Sunday, December 30, 2007

PESONA HATI




Pesona hati membara,
Diruang kamar hatiku,
Betapa indahnya dunia,
Mempesona… dijiwa,
Terasa bagai di syurga,
Gembira tiada terkira,
Tanpa kukenali diriku siapa,

Bulan dipagari bintang,
Mentari sinari siang,
Pesada indahnya alam,
Mempesona…dijiwa,
Dunia hanya pinjaman,
Buat sementara cuma,
Menuju alam,
Kekal selamanya,

Insan hanyut dalam kegelapan,
Tanpa arah dan haluan,
Dikaburi nikmat dunia,
Sandiwara dan tipu daya,

Insan lena dalam kepalsuan,
Dialun mimpi memperdaya,
Tanpa mengenal dosa pahala,
Hanya memburu nikmat dunia,
Islam pedoman sepanjang zaman,
Memancar cahaya ke serata alam,

Suara Islam terus bergema,
Menusuk jiwa membelai sukma,
Memadam bara dosa dan noda,
Suci diri hidup bahgia,
Menerangi hidup manusia,
Dari gelap karatnya dosa.

CERITA SERAM DAN CINTA



Zaman ini kita lihat banyak cerita-cerita seram dan cinta ditayangkan di pawagam mahupun televisyen khususnya di negara yang kita cintai ini. Bagi yang meminati cerita seram pasti boleh senaraikan tajuk-tajuk cerita sebegitu contohnya Jangan Pandang Belakang, Pontianak Harum Sundal Malam , Anak Pontianak, Susuk dan banyak lagi

Kemudian bagi yang meminati kisah-kisah cinta pastinya sentiasa menonton Cinta, Kuliah Cinta, Ada Apa Dengan Cinta , Cintaku forever, Tentang Bulan, Spa Q, dan pelbagai lagi. Adakah kita salah seorang daripada ribuan atau jutaan insan yang menonton cerita-cerita sebegini.

Setiap penerbit sama ada yang menerbitkan cerita seram atau cinta pasti ada matlamat dan sasaran penonton yang ingin dicapainya dan yang pasti masyarakat kita sangat meminati cerita-cerita sebegini walau bukan semuanya.

Cerita-cerita seram yang ditayangkan lewat pawagam mahupun televisyen sama ada versi Malaysia atau negara luar mampu menegakkan bulu roma mereka yang menontonnya hingga ketakutan mula menyelubungi diri masing-masing apatah lagi bagi kanak-kanak yang baru mengenal dunia bahkan boleh menjadi modal untuk menakutkan mereka pabila ingin melarang mereka melakukan sesuatu perkara.

Manakala cerita berkaitan cinta mampu membuatkan masyarakat kita dibuai mimpi-mimpi indah disiang hari apatah lagi saat menontonnya bersama ‘teman tapi mesra’ masing-masing seolah-olah menganggap bahawa merekalah hero dan heroin seperti yang ditonjolkan dalam cerita-cerita cinta baik untuk golongan dewasa mahupun kanak-kanak

Ketakutan dan Kecintaan adalah sifat fitrah yang ada pada setiap insan termasuk juga yang namanya binatang. Dua sifat ini cukup penting dalam kehidupan seorang insan hingga mampu mempengaruhi corak kehidupan kita di dunia ini.

Lantaran sifat ini dimiliki setiap orang, maka cerita-cerita diatas mempunyai penonton yang cukup ramai kerana telah berjaya menonjolkan sifat ketakutan dan kecintaan dalam diri masing-masing. Sayangnya kedua-dua sifat ini hanya mampu dikenal dari segi luarannya sahaja tanpa memahami apakah tujuan sebenar hakikat keberadaan sifat takut dan cinta yang ALLAH berikan pada setiap manusia.

Bukanlah suatu yang menghairankan jika masyarakat kita tidak memahami hakikat sebenar sifat takut dan cinta kerana cerita-cerita yang dilihat juga tidak mengarah kepada mendidik masyarakat mengenal hakikat tersebut tetapi sekadar ingin mengaut keuntungan, merancakkan industri lakonan dan mungkin sekadar memuaskan nafsu masyarakat yang dahagakan sifat takut dan cinta itu.

Bukan juga suatu yang menghairankan andai sikap masyarakat masih terus menyokong cerita-cerita sebegini walau ia hanya sekadar menghabiskan masa lapang dan duit mereka dan memewahkan pembuat cerita-cerita sebegitu kerana saat ini golongan karyawan dalam bidang lakonan dan penerbitan yang benar-benar mampu menerapkan cerita-cerita yang dapat mendidik umat tentang hakikat sebenar ketakutan dan kecintaan itu harus ditujukan masih kurang dihasilkan. Maka tulisan ini sekadar mahu menjelaskan sekelumit pengertian tentang ketakutan dan kecintaan itu harus ditujukan. Jangan biarkan kelekaan kita melihat cerita-cerita sebegitu melupakan tujuan sebenar dua sifat mulia yang ALLAH kurniakan kepada kita namun menjadi cukup jelek ketika ia ditonjolkan dalam bentuk yang tidak Islam ajarkan.

Setiap Muslim pastinya yakin bahawa tidak ada ILAH melainkan ALLAH yang sentiasa dilafazkan melalui syahadah kita saban hari bahkan sebahagian golongan Kristian juga ingin menggunakan nama ALLAH dalam akhbar-akhbar mereka dan sememangnya kita juga harus mengetahui bahawa ALLAH adalah Tuhan untuk semua manusia seperti kata-kata Nabi Isa a.s kepada Bani Israil yang belum percaya akan agama tauhid ini:

“Sesungguhnya ALLAH, Tuhanku dan Tuhanmu, karena itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.”[Ali ‘Imran 3:51]


. Ketakutan yang sebenar harus ditujukan kepada ALLAH semata-mata kerana DIA yang telah memberi pelbagai nikmat dalam kehidupan ini, seharusnya kita mengambil iktibar dari peringatan ALLAH kepada Bani Israil dalam kalam-Nya yang mulia:

“Hai Bani Israil, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu, dan penuhilah janjimu kepada-Ku, niscaya Aku penuhi janji-Ku kepadamu; dan hanya kepada-Ku-lah kamu harus takut.”[Al Baqarah 2:40]

Begitu juga kepada pendokong kebenaran sewajarnya menjadikan ALLAH sahaja yang perlu ditakuti agar risalah kebenaran ini dapat disebarkan dengan penuh amanah dan kesungguhan tanpa sebarang ketakutan menghadapi segala ujian dan dugaan yang mendatang.

“(yaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah ALLAH, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang(pun) selain kepada ALLAH. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan”[Al Ahzab 33:39]

Bukan semestinya perasaan takut itu tidak boleh tika melihat perkara yang menakutkan cuma agar kita memahami ketakutan hakiki yang lebih wajar kita semai dalam diri masing-masing. Kemungkinan setelah melihat cerita-cerita seram dan seumpamanya kita menjadi terlalu takut ketika berseorangan kerana kesannya andai terdapat seorang insan yang terluka atau dipukul dimalam yang gelap gelita lantas menahan kereta atau motor yang sedang dipandu oleh kita, sanggupkah kita berhenti untuk menolong insan itu apatah lagi jika insan itu menahan kita dengan muka yang berdarah-darah, akhirnya kerana terlalu kerap melihat cerita-cerita seram, boleh jadi kita akan memecut selaju boleh kerana menyangka hantu, polong, momok dan sewaktu dengannya yang sedang melambai-lambaikan tangannya. Hakikatnya insan itu terus ditinggalkan tanpa sebarang pertolongan akibat masyarakatnya terlalu takut dengan bayangan seram yang semakin sebati dalam fikiran mereka, sedangkan agama memandang berat perihal menolong sesama saudara dalam apa jua perkara kebaikan apatah lagi dalam kondisi yang memerlukan pertolongan kita. Renungilah sebentar sebahagian sabda Nabi ini:

“Dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda, “Barangsiapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, niscaya ALLAH akan melepaskannya darinya kesusahan dihari kiamat, barangsiapa memudahkan urusan yang sulit niscaya ALLAH akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat…..”[HR Muslim]

Begitu jua dengan kecintaan yang hakiki hanya untuk ILAH yang SATU kerana DIA yang memberikan kepada jiwa kita sifat kecintaan itu maka selayaknya hanya kepadanya kecintaan itu harus disalurkan.

Bukan suatu kesalahan jika kita juga mencintai sesuatu selain-NYA namun bak kata Imam Nawawi “Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu ketika agama itu hilang darimu maka hilanglah cintaku padamu”. Jangan sampai kecintaan kepada yang lain itu membuatkan kita melupakan-NYA apatah lagi jika sampai melanggar perintah-NYA seperti yang Al-Quran lantunkan dalam salah satu surah-NYA

“Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”.[At Taubah 9:24]

Sayangnya kecintaan ini sering disalah fahami oleh ramai kalangan hingga kemurnian cinta itu sendiri semakin hilang akibat kejahilan kita memahaminya ditambah lagi dengan meluasnya cerita-cerita cinta dengan pelbagai pengertian yang mereka rasakan itulah cinta sebenar.

Kemungkinan kesan yang terjadi ialah masyarakat kita akan merasakan bahawa berdua-duaan antara lelaki dan perempuan itu satu fenomena yang sudah menjadi ‘trend’ dalam kehidupan, lalu mereka dibiarkan sahaja bergaul dengan sesiapa yang mereka inginkan kerana terpengaruh dengan kisah-kisah cinta yang mereka lihat di pelbagai media massa. Inilah cinta yang sejati bagi mereka walhal kalam ALLAH telah lama mengingatkan umat ini akan bahaya yang bakal muncul akibat membiarkan hawa nafsu bermaharajalela dalam masyarakat.

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”[Al Isra 17:32]

Mendekati jalan yang membawa kearah kemaksiatan sahaja dilarang apatah lagi jika melakukannya. Seharusnya kita merasa bimbang dengan laknat ALLAH kepada Bani Israil lantaran membiarkan kerosakan umatnya tanpa sebarang peringatan, lalu tidak mustahil kita juga ditimpa laknat yang sama andai hanya diam seribu bahasa dengan kemungkaran yang terjadi. Na’uzubiLLAH

“Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu”[Al Maidah 5:78-79]

Kemanakah arah cerita-cerita seram dan cinta ini jika ia hanya menambahkan kesakitan untuk menyedarkan umat ini, terus lena dan leka serta lalai dengan cerita sebegitu. Namun sekali lagi kita belum mampu memberikan alternatif terbaik untuk menyedarkan mereka lewat filem dan drama walaupun sebahagiannya sudah menampakkan ke arah tersebut tetapi sambutannya masih samar-samar.

Sekadar mencoret apa yang terbuku dihati lewat cerita seram dan cinta yang diharapkan agar lebih bermakna di kemudian hari. Mudah-mudahan ketakutan dan kecintaan itu dapat kita semai sebaik-baiknya dan menyalurkannya dengan jalan yang diridhai-NYA

Semoga Tahun 2007 yang bakal berlalu menambahkan ketakutan atas dosa-dosa yang kita lakukan serta tanggungjawab yang tidak kita laksanakan dan dengan harapan Tahun 2008 yang bakal tiba menambahkan kecintaan kita kepada-NYA dengan amalan-amalan kebaikan yang dapat memperbaiki diri dan umat ini.


Regards
Mohd Halimi Abdul Aziz
20 Zulhijjah 1428H 04:38p.m.

Thursday, December 27, 2007

RUH DAN PERASAAN



Masa terlalu pantas berlalu, membuatkan diri ini kembali terkenang saat-saat indah ketika pertama kali bertemu dengan tarbiyah, waktu itu tidak pernah luput dari ingatan kerana di situlah bermulanya sebuah kehidupan yang baru, sebuah pengalaman yang baru dan yang paling penting sebuah perkenalan yang cukup bermakna.

Wajah-wajah sahabat yang sudah lama tidak bertemu sering terbayang seakan-akan mereka sedang berada disebelahku, sukar untuk diungkap dengan sebuah kata-kata, walau berbeza sekolah, berbeza tempat, berbeza loghat, namun pertemuan itu telah menumbuhkan sebuah ikatan yang cukup bermakna.

Pastinya setiap pengalaman yang ditempuh selama setahun sebelum melangkah ke alam universiti terlalu sukar untuk dilupakan dan diri ini juga yakin kalian yang pernah bersama diri ini juga tidak akan melupakannya.

Gambar-gambar bersama kalian masih segar dalam pandangan mata ini, seolah-olah gambar-gambar itu baru saja ditangkap oleh lensa kamera kalian, namun gambar-gambar itu masih kekurangan sesuatu, walau secantik mana pun gambar yang diambil ia masih belum dapat menangkap perasaan diri ini dan kalian ketika gambar-gambar itu diambil. Perasaan itulah yang diri ini kenangkan saat ini dan gambar-gambar itu hanya merakam wajah kalian tapi tidak perasaan kalian. Perasaan itu cukup mendalam dalam hati ini ketika mengenang kembali saat-saat kita bersama. Mudah-mudahan perasaan itu tidak pernah pudar sampai bila-bila dan diri ini mengharapkan kalian juga begitu.

Masa terus berlalu dan ternyata kita semua mendapat tempat pengajian yang berbeza-beza, berbeza bidang, berbeza sistem dan berbeza bayaran pengajiannya, biarlah seribu perbezaaan yang kita tempuhi, diri ini berharap agar kita masih dapat bertemu dan perasaan itu akan tetap mekar dalam diri ini dan kalian juga.

Ternyata akhirnya pertemuan itu hanya sementara, sahabat-sahabat yang pernah bersama diri ini semakin lama semakin hilang seorang demi seorang, hilang tanpa sebarang khabar berita, dan perasaan itu juga semakin hilang sedikit demi sedikit, setelah tamat pengajian diri ini belum mengetahui apa sebab-musababnya kalian hilang begitu sahaja.

Setelah sekian lama mengenang kehilangan kalian dan diri ini masih yakin kalian bukan insan yang suka menghilangkan diri secara tiba-tiba, rasa bersalah semakin menghantui diri ini kerana boleh jadi diri ini yang menyebabkan kalian pergi tanpa sebarang berita, maafkan diri ini andai membiarkan kalian bersendirian dikala kalian sedang dalam kesedihan, kesakitan dan kesunyian tanpa sebarang nasihat dan kata-kata semangat.

Teringat akan pesan Abbas As-Siisiy tentang dakwah adalah RUH dan PERASAAN, ketika beliau pergi memenuhi jemputan untuk menyampaikan sebuah ceramah, namun ikhwah-ikhwah yang mendengarnya hadir dengan wajah yang hambar, perasaan yang dingin dan pandangan yang kosong hingga menyebabkan beliau merasa sedih dengan nilai ukhwah yang ditunjukkan oleh ikhwah-ikhwah tersebut lalu menceritakan perihal itu kepada penangungjawab acara tersebut dan mengungkapkan sebuah nasihat yang wajar kita hayati:

“Sesungguhnya potensi ruhiyah, sentuhan rasa, kecintaan kepada kebaikan, serta perasaan yang lembut itu tidak akan muncul hanya sekadar dengan peringatan dan perintah. Sedarilah bahawa yang dapat membangkitkannya adalah dengan sentuhan-sentuhan hati yang penuh kasih-sayang dan kerinduan yang sangat mendalam terhadap pasangan seaqidahnya yang melekat di hati”

Boleh jadi ukhwah kita masih kurang RUH dan PERASAAN, hingga menyebabkan ia terputus bukan sahaja dari medan perjuangan bahkan hingga hubungan sebagai kawan juga terputus. Maafkan diri ini sekali lagi kerana gagal menjadi sahabat yang dapat menumbuhkan ruh dan perasaan dalam berukhwah sesama kalian bahkan kerana kurangnya ruh dan perasaan inilah kita sering terjebak dengan pelbagai pertelingkahan sesama rakan perjuangan apabila berbeza pendapat dalam sesuatu isu.

Kalian adalah sahabat-sahabat yang terlalu ingin ku temui agar diri ini dapat mengucapkan bahawa diri ini merindui kalian dan semoga rindu itu akan hadir bersama sebuah cinta sebagai bukti keimanan seorang insan yang ingin menjadi MUKMIN

“Dari Abu Hamzah Anas bin Malik ra, pelayan RasululLLAH saw, bahawa RasuluLLAH saw bersabda, “Seseorang diantara kalian tidak beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” [HR Bukhari dan Muslim]

Diri ini doakan agar kalian tetap teguh menghadapi cabaran kehidupan, dan warnailah kehidupan kalian dengan ibadah kepada-NYA dengan harapan andai kita tidak dipertemukan lagi di dunia ini moga kita dapat bertemu di ‘sana’ nanti

Dimana sahaja kalian berada, semoga rahmat dan hidayah ALLAH senantiasa bersama kalian dan juga diri yang serba lemah ini, doakanlah agar ruh dan perasaan itu senantiasa mekar dalam ukhwah kita samaada yang masih tinggal atau yang telah pergi

Buat kalian yang sudah lama tidak kutemui dan bakal kutemui, kupetik kata-kata Imam Nawawi bahawa aku mencintai kalian kerana agama yang ada pada dirimu, ketika hilangnya agama itu dari dirimu maka hilanglah cintaku padamu….


MOHD HALIMI ABDUL AZIZ
17 ZULHIJJAH 1428H 02:47p.m

Friday, December 7, 2007

RENUNGAN



Di mana boleh cari ramai Melayu?
Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Terengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh, pusat pemuilihan, dulu di Pudu
Dan di jalan, lumba haram, rempit tak berlampu
Dan di selekoh duit rasuah depa pun sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan chandu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu


Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika, Metro pasal cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Berpusu-pusu pergi tengok pamiran hantu
Sambil makan junk food, kuaci dan muruku
Sibuk bercerita tentang Datuk K dapat bini baru
Apa pakaian Siti nak pakai itu yang nak tahu
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu masih nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu


Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat mereka di situ
Kenapa melayu jadi begitu
Nak salahkan siapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah Melayu malas selalu
Nak harap Kerajaan saja membantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh siapa dulu
pasal jambatan senggek atau siapa dia penghulu
Dan suka sanggat dengan budaya ampu mengampu

Sampai bila kita nak tunggu Bangsa Melayu
jadi bangsa yang maju
BOleh! dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah Quran dan sunnah kuAlQuran
yang diturunkan 1400 tahun dahulu
Tapi apa yang kita tahu,
cuma baca bila nak halau hantu

By
Sahabat interaktif@yahoogroups.com

Tuesday, November 13, 2007

KEBERSIHAN TANDA KEIMANAN




Sebelum memulakan sesuatu eskperimen, khasnya yang melibatkan bakteria, fungi dan virus, setiap peralatan yang bakal digunakan harus dipastikan kebersihannya terlebih dahulu, kebersihan dalam makmal juga cukup penting dalam sesuatu eksperimen, ini bukan tulisan tentang cara-cara menjaga kebersihan semasa membuat eksperimen atau menjaga kebersihan makmal kerana ia boleh didapati dengan mudah di pintu makmal masing-masing bagi yang biasa dengan kehidupan di makmal, andai tiada sila cari dan baca sendiri, tapi sekadar ingin mengaitkan peri pentingnya kebersihan dalam kehidupan hingga mampu menjadi tanda keimanan bagi seorang Muslim.

Istilah yang biasa dipakai sebagai tanda kebersihan segala peralatan di makmal ialah “sterile” agar apa sahaja kotoran mahupun hidupan tidak boleh membiak pada peralatan yang ingin digunakan demi menghalang berlakunya “contamination” atau pencemaran pada eksperimen yang dibuat hingga menyebabkan hasilnya cukup mengecewakan para penyelidiknya termasuklah diri ini yang telah berbulan-bulan belum mendapat hasil lantaran kurangnya menjaga ke’sterile’an semasa membuat eksperimen, walau telah dijaga sebaik mungkin pun masih lagi belum mendatangkan hasil, tension sungguh.rasanya

Namun itulah hakikatnya tanpa kebersihan, segala-galanya pasti tidak akan menghasilkan sesuatu yang baik, kerana itulah agama menekankan aspek kebersihan, lihatlah perjuangan menyedarkan umat bermula dari membersihkan diri dengan aqidah yang jelas tentang Pencipta Yang Satu, kemudian berkembang kepada kebersihan ibadah yang sahih, dan kebersihan akhlak yang suci, namun membersihkan diri sahaja belum cukup untuk membawa perubahan yang besar, maka kebersihan itu harus tersebar ke segenap individu, masyarakat, negara dan sistem yang dipakai agar kehidupan ini diwarnai dengan kebersihan yang berisi keimanan.

Kebersihan yang dimaksudkan adalah kebersihan yang dijaga ke“sterile”annya dengan kebenaran, kejujuran, keberanian dan ketawadukan hingga tidak mampu dikotori oleh sebarang “contamination” yang menyebabkan kesesatan, kebatilan, ketakutan dan kesombongan yang sering menghantui diri dan masyarakat. Tapi realitinya “contamination” itulah yang sering disokong dan ramai pengikutnya manakala yang inginkan kebersihan pula sering ditekan dan disembur serta masih belum cukup “sterile”nya.

Walaupun begitu, harapan masih ada untuk mewujudkan kebersihan yang kita idam-idamkan kerana sejarah membuktikan golongan yang sentiasa menjadikan kebersihan itu satu sarana dan wasilah dalam kehidupannya sentiasa menjadi golongan yang menang, cuma cepat atau lambat menjadi persoalannya, maka jangan terlalu merisaukan hasilnya kerana sekali lagi andai kebersihan itu terjaga yakinlah hasilnya pasti baik persis seperti yang diyakini oleh saintis-saintis yang mempelopori pelbagai kaedah dalam kajian mereka, maka begitu juga dengan perjuangan ini.

Bercakap atau menulis tentang konsep dan teori kebersihan memang mudah namun aplikasinya tidak semudah yang dilaungkan atau ditulis, kerana apakah nilainya laungan kuat kita serta tulisan mantap kita tentang kebersihan andai kita sendiri belum memulakannya. Laungan dan tulisan itu seharusnya diiringi dengan kesungguhan untuk merealisasikannya di alam realiti, hingga mampu menghasilkan individu atau “figure” yang terjaga kebersihannya bukan sahaja dari segi semangat tapi juga kebolehan mempamerkan kebersihan yang cukup “sterile” dalam segenap aspek kehidupannya untuk menjadi tanda keimanan sebagai seorang Muslim.

Inilah saatnya kita berniat untuk membuktikan keimanan dengan berusaha menerapkan kebersihan yang terjaga “sterile”nya dalam kehidupan kita, meramaikan generasi kebersihan ini perlu digiatkan agar mampu membawa masyarakat dan negara ke arah kebenaran dan kebersihan yang Islam inginkan kerana masyarakat juga mendambakan generasi seperti ini, sedihnya ia belum sepenuhnya terhasil hingga masyarakat masih dikotori dengan “contamination” yang dibawa oleh golongan yang membenci kebersihan yang Islam inginkan. Andai kita ingin golongan “contamination” itu berubah menjadi “sterile” maka kita juga perlu berubah disebabkan “contamination minor” yang masih ada pada golongan yang mendambakan kebersihan ini.

Kebersihan sahaja belum cukup untuk membawa perubahan yang besar kerana ia juga perlu “sterile”. Renunglah sebahagian nasihat Al-Quran dan Hadith, ketika hendak berwudhuk air yang digunakan tidak cukup hanya bersih/suci tapi juga menyucikan(sterile), ketika saat solat tidak cukup sekadar melakukan solat ia perlu disertai khusyuk[23:2], ketika menyembelih tidak cukup dengan cara yang baik ia juga memerlukan alat atau pisau yang tajam, ketika berpuasa tidak cukup sekadar menahan lapar dan dahaga ia perlu disertai ketakwaan[2:183] bahkan bertakwa sahaja tidak cukup ia perlulah sebenar-benar takwa[3:102]

Nah, itulah sebahagian yang Islam ajarkan kepada kita dan diri ini yakin kalian lebih tahu banyak lagi, persolannya adakah kita sedang berusaha merealisasikannya atau sekadar berangan-angan di siang dan malam hari menanti pertolongan yang tidak kunjung tiba atau menunggu penyelamat yang belum nampak batang hidung sampai saat ini. Pertolongan tidak pernah tiba, dan penyelamat tidak akan datang andai kita sendiri belum mahu menghasilkannya dengan sebuah pergorbanan dan keikhlasan untuk merealisasikannya.

Betapa diri inilah yang seharusnya risau memikirkan apakah yang diperkatakannya telah dilaksanakannya atau sekadar hebat mencoretkan sebuah tulisan dalam sebuah laman yang cukup sempit, adakah diri ini bakal tergolong dikalangan orang yang pandai berkata-kata namun tidak merealisasikannya hingga layak untuk mendapat murka-NYA. Namun untuk terus membisu seribu bahasa kerana takutkan ancaman itu bukan juga suatu yang baik kerana boleh jadi mendiamkan diri itu salah satu dari bisikan syaitan. A’uzubilLLAHI minasy syaitanir rajim. Mudah-mudahan coretan ini dapat mengingatkan diri yang sering lupa dan lemah ini akan tanggungjawabnya juga agar dapat mengingatkan insan yang membacanya hingga harapnya menjadi salah satu kebersihan yang berisi pahala untuk digunakan sebagai penyelamat di alam yang kekal kelak, mudah-mudahan kalian begitu jua.

KeBERSIHan itu tanda keimananmu.

“…………… Membersihkan diri adalah separuh dari keimanan…….”[sebahagian Hadits 23 Arbain-Kebersihan adalah separuh dari iman]


With best wishes,
Mohd Halimi Abdul Aziz
4 Zulkaedah 1428H 03:22a.m



Thursday, November 1, 2007

MENCARI YANG HALAL


“Mencari yang halal itu fardhu bagi orang Islam”

Antara beberapa petikan lafaz yang biasa kedengaran di media-media massa ketika ingin mempromosikan salah satu produk ubat gigi, kata-kata yang cukup simple namun begitu menusuk hati orang-orang yang masih mempunyai kesedaran agama dalam dirinya dan kebanyakan masyarakat mula berhati-hati dalam memilih produk yang ingin dibeli, setiap yang dibeli harus ada signature “HALAL”. Maka ketika umat Islam mula beralih untuk mencari yang halal, gelabahlah pengusaha-pengusaha perniagaan yang tidak melabelkan “HALAL” pada produk mereka. Lalu kita melihat sebahagian daripada mereka begitu bersungguh-sungguh ingin mendapatkan cop “Halal” walau dari negara lain dan meminta pihak bertanggungjawab mengesahkannya ditambah lagi dengan pelbagai iklan melalui pelbagai saluran media untuk menghebahkan ke “halal”an produk mereka. Kesannya memang cukup besar…..

Begitu juga tika melihat umat Islam mula mencari cop “ISLAMIC” dalam setiap urusan kewangan mereka sama ada yang melibatkan pinjaman, pembelian kereta, pembiayaan rumah, insuran dan sebagainya, lantas berebut-rebut pihak perbankkan berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkan Penasihat Syariah masing-masing agar dapat meng“Islamic”kan segala tranksaksi yang telah disebutkan diatas, hingga lahirlah bagai cendawan tumbuh selepas hujan pada setiap bank-bank tersebut mesti ada cawangannya yang “ISLAMIC”. Satu perubahan yang cukup ketara……

Kemudian ketika menyentuh hal makan-minum, lagilah umat kita begitu sensitif bila disebut soal halal atau tidak. Pantang datuk-nenek andai makan sesuatu yang tidak halal terutama bila babi menjadi isunya, usahkan makan menyentuhnya saja bagai nak gugur jantung melihatnya hingga pelbagai kritikan diberikan walau tanpa hujah dan dalil yang jelas. Sebab itu kita dapat melihat pihak bertanggungjawab berusaha sedaya mungkin memastikan setiap makanan harus dipastikan ke“halal”annya terlebih dahulu sebelum dipasarkan, apatah lagi ketika saat ingin menjadikan negara tercinta ini nanti sebagai hab-halal di peringkat antarabangsa. Hatta orang bukan Islam saja merasakan peluang ini tidak harus dilepaskan hingga majoriti pengusaha makanan halal adalah dikalangan mereka. Wah boleh untung besar ma….

AlhamduliLLAH ini tandanya umat Islam di Negara ini masih mempunyai kesedaran agama yang baik walau masih banyak yang perlu diperbaiki namun sebagai permulaan ke arah perubahan ia suatu fenomena yang bagus, menunjukkan kita masih belum terlewat untuk mengubahnya dan juga tanda kita mempunyai kekuatan yang cukup besar untuk mengubahnya andai masyarakat benar-benar inginkan perubahan.

Walaupun begitu ada beberapa bidang atau aspek yang masyarakat masih kurang mencari cop “HALAL” nya, lihat sejenak dari segi seni dan hiburan yang masih menjadi kegilaan umat Islam untuk menjadi penghibur atau penyanyi tersohor yang hanya ibarat fantasia di alam mimpi.

