunakan oleh manusia hari ini untuk mengumpulkan rezeki.
Sebagai insan yang bergelar Muslim juga tidak akan terlepas daripada mencari rezeki masing-masing, kerana agama ini tidak semata-mata untuk beribadat kepada ALLAH tetapi juga untuk memanfaatkan kehidupan di muka bumi. Lalu sudah pasti Islam juga memberikan cara dan kaedah yang terbaik untuk umat ini hatta dalam pencarian rezeki kerana Islam adalah agama yang menyeluruh dan mencakupi segenap aspek kehidupan kita . Justeru itu kita wajar mengarahkan kehidupan kita berpandukan syariat Islam
“ Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.[ Al Baqarah 2:208 ]

Keberkatan dalam setiap rezeki yang diperoleh perlu ditekankan dalam diri setiap Muslim kerana ia akan dipersoalkan di akhirat kelak seperti makna sabda Rasulullah S.A.W.
“ Belum berganjak lagi kedua kaki seseorang hamba (di hadapan ALLAH S.W.T. pada hari kiamat), sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya, untuk apa dibinasakannya(digunakannya).” [ H. R. Tirmizi mengatakan Hadis hasan sahih][1]

Perhatikanlah wahai sahabat-sahabatku, betapa harus kita berusaha untuk mencari harta dari sumber yang halal agar ia juga dapat kita manfaatkan di jalan kebaikan. Tidak salah mengumpul duit dan harta yang banyak kerana para sahabat Rasulullah juga ramai yang berstatus ‘businessman’ , ‘millionaire’ dan sebagainya tetapi mereka juga insan yang beriman, pemurah, dan bertakwa, bahkan 10 orang sahabat yang disebut oleh Rasulullah S.A.W sebagai penghuni syurga ketika mereka masih hidup kebanyakannya adalah individu yang kaya-raya dengan harta yang banyak. Walaupun begitu harta dan duit yang mereka perolehi tidak pernah melupakan dan melalaikan mereka daripada tanggungjawab agama. Merekalah orang yang sanggup meninggalkan harta demi untuk berhijrah bersama Rasulullah S.A.W, juga memberikan harta mereka untuk berjihad menentang musuh-musuh ALLAH. Inilah orang-orang yang memiliki harta yang terbaik persis sabda Rasulullah S.A.W.
“Sebaik-baik harta yang halal adalah harta yang dimiliki oleh orang yang soleh[2]

Mencari duit dan harta dari sumber yang halal adalah kewajipan bagi setiap Muslim, kerana kita inginkan rezeki yang barakah yang mampu menyelamatkan kita di akhirat kelak. ALLAH pasti memberikan rezeki-Nya kepada hamba-hambanya kerana Dia Yang Maha Pemberi Rezeki.
“ Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu” [ Az-Zariyat 51: 22]

“.......Barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada ALLAH, niscaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan)-nya.....[At-Talaq 65: 2,3]

Perhatikan ayat-ayat tersebut mengajak kita meyakini bahawa ALLAH adalah pemberi rezeki kepada hidup kita, dan pastinya mereka mencari rezeki dari sumber yang halal dan menggunakannya di jalan ALLAH, seperti yang difirmankan ALLAH bahawa mereka adalah orang yang bertakwa dan bertawakal kepada ALLAH.


Dalam dunia yang semakin berkembang dengan pelbagai kemajuan, manusia juga akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing agar dapat menyesuaikan kehidupan mereka dalam dunia kemajuan hari ini. Lantaran itu masa-masa yang ada akan dikorbankan untuk mengumpul harta dan kekayaan. Lebih malang lagi andaikata soal halal dan haram dalam mencari rezeki sudah tidak dipedulikan lagi bagi insan yang bernama Muslim.
Islam hadir dalam masyarakat yang penuh dengan kesesatan aqidah, kerosakan akhlak dan kecelaruan sistem ekonomi. Kemudian Islam bukan sekadar membersihkan segala kesesatan dan penyimpangan sistem jahiliyah tersebut bahkan memberikan penyelesaian dan kaedah baru untuk menggantikan sistem jahiliyah tersebut. Maka kerana itu dalam soal mencari rezeki, Islam tidak sekadar menyuruh umatnya mengumpul harta dan kekayaan tetapi juga memikirkan keberkatan dari harta yang diperoleh. Islam mengajar umatnya untuk memanfaatkan dunia dan juga menyediakan bekalan untuk akhiratnya, lalu setiap rezeki yang dicari mudah-mudahan juga menjadi ‘rezeki’ di akhirat kelak.
Perniagaan adalah salah satu cara untuk memperoleh rezeki, bahkan ia merupakan kaedah yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah untuk mendapatkan rezeki. Sebelum Islam tiba perniagaan zaman jahiliyah penuh dengan penipuan, penindasan dan pemaksaan, harta kekayaan hanya berlegar di kalangan orang kaya manakala yang miskin terus dengan kemiskinan mereka. Kemudian Rasulullah mengubah sistem perniagaan tersebut dengan penuh ketelusan dan keadilan yang dapat dirasai oleh golongan yang kaya dan miskin. Di zaman ini pelbagai jenis perniagaaan boleh kita lihat dan kita sedia maklum sistem ekonomi Islam masih belum menyeluruh ke dalam sistem perniagaan yang ada. Jikalau ada, Alhamdulillah, cuma mungkin masih dalam kuantiti yang kecil.

Mudah-mudahan kita tidak terlibat dengan perniagaan yang penuh dengan penipuan, pemaksaan dan apatah lagi yang haram sekalipun ia bakal membuatkan kita mendapat duit dan harta yang tidak pernah diimpikan sebelum ini. Ingatlah sahabat-sahabatku walau sebanyak mana kekayaan dan duit yang dikumpul tetapi andaikata tidak ada keberkatan di dalamnya, kita bimbang ia bakal menjauhkan kita daripada jalan yang ALLAH redhai yang akhirnya bisa membuatkan kita tidak mampu untuk menjawab persoalan harta kekayaan kita di Mahkamah Qadhi Rabbun Jalil[3]

Hidup ini juga merupakan perniagaan bagi sesiapa yang mengetahuinya kerana segala yang kita perbuat dalam kehidupan kita bakal diperoleh ‘rezeki’nya di akhirat kelak sama ada kita menjadi orang yang beruntung atau rugi bergantung apakah ‘perniagaan dunia’ yang kita usahakan. Oleh itu hayatilah ayat Al-Quran ini agar bisa mengingatkan kita bahawa kehidupan ini memerlukan ‘rezeki yang berkat’

“ Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?.(Yaitu) kamu beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan ALLAH dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. niscaya ALLAH akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.” [ As Saff 61:10,11,12]


RUJUKAN :
[1] Buku 40 Hadis Penawar Hati, Hadis Pertama- Empat Pertanyaan Yang Mesti Dijawab, m/s 15 susunan Abu Ali al-Banjari An- Nadwi, terbitan Khazanah Banjariah.
[2] Sanad Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari ‘Amr al-Ash radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari (al-Adab al-Mufrad) dan Abu Ya’la, sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad Abu Ya’la – no:7336 (Musnad ‘Amr bin al-‘Ash, hadis pertama). Diambil dari Hadis-Hadis Bercanggah karya Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
[3] Buku 40 Hadis Penawar Hati, Hadis Ketujuh- Mahkamah Qadhi Rabbun Jalil, m/s 28 susunan Abu Ali al-Banjari An- Nadwi, terbitan Khazanah Banjariah.


Mohd Halimi Abdul Aziz
22 Rabiul’awal
12:17 p.m.

Friday, April 6, 2007

DEMI CINTA SUCI

Sudah menjadi fitrah manusia bahawa mereka mengetahui apa itu cinta walaupun masing-masing mempunyai persepsi tersendiri dengan kalimah tersebut tetapi pokoknya tidak ada manusia yang tidak pernah mendengar kalimah cinta. Aku sekadar ingin berkongsi dengan kalian tentang golongan-golongan yang mengenal erti cinta dalam kehidupan mereka, sekali lagi kuingatkan ini hanyalah pandangan seorang insan yang ingin mencari kebenaran dalam cinta yang hakiki, kerana cinta itu bisa membuat kita bertemu jalan ketakwaan atau menempuh jalan kesesatan.

CINTA SATU KEPERLUAN

Boleh jadi kerana merasakan cinta itu satu keperluan maka ia perlu hadir dalam diri setiap insan. Lantaran itu janganlah kita terlalu hairan melihat masyarakat kita dimomokkan dengan pelbagai cerita-cerita tentang cinta dalam pelbagai versi. Golongan ini menampilkan bintang-bintang yang dianggap cukup layak untuk membangkitkan persoalan cinta kepada semua peringkat umur hatta insan yang masih kanak-kanak juga patut diberikan hak untuk bercinta kerana setiap orang ada cinta pertama masing-masing, walaupun terpaksa melanggar batas-batas agama. Inilah cinta mereka.
Bagi yang bernama mahasiswa pula, mungkin kerana terlalu cinta akan ‘study’nya pasti sanggup bersekang mata setiap malam untuk menyiapkan ‘assignment’ atau membuat persedian untuk ‘exam’ yang bakal tiba. Segala urusan yang mengganggu ‘study’ mereka akan dibuang atau tidak dilayan walaupun urusan tersebut untuk kebaikan dunia dan akhiratnya, kerana mungkin hidup ini untuk ‘study’ dan naikkan CGPA. Kemudian bagi yang telalu aktif dengan pelbagai program anjuran pelbagai pertubuhan sanggup mengorbankan masa dan harta demi menjayakan program yang disertai dengan harapan dapat membina personaliti dalam aspek kepimpinan walaupun terpaksa meninggalkan program yang lebih membina jatidiri Muslim dalam diri umat. Mungkin inilah cinta mereka.
Seterusnya bagi yang berstatus pekerja dalam pelbagai sektor dan bidang di negara tercinta, pasti sanggup mengambil ‘overtime’ untuk menambah ‘salary for month’ atau menggadai cuti-cuti mereka demi berada di tempat kerja masing-masing dan meninggalkan anak dan isteri di rumah dengan harapan segala pergorbanan tersebut bukan hanya dapat meningkatkan pendapatan bahkan juga dapat meningkatkan ekonomi negara walaupun terpaksa mengurangkan masa-masa untuk mendidik diri dan umat ini demi menambah ‘salary for life’ di akhirat kelak.
Pada sisi yang lain pula ramai penulis-penulis lagu menggambarkan cinta ini dengan lirik-lirik yang cukup indah, bukan saja dari golongan yang kurang kefahaman agamanya bahkan juga golongan yang memenuhi lagu-lagu mereka dengan ‘nasihat-nasihat’ agama turut sama khayal dengan tema cinta mereka hingga ada seorang ustaz menggambarkan lagu-lagu mereka sebagai lagu yang melemahkan semangat perjuangan.
Demikian pula kerana cinta kepada individu, kelompok atau amalan tertentu mereka sanggup mempertahankan hujah, dalil dan pendapat masing-masing demi untuk mencari kemenangan atau mungkin kepuasan, lebih menyedihkan lagi andai ini turut melibatkan golongan yang mempelajari agamanya, mereka berdebat tanpa henti seolah-olah seperti mahu bertumbuk dan boleh jadi mereka mungkin akan lakukannya walau terpaksa mengorbankan ukhwah sesama umat Islam. Kata-kata yang mereka lafazkan seolah-olah Rasulullah S.A.W tidak pernah mendidik umat ini erti akhlak, adab dan ukhwah sedangkan insan yang mulia ini pernah bersabda;
“ Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”[1]

Bahkan Al-Quran menghubungkan iman dan ukhwah dalam kalimah yang sama dan tidak cukup dengan itu, seharusnya kita menjadi Muslim yang sentiasa mendamaikan petelingkahan dan pergaduhan serta bukan membangkitkan api kemarahan, menumbuhkan benih kebencian dalam diri setiap yang mengaku Muslim. Adakah kalian lupa...
“ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu mendapat rahmat” [Al-Hujurat 49:10]

Kerana cinta satu keperluan ramai insan menyambut Maulidur Rasul dengan berarak dan selawat keliling bandar dan kampung dan pelbagai program lain sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. Di samping itu program-program yang tidak islami juga ditangguhkan demi menghormati sensitiviti umat Islam walaupun hanya untuk hari sambutan sahaja. Inilah sebahagian cinta-cinta yang dapat kulihat, boleh jadi benar dan boleh jadi salah bergantung bagaimana kita menilainya. Ada seorang penyair pernah mengatakan;
“ Cinta bukan kerana keindahan dan yang tampak di mata, tetapi kerana yang menyatukan hati dan jiwa.”[2]

KERANA CINTA KUBERJUANG


Sekarang ingin kupersembahkan kepada kalian insan-insan yang memahami nilai cinta dalam pandangan dan kefahaman mereka, insan yang mungkin tidak diendahkan oleh ramai orang tetapi bagi mereka inilah cinta yang mereka inginkan.
Kerana cinta insan itu melangkahkan kakinya bersama sahabatnya pergi ke Ta’if, dengan harapan untuk menyeru kaum di situ menerima Islam dengan kecintaan yang hakiki. Kecintaan yang diharapkan bertukar menjadi kebencian, lalu insan itu dan sahabatnya di caci, di hina bahkan di lempar dengan batu-batu hingga mengalirlah darah dari tubuhnya yang mulia itu. Walau malaikat ingin menghempap mereka dengan gunung tetapi insan yang cukup mencintai umatnya ini hanya sekadar mengatakan;
“ Tidak! Semoga ALLAH mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah ALLAH!”[3]

Ucapan ini hanya mampu diucapkan oleh insan yang ALLAH angkat sebagai kekasih-NYA, MUHAMMAD RASULULLAH. Kemudian cinta itu mengalir ke seluruh sahabatnya dan merakamkan kisah-kisah cinta yang hebat.
Bagaimana Hanzalah sanggup meninggalkan ‘kemanisan cinta’ malam pertamanya untuk menyahut panggilan jihad demi untuk mencari ‘kemanisan cinta’ yang lebih kekal di syurga-NYA. Begitu juga Abu Thalhah sanggup menggagahkan dirinya ke medan perjuangan walau sudah di penghujung hayatnya kerana baginya cinta itu bukan hanya ketika muda bahkan hingga nadi sudah tidak berdenyut seraya membacakan ayat Al-Quran kepada anak dan cucunya yang menasihatinya agar tidak ke medan jihad.[4]
“Berangkatlah kamu, baik dalam keadaan merasa ringan(muda) ataupun merasa berat(tua), dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan ALLAH. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”[At Taubah 9:41]
Akhirnya di dalam perjalanan ke medan jihad dia pun menemui Tuhan yang dicintainya. Bagi mereka cinta agama inilah yang membuatkan mereka terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir untuk bertemu Sang Pencipta yang juga mencintai mereka.
“ ......maka kelak ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang ALLAH mencintai mereka dan mereka pun mencintai-NYA.......”[Al Maidah 5:54]

CINTA ITU MASIH MEKAR

Cinta yang pernah merakam sejarah umat ini masih terus mekar dalam jiwa-jiwa yang mencintai agama-NYA. Ingatkah kalian pada Hasan al-Banna yang telah membina generasi-generasi yang juga penuh dengan rasa cinta kepada perjuangan Islam, tetapi insan ini telah dibunuh dengan konspirasi pembunuhan yang cukup jijik hanya kerana dia berjuang untuk agama tercinta.
Begitu juga dengan Sayid Qutb yang menyambut hukuman gantung yang bakal menamatkan riwayat hidupnya dengan sebuah senyuman yang cukup indah kerana merasakan dia akan mendapatkan kekasih yang sedang merindu [5] dirinya. Syeikh Ahmad Yasin yang sanggup melupakan kelumpuhannya demi cinta suci menyebarkan risalah dakwah, kerana cinta Dr. Abdul Aziz Rantisi ketika ditanya tentang kematian lebih rela dibedil dengan Apache daripada mati kerana sakit jantung dengan kata-katanya ‘I prefer Apache’.
Juga demi cinta Dr Abdullah Azzam sanggup meninggalkan tugasnya sebagai pensyarah lalu pergi ke medan jihad bersama pejuang-pejuang Afghan dan mengusir Soviet Union dari bumi umat Islam bernama Afghanistan. Segala amal-amal mereka demi cinta suci ini akhirnya mengorbankan nyawa mereka sebagai syuhada’ dan sesungguhnya pengorbanan yang mereka sumbangkan adalah untuk mencari keridhaan KEKASIH mereka;
“ Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keridhaan ALLAH dan ALLAH Maha Penyantun kepada hamba-hamba-NYA”[Al Baqarah 2:207]

Andai ada yang bertanya adakah perjuangan ini tiada pejuang-pejuang wanita, ketahuilah setiap pejuang-pejuang lelaki itu lahir ke muka bumi dari perut seorang insan yang bernama wanita. Betapa wanita-wanita ini menjadi ibu kepada insan yang mengorbankan diri untuk agama-NYA.
Generasi wanita ini yang pastinya juga cinta akan agama-NYA telah mewariskan kecintaan tersebut dalam jiwa anak-anak mereka dan inilah sumbangan besar mereka dalam melahirkan anak-anak yang bernama pejuang. Sesungguhnya perjuangan ini memerlukan sumbangan daripada kalangan lelaki dan wanita mengikut posisi masing-masing seperti yang digambarkan dalam kalam ALLAH;
“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain.....[ At Taubah 9:71]

Ternyata cinta mampu membuatkan manusia menemui erti kehidupan, mampu memberi sesuatu demi sebuah kehidupan yang lebih abadi. Tetapi untuk membina insan-insan seperti mereka bukan mudah bahkan satu jalan yang panjang dan memenatkan, hanya orang-orang yang yakin bahawa jalan ini adalah milik ALLAH pasti akan membangkitkan kembali seruan dakwah-NYA dalam jiwa para mukmin, cahaya Islam ini akan tetap bersinar walau pelbagai ujian dan dugaan yang bakal ditempuhi.
“Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) ALLAH dengan mulut(ucapan-ucapan) mereka, dan ALLAH tetap menyempurnakan cahaya-NYA meskipun orang-orang kafir benci”[As Saff 61:8]

Semarakkanlah cinta yang sedang tidur dalam diri kalian untuk digunakan demi sebuah percintaan yang lebih luas makna dan nilainya agar nanti ketika ia bangkit bisa digunakan untuk perjuangan agama yang mulia ini;
“Hai orang-orang yang berkemul(berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan.” [Al Muddassir 74: 1,2]

Buanglah ‘selimut cinta’ yang telah lama melekakan kita serta melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan untuk membina kembali generasi baru yang mengenal cinta-NYA, bak sebuah syair yang pernah diungkapkan;
“Telah bekulah daya juang di hati manusia itu,
Mereka leka mencari kekayaan dan kehidupan yang rutin,
kealpaan orang-orang yang baik dan semangat orang-orang yang keliru,
hampir-hampir menggoncangkan daku dari cita-cita dan perjuanganku” [6]

Sekarang kalian yang membaca tulisanku ini lebih berhak untuk memilih cinta yang kalian inginkan sama ada tergolong dalam kelompok yang menginginkan kepuasan dunia dan isinya atau tergolong dalam kelompok yang mencintai dan meridhai ALLAH sebagai RABB, Muhammad sebagai RASUL dan Islam sebagai AD-DEEN.
Selagi ALLAH masih lagi memberi segala nikmat-NYA kepada kita, jalan untuk berubah tidak pernah tertutup dan hanya kepada ALLAH jualah kita mohon jalan petunjuk-NYA untuk meniti jalan kebenaran kerana insan ini hanya mampu menyeru kalian dengan tulisan yang andai tidak mampu menyedarkan insan lain, mudah-mudahan dapat mengingatkan diri ini akan tanggungjawabnya demi untuk mendapatkan cinta yang suci dari Ilahi yang kelak ingin kubawa bersama menuju keridhaan-NYA. AMIIN......

“ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata, “ Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”[ Fusshilat 41:33









RUJUKAN:
[1] Hadith diambil dari buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, dalam Bab 3, Saya
Mestilah Muslim dari Sudut Akhlak, Fathi Yakan m/s 45 terbitan Dewan Pustaka
Fajar (DPF) tanpa dinyatakan riwayat dan darjat hadith.
[2] Buku Cinta dan Rindu menurut Al-Quran dan As Sunnah, dalam Bab V, Motif
Dan Pendorong Cinta, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah m/s 51 terbitan Albaz Publishing & Distribution Sdn. Bhd.
[3] Buku Bagaimana Menyentuh Hati, dalam Bab Optimisme yang Penuh Senyum dan Lapang Dada, Abbas As-Siisiy m/s 137 terbitan Era Intermedia.
[4] Buku Bahan Berdakwah untuk Remaja Moden, dalam Bab 2 Dakwah Profesional dan Persiapannya Kewajipan Melaksanakan Tugas Paling Mulia, Dr. Danial Zainal Abidin, m/s 101,102 terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. dengan sedikit perubahan
[5] Salah satu bait syair Sayid Qutb sebelum menemui syahid dalam buku “ Petunjuk Sepanjang Jalan” terbitan Crescent News(K.L.) Sdn. Bhd. m/s 210.
[6] Buku Munthalaq, dalam Bab 2 Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya Matahari,
Muhammad Ahmad Al Rasyid- Amiri, Diwan Ma’a Allah, m.s. 110


Al ‘Abd Al Faqir.
Mohd Halimi Abdul Aziz
Final Year Student 2007
15 Rabiul’awal 1428H
02:28 a.m