Friday, February 16, 2007

WARKAH DARI SEORANG HAMBA ALLAH

Kehadapan sahabatku yang dirahmati ALLAH, mudah-mudahan dikau sudi meluangkan masa untuk membaca warkahku yang serba ringkas ini, betapa aku mengharapkan agar dikau membacanya dengan penuh teliti kerana aku ingin memberikan secebis peringatan dan berita gembira kepada dirimu yang bergelar MUSLIM. Aku sedar bahawa diri ini tidak layak untuk memberi nasihat kepadamu tetapi jiwaku merasa tidak tenang andaikata kubiarkan ia terpendam dalam lubuk hatiku. Lantaran itu besar harapanku agar dikau dapat membaca warkahku ini hingga ke akhirnya.
AlhamduLILLAH rupa-rupanya telah hampir 20 tahun diriku bergelar MUSLIM, bukankah dikau pun begitu jua, ternyata terlalu banyak nikmat yang telah kita kecapi dan betapa hidup ini begitu mudah percaturannya. Saat ini seharusnya kita bertanyakan diri kita yang masih diberikan udara untuk bernafas, nadi yang masih berdenyut apakah sumbangan yang kita telah berikan untuk agama yang diredhai ALLAH iaitu ISLAM.
Saban hari kita melihat bahawa ummat ini sedang dilanda pelbagai kerosakan dalam segenap aspek kehidupan, adakah kita belum sedar di luar sana ada manusia yang sedang leka dengan arak dan judi, sedang seronok bergurau senda dengan pasangan masing-masing, sedang khayal dengan hiburan yang melekakan, sedang sibuk berurusan dengan riba’dan rasuah, tidak kurang juga yang memperlekehkan hukum-hukum ALLAH bahkan agama ISLAM sudah gugur dari jiwa orang-orang yang dulunya bergelar MUSLIM.
Haruskah kalian membisu tanpa suara membiarkan kerosakan ini melanda ummat dan bangsa kita, andaikata sedikitpun kerosakan ini tidak menyentuh hati kalian, boleh jadi kitalah yang menyumbang kepada kerosakan ummat ini. Tetapi andaikata dikau masih mempunyai hati yang bersih maka sahutlah peluang ini untuk menyedarkan diri kita dan orang lain lalu buktikan bahawa kita adalah MUSLIM yang cintakan agama ini serta tidak sanggup membiarkan ia terus diabaikan, dihina dan direndahkan oleh sesiapapun.Bangkitlah wahai sahabatku dari lamunanmu, marilah kita sama-sama menghayati agama ini dengan mengimarahkan surau dan masjid untuk mendalami agama ISLAM yang kita yakini kebenarannya.Inilah tanggungjawab kita bersama agar ummat ini kembali ditarbiyah dengan nilai-nilai ISLAM yang sejati.
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada ALLAH.”[3:110]
Sedarkah kalian bahawa nun jauh disana ada saudara kita yang begitu mengharapkan pertolongan dari kita, betapa mereka diuji dengan berbagai ujian demi mempertahankan agama dan tanahair tercinta iaitu PALESTIN, apakah peranan yang mampu kita perbuat demi membantu mereka yang saban hari diselubungi ketakutan, kegelisahan dan kematian oleh musuh-musuh ISLAM, adakah kalian memikirkan tentang mereka??Pada kesempatan yang terbatas ini kulampirkan produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat yang menyokong musuh-musuh ISLAM, lantaran itu mudah-mudahan kita yang mengaku MUSLIM tidak membeli produk-produk mereka kerana kita bimbang setiap wang yang kita laburkan untuk membeli produk mereka akan menjadi peluru-peluru yang menembusi tubuh saudara kita di PALESTIN. Itupun jika kalian masih merasakan mereka adalah saudara yang perlu kita bantu, jika tidak aku hanya mampu menyampaikan pesanan ini maka tanyakan imanmu MUSLIM APAKAH DIRIKU INI??
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara….[49:10]

No comments: