Tuesday, December 30, 2008

STATISTICS THAT EVERYONE SHOULD KNOW!!!


123 Israeli children have been killed by Palestinians and 1,050 Palestinian children have been killed by Israelis since September 29, 2000.










1,062 Israelis and at least 4,876 Palestinians have been killed since September 29, 2000








8,341 Israelis and 33,034 Palestinians have been injured since September 29, 2000.







During Fiscal Year 2007, the U.S. gave more than $6.8 million per day to Israel and $0.3 million per day to the Palestinians.










Israel has been targeted by at least 65 UN resolutions and the Palestinians have been targeted by none.









1 Israeli is being held prisoner by Palestinians, while 10,756 Palestinians are currently imprisoned by Israel.









0 Israeli homes have been demolished by Palestinians and 18,147 Palestinian homes have been demolished by Israel since 1967.







The Israeli unemployment rate is 7.3%, while the Palestinian unemployment is estimated at 23%.





Israel currently has 223 Jewish-only settlements and ‘outposts’ built on confiscated Palestinian land. Palestinians do not have any settlements on Israeli land








Monday, December 29, 2008

DARAH ITU MASIH TETAP MENGALIR

Tanah yang bertuah itu telah menjadi sejarah bagi para anbiya’ untuk menyebarkan risalah dakwah, tanah itu juga menjadi qiblat pertama bagi umat Muhammad, hari ini tanah itu disimbahi oleh darah-darah wangi penduduknya, dan darah itu telah lama mengalir dan masih terus mengalir saat ini.
Darah itu masih tetap mengalir demi membela tanah suci umat Islam, demi menentang sebuah kezaliman yang tidak pernah henti, demi menjatuhkan kebatilan yang menjajah tanah air mereka dan demi menegakkan keadilan dan kebenaran yang semakin hilang dari jiwa umat.
Darah itu sentiasa mengalir meninggalkan keluarga, sahabat, pekerjaan dan segala kenikmatan dunia akibat kekejaman Yahudi LaknatuLLAH, akibat keangkuhan yahudi yang selesa dengan kedudukan, akibat penindasan yang di luar batas kemanusian atas insan yang tidak bersalah.
Dan kita hanya mampu melihat darah itu mengalir menyimbah bumi, hanya mampu sedih melihat apa yang terjadi, hanya mampu marah jauh di sudut hati kerana kita tidak punya kuasa menghalangnya. Mereka yang ada kuasa seperti PBB, OIC, Liga Arab pula hanya mampu mengutuk dan mengeji perbuatan kejam Yahudi, hanya mampu mengeluarkan berpuluh-puluh resolusi di pelbagai lembaran kertas yang serba indah melalui puluhan pertemuan melewati tahun demi tahun. Namun darah suci itu masih tetap mengalir.
Terasa sudah tidak ada harapan untuk mengubah kebatilan itu kepada kebenaran, kekejaman itu kepada keadilan, kejahatan itu kepada kebaikan, ditambah dengan pandangan sinis segelintir masyarakat yang mengatakan kalau tolong pun bukan boleh ubah apa-apa pun, biar jelah dah nasib mereka macam tu, ridho jelah.
Mentaliti ini bahkan cukup tebal di hati masyarakat yang hidup hanya ‘aku dan duniaku’ semata-mata, tidak mahu memberikan sumbangan walau sedikit sebagai tanda prihatin dengan apa yang terjadi lewat masalah yang melibatkan soal umat, bangsa dan agama, lantas wajarlah jika sebahagian manusia terlalu sibuk dengan kehidupan mereka semata-mata, tidak pernah peduli apa yang terjadi di sekeliling mereka sama ada di negara sendiri mahupun negara lain kerana hidupku tidak ada kaitan dengan orang lain.
Kita tidak akan dapat merubah apa-apa jika tidak mahu memberikan sumbangan walau sedikit hanya kerana merasakan hasilnya yang tak akan ke mana-mana, tapi pernahkan kita terfikir andai ALLAH menyoal kita kelak tentang apa yang kita perbuat saat melihat kekejaman, kezaliman, kemungkaran dan penindasan yang terjadi saat kita di dunia? Bukankan sumbangan kecil kita itu bakal menjadi jawapan kita kelak dan siapa tahu sumbangan kecil itu bakal menyelamatkan kita dari azab-NYA. Tapi bagi mereka yang tidak pernah ambil peduli kezaliman yang terjadi, penindasan yang berterusan, dan kemungkaran yang berlaku maka persiapkanlah jawapan yang sesuai tatkala Hari Penghisapan kelak.
Darah itu masih tetap mengalir, mereka masih tetap memohon bantuan, mereka masih menanti tangan-tangan yang sanggup berjuang bersama mereka, mereka masih mengharap agar umat Islam bangkit membela mereka, lalu adakah cukup sekadar berdoa dan membenci dihati dengan segenap penderitaan yang dialami oleh ayah-ayah, ibu-ibu, anak-anak, adik dan abang kita seISLAM nun jauh di bumi bertuah AL-AQSA.
Mari berubah dari sekadar membenci kepada menyumbang sesuatu agar perubahan yang kita cita-citakan kelak akan tampak jalan-jalan keluarnya. Perubahan suatu yang sukar namun tidak mustahil andai kita mahu mengubahnya. Pilihan di tangan anda.
Bantulah Palestina Tercinta.
Regards,Mohd Halimi Abdul Aziz
07 Mac 2008/ 29 Safar 1429H 11:50a.m

Sunday, November 30, 2008

ZULHIJJAH & IDILADHA


Beberapa Isu & Hukum
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net



KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.


Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).


Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-


a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.


b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.


c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.


d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.


e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.


f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )


POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]


Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )


Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Justeru, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
Tidak harus juga berqorban hanya dengan mengeluarkan harganya atau daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]


Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)


KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)


Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]


DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.


MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tanpa khilaf adalah lebih baik untuk mendahulukan umat Islam dalam hal ini.


BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia adamat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.


KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya:
"tidak boleh !"
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.


APAKAH HAJI AKBAR ?
Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).


Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)


Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.
Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".


Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).
Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam
Sekian
Doha, Qatar
27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H)
Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H - Malaysia ; 7 Zulhijjah 1428 H - Saudi)
KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H )


[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas


p/s Selamat beribadah di bulan Zulhijjah, moga kita senantiasa berada dalam lindungan rahmatNya. Ameen.

Thursday, November 27, 2008

JANGAN JADI MONYET...


Pernah melihat monyet saat bergayutan di dahan-dahan pokok, dengan penuh skill yg dipelajari sejak dari kecil menjadikan ia seekor monyet yang pakar tika berada di atas pokok. Tanpa diduga angin kencang bertiup kuat mula menghampiri sang monyet yang masih leka di atas pokok, pabila sedar bahana yang bakal tiba dipegangnya pokok itu sekuat hati seolah-olah pokok dan sang monyet itu sudah bersatu, sehebat mana pun angin yang datang, ia akan tetap sehidup semati dengan pokok yang di genggamnya. Akhirnya angin pun meluru deras melintasi sang monyet dan ternyata ia selamat bersama pokok yg masih dalam genggamannya. Riuh- rendah kawasan sekitar dibuatnya setelah selamat dari bahaya yang tiba, maka ia pun terus bergayut dari satu pokok ke pokok yang lain. Setelah penat sang monyet pun berhenti pada pokok yang besar, angin sepoi-sepoi bahasa mula mendayu-dayu melintasi sang monyet yang sedang berehat, saat angin yg tenang itu melintasi sang monyet, dirasakannya begitu nyaman dan nikmat tanpa sedar tangan kecilnya melepaskan pegangannya pada pokok dan akhirnya PRAPPPP!!!!!

Sebahagian daripada cerita yang kulihat dalam cd Sang Murobbi, sebuah perumpamaan yang digambarkan oleh Almarhum Rahmat Abdullah kepada salah seorang aktivis dakwahnya pabila ditanya tentang masalah dakwah yang dihadapi. Sebuah perumpamaan yang biasa tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam. Begitulah kita saat menghadapi ujian dan cabaran yang hebat, pasti kita akan berusaha semampu mungkin untuk mengatasi cabaran dan ujian yang mendatang. Dakwah juga begitu, saat ditekan, di tentang dan dihina, nyatanya dakwah itu tetap tersebar lantaran keteguhan para pendokongnya. Memang kita biasa dengan segala kesusahan dan kepayahan saban waktu, kita akan tetap bisa menghadapinya sebaik mungkin.

Namun saat kita diuji dengan kesenangan dan kemewahan, tidak ramai yang tegar menghadapinya, kesenangan membuatkan kita mula leka dengan kebendaan, mula lemah dalam beramal, mula sibuk dengan pelbagai urusan, mula hilang nilai akhlak, mula sombong dengan personaliti, mula tertawa tanpa henti. Kesenangan dan kemewahan memang nikmat yang tidak harus ditolak mentah-mentah, cuma kita sering gagal mengawal kesenangan dan kemewahan kita hingga ia memberi kesan buruk pada tugas-tugas kita yang lain. Bahkan Rasulullah sendiri tidak pernah gusar andai umatnya berada dalam kemiskinan bukan bermaksud menidakkan umatnya kaya-raya, namun kebimbangannya ternyata pada umatnya yang dilimpahkan pelbagai kemewahan hingga terlupa bahawa dirinya masih lagi hamba pada Tuhan yang memberi segala kemewahan padanya.
“Dari 'Amr bin 'Auf Al-Anshari r.a, bahwasanya Rasulullah s.a.w mengutus Abu 'Ubaidah Ibnul Jarrah r.a. ke negeri Bahrain untuk mengambil jizyah dari penduduknya (kerana kebanyakan mereka adalah Majusi -pent). Kemudiannya dia kembali dari Bahrain dengan membawa harta. Orang-orang Anshar mendengar berita kepulanganan Abu 'Ubaidah lalu mereka bersegera menuju masjid untuk melaksanakan shalat shubuh bersama Rasulullah s.a.w . Ketika Rasulullah s.a.w. selesai shalat beliau pun berpaling menghadap ke arah mereka. Jelas kepada Rasulullah mereka sangat inginkan harta yang dibawa Abu 'Ubaidah. Maka Rasulullah s.a.w pun tersenyum ketika melihat mereka

Kemudian beliau s.a.w bersabda, "Aku menjangka kalian telah mendengar bahwa Abu 'Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu (harta) dari Bahrain." Maka mereka menjawab, "Benar, Rasulullah." Lalu beliau s.a.w. bersabda, "Bergembiralah dan harapkanlah apa-apa yang akan menyenangkan kalian. Maka demi Allah! Bukan kemiskinan yang aku khuatirkan atas kalian. Akan tetapi aku khuatir akan dibentangkan dunia di hadapan kalian sebagaimana telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian pun berlumba-lumba padanya sebagaimana mereka berlumba-lumba padanya. Kemudian dunia itu akan menghancurkan kalian sebagaimana telah menghancurkan mereka." (HR. Al-Bukhariy no.3158 dan Muslim no.2961)

Terkenang saat meniti waktu-waktu sukar demi mencari sebuah pengisian, mencari pengangkutan untuk menghadiri pengisian, menaiki komuter saban minggu demi bertemu sahabat yang bertunjangkan ukhwwah Islamiyyah, tidur di surau atau masjid yang berkarpet, bertemankan nyanyian nyaring sang nyamuk diselangi gigitan-gigitan sayang meminta derma sedikit darah di hening malam, bangkit bertahajud di hening subuh, subuh berjemaah dan makan percuma secara berjemaah jua. Semua itu penuh dengan kesulitan dan kepenatan, namun ia tetap indah dan kekal menjadi memori yang tak kan dilupakan. Itulah kenangan di saat kekurangan serba serbi, tapi penuh dengan kekayaan sebuah pengalaman indah.

Begitu saat diberikan sedikit kesenangan, mempunyai kenderaan sendiri, mudah bergerak kemana-mana, mempunyai rumah yang selesa, mampu menyediakan makanan ala kadar, mendengar pengisian tidak perlu lagi bersusah seperti dulu, zaman dah berubah dunia dah maju katanya. Ternyata keselesaan itu menyebabkan kurangnya pengalaman dan pengorbanan, keindahan dirasakan semakin hilang, amal secara berjemaah juga kian lesu tampaknya. Apakah ini bahana sebuah keselesaan dan kemudahan yang kita miliki, adakah harus membuang segala dan kembali seperti waktu-waktu sukar kita? Pastinya tidak kerana setiap marhalah itu ada masalah yang tersendiri, cuma kitalah yang mencorakkannya, sebagaimana nasihat Sang Murobbi “..yang penting kesungguhan antum, keikhlasan antum..”. Sikap kita yang seharusnya kita perhatikan, apakah keselesaaan dan kesenangan yang kita miliki, turut sama mengubah kesungguhan dan keikhlasan kita?

Semoga keselesaan itu tidak mengalpakan kita, tidak membuatkan kita banyak ketawa dan sukarnya menangis melihat usaha dakwah kita, tidak menjadikan kita angkuh dan sombong dengan hasil yang sudah kita miliki, tidak mengabaikan tanggungjawab kita pada-Nya dan pada hamba-Nya.

Jadi kesimpulannya JANGAN JADI MONYET###( Teori Darwin??)

p/s – Dijemput hadir kepada sesiapa yang berkelapangan pada acara pemutaran dan bedah filem Sang Murobbi pada 30 November 2008 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
http://sang-murabbi.blogspot.com

Mohd Halimi Abdul Aziz
29 Zulkaedah 1429H, 11:00pm


Tuesday, November 18, 2008

KENANGAN BERSAMA KANG ABIK


Jika setiap pena itu menulis sesuatu yang dapat memberi kebaikan pada insan lain dan insan itu pula menyebarkan apa yang ditulis itu, bukankah ia adalah ladang pahala yang luas buat diri yang menulis. Sebahagian kata-kata yang disampaikan oleh Habiburrahman El-Shirazy atau Kang Abik semasa bengkel penulisan yang lalu.

Saat pertama kali bertemu dengannya, kurasakan beliau adalah sosok peribadi yang biasa kerana mempunyai pancaindera dan anggota badan yang juga kumiliki, namun di sebalik sejarah hidupnya pastinya jauh berbeza berbanding diriku, terlalu banyak amal yang telah beliau taburkan khususnya melalui medan penulisan. Walau tampak keletihan di raut wajahnya setelah sampai di KLIA dari Kairo dan langsung terus ke UM mengisi acara di sana. Menjelang 2 pagi barulah tiba di hotel penginapan tempat berlangsungnya acara bengkel di Residence Hotel Uniten.

Keesokannya acara bengkel bermula tepat jam 9 pagi, dan ketika ku ingin menyambut Kang Abik di biliknya, ternyata beliau tidur seketika setelah menyiapkan beberapa nota kecil untuk disampaikan nanti. Beliau bingkas bangun dan langsung terus mengikutiku ke tempat acara, saat itu beliau memang sudah bersiap dengan pakaian dan songkok di kepalanya.

Bengkel dirasmikan oleh ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar yang sudi hadir buat seketika, serta ucapan-ucapan dari wakil Akarbina Training, wakil Forum Lingkar Pena Indonesia sebelum kami berehat untuk makan pagi.

Semasa makan pagi, Kang Abik kembali ke biliknya untuk menyiapkan semula nota-nota untuk bengkel kali ini, ku merasa kagum pada kesungguhan Kang Abik bahkan ketika bengkel sudah dimulai, segala raut wajah yang memenatkan tadi bertukar menjadi semangat yang luar biasa, serta keceriaan membentangkan bahan-bahan bengkel membuatkan kami tertawa ditambah lagi dengan bahasa Indonesia yang kadangkala mengambil masa untuk difahami.

Bengkel berjalan dengan baik, banyak soalan-soalan diajukan setelah setiap bahan dibentangkan, diri ini juga tidak ketinggalan mencatat beberapa perkara tentang penulisan. Antara tajuk-tajuk yang dibentangkan “Menyalakan Inspirasi Di Ujung Pena”, “ “Menulis Novel Best Seller” dan “Modal Menjadi Penulis Best Seller".

Tepat jam 6.30 petang acara bengkel penulisan pun berakhir dan kesemua peserta mengambil peluang untuk beramah mesra dan bergambar dengan Kang Abik, sebuah pengalaman yang pasti tidak akan dilupakan oleh setiap peserta begitu juga diriku. Apatah lagi bertemu dengan seorang penulis yang telah terkenal dengan bukunya Ayat-Ayat Cinta, namun saat ditanya apakah perasaannya menjadi penulis sebuah buku best seller, yang sering dinantikan orang akan kehadirannya, jawabnya cukup mudah “biasa-biasa saja..”

Itulah sosok peribadi biasa tetapi mempunyai amal yang luar biasa, segala yang dimiliki tidak pernah membuat diri merasa gah apatah lagi sombong, berbicara dengannya tidak terasa janggal atau sulit untuk mengungkapkan kata-kata. Ku teringat akan nasihat lewat tayangan Sang Murobbi, jadilah kamu seperti bintang-bintang di langit yang bisa dilihat di permukaan air, sedangkan hakikatnya ia tinggi dan indah, jangan kamu menjadi seperti asap yang bisa dilihat di atas sedangkan ia hina di bawah. Saat diri sudah mengecap nikmat dari ALLAH jangan pernah lupa untuk tunduk sebagai hamba-Nya agar tidak dihina oleh ALLAH lantaran merasa diri sudah hebat segalanya. Ternyata itulah sedikit pengajaran tidak langsung yang kulihat dari perilaku seorang penulis bernama Habiburrahman El-Shirazy. Maka ayuh kita menulis sebagai ladang pahala untuk diri dan umat.

"Teruskan istiqamah di jalan dakwah" pesanan Kang Abik lewat buku yang ditanda tangannya. Harap kalian tahu yang mana satu Kang Abik

p/s JazakalLLAH khairan kathiran kepada semua Urusetia Bengkel Interaktif Penulisan Novel Islami tanggal 16 November 2008- Residence Hotel Uniten

Mohd Halimi Abdul Aziz
Ex-Event Manager
Bengkel Interaktif Penulisan Novel Islami
Bersama Kang Abik

21 Zulkaedah 1429H 11.33am

Thursday, November 13, 2008

MENANTI KEHADIRAN SEORANG NOVELIS

Habiburrahman El-Shirazy adalah seorang novelis yang dikenali buat mereka yang meminati novel-novel tulisannya. Bagi mereka yang melihat filem Ayat-ayat cinta seharusnya tahu ia adalah adaptasi dari sebuah novel yang ditulis oleh Habiburrahman atau juga dikenali dengan Kang Abik.

Esok Insya ALLAH adalah harinya diri ini bakal bertemu dengan sang novelis ini, sesuatu yang tidak pernah ku sangka mendapat peluang bertemu dengannya. Hadirnya dari Kairo ke Malaysia hanya sebentar kerana saat ini sedang sibuk membantu pembikinan filem dari bukunya Ketika Cinta Bertasbih. Mudah-mudahan kehadirannya yang sementara ini dapat meninggalkan sesuatu yang bermakna buatku.

Aku bukanlah orang yang bercita-cita ingin menjadi novelis, sekadar menulis artikel-artikel biasa saja, namun demikian terlibat menganjurkan Bengkel Penulisan Novel Islami yang akan disampaikan oleh Kang Abik, menjadi ruang untuk bertemu dengannya.
Sebelum ini hanya sekadar melihat wajahnya di internet dan membaca buku-buku tulisannya bermula dengan Ayat-ayat cinta, Pudarnya cinta Cleopatra, Dalam Mihrab Cinta dan akhirnya Ketika Cinta Bertasbih siri 1 dan 2. Semuanya dihabiskan dalam masa sehari dan kalau lama pun dua hari, mungkin kurang penghayatan jika dibaca terlalu cepat, tetapi diri ini tetap mengukir senyuman serta mengundang sedih saat membacanya, seolah-olah apa yang diceritakan sedang berlaku di depan mata. Segala nasihat disampaikan dalam sebuah cerita kehidupan, apatah lagi dengan tema cinta yang cukup luas pengertiannya. Tulisan itu menjadi medan dakwah yang cukup hebat dan harapnya bengkel yang bakal dibuat nanti mampu menghasilkan mereka yang bukan sahaja mampu menulis dengan baik bahkan menjadi sebahagian dari pendakwah yang mewarnai masyarakat.

Semoga pertemuan nanti menjadi medan untuk ku mencari spirit yang hilang dalam diri, sedikit terubat setelah melihat cerita Sang Murobbi, dan kali ini bertemu dengan sosok peribadi yang pastinya terkena tempias Sang Murobbi yang benar-benar mampu mendidik para pelajarnya menjadi insan biasa yang luar biasa sumbangannya kepada ummat.

Mohon doa kalian agar segalanya berjalan lancar dan akan ku coretkan kelak pengalaman bersama dengannya lewat tulisan biasaku di blog ini, sebagai satu perkongsian yang diharapkan dapat memberi seribu satu kenangan yang tak kan pudar sinarnya pabila cinta dan dakwah berpadu. Amiin


Mohd Halimi Abdul Aziz
Event Manager
Akarbina Training and Consultancy
Bengkel Penulisan Novel Islami
Bersama Habiburrahman El-Shirazy
16 November 2008

GENERASI HARAPAN

Di mana dicari pemuda Kahfi
Terasing demi kebenaran hakiki
Di mana jiwa pasukan Badar berani
Menoreh nama mulia perkasa abadi


Ummat melolong di gelap kelam
Tiada pelita penyinar terang
Penunjuk jalan kini membungkam
Lalu kapankah fajar kan datang


Mengapa kau patahkan pedangmu
Hingga musuh mampu membobol bentengmu
Menjarah menindas dan menyiksa
Dan kita hanya diam sekadar terpana


Bangkitkan negeri lahirkan generasi
Pemuda harapan tumbangkan kezaliman
Wajah dunia Islam kini memburam
Cerahkan dengan darahmu
Panji Islam telah lama terkulai
Menanti bangkit kepalmu

(IZZATUL ISLAM-KEMBALI…!)


p/s JazakaLLAH khairan kathiran kepada semua fasilitator Program Pemuda Kahfi SAS
baru-baru ini. Kehadiran kalian benar-benar ku nantikan, semoga ALLAH
permudahkan urusan kalian dan kukuhkan ikatan ukhwah kita agar bertemu tidak
jemu berpisah tidak gelisah.

p/s Tahniah kepada Akhi Hanafi atas kelahiran si mujahid kecil dan comel Aish Naufal,
kehadiranmu memberi sinar bahagia. Semoga menjadi generasi
harapan buat ummat ini.

Monday, November 3, 2008

SETAPAK KU MELANGKAH



Masa kian berlalu
Meninggalkan kenangan lalu
Bertemu sinar baru
Membuat jiwaku terharu

Sukarnya mencari sahabat
Menempuh suka duka bersama
Kini ku temui
Mereka yang kucari

Namun ku sering sendiri
Merenung nasib diri
Hati kian resah
Mata kian basah

Hanya sekelumit kalimahNya
Yang ku hafal
Hanya seketika sabda Nabi-Nya
Yang ku ingat

Waktu terus berjalan
Ku masih begini
Sukarnya ingin mengubah
Tabiat diri yang dulu

Ku telusuri jalan itu
Sekadar yang ku mampu
Ku ingin mencari
Apa ertinya hidup ini

Setelah bertahun ku bersama
Baru kini ku sedari
Hanya setapak ku melangkah
Menuju jalan kepada-Nya

(MOHD HALIMI ABDUL AZIZ)
O6 ZULKAEDAH 1429H


MENUJU GERBANG PERNIKAHAN



Menjelangnya cuti sekolah yang bakal tiba, pastinya kita akan menerima beberapa sampul surat berisi kad undangan perkahwinan, berisi kata-kata indah, nasihat-nasihat bagi mereka yang menatapnya, wangian yang harum semerbak tika membukanya. Tatkala melihat sang mempelai yang bakal menjejak alam yang baru, kelihatan berseri-seri di wajahnya sebagai tanda bakal meniti hari yang bahagia.

Sebelum tibanya saat pernikahan, sudah tentu pelbagai persediaan harus disiapkan, dan pastinya banyak perkara harus diperhatikan agar segala-galanya berjalan dengan lancar. Tahniah buat mereka yang telah menuju gerbang pernikahan masing-masing mahupun yang sedang menanti hari yang bertuah itu tiba.

Bagi mereka yang tampaknya belum pasti waktu dan ketikanya saat-saat indah itu kan tiba, pasti ada faktor- faktor yang mengekang diri menamatkan zaman bujang masing-masing. Jika dilihat masyarakat sekarang yang ramai antaranya boleh dikategorikan muda belia, masing-masing sudah mempunyai pilihan pasangan masing-masing, sudah bersama beberapa tahun, sudah mengikat janji setia, sudah merancang pelbagai perkara sebelum dan selepas nikah, namun ternyata masih ramai yang belum dapat menuju gerbang pernikahan yang didambakan.

Ia bukan hanya masalah jodoh dan takdir semata-mata, tapi juga masalah kemampuan dan kematangan. Jodoh dan takdir memang tidak dapat dinafikan terutama bagi mereka yang tidak pernah ada pasangan mahupun ingin mencari pasangan hidup sendiri, segalanya diserahkan kepada mereka yang lebih arif untuk memilih siapakah pasangan yang sesuai menjadi penyeri kehidupan, hanya tawakal pada Ilahi mengharap yang terbaik buat diri sendiri.

Mereka yang telah mempunyai pasangan juga yakin pada jodoh dan takdir, jika terjadi pertelingkahan semasa perhubungan di alam tanpa ijab dan qabul, maka perpisahan menjadi jalan keluar tanda tiada jodoh buat mereka lalu mula mencari insan lain yang sudi menemankan diri lalu takdir menemukan dengan pasangan yang baru, sekali lagi di alam tanpa ijab dan qabul, hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun…

Pernikahan sesuatu yang sukar untuk diterjemahkan dalam perhubungan sesama insan lantaran faktor kemampuan dan kematangan yang belum memenuhi kriteria yang ditetapkan sama ada dari pihak lelaki mahupun perempuan. Kematangan dalam erti kata sanggup memikul tanggungjawab untuk memenuhi jawatan baru di alam rumahtangga kadangkala membuatkan sebahagian mereka yang telah lama bersama merasa belum puas menikmati alam muda mudi mereka, walau hakikatnya tampak seperti sudah bernikah sesama pasangan masing-masing. Kurangnya keyakinan dalam diri untuk membentuk sebuah keluarga yang baru lantaran banyak ilmu-ilmu rumah tangga yang belum difahami ditambah dengan keseronokan berpasangan tanpa sebuah ikatan yang jelas, menjadikan hubungan itu boleh berakhir pada bila-bila masa walau di mana pun berada. Apatah lagi jika hubungan itu sudah hilang serinya lantaran sudah bertahun bersama, maka hancurlah hati buat mereka yang benar-benar mengharapkan hubungan yang dijalin menuju gerbang pernikahan, tapi ternyata ia hanya berakhir begitu sahaja dan lebih trauma lagi andaikata nasi sudah menjadi bubur.

Kemampuan juga menjadi faktor besar yang menghalang pernikahan menjadi suatu realiti, lihat saja persiapan pernikahan dewasa ini, dengan gelaran “Raja Sehari”, maka segala perlengkapan juga harus berstatus Diraja lengkap dengan segala protokolnya. Maka menjadi kebinggungan buat mereka yang ingin mengikat hubungan dengan cara yang halal, namun melihat harga pernikahan yang harus dilaburkan, membuat diri sentiasa mencongak-congak saban waktu bilakah saatnya nilai yang diperuntukkan untuk pernikahan akan berjaya dikumpul. Belum lagi dikira taraf pendidikan pasangan masing-masing, jenis pekerjaan yang sedang dilakukan, jawatan yang disandang, status pekerjaan, nilai gaji tahunan, tempat bermastautin, taraf keluarga, dan bla bla bla…

Demikianlah kemampuan untuk bernikah menjadi persoalan yang cukup sukar dijawab, segala-galanya masih belum pasti, hanya yang pasti walau ekonomi dunia baru-baru ini jatuh merudum hingga syarikat-syarikat besar menerima musibah yang teruk, namun pasaran saham pernikahan tidak terjejas, bahkan terus ditutup kukuh selama ini. Jika berubah pun hanya beberapa peratus mungkin, syarikat-syarikat yang menaja pernikahan cukup bertuah kerana melabur dalam bidang pernikahan, lantaran setiap tahun pasti adanya permintaan. Tidak mustahil pasaran saham pernikahan akan terus mengembang dan nilainya pun semakin tinggi.

Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada mereka yang menilai kemampuan dengan berapa banyak yang kamu mampu untuk sebuah pernikahan, agar menjadi murah dan mudah. Bukanlah kita ingin nilai sebuah pernikahan itu menjadi terlalu murah hingga tidak perlu dibayar apa-apa, cuma biarlah nilai sebuah pernikahan itu tidak akan menjadi bebanan setelah alam rumah tangga berjalan, bimbang terpaksa berhutang ke sana sini demi melihat pernikahan itu kelihatan megah dan mewah.

Bukanlah pernikahan itu sekadar sehari dua, bukan juga pernikahan untuk dua insan semata, tapi dua keluarga adanya, bahkan setelah pernikahan bukan hanya cerita indah yang kita ungkapkan, tapi juga ada ujian dan tanggungjawab. Kita inginkan pernikahan yang barakah, barakahnya bukan hanya buat pasangan yang bernikah mahupun keluarga yang bertambah namun juga buat generasi akan datang.

Menuju gerbang pernikahan satu keharusan buat mereka yang bersedia ke arahnya, buat mereka yang belum mudah-mudahan kita mempersiapkan diri kita kerana hakikatnya kita masih lagi belajar dan mengajar apa ertinya hidup ini. Moga ALLAH permudahkan urusan kita, teguhkan pendirian kita, kukuhkan persaudaraan kita. Senangnya berbicara lewat tulisan di alam maya tidak semudah merealisasikannya di alam sebenar. Moga kalian akan menuju gerbang pernikahan yang penuh dengan kesyukuran dan barakah dari-Nya.Amiin.

“Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”[ An Nuur 24:32]

p/s – berdebar menanti temuduga yang semakin hampir, mohon doanya....
Mohd Halimi Abdul Aziz
06 Zulkaedah 1429H 11.53a.m

Thursday, October 9, 2008

SEBARAN


Maaf, poster tidak berapa jelas.
untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi alamat penganjur di bawah:

Akar Bina Training & Consultancy
No. 7, Jalan Seri Putra 3/11, Bandar Seri Putra,
43000, Kajang, Selangor.
Tel/Fax : +603-89221875 (Pn. Masripah)

Tuesday, October 7, 2008

BIOMALAYSIA 2008




Saturday, September 27, 2008

SALAM LEBARAN


Idul Fitri kembali lagi setelah sebulan kita berpuasa, inilah salah satu hari yang diharamkan untuk berpuasa padanya, kerana ia adalah hari kemenangan, hari kejayaan dan juga hari kembali kepada fitrah yang asal. Sebulan berpuasa seharusnya mendidik kita untuk menjadi insan bertaqwa dan hari ini adalah untuk meraikan kejayaan mengharungi ujian Ilahi lewat perintah puasa yang bukan sedakar menahan lapar dan dahaga tetapi juga syahwat-syahwat yang sering menguasai diri sebelum ramadhan. Juga sebagai bekalan menghadapi 11 bulan yang mendatang dengan ibadah-ibadah yang telah biasa dilakukan semasa bulan ramadhan yang lalu. Bekalan sebulan itu sepatutnya cukup untuk membentengi diri dari melanggar perintah-Nya dan istiqamah dengan kebenaran dari-Nya. Malang andainya bulan ramadhan yang lalu tidak membuahkan apa-apa perubahan pada diri, lebih malang jika setelah ramadhan ibadah, akhlak dan perilaku kita semakin teruk berbanding sebelum ramadhan. Menjadi tanda kita tidak termasuk dalam generasi taqwa yang ingin dihasilkan semasa ramadhan yang lalu.

Fitrah insani itu sewajarnya menginsafi dan mengetahui siapa dirinya, serta tahu apa tanggungjawab yang dipikulnya dalam menghadapi bulan-bulan seterusnya. Cuma saat melafazkan ataupun mendengar takbir raya berkumandang, perasaan kita semakin sayu dan sedih, boleh jadi kerana lenggok irama takbir raya di Malaysia yang mendayu-dayu itu sedikit sebanyak mengundang rasa sebak di hati, lebih-lebih lagi bagi yang tidak dapat balik beraya, berada jauh dari keluarga, terkenang insan yang telah menghadap Ilahi, terjadi kecelakaan dan pelbagai lagi alasan yang membuatkan airmata mengalir bila mendengar takbir raya, walhal saat ramadhan dulu begitu sukar untuk mengalir walau setitis airmata.

Sedangkan tasbih, tahmid dan takbir yang kita sebutkan itu adalah laungan kemenangan, lanugan kebangkitan, laungan kebebasan dari kehinaan tanpa Islam kepada kebanggan dengan Islam. Idul Fitri yang disambut menjadi titik tolak kepada perubahan diri yang lebih baik tahap kefahaman agamanya, lebih banyak tahap ibadahnya, lebih sopan tutur bicaranya, lebih sempurna akhlaknya. Inilah generasi takwa yang diharapkan agar menjadi pejuang agama-Nya untuk kembali mendidik umat setelah mendapat tarbiyah ramadhan selama sebulan, menaikkan kembali semangat pejuang agama-Nya untuk kembali membangkitkan jiwa-jiwa yang masih tidur walau mereka juga menempuh bulan ramadhan yang lalu.

Ceriakan dirimu pada hari kemenangan ini, ukirkan senyuman yang paling manis yang mampu dikau berikan pada saudaramu, serta ucapkanlah semoga ALLAH menerima segala amal-amal kita semasa ramadhan yang lalu. Hubungkan silatulrahmi dengan saudara-maramu agar ukhwah dengan mereka kembali bertaut, kerana mereka juga adalah mad’u-mad’u kita yang sewajarnya kita berikan perhatian kerana dakwah itu adalah juga pada saudara yang terdekat dengan kita.

Semoga Idul fitri ini juga mengajar kita erti pengorbanan pada mereka yang telah bekerja kerana terpaksa menyediakan beberapa sampul duit raya untuk anak-anak kecil yang lebih lebar senyumannya menanti dihulurkan duit raya sebanyak yang boleh. Walau bukan suatu amalan yang seharusnya dibiasakan dalam masyarakat kita, tetapi bukankah rezeki yang kita dapat adalah dari-Nya, maka segala harta yang kita miliki di dalamnya ada hak orang lain. Mudah-mudahan duit-duit raya yang kita berikan itu sebagai tanda syukur kepada-Nya, dan moga ALLAH akan memberikan rezeki yang lebih baik kelak, boleh jadi apa sahaja. Ku ucapkan Selamat Rari Raya Idul Fitri kepada mereka yang mengenaliku dan kudoakan agar ALLAH menerima segala ibadah dan amal soleh kita lewat ramadhan yang lalu serta kekalkan kita dalam agama-Nya. Ku mohon maaf jika ada tersalah dan terkhilaf dalam berbicara lewat lisan mahupun tulisan kepada sahabat dan sahabiah yang pernah mendengar atau membaca apa-apa yang kusampaikan. Semoga kita senantiasa dalam ridha-Nya di dunia dan juga di akhirat kelak.

Mohd Halimi Abdul Aziz
28 Ramadhan 1429H, 12:00p.m.

BILAKAH MALAM ITU KAN TIBA

Seringkali kedengaran bacaan surah Al Qadr di penghujung ramadhan yang dibacakan oleh para imam solat terawih bagi mengingatkan para jemaahnya akan kedatangan malam yang dijanjikan Tuhan. Seringkali juga dapat dilihat di penghujung ramadhan bilangan jemaah yang memenuhi surau dan masjid semakin mengecil dan susut ‘rating’nya, berbeza saat melihat jemaah yang memenuhi pusat beli-belah di mana-mana, kelihatan sentiasa penuh dan di’imarah’kan sebaik-baiknya bermula awal ramadhan dan semakin kerap kunjungannya bila ramadhan semakin berakhir.Adakah kerana tarikan ke pusat beli-belah itu lebih mantap diselangi lagu-lagu yang menusuk kalbu dan mengimbau nostalgia lama dengan lagu-lagu raya yang memenuhi segenap ruang yang ada, sedangkan di surau dan masjid hanya dialunkan selawat yang tidak pernah berubah gaya lagunya serta seragam liriknya. Walhal fasa terakhir inilah seharusnya digandakan usaha dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah kepada-Nya. Sesungguhnya manusia itu diberikan sifat lupa pada dirinya, menyebabkan kita selalu terlupa apa yang paling penting dalam kehidupan ini, kesukaran untuk menentukan apa yang sepatutnya didahulukan dalam hidup ini juga menjadi penghalang terbesar untuk melihat umat ini bangkit dari lenanya yang panjang

Bagaimana caranya mahu mengembalikan semangat beragama dalam masyarakat kita, kerana saban tahun ramadhan hadir, masih ramai yang zahirnya hanya berubah saat ramadhan tiba dan pabila tamatnya musim ramadhan, tabiat lama kembali merosakkan diri untuk bulan-bulan seterusnya. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk meneruskan kebaikan yang telah bersemai dalam jiwa umat saat tarbiyah ramadhan mendidik umat ini.

Kalimah ‘mudah-mudahan kamu bertakwa’ di penghujung ayat 183 surah al-baqarah harus menjadi petunjuk buat kita bahawa ramadhan ini bakal mendidik umat ini menjadi generasi takwa ataupun didikan ramadhan ini tidak memberikan apa-apa manfaat buat mereka yang tidak merasa ingin menjadi generasi takwa sebagai tujuan utama dalam ibadah puasa kita. Takwa yang bakal memandu kita mengharungi 11 bulan mendatang pastinya bukan sahaja untuk istiqamah dalam beribadah bahkan lebih lagi dengan menjaga diri dari melakukan perkara yang ALLAH larang dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu dengan mengambil kira pandangan agama dalam setiap aspek perbuatan dan percakapan kita, persis seperti kita sedang berjalan di atas jalan yang berduri. Inilah makna takwa yang digambarkan oleh seorang sahabat Nabi kepada Umar.

Bilakah saatnya malam Al-Qadr itu akan tiba tidak perlu kita sibukkan dengan pelbagai perbahasan walau bukanlah sesuatu yang salah jika kita membicarakannya, cuma bimbang kesannya dalam beribadah hanya sekadar untuk malam itu semata-mata. Apatah lagi jika sudah berpuas hati setelah berqiamullai malamnya, pabila siangnya tiba lalu mengatakan bahawa semalam adalah malam Al-Qadr kerana tanda-tandanya cukup jelas berpandukan beberapa pandangan tentang tanda-tanda malam Al-Qadr.

Ikhlaskan diri kita dalam beribadah kepada-Nya, berdoalah dengan penuh keyakinan agar Dia mengampunkan kita di bulan ramadhan yang masih berbaki ini, ada hikmah yang besar ALLAH tidak menyatakan waktu yang tepat bilakah malam al-Qadr itu kan tiba. Pokoknya relakah kita memaksa diri mengorbankan masa tidur kita untuk bangkit menyembahnya saat manusia lain yang tidak menghiraukan kedatangan malam yang indah di bulan ini lena dengan mimpi-mimpinya yang tidak pernah berakhir. Kuatkanlah semangatmu untuk mengisi malam-malam terakhir ini dengan sujud kepada-Nya dan pasti akan lebih bermakna jika kita mampu mengalirkan walau setitis air mata keinsafan di malam yang istimewa ini kerana mengingatkan segala dosa-dosa yang sering membayangi kita.

Lailatul-Qadr
Malam yang sejahtera,
Menjadi rebutan insan bertaqwa,
Mengharap dosa kan terampun,
Agar kekal dalam kebenaran,
Buat bekalan bulan mendatang.

Tibalah saat kembali pergi,
Sinar fajar mula memancar,
Berlalulah malam dambaan umat,
Menangisi pemergian yang pasti,
Bertemu kembali hanya Tuhan yang tahu.

Ayuh wahai teman sekalian kita penuhi malam-malam kita dengan kenangan indah bersama-Nya. Airmata itu kan pasti mengalir seandainya kita tahu ini adalah ramadhan kita yang terakhir untuk mengucap kata taubat pada-Nya.


“Dan orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal saleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya”[Al Furqan 25:71]

“Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka karena Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar.”[An Nisaa 4:146]


Mohd Halimi Abdul Aziz
28 Ramadhan 1429H, 11:15a.m

Sunday, September 21, 2008

SYUKUR PADAMU YA ALLAH

Ramadhan telah memasuki fasanya yang terakhir, fasa yang dipenuhi keberkahan dan kemulian jika benar-benar dimanfaatkan sebaiknya bagi mereka yang benar-benar ingin menggengam nilai keampunan dan ketaqwaan dari-Nya pada kesempatan yang masih ada saat ini.

Malam yang indah itu kembali lagi bagi umat ini, tiada siapa yang mengetahui bilakah malam yang lebih baik dari seribu bulan itu, tapi yang pasti ia berada pada fasa-fasa terakhir ini. Marilah kita rebut peluang keemasan yang masih ada ini untuk mencari ketenangan malam yang indah itu dengan beribadah kepada-Nya, jangan biarkan malam itu berlalu sahaja tanpa dirasakan kehangatannya, lantaran kelekaan kita untuk menyambut hari lebaran yang bakal tiba. Malam itu belum tentu dapat kita kecapi setelah tahun ini, kerana siapa tahu inilah ramadhan kita yang terakhir. Ayuh, kita meriahkan malam-malam ramadhan ini dengan bersujud kepada-Nya, menangisi segala dosa dan noda kita, menginsafi segala kesilapan yang lalu, memohon keampunan-Nya dan mengharap dikekalkan dalam hidayah-Nya bagi bulan-bulan yang mendatang.

Diri ini juga berharap agar ramadhan kali ini tidak seperti ramadhan yang lalu, ingin rasanya merasai kenikmatan malam-malam ramadhan yang masih tinggal ini dengan sebaiknya, walau diri masih belum merasai apa-apa perubahan yang ketara, ditambah dengan kegusaran yang melanda fikiran saban hari, walau luaran tampak biasa dan masih mampu mengukir senyuman namun derita diri siapa yang tahu melainkan Tuhan yang Satu bak kata sahabatku. Namun saat merasakan semangat sudah semakin pudar dari diri, ternyata ALLAH mempertemukan diri ini dengan seorang yang benar-benar membuatkan diri ini tersentuh dan sedikit sebanyak menaikkan kembali semangat hidupku.

Setelah menunaikan solat terawih, lalu membaca beberapa kalimah-Nya di salah satu sudut di dalam masjid, bersama angin kipas yang berpusing laju, kemudian ditegur seseorang yang ku kenal rupanya, tapi sudah terlupa namanya. Dia adalah seniorku saat tinggal di kolej kedua tiga tahun lepas, kami berbual-bual sambil mengenang kembali mereka yang pernah tinggal di kolej kedua serta kenangan-kenangan di situ. Dia bukanlah senior yang kukenali secara dekat, cuma saat di kolej dulu boleh dikategorikan sebagai mereka yang “huha-huha”. Setelah beberapa ketika berbicara, dia mula menyebut beberapa ayat Al-Quran yang kebetulan saat itu sedang memegang terjemahan Al-Quran, hingga membuatkan ku tergamam seketika, namun buat muka selamba sambil mengiakan apa yang disampaikannya. Saat itu kurasakan dia bukan lagi seperti dulu, ada perbezaan dan perubahan telah berlaku padanya. Bicara itu terhenti kerana masing-masing ada urusan yang perlu dibuat, lalu dia meminta jika masih dapat bertemu keesokkan harinya selepas tarawih dan diri ini bersetuju untuk menemuinya lagi.

Keesokannya dia mengajak ku kedai makan, sekadar untuk minum-minum setelah kami selesai menunaikan solat terawih. Satu lagi kejutan bagi diriku, bila dia mengeluarkan terjemahan Al-Quran lalu menceritakan pelbagai kehebatan Al-Quran, sejarah kemunduran umat Islam, apa yang perlu kita buat saat ini, dan kisah-kisah dia berdakwah pada kawan-kawan sekerjanya. Bukan ku terkejut kerana dia membawa terjemahan Al-Quran tapi pada penerangan serta perubahan dirinya yang luar biasa, apatah lagi perbincangan kami di salah sebuah kedai makan, satu suasana pengisian yang jarang-jarang kudapati walau telah beberapa tahun bersama tarbiyah. Dia menceritakan segala-galanya dengan cukup baik bersama nas-nas Al-Quran yang diingatinya dan kami mentaddaburkan beberapa ayat Al-Quran diselang –seli dengan hirupan teh tarik. Semasa dia menerangkan segala yang diketahuinya, diri ini mula terkenang kembali saat berada di kolej bersama dengannya, ternyata dia tidak pernah bercerita seperti ini, dan kujuga belum pernah berbicara dengannya pasal Al-Quran, dakwah, tarbiyah dan selainnya.Rupanya dia katakan dia mendapat semua ini setelah keluar dari kolej dan mula berkerja, lalu dia mengatakan setelah itu ALLAH memberikannya jalan yang lurus seperti mana yang sering diungkapkan dalam Al-Fatihah.

Betapa hebatnya hidayah yang ALLAH berikan pada seseorang, mampu menyentuh hati-hati yang satu ketika dulu agak sukar berbicara tentang agama, tetapi sekali hidayah mula menyentuh diri, lihatlah perubahan dan keupayaan yang ALLAH berikan, maka benarlah apa yang Umar ucapkan “Kita dahulu adalah bangsa yang hina, dan Islam telah memuliakan kita, sesiapa yang mencari kemulian selain dari Islam, maka hinalah dirinya”. Itulah ungkapan yang dapat kurasakan padanya, petahnya dalam berbicara tentang agama dan masalah yang sedang umat ini hadapi, di samping taddabur ayat-ayat Al-Quran yang dibacanya, benar-benar membuatku rasa gembira dan bersyukur.

Saat diri ini merasa lemah dan malas, lantas ALLAH mempertemukan dengan seorang insan yang membuatkan diri ini kembali bersemangat dan terharu serta merasakan bahawa hidayah ALLAH itu benar-benar satu anugerah yang maha hebat, diberikan-Nya pada siapa yang dikehendaki-Nya. Hati ini kembali terisi dengan pengisian-pengisiannya pada malam itu, lebih-lebih lagi dengan kesungguhanya untuk bertemu lagi demi menyampaikan apa yang diketahui padaku, semangat dakwahnya sangat menginsafkan diri ini, kerana diri ini juga kadang-kadang semakin hilang semangat dakwahnya. Harus menjadi ibrah padaku bahawa jangan sekali-kali membenci atau membiarkan mereka yang kita rasakan susah untuk dibawa bicara tentang Islam, kerana boleh jadi sekali mereka tersentuh dengan risalah-Nya, maka lihatlah kesungguhan dakwahnya, bahkan lebih hebat berbanding mereka yang telah lama ditarbiyah. Inilah salah satu buktinya.

Syukur pada-Mu ya ALLAH, mempertemukan aku dengannya, mengisi dan mengubati kesedihanku saat ini, mengembirakan hati ini dengan kalimah-Mu, memberikan seorang teman lama dengan wajah diri yang baru dan tutur kata yang sentiasa mengingatkanku pada-Mu. Ramadhan kali ini, cukup berbeza dengan sebelum ini, semoga ada hikmah yang cukup bermakna bagi dakwah ini, lewat pertemuan yang tidak pernah kufikirkan dan rancangkan ini. Sebuah pemberian yang kunantikan selama ini, moga dapat bertemu lebih ramai insan yang sepertinya.

Kuucapkan syukur padaMu
Ya ALLAH
Atas segala pemberianMu
Kudambakan cintaMu
Kuhamparkan ibadahku
Melewati malam maghfirahMu
Demi menebus segala
Dosa nodaku padaMu
Terimalah taubatku
Sebelum bertemuMu
Di alam kekal abadi
p/s- Selamat beribadah memohon ampunan-Nya di lailatul qadr dan jgn lupa bayar zakat fitrahmu. Selagi masa masih ada...

Mohd Halimi Abdul Aziz
20 Ramadhan 1429H, 02:08a.m

Saturday, September 13, 2008

BULAN MEMBERI CINTA


Ramadhan telah berada di penghujung fasa pertamanya dan kini hampir memasuki fasa kedua buat hamba-hamba-Nya. Mereka yang benar-benar menghayati ramadhan kali ini pasti tambah bersemangat meneruskan hari-hari mendatang dengan ibadah kepada-Nya demi sebuah perubahan diri yang lebih baik untuk mencapai cita-cita ketaqwaan melalui puasa yg dikerjakan. Supaya ramadhan kali ini tidak lagi sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi menahan diri dari segala yang boleh membawa kita jauh dari cinta-Nya.

Keghairahan kita mencari cinta Ilahi dengan amal yang sebanyak-banyaknya kadangkala dirasakan kosong tanpa apa-apa perubahan dalam diri, boleh menghabiskan 1 juz quran dalam sehari, qiamullai saban malam, ibadah sunat saban waktu, tetapi masih belum dapat merasakan cinta-Nya. Apatah lagi jika disusuli dengan kemaksiatan yang masih dilakukan walau ibadah sudah dikerjakan sebaiknya. Dimana salah silapnya kita dalam beramal, kenapa masih gagal meraih cinta-Nya.

Diri ini juga masih mencari jawapan yg sesuai bagi mereka yg merasakan seperti yg digambarkan, dalam kerungsingan memikirkannya tiba-tiba terkenang kembali segala ibadah yang dibuat selama ini, benarkah ingin mencari cinta-Nya atau sebenarnya meminta atau lebih tepatnya memaksa agar Tuhan memberi cinta-Nya kepada diri asbab dari segala ibadah yang telah dilakukan. Pencarian itu biasanya mengharapkan keberhasilan untuk mendapatkannya walau dengan apa cara sekalipun dan biasanya kekecewaan akan muncul jika pencarian itu tidak membawa apa-apa hasil yang diharapkan hingga kadangkala boleh memudaratkan sang pencari sendiri.

Lihatlah mereka yang meminta kepada RasuluLLAH untuk beribadat sepanjang malam tanpa tidur, berpuasa tanpa berbuka dan menolak untuk menikah serta menghabiskan bacaan quran dengan secepat yang boleh demi mencari cinta Rabb mereka, namun Rasul tidak membenarkannya lantaran bukan begitu caranya meraih cinta Ilahi. Ia hanya semangat yang hadir seketika serta melampau-lampau dalam beribadah kepada-Nya kerana kelak ia hanya menghadirkan kelesuan dan kesusahan pada yang empunya diri walau zahirnya tampak itulah sebuah amalan yang hebat untuk menggengam cinta Ilah Yang Satu.

Cinta itu sebenarnya harus diberi dan bukan dicari secara membabi buta tanpa arah dan tujuan. Tuluskah cinta yang cuba kita berikan pada-Nya saat melakukan segala ibadah untuk-Nya. Betapa ALLAH telah memberikan cinta-Nya dengan nikmat-nikmat yang tidak terkira kepada kita sedangkan kita masih belum benar-benar memberikan cinta kita pada-Nya, lalu layakkah kita untuk memiliki cinta-Nya walhal dalam hati ini terkumpul beberapa cinta-cinta lain yang menghambat hadirnya cinta-Nya.

Cinta pada kehidupan, cinta pada kedudukan, cinta kepada pekerjaan, cinta kepada pengajian dan cinta kepada insan yang belum menjadi hak sebenar buat yang empunya diri adalah sebahagian cinta yang masih melekat dalam jiwa-jiwa kita dan terlalu sukar untuk dibuang. Salahkan mencintainya, bukankah ia juga sebahagian nikmat yang ALLAH berikan pada kita semua, ya mungkin tidak salah jika cinta pada-Nya mengatasi segala cinta yang lain kerana ia bakal membatasi kecintaan kita pada selain-Nya menurut jalan yang diredhai-Nya. Ternyata realiti yang terjadi kita sering mendahulukan cinta selain-Nya mengisi kebanyakan ruang-ruang masa yang kita ada, dan di sela-sela masa yang berbaki itulah baru kita mengingati-Nya. Adakah ini cinta namanya.

Lantaran itu pencarian kita hanya membawa pada keletihan dan kemurungan kerana cinta-Nya seolah-olah tidak pernah hadir dalam kehidupan walau hakikatnya kita sendiri belum memberikan sepenuh cinta kita pada-Nya. Sepatutnya madrasah ramadhan yang tiba kali ini harus menjadi medan untuk memberi cinta kita pada-Nya bukan lagi pencarian semata-mata.

Begitulah kiranya kumelihat sebagian mereka yang bersungguh mencari cinta insani seringkali menempuh kekecewaan yang luar biasa andai cinta yang dicari terputus di persimpangan kerana merasakan sudah berbuat segala-galanya demi insan tersayang kononnya.. Perhatikan mereka yang sering berpegangan tangan ataupun menghabisi masa-masa yang ada berbual dan bermadah kata dengan pelbagai wasilah demi melahirkan dan mencari cinta sejati, namun kerana cinta yang dicari tidak dibatasi kaedah yang ALLAH tunjukkan, maka cinta yang dicari untuk hanya sekadar menjadi pemuas nafsu yang tak pernah puas dan medan untuk meluah rasa dan kekosongan serta kesepian yang melanda diri, tidak cukup sekadar itu, cinta yang tidak dibatasi cinta-Nya itu diterjemahkan dengan hilangnya maruah dan kehormatan serta kemuliaan sang pelakunya, untuk membuktikan cinta mereka. Inikah yang mereka namakan cinta.

Termasuk juga mereka yang beragama mencari-cari alasan untuk bercinta juga atas nama agama walau belum tiba saat dan ketikanya, kerana cinta itu fitrah manusiawi setiap insan maka pasti tiada siapa dapat melepasinya. Ia tetap akan hadir kadangkala tanpa dipinta dan dicari, namun kita tetap diberi pilihan untuk mengawalnya dan di sinilah peranan cinta-Nya akan bermula. Sudah berapa ramaikah yang meninggalkan jalan perjuangan hanya kerana terlalu dikuasai cinta insani ini.Timbul pertanyaan seorang sahabat yang masih di bangku sekolah, jika tidak bercinta, gaimana akan wujudnya pernikahan. Benar tanpa cinta hambarlah kehidupan suami isteri kelak. Cuma adakah benar hubungan sebelum pernikahan itu benar-benar cinta atau sekadar nafsu yang ingin mengisi ruang kesunyian dalam diri dan mungkin sekadar trial and error sesama insan demi mencari ‘chemistry’ yang berlanjutan bertahun-tahun untuk dijumpai. Lebih menyedihkan setelah menjalinkan hubungan bertahun-tahun tanpa ikatan yang sah, lantas setelah benar-benar yakin itulah pasangan sehidup semati, akhirnya perkahwinan yang dibina ternyata hanya bertahan sementara bahkan lebih pendek dari masa mereka bercinta. Betulkah ini namanya cinta.

Jadi apa solusinya bagi mereka yang benar-benar ingin menjaga diri dan agamanya daripada dicemari cinta-cinta berbaur nafsu itu, sedangkan mereka juga insan biasa yang memerlukan teman untuk mengisi kekosongan dan kesepian diri dengan kata-kata semangat dan gurau senda serta medan meluah segala derita di samping wadah meluah janji-janji manis dengan kata-kata cinta, tetapi masih belum mempunyai kemampuan untuk menikah maupun persedian menempuhi era “Aku terima nikahnya”. RasuluLLAH mengajar sahabatnya bukan hanya untuk mencintai isteri-isteri mereka tetapi jua sesama mereka para sahabat laki-laki dan juga perempuan. Bahkan ukuran iman juga diukur melalui kadar kecintaan kita pada saudara atau sahabat kita. Lantaran itu di saat masih belum tiba masa untuk memiliki insan yang bernama isteri atau suami, eratkanlah ukhwah sesama sahabat dan jadikanlah mereka tempat rujukan dan tempat luahan rasa yang pertama agar cinta sesama sesama sahabat lelaki ataupun sesama perempuan akan berkembang mekar kembali.

Kegagalan kita memahami dan mengenali sesama sahabat yang lelaki mahupun yang perempuan menyebabkan adanya ruang-ruang kelemahan sesama kita hingga mengakibatkan hilangnya rasa percaya dan cinta sesama kita, lantas segala masalah yang kita hadapi tidak lagi dikongsi sesama lelaki ataupun perempuan sahaja bahkan ‘cross linking’ mula terjadi, meluahkan segala-galanya pada insan yang berbeza jantina, lantaran merasakan rasa percaya kepadanya lebih tinggi dan ukhwah pada insan yang berbeza jantina itu terasa lebih erat berbanding saat bercerita sesama lelaki atau perempuan semata-mata. Harus menjadi muhasabah kita bersama sejauh mana ukhwah yang telah kita bina selama ini, adakah ia telah melahirkan rasa cinta dan percaya sesama kita atau sebaliknya, jika sebaliknya yang terjadi bagaimana caranya kita ingin menghadirkan kembali rasa cinta dan percaya andai kita melihat sahabat-sahabat yang lain juga tidak menunjukkan rasa cinta dan percaya kepada kita. Kesedihan yang kita rasakan tidak pernah dipedulikan oleh sahabat lain, derita yang dihadapi seolah-olah ditanggung sendirian tanpa ada sahabat yang ambil tahu. Jadi untuk apa lagi meneruskan jalan perjuangan yang ditempuhi bersama mereka jika ukhwah itu sendiri seolah-olah telah hilang dari sanubari masing-masing.

Wahai diri dan sahabatku sekalian, seperti yang kucoretkan di permulaan agar bulan ini menjadi medan untuk memberi cinta, maka nasihatku buat diri dan mereka yang cintakan agama-Nya berilah kecintaan dan kepercayaan kita terlebih dahulu kepada sahabat-sahabat kita, tidak perlu menunggu dan menanti mereka memberikannya, bukankah para sahabat Ansar berlumba-lumba ingin memberikan pertolongan kepada sahabat Muhajirin yang baru kali pertama mereka bertemu, sebuah ukhwah yang cukup luar biasa RasuluLLAH terapkan dalam jiwa sahabatnya, masing-masing ingin menjadi yang pertama dalam berbuat kebaikan seperti mana yang kalimah-Nya anjurkan. Lantas kenapa tidak kita ingin mengikuti jejak langkah mereka dalam memberikan cinta dan percaya kita pada sahabat yang pastinya sudah kita kenali sejak dulu. Mudah-mudahan diri ini dan sahabat yang lain akan mula memekarkan kembali cinta itu sesama kita. Biarlah bagaimana sekalipun layanan sahabat kita, yang penting pada kita dialah sahabat yang ingin kita berikan rasa cinta dan perhatian kita kepadanya. Jadilah mereka yang pertama memberikan cinta dan kasih kita pada insan bergelar sahabat dalam mengharungi liku-liku perjuangan kita.

Ramadhan masih menyebarkan rahmat dan keampunan Ilahi kepada kita, lalu sebaiknya kita mengenang kembali segala dosa dan noda yang pernah kita lakukan dahulu kerana jalan pulang untuk kembali ke jalan yang diredhai-Nya masih terbentang luas, jangan pernah rasa kecewa dalam memberikan rasa cinta itu dan yakinlah kelak ALLAH akan membalas cinta itu dengan sebuah ikatan hati yang tidak pernah kita gambarkan saat bersama sahabat-sahabat kita. Manusia tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan dan kekhilafan, maka maafkanlah mereka yang kadangkala gagal menunjukkan rasa cinta itu sesama kita kerana boleh jadi jauh di sudut hati merekalah orang yang benar-benar ingin menyintai saudara seagama mereka. Cintailah mereka agar kelak mereka akan menyintai kita.

Mudah-mudahan bulan kemulian kali ini mengajar kita nilai cinta yang hakiki di sisi-Nya, marilah kita memohon ditunjukkan jalan cinta-Nya, mengharapkan keampunan dengan menyintai-Nya, merenung diri lewat cinta-Nya yang telah diberikan kepada kita.

Percintaan itu bukanlah pada pencarian kepada insan, tetapi pada pemberian dari Tuhan Yang Maha Memberi.

Sudahkah dikau berikan cintamu pada-Nya…..

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”[Ali ‘Imran 3:31]


Mohd Halimi Abdul Aziz

13 Ramadhan 1429H, 11:20a.m

Monday, September 1, 2008

MADRASAH RAMADHAN KEMBALI LAGI



TEGARKAN DIRI DI JALAN-NYA
TULUSKAN HATI MEMOHON MAGHFIRAH-NYA
FASIHKAN LIDAH DENGAN KALIMAH-NYA
HIASI DIRI DENGAN AKHLAQ-NYA
MENIKMATI HARI-HARI YANG DIBERKATI
PENDUDUK LANGIT DAN BUMI
AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

Friday, August 29, 2008

MAKLUMAN

SEMINAR AHLUL SUNNAH WA AL JAMAAH GOLONGAN TAULADAN
TARIKH : 13-14 SEPTEMBER 2008
TEMPAT :DEWAN KULIAH G31(BERHAMPIRAN MASJID AL KHALID USM)
PANEL : KAPTEN HAFIZ FIRDAUS ABDULLAH
USTAZ FATHUL BARI MAT JAYA
USTAZ FADLAN MOHD OTHMAN
YURAN : PERCUMA
UNTUK PENDAFTARAN SILA HUBUNGI/SMS (NAMA PENUH,I.C NUM)
KEPADA IBN MUSTOFA - 019-5144029, ABDULLAH - 019-4782307

Thursday, August 14, 2008

HAKIKAT BULAN SYA'BAN



Allamah Habibur Rahman al-Kandahlawi


Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban sehingga kadang-kadang baginda menyambungkannya dengan puasa Ramadhan. Ada kalanya baginda berpuasa beberapa hari tanpa berbuka.





عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا


Rasulullah s.a.w. tidak pernah berpuasa lebih banyak pada mana-mana bulan seperti puasanya pada bulan Sya’ban, kadang-kadang baginda berpuasa seluruh bulan Sya’ban. Baginda bersabda: "Lakukan amalan mengikut kemampuan kamu kerana sesungguhnya Allah s.w.t. tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan baginda sering bersabda: "Amalan yang paling disukai Allah s.w.t. ialah apa yang sentiasa dilakukan oleh seseorang walaupun ianya sedikit. Apabila Rasulullah s.a.w. menunaikan satu sembahyang, baginda akan sentiasa mengerjakannya. (al-Bukhari dan Muslim)



عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ وَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَامًا فِي شَعْبَانَ


Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman daripada ‘Aishah bahawa beliau berkata: Rasulullah s.a.w. sering berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak akan berbuka dan tidak berpuasa sehingga kami mengatakan baginda tidak akan berpuasa. Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. menggenapkan sebulan puasapun melainkan puasa Ramadhan dan saya tidak pernah melihat baginda banyak berpuasa pada satu bulan lebih daripada bulan Sya’ban.



عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ إِلَّا شَعْبَانَ وَرَمَضَانَ
"Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut kecuali Sya’ban dan Ramadhan." (al-Tirmizi)



عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ إِلَّا أَنَّهُ كَانَ يَصِلُ شَعْبَانَ بِرَمَضَانَ
"Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Sya’ban dan Ramadhan cumanya baginda menyambungkan kedua-dua bulan itu." (al-Nasa`i)



عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صام لِشَهْرٍ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ لِشَعْبَانَ كَانَ يَصُومُهُ أَوْ عَامَّتَهُ
Daripada Abu Salamah daripada ‘Aishah katanya: "Rasulullah s.a.w. tidak pernah puasa mana-mana bulan lebih banyak daripada berpuasa pada bulan Sya’ban dan baginda berpuasa keseluruhannya atau kebanyakannya." (al-Nasa`i)


‘Aishah menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah berpuasa lebih banyak seperti bulan Sya’ban dan ada kalanya baginda menyambungkannya dengan puasa bulan Ramadhan. ‘Aishah juga menerangkan bahawa kebiasaan Rasulullah s.a.w. bila berpuasa sunat kelihatan seperti baginda tidak akan berbuka dan bila tidak berpuasa kelihatan tidak akan berpuasa.


Anas menceritakan bahawa tidak ada bulan yang baginda berpuasa pada keseluruhan harinya dan tidak ada bulan yang baginda tidak berpuasa sama sekali. Inilah kebiasaan baginda sebagaimana yang disebutkan beberapa orang sahabat dalam riwayat-riwayat di atas.
‘Abdullah bin Syaqiq menjelaskan bahawa beliau bertanya kepada ‘Aishah tentang puasa Rasulullah s.a.w. ‘Aishah menjawab:



كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ قَدْ أَفْطَرَ قَالَتْ وَمَا رَأَيْتُهُ صَامَ شَهْرًا كَامِلًا مُنْذُ قَدِمَ الْمَدِينَةَ إِلَّا أَنْ يَكُونَ

رَمَضَانَ

Baginda berpuasa (dengan banyaknya) sehingga kami mengatakan baginda akan terus berpuasa dan baginda tidak berpuasa sehingga kami mengatakan baginda akan terus tidak berpuasa. "Aishah berkata lagi, saya tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh sejak baginda datang berhijrah ke Madinah kecuali puasa itu Ramadhan." (Muslim dan al-Nasa`i)
Ketika menghuraikan hadis ini, Imam al-Nawawi berkata:



فِي هَذِهِ الْأَحَادِيث أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ أَلَّا يُخْلِيَ شَهْرًا مِنْ صِيَام ، وَفِيهَا : أَنَّ صَوْم النَّفْل غَيْر مُخْتَصٍّ بِزَمَانٍ مُعَيَّنٍ ، بَلْ كُلّ السَّنَة صَالِحَة لَهُ إِلَّا رَمَضَانَ وَالْعِيدَ وَالتَّشْرِيقَ .

Dalam hadis-hadis ini, disunnahkan supaya tidak ada satupun bulan yang tidak ada puasa padanya dan dalam hadis ini juga menyatakan puasa sunat itu tidak khusus dengan masa tertentu bahkan sepanjang tahun itu boleh berpuasa padanya kecuali bulan Ramadhan (kerana sudah wajib), hari raya dan hari-hari tasyriq.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيقٍ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا كُلَّهُ قَالَتْ مَا عَلِمْتُهُ صَامَ شَهْرًا كُلَّهُ إِلَّا رَمَضَانَ وَلَا أَفْطَرَهُ كُلَّهُ حَتَّى يَصُومَ مِنْهُ حَتَّى مَضَى لِسَبِيلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وفي رواية قَالَتْ وَاللَّهِ إِنْ صَامَ شَهْرًا مَعْلُومًا سِوَى رَمَضَانَ حَتَّى مَضَى لِوَجْهِهِ وَلَا أَفْطَرَهُ حَتَّى يُصِيبَ مِنْهُ


‘Abdullah bin Syaqiq berkata, saya bertanya kepada ‘Aishah, adakah Rasulullah s.a.w. berpuasa sebulan penuh. ‘Aishah menjawab, saya tidak tahu baginda berpuasa satu bulan penuh kecuali Ramadhan dan baginda tidak berada dalam keadaan tidak berpuasa melainkan ada berpuasa sebahagian daripadanya sehinggalah baginda kembali ke pangkuan Ilahi. Dalam riwayat yang lain disebutkan, ‘Aishah berkata: "Demi Allah baginda tidak berpuasa pada bulan tertentu selain Ramadhan sehingga baginda menemui Allah dan tidak berada dalam keadaan tidak berpuasa kecuali berpuasa pada sebahagian harinya." (Muslim dan al-Nasa`i)

‘Abdullah bin ‘Abbas menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah berpuasa satu bulan berturut-turut sejak tiba di Madinah selain dari Ramadhan dan pada kebiasaannya apabila baginda berpuasa, baginda berada dalam keadaan berterusan berpuasa sehingga ada orang berkata, demi Allah baginda tidak berbuka dan apabila baginda tidak berpuasa, baginda terus berada dalam keadaan tidak berpuasa sehingga ada orang mengatakan demi Allah baginda tidak akan berpuasa. (al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa`i)

Anas bin Malik pula menjelaskan bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ مِنْ الشَّهْرِ حَتَّى نَظُنَّ أَنْ لَا يَصُومَ مِنْهُ وَيَصُومُ حَتَّى نَظُنَّ أَنْ لَا يُفْطِرَ مِنْهُ شَيْئًا وَكَانَ لَا تَشَاءُ أَنْ تَرَاهُ مِنْ اللَّيْلِ مُصَلِّيًا إِلَّا رَأَيْتَهُ وَلَا نَائِمًا إِلَّا رَأَيْتَهُ

Rasulullah s.a.w. tidak berpuasa dalam satu bulan sehingga kami menyangka bahawa baginda tidak berpuasa pada bulan itu dan apabila baginda berpuasa maka kami menyangka tidak ada satu haripun yang baginda tidak berpuasa. (al-Bukhari)


Setelah mengumpulkan hadis-hadis di atas, dapat kita menyimpulkan bahawa:
Rasulullah s.a.w. tidak berpuasa penuh sebulan selain daripada Ramadhan.
Tidak ada satu bulanpun yang baginda tidak berpuasa padanya.
Tidak ada bulan yang Rasulullah s.a.w. berpuasa penuh di dalamnya.
Tidak ada hari yang khusus dan bulan yang khusus untuk berpuasa, bahkan apabila ada kesesuaian dan peluang, maka boleh berpuasa.
Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa pada bulan Sya’ban.


Mengapa Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa pada bulan Sya’ban? Adakah seperti menurut golongan sufi bahawa puasa ini untuk membesarkan bulan Sya’ban, atau kerana dekat dengan bulan Ramadhan, atau bulan ini turun rezki atau Allah s.w.t. turun ke dunia, atau kerana keampunan yang umum kepada yang hidup dan yang mati?


Kesemua hadis-hadis palsu ada menyebutkan perkara-perkara ini. ‘Aishah r.a. menyebutkan satu-satunya alasan tersebut. Beliau menyatakan:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلَّا فِي شَعْبَانَ الشُّغْلُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وفي رواية إِنْ كَانَتْ إِحْدَانَا لَتُفْطِرُ فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَا تَقْدِرُ عَلَى أَنْ تَقْضِيَهُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى يَأْتِيَ شَعْبَانُ

Saya menanggung hutang puasa Ramadhan yang wajib diqadhakan dan saya tidak dapat mengqadhakannya kecuali pada bulan Sya’ban kerana sibuk dengan urusan Rasulullah s.a.w. Dalam riwayat yang lain disebutkan: Sesungguhnya kami dari kalangan isteri Rasulullah s.a.w. berbuka puasa pada bulan Ramadhan di zaman Rasulullah s.a.w. dan kami tidak dapat mengadhakannya sehinggalah bulan Sya’ban tiba. (Muslim, al-Bukhari, Abu Daud dan al-Nasa`i)

Kebetulan pula Imam al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud, berdasarkan kepada hadis ini membuat tajuk: "Bab Melewatkan Qadha Puasa Ramadhan."

Ini kerana ‘Aishah dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain sibuk memberikan khidmat kepada baginda. Oleh kerana itu, mereka tidak mendapat peluang untuk menqadhakan puasa Ramadhan yang terpaksa dibuka kerana kedatangan bulan atau bermusafir melainkan menqadhakannya pada bulan Sya’ban dan Rasulullah turut berpuasa bersama mereka. Justeru, pensyarah-pensyarah hadis menjelaskan inilah sebab dan hikmat mengapa baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban.

Syaikh Syabbir Uthmani, penulis Fath al-Mulhim Syarh Sahih Muslim menulis:
الحكمة في إكثاره من الصيام في شعبان دون غيره أن نساءه كنّ يقضين ما عليهنّ من رمضان في شعبان.
Hikmat Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tidak seperti bulan-bulan yang lain ialah kerana isteri-isteri baginda menggantikan puasa Ramadhan mereka dalam bulan Sya’ban.

Kebanyakan ulama bersetuju bahawa qadha Ramadhan hendaklah dilakukan sebelum bermulanya Ramadhan akan datang dan tidak boleh sehingga melepasinya. Oleh kerana itu, ulama hadis menulis hadis ini dengan tajuk qadha puasa Ramadhan.

Imam al-Nawawi menulis:
وَلِأَنَّهُ إِذَا جَاءَ شَعْبَان يَضِيقُ قَضَاءُ رَمَضَان ، فَإِنَّهُ لَا يَجُوزُ تَأْخِيرُهُ عَنْهُ .وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف : أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي ، وَلَا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الْإِمْكَان ، لَكِنْ قَالُوا : لَا يَجُوز تَأْخِيره عَنْ شَعْبَان الْآتِي ؛ لِأَنَّهُ يُؤَخِّرُهُ حِينَئِذٍ إِلَى زَمَانٍ لَا يَقْبَلُهُ وَهُوَ رَمَضَانُ الْآتِي ، فَصَارَ كَمَنْ أَخَّرَهُ إِلَى الْمَوْت .

Ini kerana apabila tiba bulan Sya’ban, masa menjadi sempit untuk menggantikan puasa Ramadhan kerana sesungguhnya, tidak harus melewatkannya dari bulan Sya’ban. Mazhab Malik, Abu Hanifah, Syafi’e, Ahmad dan majoriti ulama salaf dan khalaf berpendapat qadha Ramadhan bagi orang yang berbuka kerana uzur seperti datang bulan dan bermusafir adalah wajib secara bertangguh dan tidak disyaratkan segera menqadhakannya. Tetapi mereka bersetuju bahawa tidak harus menangguhkan qadha Ramadhan sehingga Sya’ban akan datang kerana pada masa itu, dia menangguhkannya ke satu masa yang tidak dihadapinya iaitu Ramdhan akan datang. Dengan itu, dia menjadi seperti orang yang melewatkannya sehingga kepada kematian.

Dalam hal ini kemungkinan, isteri-isteri Rasulullah mengqadhakan puasa masing-masing. Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w. turut sama berpuasa dalam bulan Sya’ban dan dengan itu, isteri-isteri baginda dapat menyempurnakan puasa qadha mereka. Jika baginda tidak berpuasa, maka mereka dengan sebab sibuk berkhidmat untuk baginda tidak dapat berpuasa. Sekiranya berlaku begini, puasa qadha itu akan tertangguh sehingga ke Ramadhan akan datang.


Isteri-isteri Rasulullah tidak terus menggantikan puasa Ramadhan sebaik sahaja Ramadhan berakhir kerana kesibukan mereka dengan baginda. Sekiranya puasa yang tertinggal itu segera diqadha, tentu ia akan menjadi satu contoh kepada umat ini. Tambahan pula, jika baginda berdiam diri sebagai satu pengakuan maka ia akan menjadi satu kelaziman kepada orang lain. Dalam hal ini, tidak ada sebarang kelebihan bagi bulan Sya’ban.


Kemungkinan juga Rasulullah s.a.w. mengqadhakan puasa wajib kepadanya bagi mana-mana tahun seperti pada tahun pembukaan kota Mekah, disebabkan bermusafir baginda berbuka puasa supaya tidak menjadi kesukaran kepada orang ramai dan mereka mengetahui bahawa harus berbuka kerana bermusafir. Kemungkinan baginda menggantikan puasa-puasa tersebut dalam bulan Sya’ban. Adalah menjadi satu kebiasaan kepada baginda apabila melakukan sesuatu amalan, baginda akan mengerjakannya secara berterusan dan inilah yang diperintahkan kepada umatnya. ‘Aishah meriwayatkan satu khutbah yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّ وَكَانَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَمِلُوا عَمَلًا أَثْبَتُوهُ
"Wahai manusia, hendaklah kamu melakukan amalan yang termampu kamu lakukan kerana sesungguhnya Allah s.w.t. tidak jemu melainkan kamulah yang jemu. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah s.w.t. ialah apa yang dilakukan dengan berterusan walaupun sedikit. Keluarga Rasulullah s.a.w. apabila melakukan sesuatu amalan mereka akan tetap mengerjakannya. (Muslim)


‘Alqamah menceritakan bahawa beliau telah bertanya ‘Aishah tentang bagaimana baginda melakukan sesuatu amalan:
هَلْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْتَصُّ مِنْ الْأَيَّامِ شَيْئًا قَالَتْ لَا كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً وَأَيُّكُمْ يُطِيقُ مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُطِيقُ


Adakah Rasulullah s.a.w. mengkhususkan hari-hari tertentu. ‘Aishah menjawab: Tidak, amalan baginda adalah secara berterusan. Siapakah di kalangan kamu yang mampu mengerjakan apa yang dilakukan oleh baginda. (al-Bukhari dan Muslim)

Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar menukilkan daripada ‘Aishah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Amalan yang paling disukai Allah ialah yang berterusan dilakukan walaupun sedikit. (Muslim)

Qasim menceritakan:
وَكَانَتْ عَائِشَةُ إِذَا عَمِلَتْ الْعَمَلَ لَزِمَتْهُ
Apabila ‘Aishah mengerjakan sesuatu amalan beliau akan melaziminya. (Muslim)


Ketika menghuraikan hadis-hadis di atas, Imam al-Nawawi menulis:
وَفِيهِ : الْحَثّ عَلَى الْمُدَاوَمَة عَلَى الْعَمَل وَأَنَّ قَلِيله الدَّائِم خَيْر مِنْ كَثِير يَنْقَطِع ، وَإِنَّمَا كَانَ الْقَلِيل الدَّائِم خَيْرًا مِنْ الْكَثِير الْمُنْقَطِع ؛ لِأَنَّ بِدَوَامِ الْقَلِيل تَدُوم الطَّاعَة وَالذِّكْر وَالْمُرَاقَبَة وَالنِّيَّة وَالْإِخْلَاص وَالْإِقْبَال عَلَى الْخَالِق سُبْحَانه تَعَالَى ، وَيُثْمِر الْقَلِيل الدَّائِم بِحَيْثُ يَزِيد عَلَى الْكَثِير الْمُنْقَطِع أَضْعَافًا كَثِيرَة .

Dalam hadis-hadis di atas terdapat galakan supaya berterusan melakukan amalan dan sesungguhnya amalan yang sedikit tetapi berterusan lebih daripada yang banyak tetapi terhenti. Sebenarnya sedikit yang berterusan itu lebih baik daripada banyak yang terputus kerana berterusan dengan amalan yang sedikit menjadikan ketaatan, zikir, muraqabah, niat, keikhlasan dan tumpuan kepada Allah s.w.t. berpanjangan serta membuahkan hasil yang berganda mengatasi amalan yang banyak yang tidak berkekalan.

Oleh kerana Rasulullah s.a.w. berpuasa sekali dalam bulan Sya’ban, baginda akan terus melakukannya. Riwayat daripada ‘Alqamah menyebutkan dengan jelas bahawa Rasulullah s.a.w tidak menentukan hari-hari yang khusus untuk berpuasa seperti mana yang dilakukan oleh golongan sufi yang menetapkan setiap hari dan setiap bulan ada sembahyang tertentu yang berbeza-beza. Perincian tentang perkara ini boleh dilihat dalam kitab-kitab al-Ghazzali, al-Ghunyah oleh ‘Abdul Qadir, Qut al-Qulub oleh Abu Talib Makki dan lain-lain.

Rasulullah s.a.w. dalam satu bulan pasti berpuasa beberapa hari dan secara umumnya berpuasa juga pada hari Isnin dan Khamis. Kemungkinan kerana bermusafir, baginda mengqadhakan puasa-puasa ini. Oleh kerana baginda melakukan amalan ini secara berterusan maka baginda akan mengqadhakannya. ‘Allamah Ibn Battal menjelaskan sebab Rasulullah s.a.w. berpuasa pada bulan Sya’ban:

Rasulullah s.a.w. tidak dapat berpuasa tiga hari setiap sebulan kerana bermusafir dan kerana urusan lain dan puasa-puasa terkumpul lalu baginda menggantikannya dalam bulan Sya’ban. (Fath al-Mulhim, jil. 3, hal. 173)

Demikian juga sembahyang qabliah zuhur yang tidak sempat dikerjakan maka Rasulullah mengqadhakannya selepas asar.

Kemungkinan Rasulullah s.a.w. berpuasa penuh pada bulan Sya’ban. Ada kalanya di awal Sya’ban dan di penghujungnya malah ada ketikanya tidak berpuasa langsung.


كَانَ يَصُومهُ كُلّه فِي وَقْتٍ ، وَيَصُوم بَعْضَهُ فِي سَنَة أُخْرَى ، وَقِيلَ : كَانَ يَصُوم تَارَةً مِنْ أَوَّلِهِ ، وَتَارَةً مِنْ آخِرِهِ ، وَتَارَةً بَيْنَهُمَا ، وَمَا يُخْلِي مِنْهُ شَيْئًا بِلَا صِيَام لَكِنْ فِي سِنِينَ

Rasulullah s.a.w. ada berpuasa seluruh Sya’ban pada satu ketika, berpuasa sebahagian sahaja pada tahun yang lain. Ada juga yang mengatakan, sekali baginda berpuasa pada awal Sya’ban, sekali di hujungnya dan sekali di antara kedua-duanya. Tidak ada hari bulan Sya’ban yang baginda tidak berpuasa tetapi dalam beberapa tahun. (Muslim)

Penulis berpendapat, pada tahun 9 Hijrah, Rasulullah s.a.w. tidak berpuasa pada bulan Sya’ban kerana pada 10 Rejab tahun tersebut baginda berangkat ke Tabuk dan sekurang-kurang kembali dalam tempoh empat puluh hari. Dengan ini, sekurang-kurang baginda sampai ke Madinah pada 20 Sya’ban.

Dalam ayat yang terakhir, Imam al-Nawawi menyatakan baginda tidak berpuasa langsung pada Sya’ban beberapa tahun. Kemungkinan dalam beberapa tahun itu baginda bermusafir.
Ada kemungkinan Rasulullah s.a.w. berpuasa Sya’ban kerana itu adalah khusus kepada baginda sebagaimana puasa wisal (وصال) ya’ni puasa tanpa berbuka. Ada juga di kalangan ahli sufi yang berpuasa wisal. Rasulullah s.a.w. melarang keras umatnya daripada berpuasa tanpa berbuka.
Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَا تُوَاصِلُوا قَالُوا فَإِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنِّي لَسْتُ كَأَحَدِكُمْ إِنَّ رَبِّي يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِي
"Janganlah kamu berpuasa wisal. Sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, tuan pun berpuasa wisal. Baginda menjawab: "Sesungguhnya saya bukanlah seperti kamu, sesungguhnya Tuhanku memberi makan dan minum kepadaku." (al-Tirmizi, al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
‘Abdullah bin ‘Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah melarang puasa wisal.

Para sahabat bertanya:
إِنَّكَ تُوَاصِلُ قَالَ لَسْتُ كَأَحَدٍ مِنْكُمْ إِنِّي أُطْعَمُ وَأُسْقَى أَوْ إِنِّي أَبِيتُ أُطْعَمُ وَأُسْقَى
"Sesungguhnya tuan juga berpuasa wisal. Baginda menjawab: "Sesungguhnya saya bukan seperti kamu kerana sesungguhnya saya diberi makan dan minum." (al-Bukhari, Abu Daud)

Abu Hurairah menceritakan bahawa:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْوِصَالِ فِي الصَّوْمِ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ إِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَيُّكُمْ مِثْلِي إِنِّي أَبِيتُ يُطْعِمُنِي رَبِّي وَيَسْقِينِ فَلَمَّا أَبَوْا أَنْ يَنْتَهُوا عَنْ الْوِصَالِ وَاصَلَ بِهِمْ يَوْمًا ثُمَّ يَوْمًا ثُمَّ رَأَوْا الْهِلَالَ فَقَالَ لَوْ تَأَخَّرَ لَزِدْتُكُمْ كَالتَّنْكِيلِ لَهُمْ حِينَ أَبَوْا أَنْ يَنْتَهُوا

Rasulullah s.a.w. melarang puasa wisal lalu seorang lelaki berkata kepada baginda: "Tuan juga berpuasa wisal, wahai Rasulullah. Baginda menjawab: "Siapakah di kalangan kamu sepertiku? Sesungguhnya aku diberi makan dan minum oleh Tuhanku. Apabila mereka enggan berhenti puasa wisal Rasulullah s.a.w. menyambung puasanya sehari kemudian sehari. Kemudian mereka melihat anak bulan maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Kalau anak bulan itu terlewat pasti aku akan menambahkan lagi puasa itu, sebagai peringatan kepada mereka kerana tidak mahu menghentikan puasa wisal. (al-Bukhari)

Kandungan yang sama dengan hadis ini juga diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat, semuanya menunjukkan larangan menyambungkan puasa. Tetapi apabila Rasulullah s.a.w sendiri melakukannya maka itu menunjukkan khusus kepada baginda sahaja. Hal yang sama juga apabila Rasulullah s.a.w. melarang puasa di akhir Sya’ban.

Baginda bersabda:
لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ
"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari." (Muslim, al-Nasa`i, Abu Daud dan al-Tirmizi)
Dalam hadis yang lain:
إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُومُوا
"Apabila Sya’ban menjadi separuh maka janganlah kamu berpuasa." (al-Tirmizi dan Abu Daud)
Kesimpulannya, Rasulullah s.a.w. melarang berpuasa selepas berlalu separuh bulan Sya’ban tetapi sebaliknya baginda sendiri berpuasa.

Ummu Salamah menceritakan bahawa:
مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ُوكَانَ يَصِلُ شَعْبَانَ بِرَمَضَانَ
"Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut kecuali Sya’ban dan Ramadhan dan baginda menyambungkan kedua-duanya itu." (al-Tirmizi dan al-Nasa`i)

Ringkasnya, puasa di bulan Sya’ban itu bukan kerana fadhilat yang ada padanya tetapi kerana beberapa sebab yang lain yang telah disebutkan. Sekiranya puasa di bulan Sya’ban itu kerana kelebihan bulan itu sendiri tentu sekali Rasulullah s.a.w. tidak akan melarang daripada berpuasa di penghujungnya dan dengan itu pasti kita tidak akan terhalang daripada mendapat kelebihan bulan itu!

Sekiranya kita menerima bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada bulan Sya’ban kerana ia mempunyai fadhilat sebagai bulan yang dimuliakan pasti baginda tidak akan menghalang para sahabat daripada mendapat kebaikan dengan melarang mereka berpuasa bila berlalu separuh Sya’ban atau di hujungnya. Tidak boleh sama sekali dibayangkan baginda sendiri menghalang umatnya daripada mendapat kebaikan!

Daripada hadis-hadis tersebut, terbukti sabitnya puasa pada seluruh Sya’ban bukan hanya pada 15 Sya’ban. Dalam hadis-hadis ini juga jelas difahami bahawa tidak disebutkan baginda ada melakukan ibadat-ibadat yang khusus pada malam-malam Sya’ban iaitu kelebihan itu diperolehi pada siang hari bukan pada malamnya sebagaimana hari ‘Arafah ya’ni kelebihan pada siang hari ‘Arafah bukan pada malamnya. Begitu juga kelebihan pada hari Juma’at bukan pada malamnya.

(Terjemahan dari teks Urdu oleh Ust Mohd Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.com)