Friday, February 16, 2007

PERCUTIAN

Percutian. Apakah itu percutian. Adakah kita memahami apa itu percutian. Percutian membuat kita tersenyum menjelang ketibaannya kerana ia memberikan pelbagai makna dalam hidup kita. Terutama bagi insan yang bernama ‘student’ kerana ia merupakan masa yang dinanti- nantikan untuk berehat, berjalan, bermain dan menenangkan fikiran dari memikirkan beban-beban yang namanya ‘ assignment’, ‘lecturer’, ‘exam’ dan pelbagai istilah lagi. Tidak dilupakan juga bagi mereka yang akan bercuti panjang dari dunia universiti yang namanya ‘graduate student’, pastinya waktu ini cukup menggembirakan kerana setelah berpenat lelah selama beberapa tahun menelaah pelajaran kini tibalah masanya untuk mereka melaungkan slogan yang sudah lama ingin diucapkan iaitu ‘MERDEKA’. Inilah makna percutian bagi sesetengah golongan dan banyak lagi definisi mengenainya kerana setiap golongan mempunyai pendapat masing-masing tentang percutian. Lalu apakah makna percutian dalam Islam, adakah Islam mempunyai istilah percutian, adakah Islam menunjukkan cara untuk bercuti kerana kita yakin bahawa agama ini menyeluruh.

“Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat, dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan” [An-Naba’(78:9,10,11)]

Mungkin inilah salah satu definisi percutian iaitu ketika mana kita melabuhkan badan ke tempat tidur disitulah bermula ‘percutian’ kita, bukankah percutian masa untuk kita berehat sebagaimana tidur memberikan kita kerehatan badan agar ketika tibanya waktu siang adalah medan untuk kita bekerja mencari kehidupan dan beribadat kepada-Nya.

“ Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka?.... [Ar-Ruum (30:9)]

Islam menggalakkan kita mengadakan ‘percutian’ di muka bumi dan kalau istilah moden nya ‘camping’, ‘travelling’ atau ‘rehlah’, bukankah percutian juga masa untuk kita berjalan-jalan melihat tempat orang lain tetapi Al-Quran suruh kita berjalan-jalan untuk melihat akibat atau bala’ yang ALLAH timpakan kepada orang-orang yang derhaka pada-Nya agar kita kembali insaf dan berusaha agar tidak menjadi seperti golongan yang derhaka pada-Nya. Inilah sebahagian dari ‘percutian’ yang Islam inginkan agar percutian kita bukan sekadar percutian yang biasa tetapi memberi kesan ke dalam jiwa. Kita juga tahu setiap yang kita perbuat adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada-Nya termasuklah dalam percutian kita.

“ Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku” [Adz Dzaariyaat (51:56)]

Maka oleh kerana itu wahai sahabat, sahabiahku sekalian marilah kita memanfaatkan setiap percutian yang bakal tiba dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat mudah-mudahan percutian ini memberi semangat baru untuk menjadi insan yang lebih berakhlak, beramal soleh dan penyeru berita gembira dan pemberi peringatan kerana inilah perkataan yang paling baik untuk kita ucapkan.

“ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada ALLAH, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” [Fushshilat (41:33)]

Nah, apalagi yang kita inginkan dalam hidup ini ketika mana Islam sudah bertahun-tahun kita imani, tetapi ternyata begitu sedikit sumbangan kita untuk agama ini berbanding dengan orang-orang dahulu yang menghabiskan masa, tenaga, harta bahkan jiwa mereka untuk agama ini. Apatah lagi tentu saja tidak ada istilah ‘percutian’ dalam kamus hidup mereka kerana mereka lebih menginginkan ‘percutian’ yang lebih bermakna dalam kehidupan yang lebih hakiki iaitu syurga yang ALLAH sediakan, maka pada mereka inilah ‘tempat percutian’ yang paling indah dan memerlukan ‘income’ yang begitu besar untuk pergi kesana. Pergorbanan yang mereka buat ini tidak pernah membuatkan mereka menyesal kerana jalan inilah yang membawa mereka untuk mencapai cita-cita mereka samaada hidup dengan penuh kemuliaan dengan Islam atau gugur sebagai syuhada’

“Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan ALLAH, lalu mereka membunuh atau terbunuh.....[At-Taubah (9:111)]

Bagaimana mungkin ketika ini kita memikirkan untuk menghabiskan percutian kita dengan penuh keselesaan, ketenangan mahupun keseronokan sedangkan umat Islam ketika ini sedang dilanda krisis akhlak, keluarga, sosial bahkan sampai kepada keruntuhan aqidah. Maka sudah sewajarnya ketika ini kita memperbaiki diri kita agar terhindar dari krisis tersebut dengan panduan Al-Quran dan As-Sunnah, disamping berusaha menyedarkan kembali sahabat-sahabat kita yang lain kerana agama ini tidak mengajar kita sekadar merasa cukup dengan baiknya diri kita tetapi membiarkan sahabat kita terus dalam kelalaian, kealpaan bahkan kesesatan. Nauzubillah....

“Hai orang yang berkemul (berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan!” [Al- Muddatstsir (74:1,2)]

Mungkin selama ini kita sudah terlalu lama bercuti sehingga ‘selimut percutian’ kita membuatkan kita, terleka dan terlena dalam ‘dakapannya’ sehingga kita terlupa apa tugas dan peranan yang patut kita lakukan di atas muka bumi ini. Maka sekaranglah masanya untuk kita sedar dan bangkit kembali memberikan nasihat dan peringatan kepada orang lain. Jangan jadikan pelajaran, pekerjaan, jawatan, komitmen lain yang kita ceburi mahupun kawasan tempat kita berada sebagai alasan untuk tidak memberikan peringatan kerana agama ini memerlukan pemuda dan pemudi yang dapat mengembalikan Izzah’ Islam agar kalimah ALLAH akan kembali tersebar dan ditinggikan di atas muka bumi yang kita duduki sekarang.


“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka ta’at kepada ALLAH dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh ALLAH; sesungguhnya ALLAH Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”[At-Taubah (9:71)]

Masih belum terlambat untuk kita berubah, berusahalah untuk menjadi insan yang sentiasa mengharapkan rahmat ALLAH melalui tarbiyah yang berterusan agar kita sentiasa istiqamah dalam jalan kebaikan, amal soleh dan perjuangan agama yang kita cintai ini. Selagi jantung masih berdenyut, darah masih mengalir dan tubuh masih bernafas perjuangan tidak akan pernah berhenti, mohonlah keampunan dari-Nya dan berkerja untuk memanfaatkan setiap percutian kita supaya dapat memenangi ‘tempat percutian’ yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah tergambar di fikiran dan tidak pernah dirasa oleh tangan. Carilah kebenaran Islam walau dimana kita berada, tetapkan pendirian kita agar hidup kita dipandu dengan cahaya Islam dan teruskan perjuangan sehingga kita melihat kejayaan Islam atau gugur dalam mempertahankan perjuagan ini.

“Dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abdurrahman Mu’adz bin Jabal ra; Rasulullah SAW bersabda, “Bertakwalah kamu kepada ALLAH di mana pun kamu berada, iringilah kesalahanmu dengan kebaikan nescaya ia dapat menghapuskannya dan pergaulilah semua manusia dengan budi pekerti yang baik.”( Hadis Riwayat Tirmidzi. Ia berkata “Hadis ini hasan. Dalam kitab lainnya dikatakan, bahawa hadis ini hasan sahih.”)[Hadits Arba’in An-Nawawiyah Hadits ke-18]

Akhirul kalam penuhilah percutian kita dengan amalan membaca Al-Quran, mendalami ilmu agama dengan menghadiri program-program tarbiyah, perbaiki akhlak dan serulah orang lain ke arah kebaikan agar kita tidak menjadi antara golongan yang rugi. Mudah-mudahan dengan hati yang ikhlas, ALLAH akan membalas segala usaha kita dengan kemenangan ke ‘tempat percutian’ yang kita idam-idamkan Wallahua’lam

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran” [Al Ashr (103:1-3)]

QURAN SUNNAH PANDUAN HIDUP, MEMBINA UMAT MEMBELA ISLAM

No comments: