Wednesday, November 24, 2010

Makanan dan Kesihatan




Setiap hari pasti kita akan menjamah makanan, cuma banyak atau sedikit dan apa yang dimakan sahaja yang membezakan kita. Kita perlu makanan untuk meneruskan kehidupan bukan hidup untuk makan semata-mata. Makanan juga boleh memberikan tenaga pada tubuh badan dan juga lemak pada tubuh badan. Sekiranya kita menjaga pemakanan kita mengikut zat-zat yang diperlukan tubuh maka pastilah kesihatan kita terjaga, tetapi sebaliknya berlaku jika pemakanan kita tidak dijaga dengan baik ia boleh membunuh. Demikian itulah makanan yang kita makan cukup penting dalam kehidupan bahkan sahaja Quran juga mengungkapkan perihal makanan sejak dahulu lagi. Mari kita lihat sejenak:

Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu "manna" dan "salwa" .Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu; dan tidaklah mereka menganiaya Kami; akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri[Al-Baqarah 2:57]

Bagaimana Bani Israel dianugerahkan ALLAH akan “manna” dan “ salwa”, makanan dari langit yang cukup istimewa, ALLAH juga menyuruh kita agar makan dari makanan yang baik-baik. Maka menjaga pemakanan yang baik juga salah satu suruhan agama agar tidak menjadi seperti Bani Israel yang demikian telah mendapat makanan yang baik dari ALLAH, tetap sahaja meminta makanan yang rendah mutu dan kualitinya seperti mana yang Quran rakamkan:

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: "Hai Musa, kami tidak bisa sabar (tahan) dengan satu macam makanan saja. Sebab itu mohonkanlah untuk kami kepada Tuhanmu, agar Dia mengeluarkan bagi kami dari apa yang ditumbuhkan bumi, yaitu sayur-mayurnya, ketimunnya, bawang putihnya, kacang adasnya, dan bawang merahnya." Musa berkata: "Maukah kamu mengambil yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik ? Pergilah kamu ke suatu kota, pasti kamu memperoleh apa yang kamu minta." Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah….[Al-Baqarah 2:61]

Begitulah sifat kaum yang tidak pernah puas dengan makanan yang ALLAH berikan, akhirnya makanan yang rendah mutu dan kualiti yang diminta mereka menjadikan mereka juga ditimpa kehinaan dan kemurkaan dari ALLAH.

Maka makanan yang baik menjamin kesihatan yang baik, memilih makanan yang terbaik untuk tubuh badan juga adalah penting dan agama menyarankannya. Lalu janganlah kita mengambil mudah akan apa yang kita makan bak kata pepatah: You are what you eat!!

Demikian pula menjaga kesihatan juga penting dalam kehidupan, bagaimana Hasan Al-Banna mengarahkan para pengikutnya agar sentiasa memeriksa kesihatan dalam selang waktu yang sesuai agar sentiasa dalam keadaan sihat dalam mengemban tugas dakwah. Juga menjadi peringatan kita bersama untuk memeriksa kesihatan tubuh badan kita, apatah lagi seandainya jadual pemakanan dan apa yang kita makan kurang di jaga dengan baik.

Berikut saya kongsikan beberapa fakta-fakta kesihatan untuk manfaat kita bersama. Pertama Indek Jisim Tubuh kita haruslah pada nilai yang sesuai iaitu tidak melebihi 23.0 kerana nilai tersebut menandakan anda pada tahap pra-kegemukan. Silalah mencari bagaimana mengira Indek jisim tubuh anda ataupun biasa dikenali dengan Body Mass Index. Moga anda tidak terlalu kurus dan berada pada tahap normal dalam lingkungan 18.5 hingga 22.9.

Kedua adalah memeriksa tekanan darah anda supaya kekal pada tahap normal iaitu di bawah 130 untuk sistolik dan di bawah 85 untuk diastolic, sekiranya melebihi nilaian di atas maka anda berada pasa tahap pra-hipertensi dan boleh mencecah hipertensi tahap 3 seandainya mencapai nilai melebihi 210/120. Moga segala tekanan dan ujian yang anda hadapi tidak meningkatkan tahap tekanan darah anda. Tenangkan dirimu dengan zikrullah.

Ketiga adalah ujian urinalisis atau ujian air kencing, di mana sampel air kencing anda akan di uji sama ada mengandungi glukos, protein mahupun darah. Sekiranya dalam air kencing anda terdapat ketiga-tiga bahan tadi kemungkinan besar anda mempunyai penyakit diabetes, masalah buah pinggang atau jangkitan salur kencing. Maka periksalah segera sebelum terlewat.

Keempat adalah ujian glukos dalam darah secara rambang bergantung kepada pengambilan makanan terakhir anda, seandainya kandungan glukos dalam darah anda di bawah 5.6 maka kemungkinan diabetes adalah rendah, jika melebihi nilai tersebut maka berjumpa doktor untuk ujian selanjutnya adalah yang terbaik.

Keenam adalah kandungan kolestrol dalam darah juga bergantung kepada pengambilan makanan terakhir anda. Kadar kolestrol yang memuaskan adalah di bawah 5.17 dan melebihi nilai tersebut menunjukan anda berisiko tinggi sebagai pesakit diabetes.

Itulah serba ringkas ujian kesihatan yang boleh anda lakukan untuk menilai kadar kesihatan anda, juga sebagai nasihat untuk diri dan teman, rajin-rajinlah untuk bersenam, minima 3 kali seminggu selama 30 minit sekali senaman atau lebih. Juga pentingnya kita menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian agar mendapat berat badan unggul dan sejahtera bahagia hendaknya. Ameen

AUTOCLAVE





Sebelum sesuatu ujikaji dilaksanakan, ada beberapa tahapan yang perlu dilalui oleh mereka yang ingin mendapat hasil ujikaji yang baik. Minima terdapat 3 tahapan iaitu membaca keseluruhan langkah-langkah ataupun panduan untuk melaksanakan sesuatu ujikaji. Kedua memastikan kesemua kelengkapan untuk membuat ujikaji tersebut dalam keaadaan bersih dan suci dan ketiga melaksanakan ujikaji mengikut panduan yang di baca.

Saya ingin memperkenalkan sebuah mesin yang digunakan untuk memastikan langkah yang kedua tadi dapat dilaksanakan iaitu membersihkan segala kelengkapan untuk membuat ujikaji daripada sebarang kekotoran dalaman dan luaran. Mesin tersebut dinamakan “Autoclave”. Digunakan secara meluas dalam bidang mikrobiologi, perubatan, sains veterinar, mikologi dan sewaktu dengannya. Demikian pula antara perkakas yang selalu menggunakan mesin ini adalah radas-radas makmal, alat-alat pembedahan, juga barang-barang untuk kegunaan pesakit.

Autoclave berfungsi untuk menghapuskan segala kemungkinan terdapatnya ‘makhluk-makhluk halus’(baca: bakteria) yang mengotorkan barang-barang yang ingin digunakan semasa ujikaji mahupun barang-barang yang dinyatakan tadi. “Makhluk halus” tersebut dapat dihilangkan ketika mana segala barang-barang tersebut dimasukan ke dalam ‘autoclave’ dan memerlukan tekanan yang tinggi pada suhu 121oC selama 15 ke 20 min. Maka setelah itu barulah barang-barang tersebut dapat digunakan dan terjamin kebersihannya. Sedikit sebanyak begitulah kebiasaannya yang wajib dilakukan bagi mereka sebelum sesuatu ujikaji dilaksanakan terutamanya bagi mereka di dalam bidang-bidang yang telah dinyatakan.

Mari kita tinjau sedikit sebanyak bahawa kaedah yang dilaksanakan di atas sebenarnya juga bukan hanya perlu untuk barang-barang ujikaji bahkan manusia juga memerlukan kaedah tersebut. Bahkan Islam sahaja sudah mempelopori kaedah tersebut lama dahulu dari segi prinsipnya iaitu pembacaan, penyucian dan pengajaran.

Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata[Al-Jumuah:62:2]

Lihatlah dalam ayat di atas ternyata terdapat 3 kaedah yang seakan sama dengan kaedah yang digunakan oleh para saintis di atas. Kaedah pertama menyuruh kita membaca ayat-ayat-Nya, begitu juga saintis perlu membaca buku panduannya untuk melaksanakan ujikaji, dan kita menyedari bahawa Al-Quran adalah buku panduan yang Maha lengkap dari-Nya serta lebih perlu bagi kita untuk membacanya.

Kedua adalah menyucikan mereka yang membaca ayat-ayat-Nya, lalu bukankah para saintis tadi perlu membersihkan barang-barang yang bakal digunakan dengan mesin ‘autoclave’. Ketiga barulah mengajarkan mereka Kitab dan As-sunnah, sepertimana sang saintis setelah membaca buku panduan, membersihkan alat-alat kemudian barulah ujikaji tersebut dapat dilaksanakan.

Mari kita tumpukan pada aspek yang kedua iaitu mensucikan di mana mesin ‘autoclave’ tadi memerlukan tekanan dan suhu yang tinggi untuk membersihkan alat-alat yang bakal digunakan. Jika kita melihat bagaimana Rasul SAW mentarbiyah sahabatnya dengan kaedah penyucian yang cukup hebat walau tekanan demi tekanan yang mereka terima. Ternyata tekanan dan ujian yang maha hebat tersebut semakin menyakinkan mereka bahkan menyucikan jiwa-jiwa mereka dari sebarang “makhluk halus”(baca: syaitan) yang cuba mengotorkan jiwa-jiwa mereka.

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [Al-Ankabut:29:2,3]

Begitulah tekanan dan ujian yang menimpa demi membezakan kita berada di pihak mana, seandaikan kaedah penyucian kita berhasil, maka pastilah kita akan tetap bertahan daripada sebarang gangguan ‘makhluk halus’ yang seringkali cuba menyesatkan kita.
Mudah-mudah kita dapat membersihkan jiwa-jiwa kita walau di uji dengan pelbagai ujian dan tekanan sebagai tanda kasih dari Tuhan.

Maka jangan lupa ‘autoclave’ jiwamu.

Thursday, November 4, 2010

MERENDAHLAH SEPERTI BINTANG




“Merendahlah seperti bintang yang kelihatan di atas riak-riak air sedangkan dirinya nun jauh tinggi di atas, jangan seperti asap yang menjulang dirinya tinggi di atas sedang dirinya rendah dan hina..”

Indah sekali kiasan yang terdapat dalam filem Sang Murobbi, dalam maknanya dan tinggi nilai pengajaran yang boleh kita ambil darinya. Secara kebiasaannya kita melihat seseorang melalui zahirnya sahaja sedangkan hakikat sebenar hanya yang empunya diri yang lebih mengetahuinya.

Dulu-dulu biasa kita dengar slogan “Kepimpinan Melalui Teladan” dan banyak lagi slogan seumpamanya dan begitulah kita kaya dengan pelbagai slogan-slogan yang indah-indah tapi kosong isinya. Lihat sahaja suri teladan terbaik buat kita Muhammad RasuluLLAH menunjukan peribadi yang terbaik dalam segala peranan, sebagai Nabi dan Rasul, sebagai pemimpin negara, pemimpin tentera, sebagai sahabat, sebagai ayah, sebagai datuk, dan sebagainya. Nabi tidak pernah menyibukan diri memikirkan slogan apa yang perlu dilontarkan kepada umatnya untuk memperlihatkan dirinya adalah orang yang terpilih, tetapi bahkan Nabi menunjukan contoh yang terbaik sebelum menjadi Nabi apatah lagi setelah menjadi Nabi. Begitulah ramai yang terharu dengan sikap dan akhlak yang Nabi paparkan menjadi asbab dakwahnya diterima dan ternyata nilaian perbuatan itu lebih bernilai berbanding apa yang diucapkan.

Sepertimana bintang-bintang yang bisa dilihat hanya di atas riak-riak air, memunculkan dirinya tanpa perlu mendongak ke atas langit, walhal hakikatnya memang bintang itu kedudukannya di atas, sekadar perumpamaan supaya kita mampu tawadhuk dan rendah diri atas kelemahan dan kekurangan tatkala kita sedang berada di puncak kedudukan, kekayaan dan kesenangan duniawi. Berapa ramai yang diberikan ALLAH sedikit kesenangan dunia mula meninggi diri, menghina yang lain bahkan melupakan teman-teman. Godaan pangkat, harta dan dunia bukan mudah untuk dikawal, hatta para sahabat sahaja pernah mengeluh lantaran tiada ganjaran harta setelah kemenangan tiba. Demikianlah fitrah manusia itu jika tidak dikawal pasti tidak akan pernah puas hinggalah tanah menimbusnya. Mudah-mudahan di saat kita belum dibuka segala kesenangan duniawi kita masih mampu merendahkan diri dengan penuh tawadhuk dan di saat pintu-pintu kesenangan dibuka moga kita juga masih mampu merendahkan diri bak bintang nan tinggi di atas namun senang di lihat ke bawah.

Bagaimana pula bagi mereka yang tiada kedudukan dan kekayaan bahkan kesenangan tetapi masih sahaja meninggi diri laksana asap yang seringkali menjulang dirinya tinggi di atas namun hakikatnya rendah dan hina di bawah. Pastinya ia suatu yang lebih mendukacitakan jika ada yang memiliki sikap seperti ini. Namun masih ada segelintir manusia yang sanggup menghinakan dirinya dengan pelbagai cara yang buruk demi melihat dirinya di sanjung, di puja dan di puji. Dia tidak pernah menghiraukan perasaan orang lain apatah lain batasan agama kerana baginya pujian dan sanjungan itu lebih penting dalam kehidupannya. Cuba lihat bagaimana Abdullah bin Ubai yang seringkali menjadi musuh dalam selimut bagi umat Islam di Madinah, seringkali juga menonjolkan kebaikan-kebaikan yang dilakukannya di hadapan orang-orang yang beriman, bahkan di akhir hayatnya juga meminta pakaian yang di pakai Nabi SAW untuk menjadi kain kafannya. Bukankah itu tampak sebuah kemuliaan yang jarang dimiliki oleh orang lain, dapat memakai pakaian Nabi SAW di akhir hayatnya juga jenazahnya di solatkan oleh Nabi SAW dan kemudian di tegur oleh ALLAH SWT kerana ALLAH SWT lebih mengetahui hakikat sebenar siapakah Abdullah bin Ubai, walau dirinya mengaku Islam namun kebenciaan terhadap Islam juga tinggi. Begitulah rendahnya hakikat peribadi yang dimiliki oleh Abdullah bin Ubai yang senantiasa cuba menjulang dirinya tinggi melangit sehingga terlupa dirinya hanyalah seperti asap yang rendah dan hina.

Marilah kita bermuhasabah tentang diri kita sendiri, adakah mampu menjadi seperti bintang di langit atau semakin menghampiri ciri-ciri asap yang rendah dan hina ketika di bawah mahupun di atas.

Merendahlah dalam tutur bicara kita dan berangkatlah dengan amal yang terbaik di saat-saat senang mahupun di saat-saat sukar kita.

Demikianlah yang Nabi SAW dan sahabatnya contohkan kepada kita hingga Nabi SAW menggelar sahabatnya laksana bintang-bintang yang menjadi petunjuk bagi manusia walau siapa pun yang kita ikuti.

Moga kita mampu mengikut jejak-jejak langkah amal yang telah mereka lakarkan dalam sejarah perjuangan yang panjang ini. Ameen.

Mohd Halimi Abdul Aziz
04 November 2010.