Friday, February 16, 2007

SALAM PERTEMUAN

Ini adalah langkah pertamaku dalam menyelusuri dakwah di alam maya, boleh dikatakan ia agak asing bagiku, namun melihat sahabat-sahabat lain mula menceburi dunia baru( bukan rancangan TV3 tu) dalam dakwah ini, mudah-mudahan aku juga tidak ingin ketinggalan kerana sarana dakwah ini cukup banyak dan harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Salam pertemuan di medan dakwah maya buat sahabat-sahabatku.
Generasi Ghurabaq menjadi nama blogku kerana mungkin medan ini sedikit asing bagiku, sebelum ini hanya sekadar memberikan nasihat, teguran dan sebagainya lewat kata-kata dari mulut dan lidah yang serba kekurangan ini di surau-surau, pertemuan-pertemuan mingguan dan program-program yang aku ikuti. Ini bukanlah sebab utama aku memilih nama ini kerana aku lebih berharap agar blogku ini mampu menyumbang kepada pembinaan Generasi Ghurabaq yang bakal membangkitkan kembali semangat juang demi agama yang tercinta.
Ghurabaq yang aku maksudkan bukanlah orang yang berdagang mahupun mengasingkan diri dari dunia ini tetapi, generasi yang asing kerana tetap istiqamah berpegang dan mengamalkan ajaran Al-Quran dikala masyarakat semakin menjauhinya, generasi yang berpegang kepada Sunnah Rasulullah S.A.W. dikala masyarakat semakin mengabaikan bahkan menghina Sunnah Rasulullah S.A.W. generasi yang tetap berpegang pada janji untuk menyebarkan risalah dakwah demi mendapatkan salah satu dari dua kemenangan, melihat dakwah ini tersebar atau gugur sebagai syuhada’ dakwah.
Mudah-mudahan medan baru ini memberikan peluang kepada diriku memberikan nasihat melalui tulisan-tulisan yang jika tidak dapat memberikan kesan kepada orang lain, minima ia memberikan kesedaran dan ketenangan buat diriku sendiri agar tetap tegar memberikan peringatan demi menyahut seruan Ilahi didalam kalam-Nya yang mulia
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman” [Az-Zaariyaat 51:55]
Juga galakan dari seorang insan yang cukup istimewa dalam kamus hidupku yang bernama MUHAMMAD S.A.W.
“Dan sampaikan dariku meskipun (hanya) satu ayat”
Doakanlah agar diri ini tetap berada di jalan yang diredhai-Nya agar diri ini yang akan menjadi insan yang pertama sebagai pemuda ghurabaq, adakah kalian ingin bersama-samaku membina generasi ghurabaq?

No comments: