Sunday, November 30, 2008

ZULHIJJAH & IDILADHA


Beberapa Isu & Hukum
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net



KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.


Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).


Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-


a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.


b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.


c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.


d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.


e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.


f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )


POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]


Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )


Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Justeru, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
Tidak harus juga berqorban hanya dengan mengeluarkan harganya atau daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]


Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)


KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)


Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]


DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.


MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tanpa khilaf adalah lebih baik untuk mendahulukan umat Islam dalam hal ini.


BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia adamat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.


KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya:
"tidak boleh !"
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.


APAKAH HAJI AKBAR ?
Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).


Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)


Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.
Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".


Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).
Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam
Sekian
Doha, Qatar
27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H)
Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H - Malaysia ; 7 Zulhijjah 1428 H - Saudi)
KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H )


[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas


p/s Selamat beribadah di bulan Zulhijjah, moga kita senantiasa berada dalam lindungan rahmatNya. Ameen.

Thursday, November 27, 2008

JANGAN JADI MONYET...


Pernah melihat monyet saat bergayutan di dahan-dahan pokok, dengan penuh skill yg dipelajari sejak dari kecil menjadikan ia seekor monyet yang pakar tika berada di atas pokok. Tanpa diduga angin kencang bertiup kuat mula menghampiri sang monyet yang masih leka di atas pokok, pabila sedar bahana yang bakal tiba dipegangnya pokok itu sekuat hati seolah-olah pokok dan sang monyet itu sudah bersatu, sehebat mana pun angin yang datang, ia akan tetap sehidup semati dengan pokok yang di genggamnya. Akhirnya angin pun meluru deras melintasi sang monyet dan ternyata ia selamat bersama pokok yg masih dalam genggamannya. Riuh- rendah kawasan sekitar dibuatnya setelah selamat dari bahaya yang tiba, maka ia pun terus bergayut dari satu pokok ke pokok yang lain. Setelah penat sang monyet pun berhenti pada pokok yang besar, angin sepoi-sepoi bahasa mula mendayu-dayu melintasi sang monyet yang sedang berehat, saat angin yg tenang itu melintasi sang monyet, dirasakannya begitu nyaman dan nikmat tanpa sedar tangan kecilnya melepaskan pegangannya pada pokok dan akhirnya PRAPPPP!!!!!

Sebahagian daripada cerita yang kulihat dalam cd Sang Murobbi, sebuah perumpamaan yang digambarkan oleh Almarhum Rahmat Abdullah kepada salah seorang aktivis dakwahnya pabila ditanya tentang masalah dakwah yang dihadapi. Sebuah perumpamaan yang biasa tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam. Begitulah kita saat menghadapi ujian dan cabaran yang hebat, pasti kita akan berusaha semampu mungkin untuk mengatasi cabaran dan ujian yang mendatang. Dakwah juga begitu, saat ditekan, di tentang dan dihina, nyatanya dakwah itu tetap tersebar lantaran keteguhan para pendokongnya. Memang kita biasa dengan segala kesusahan dan kepayahan saban waktu, kita akan tetap bisa menghadapinya sebaik mungkin.

Namun saat kita diuji dengan kesenangan dan kemewahan, tidak ramai yang tegar menghadapinya, kesenangan membuatkan kita mula leka dengan kebendaan, mula lemah dalam beramal, mula sibuk dengan pelbagai urusan, mula hilang nilai akhlak, mula sombong dengan personaliti, mula tertawa tanpa henti. Kesenangan dan kemewahan memang nikmat yang tidak harus ditolak mentah-mentah, cuma kita sering gagal mengawal kesenangan dan kemewahan kita hingga ia memberi kesan buruk pada tugas-tugas kita yang lain. Bahkan Rasulullah sendiri tidak pernah gusar andai umatnya berada dalam kemiskinan bukan bermaksud menidakkan umatnya kaya-raya, namun kebimbangannya ternyata pada umatnya yang dilimpahkan pelbagai kemewahan hingga terlupa bahawa dirinya masih lagi hamba pada Tuhan yang memberi segala kemewahan padanya.
“Dari 'Amr bin 'Auf Al-Anshari r.a, bahwasanya Rasulullah s.a.w mengutus Abu 'Ubaidah Ibnul Jarrah r.a. ke negeri Bahrain untuk mengambil jizyah dari penduduknya (kerana kebanyakan mereka adalah Majusi -pent). Kemudiannya dia kembali dari Bahrain dengan membawa harta. Orang-orang Anshar mendengar berita kepulanganan Abu 'Ubaidah lalu mereka bersegera menuju masjid untuk melaksanakan shalat shubuh bersama Rasulullah s.a.w . Ketika Rasulullah s.a.w. selesai shalat beliau pun berpaling menghadap ke arah mereka. Jelas kepada Rasulullah mereka sangat inginkan harta yang dibawa Abu 'Ubaidah. Maka Rasulullah s.a.w pun tersenyum ketika melihat mereka

Kemudian beliau s.a.w bersabda, "Aku menjangka kalian telah mendengar bahwa Abu 'Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu (harta) dari Bahrain." Maka mereka menjawab, "Benar, Rasulullah." Lalu beliau s.a.w. bersabda, "Bergembiralah dan harapkanlah apa-apa yang akan menyenangkan kalian. Maka demi Allah! Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kalian. Akan tetapi aku khuatir akan dibentangkan dunia di hadapan kalian sebagaimana telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian pun berlumba-lumba padanya sebagaimana mereka berlumba-lumba padanya. Kemudian dunia itu akan menghancurkan kalian sebagaimana telah menghancurkan mereka." (HR. Al-Bukhariy no.3158 dan Muslim no.2961)

Terkenang saat meniti waktu-waktu sukar demi mencari sebuah pengisian, mencari pengangkutan untuk menghadiri pengisian, menaiki komuter saban minggu demi bertemu sahabat yang bertunjangkan ukhwwah Islamiyyah, tidur di surau atau masjid yang berkarpet, bertemankan nyanyian nyaring sang nyamuk diselangi gigitan-gigitan sayang meminta derma sedikit darah di hening malam, bangkit bertahajud di hening subuh, subuh berjemaah dan makan percuma secara berjemaah jua. Semua itu penuh dengan kesulitan dan kepenatan, namun ia tetap indah dan kekal menjadi memori yang tak kan dilupakan. Itulah kenangan di saat kekurangan serba serbi, tapi penuh dengan kekayaan sebuah pengalaman indah.

Begitu saat diberikan sedikit kesenangan, mempunyai kenderaan sendiri, mudah bergerak kemana-mana, mempunyai rumah yang selesa, mampu menyediakan makanan ala kadar, mendengar pengisian tidak perlu lagi bersusah seperti dulu, zaman dah berubah dunia dah maju katanya. Ternyata keselesaan itu menyebabkan kurangnya pengalaman dan pengorbanan, keindahan dirasakan semakin hilang, amal secara berjemaah juga kian lesu tampaknya. Apakah ini bahana sebuah keselesaan dan kemudahan yang kita miliki, adakah harus membuang segala dan kembali seperti waktu-waktu sukar kita? Pastinya tidak kerana setiap marhalah itu ada masalah yang tersendiri, cuma kitalah yang mencorakkannya, sebagaimana nasihat Sang Murobbi “..yang penting kesungguhan antum, keikhlasan antum..”. Sikap kita yang seharusnya kita perhatikan, apakah keselesaaan dan kesenangan yang kita miliki, turut sama mengubah kesungguhan dan keikhlasan kita?

Semoga keselesaan itu tidak mengalpakan kita, tidak membuatkan kita banyak ketawa dan sukarnya menangis melihat usaha dakwah kita, tidak menjadikan kita angkuh dan sombong dengan hasil yang sudah kita miliki, tidak mengabaikan tanggungjawab kita pada-Nya dan pada hamba-Nya.

Jadi kesimpulannya JANGAN JADI MONYET###( Teori Darwin??)

p/s – Dijemput hadir kepada sesiapa yang berkelapangan pada acara pemutaran dan bedah filem Sang Murobbi pada 30 November 2008 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
http://sang-murabbi.blogspot.com

Mohd Halimi Abdul Aziz
29 Zulkaedah 1429H, 11:00pm


Tuesday, November 18, 2008

KENANGAN BERSAMA KANG ABIK


Jika setiap pena itu menulis sesuatu yang dapat memberi kebaikan pada insan lain dan insan itu pula menyebarkan apa yang ditulis itu, bukankah ia adalah ladang pahala yang luas buat diri yang menulis. Sebahagian kata-kata yang disampaikan oleh Habiburrahman El-Shirazy atau Kang Abik semasa bengkel penulisan yang lalu.

Saat pertama kali bertemu dengannya, kurasakan beliau adalah sosok peribadi yang biasa kerana mempunyai pancaindera dan anggota badan yang juga kumiliki, namun di sebalik sejarah hidupnya pastinya jauh berbeza berbanding diriku, terlalu banyak amal yang telah beliau taburkan khususnya melalui medan penulisan. Walau tampak keletihan di raut wajahnya setelah sampai di KLIA dari Kairo dan langsung terus ke UM mengisi acara di sana. Menjelang 2 pagi barulah tiba di hotel penginapan tempat berlangsungnya acara bengkel di Residence Hotel Uniten.

Keesokannya acara bengkel bermula tepat jam 9 pagi, dan ketika ku ingin menyambut Kang Abik di biliknya, ternyata beliau tidur seketika setelah menyiapkan beberapa nota kecil untuk disampaikan nanti. Beliau bingkas bangun dan langsung terus mengikutiku ke tempat acara, saat itu beliau memang sudah bersiap dengan pakaian dan songkok di kepalanya.

Bengkel dirasmikan oleh ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar yang sudi hadir buat seketika, serta ucapan-ucapan dari wakil Akarbina Training, wakil Forum Lingkar Pena Indonesia sebelum kami berehat untuk makan pagi.

Semasa makan pagi, Kang Abik kembali ke biliknya untuk menyiapkan semula nota-nota untuk bengkel kali ini, ku merasa kagum pada kesungguhan Kang Abik bahkan ketika bengkel sudah dimulai, segala raut wajah yang memenatkan tadi bertukar menjadi semangat yang luar biasa, serta keceriaan membentangkan bahan-bahan bengkel membuatkan kami tertawa ditambah lagi dengan bahasa Indonesia yang kadangkala mengambil masa untuk difahami.

Bengkel berjalan dengan baik, banyak soalan-soalan diajukan setelah setiap bahan dibentangkan, diri ini juga tidak ketinggalan mencatat beberapa perkara tentang penulisan. Antara tajuk-tajuk yang dibentangkan “Menyalakan Inspirasi Di Ujung Pena”, “ “Menulis Novel Best Seller” dan “Modal Menjadi Penulis Best Seller".

Tepat jam 6.30 petang acara bengkel penulisan pun berakhir dan kesemua peserta mengambil peluang untuk beramah mesra dan bergambar dengan Kang Abik, sebuah pengalaman yang pasti tidak akan dilupakan oleh setiap peserta begitu juga diriku. Apatah lagi bertemu dengan seorang penulis yang telah terkenal dengan bukunya Ayat-Ayat Cinta, namun saat ditanya apakah perasaannya menjadi penulis sebuah buku best seller, yang sering dinantikan orang akan kehadirannya, jawabnya cukup mudah “biasa-biasa saja..”

Itulah sosok peribadi biasa tetapi mempunyai amal yang luar biasa, segala yang dimiliki tidak pernah membuat diri merasa gah apatah lagi sombong, berbicara dengannya tidak terasa janggal atau sulit untuk mengungkapkan kata-kata. Ku teringat akan nasihat lewat tayangan Sang Murobbi, jadilah kamu seperti bintang-bintang di langit yang bisa dilihat di permukaan air, sedangkan hakikatnya ia tinggi dan indah, jangan kamu menjadi seperti asap yang bisa dilihat di atas sedangkan ia hina di bawah. Saat diri sudah mengecap nikmat dari ALLAH jangan pernah lupa untuk tunduk sebagai hamba-Nya agar tidak dihina oleh ALLAH lantaran merasa diri sudah hebat segalanya. Ternyata itulah sedikit pengajaran tidak langsung yang kulihat dari perilaku seorang penulis bernama Habiburrahman El-Shirazy. Maka ayuh kita menulis sebagai ladang pahala untuk diri dan umat.

"Teruskan istiqamah di jalan dakwah" pesanan Kang Abik lewat buku yang ditanda tangannya. Harap kalian tahu yang mana satu Kang Abik

p/s JazakalLLAH khairan kathiran kepada semua Urusetia Bengkel Interaktif Penulisan Novel Islami tanggal 16 November 2008- Residence Hotel Uniten

Mohd Halimi Abdul Aziz
Ex-Event Manager
Bengkel Interaktif Penulisan Novel Islami
Bersama Kang Abik

21 Zulkaedah 1429H 11.33am

Thursday, November 13, 2008

MENANTI KEHADIRAN SEORANG NOVELIS

Habiburrahman El-Shirazy adalah seorang novelis yang dikenali buat mereka yang meminati novel-novel tulisannya. Bagi mereka yang melihat filem Ayat-ayat cinta seharusnya tahu ia adalah adaptasi dari sebuah novel yang ditulis oleh Habiburrahman atau juga dikenali dengan Kang Abik.

Esok Insya ALLAH adalah harinya diri ini bakal bertemu dengan sang novelis ini, sesuatu yang tidak pernah ku sangka mendapat peluang bertemu dengannya. Hadirnya dari Kairo ke Malaysia hanya sebentar kerana saat ini sedang sibuk membantu pembikinan filem dari bukunya Ketika Cinta Bertasbih. Mudah-mudahan kehadirannya yang sementara ini dapat meninggalkan sesuatu yang bermakna buatku.

Aku bukanlah orang yang bercita-cita ingin menjadi novelis, sekadar menulis artikel-artikel biasa saja, namun demikian terlibat menganjurkan Bengkel Penulisan Novel Islami yang akan disampaikan oleh Kang Abik, menjadi ruang untuk bertemu dengannya.
Sebelum ini hanya sekadar melihat wajahnya di internet dan membaca buku-buku tulisannya bermula dengan Ayat-ayat cinta, Pudarnya cinta Cleopatra, Dalam Mihrab Cinta dan akhirnya Ketika Cinta Bertasbih siri 1 dan 2. Semuanya dihabiskan dalam masa sehari dan kalau lama pun dua hari, mungkin kurang penghayatan jika dibaca terlalu cepat, tetapi diri ini tetap mengukir senyuman serta mengundang sedih saat membacanya, seolah-olah apa yang diceritakan sedang berlaku di depan mata. Segala nasihat disampaikan dalam sebuah cerita kehidupan, apatah lagi dengan tema cinta yang cukup luas pengertiannya. Tulisan itu menjadi medan dakwah yang cukup hebat dan harapnya bengkel yang bakal dibuat nanti mampu menghasilkan mereka yang bukan sahaja mampu menulis dengan baik bahkan menjadi sebahagian dari pendakwah yang mewarnai masyarakat.

Semoga pertemuan nanti menjadi medan untuk ku mencari spirit yang hilang dalam diri, sedikit terubat setelah melihat cerita Sang Murobbi, dan kali ini bertemu dengan sosok peribadi yang pastinya terkena tempias Sang Murobbi yang benar-benar mampu mendidik para pelajarnya menjadi insan biasa yang luar biasa sumbangannya kepada ummat.

Mohon doa kalian agar segalanya berjalan lancar dan akan ku coretkan kelak pengalaman bersama dengannya lewat tulisan biasaku di blog ini, sebagai satu perkongsian yang diharapkan dapat memberi seribu satu kenangan yang tak kan pudar sinarnya pabila cinta dan dakwah berpadu. Amiin


Mohd Halimi Abdul Aziz
Event Manager
Akarbina Training and Consultancy
Bengkel Penulisan Novel Islami
Bersama Habiburrahman El-Shirazy
16 November 2008

GENERASI HARAPAN

Di mana dicari pemuda Kahfi
Terasing demi kebenaran hakiki
Di mana jiwa pasukan Badar berani
Menoreh nama mulia perkasa abadi


Ummat melolong di gelap kelam
Tiada pelita penyinar terang
Penunjuk jalan kini membungkam
Lalu kapankah fajar kan datang


Mengapa kau patahkan pedangmu
Hingga musuh mampu membobol bentengmu
Menjarah menindas dan menyiksa
Dan kita hanya diam sekadar terpana


Bangkitkan negeri lahirkan generasi
Pemuda harapan tumbangkan kezaliman
Wajah dunia Islam kini memburam
Cerahkan dengan darahmu
Panji Islam telah lama terkulai
Menanti bangkit kepalmu

(IZZATUL ISLAM-KEMBALI…!)


p/s JazakaLLAH khairan kathiran kepada semua fasilitator Program Pemuda Kahfi SAS
baru-baru ini. Kehadiran kalian benar-benar ku nantikan, semoga ALLAH
permudahkan urusan kalian dan kukuhkan ikatan ukhwah kita agar bertemu tidak
jemu berpisah tidak gelisah.

p/s Tahniah kepada Akhi Hanafi atas kelahiran si mujahid kecil dan comel Aish Naufal,
kehadiranmu memberi sinar bahagia. Semoga menjadi generasi
harapan buat ummat ini.

Monday, November 3, 2008

SETAPAK KU MELANGKAH



Masa kian berlalu
Meninggalkan kenangan lalu
Bertemu sinar baru
Membuat jiwaku terharu

Sukarnya mencari sahabat
Menempuh suka duka bersama
Kini ku temui
Mereka yang kucari

Namun ku sering sendiri
Merenung nasib diri
Hati kian resah
Mata kian basah

Hanya sekelumit kalimahNya
Yang ku hafal
Hanya seketika sabda Nabi-Nya
Yang ku ingat

Waktu terus berjalan
Ku masih begini
Sukarnya ingin mengubah
Tabiat diri yang dulu

Ku telusuri jalan itu
Sekadar yang ku mampu
Ku ingin mencari
Apa ertinya hidup ini

Setelah bertahun ku bersama
Baru kini ku sedari
Hanya setapak ku melangkah
Menuju jalan kepada-Nya

(MOHD HALIMI ABDUL AZIZ)
O6 ZULKAEDAH 1429H


MENUJU GERBANG PERNIKAHAN



Menjelangnya cuti sekolah yang bakal tiba, pastinya kita akan menerima beberapa sampul surat berisi kad undangan perkahwinan, berisi kata-kata indah, nasihat-nasihat bagi mereka yang menatapnya, wangian yang harum semerbak tika membukanya. Tatkala melihat sang mempelai yang bakal menjejak alam yang baru, kelihatan berseri-seri di wajahnya sebagai tanda bakal meniti hari yang bahagia.

Sebelum tibanya saat pernikahan, sudah tentu pelbagai persediaan harus disiapkan, dan pastinya banyak perkara harus diperhatikan agar segala-galanya berjalan dengan lancar. Tahniah buat mereka yang telah menuju gerbang pernikahan masing-masing mahupun yang sedang menanti hari yang bertuah itu tiba.

Bagi mereka yang tampaknya belum pasti waktu dan ketikanya saat-saat indah itu kan tiba, pasti ada faktor- faktor yang mengekang diri menamatkan zaman bujang masing-masing. Jika dilihat masyarakat sekarang yang ramai antaranya boleh dikategorikan muda belia, masing-masing sudah mempunyai pilihan pasangan masing-masing, sudah bersama beberapa tahun, sudah mengikat janji setia, sudah merancang pelbagai perkara sebelum dan selepas nikah, namun ternyata masih ramai yang belum dapat menuju gerbang pernikahan yang didambakan.

Ia bukan hanya masalah jodoh dan takdir semata-mata, tapi juga masalah kemampuan dan kematangan. Jodoh dan takdir memang tidak dapat dinafikan terutama bagi mereka yang tidak pernah ada pasangan mahupun ingin mencari pasangan hidup sendiri, segalanya diserahkan kepada mereka yang lebih arif untuk memilih siapakah pasangan yang sesuai menjadi penyeri kehidupan, hanya tawakal pada Ilahi mengharap yang terbaik buat diri sendiri.

Mereka yang telah mempunyai pasangan juga yakin pada jodoh dan takdir, jika terjadi pertelingkahan semasa perhubungan di alam tanpa ijab dan qabul, maka perpisahan menjadi jalan keluar tanda tiada jodoh buat mereka lalu mula mencari insan lain yang sudi menemankan diri lalu takdir menemukan dengan pasangan yang baru, sekali lagi di alam tanpa ijab dan qabul, hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun…

Pernikahan sesuatu yang sukar untuk diterjemahkan dalam perhubungan sesama insan lantaran faktor kemampuan dan kematangan yang belum memenuhi kriteria yang ditetapkan sama ada dari pihak lelaki mahupun perempuan. Kematangan dalam erti kata sanggup memikul tanggungjawab untuk memenuhi jawatan baru di alam rumahtangga kadangkala membuatkan sebahagian mereka yang telah lama bersama merasa belum puas menikmati alam muda mudi mereka, walau hakikatnya tampak seperti sudah bernikah sesama pasangan masing-masing. Kurangnya keyakinan dalam diri untuk membentuk sebuah keluarga yang baru lantaran banyak ilmu-ilmu rumah tangga yang belum difahami ditambah dengan keseronokan berpasangan tanpa sebuah ikatan yang jelas, menjadikan hubungan itu boleh berakhir pada bila-bila masa walau di mana pun berada. Apatah lagi jika hubungan itu sudah hilang serinya lantaran sudah bertahun bersama, maka hancurlah hati buat mereka yang benar-benar mengharapkan hubungan yang dijalin menuju gerbang pernikahan, tapi ternyata ia hanya berakhir begitu sahaja dan lebih trauma lagi andaikata nasi sudah menjadi bubur.

Kemampuan juga menjadi faktor besar yang menghalang pernikahan menjadi suatu realiti, lihat saja persiapan pernikahan dewasa ini, dengan gelaran “Raja Sehari”, maka segala perlengkapan juga harus berstatus Diraja lengkap dengan segala protokolnya. Maka menjadi kebinggungan buat mereka yang ingin mengikat hubungan dengan cara yang halal, namun melihat harga pernikahan yang harus dilaburkan, membuat diri sentiasa mencongak-congak saban waktu bilakah saatnya nilai yang diperuntukkan untuk pernikahan akan berjaya dikumpul. Belum lagi dikira taraf pendidikan pasangan masing-masing, jenis pekerjaan yang sedang dilakukan, jawatan yang disandang, status pekerjaan, nilai gaji tahunan, tempat bermastautin, taraf keluarga, dan bla bla bla…

Demikianlah kemampuan untuk bernikah menjadi persoalan yang cukup sukar dijawab, segala-galanya masih belum pasti, hanya yang pasti walau ekonomi dunia baru-baru ini jatuh merudum hingga syarikat-syarikat besar menerima musibah yang teruk, namun pasaran saham pernikahan tidak terjejas, bahkan terus ditutup kukuh selama ini. Jika berubah pun hanya beberapa peratus mungkin, syarikat-syarikat yang menaja pernikahan cukup bertuah kerana melabur dalam bidang pernikahan, lantaran setiap tahun pasti adanya permintaan. Tidak mustahil pasaran saham pernikahan akan terus mengembang dan nilainya pun semakin tinggi.

Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada mereka yang menilai kemampuan dengan berapa banyak yang kamu mampu untuk sebuah pernikahan, agar menjadi murah dan mudah. Bukanlah kita ingin nilai sebuah pernikahan itu menjadi terlalu murah hingga tidak perlu dibayar apa-apa, cuma biarlah nilai sebuah pernikahan itu tidak akan menjadi bebanan setelah alam rumah tangga berjalan, bimbang terpaksa berhutang ke sana sini demi melihat pernikahan itu kelihatan megah dan mewah.

Bukanlah pernikahan itu sekadar sehari dua, bukan juga pernikahan untuk dua insan semata, tapi dua keluarga adanya, bahkan setelah pernikahan bukan hanya cerita indah yang kita ungkapkan, tapi juga ada ujian dan tanggungjawab. Kita inginkan pernikahan yang barakah, barakahnya bukan hanya buat pasangan yang bernikah mahupun keluarga yang bertambah namun juga buat generasi akan datang.

Menuju gerbang pernikahan satu keharusan buat mereka yang bersedia ke arahnya, buat mereka yang belum mudah-mudahan kita mempersiapkan diri kita kerana hakikatnya kita masih lagi belajar dan mengajar apa ertinya hidup ini. Moga ALLAH permudahkan urusan kita, teguhkan pendirian kita, kukuhkan persaudaraan kita. Senangnya berbicara lewat tulisan di alam maya tidak semudah merealisasikannya di alam sebenar. Moga kalian akan menuju gerbang pernikahan yang penuh dengan kesyukuran dan barakah dari-Nya.Amiin.

“Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”[ An Nuur 24:32]

p/s – berdebar menanti temuduga yang semakin hampir, mohon doanya....
Mohd Halimi Abdul Aziz
06 Zulkaedah 1429H 11.53a.m