Namun begitu kita juga belum mempunyai alternatif terbaik yang menawarkan seni hiburan yang terjaga ke“halal”annya hingga mampu menarik umat ini untuk mengubahnya, hanya seketika kita melihat sekumpulan penyanyi nasyid yang menggegarkan negara dengan kutipan jualan melebihi ratusan ribu unit yang belum mampu diatasi saat ini oleh penyanyi lain. Sayangnya ia belum berjaya meneruskan kesinambungan hingga akhirnya tetap tenggelam dek hiburan hedonisme para pencinta hiburan moden.

Bahkan mereka cukup rancak merancang pelbagai program yang cukup gah dan “enjoy forever” di serata pelusuk negeri. Sedangkan hiburan yang sedikit “Islamic” hanya terselit di celah-celah kesesakan hiburan moden. Nampaknya aspek ini masih kurang kesedaran untuk mencari yang “HALAL” jauh sekali dikalangan bukan Islam.Emm…


Satu lagi bila melihat aspek perhubungan antara lelaki dan wanita, masih banyak yang belum mahu mencari cop “HALAL” masing-masing, hingga pelbagai kisah dapat kita saksikan dan dengar dimana-mana tentang masalah sosial dikalangan lelaki dan wanita. Silakan membaca luahan-luahan segelintir masyarakat kepada ustaz-ustaz ataupun para motivator yang pastinya cukup lali diadukan permasalahan kronik antara lelaki dan wanita yang bukan sahaja menimpa kalangan awam bahkan di kalangan mereka yang mempunyai fikrah Islam saja bisa terjadi, hanya diri yang terlibat saja dapat menjawab benar atau tidak bahawa ia memang berlaku.

Mereka masih belum bersungguh-sungguh mencari ke“halal”an perhubungan mereka walau pelbagai peristiwa yang merosakkan jiwa dan tubuh mereka telah dirobek-robek akibat keenganan mereka mendapatkan pengesahan “HALAL” hanya dengan sepotong kalimah yang cukup pendek yang namanya “AKAD”, menjadi perjanjian yang kukuh antara dua insan yang pastinya mempunyai fitrah dan keinginan masing-masing. Ketika kalimah itu telah terlafaz maka hilanglah segala yang diharamkan kemudian kalian telah memperoleh lesen “HALAL” untuk digunakan sebaik-baiknya selagi belum diucapkan “expired date”nya. Ya ia masih belum disedari masyarakat sepenuhnya untuk mencari “halal” dalam perhubungan akibat pelbagai tekanan dan kekangan. Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah mahupun yang bakal mendapatkan cop “HALAL” kalian dengan sebuah “PERNIKAHAN”. Moga bakal menjadi pemimpin generasi bertakwa yang bakal merasai syiar Islam di bumi tercinta ini. Lalu mudah-mudahan bagi mereka yang belum termasuk diri ini berdoalah dan berusahalah agar kita bakal merubahnya hingga masyarakat akan melihatnya sebagai satu tuntutan yang harus dilaksanakan sebaik mungkin.

Sekadar menyebut beberapa aspek kehidupan agar dapat menjadi renungan bersama, realitinya masih banyak yang belum kita cari cop “HALAL” dalam hidup ini, berusahalah untuk mendapatkan yang halal kerana ia adalah suatu kewajipan sebagai seorang MUSLIM, tanda kalian adalah orang yang menjaga agama dan dirimu. INSYA ALLAH

“Dari Abu Abdillah An-Numan bin Basyir ra. berkata: Aku mendengar RasululLLAH saw. bersabda, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, antara keduanya terdapat yang samar yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. Barangsiapa menjaga diri dari hal-hal yang samar itu, maka ia telah menjaga agama dan harga dirinya, dan barangsiapa yang jatuh dalam perkara yang samar, maka ia telah jatuh dalam wilayah haram, seperti seorang pengembala yang menggembala di sekitar daerah terlarang, sedikit sahaja ia akan masuk kedalamnya. Ketahuilah setiap Raja mempunyai daerah larangan. Ketahuilah sesungguhnya daerah larangan ALLAH adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad terdapat segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rosak maka rosaklah pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.” [HR Bukhari dan Muslim]


Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
20 Syawal 1428H, 01:20a.m


Tuesday, October 30, 2007

AKAL YANG HIDUP



Al-Quran memimpin manusia agar sentiasa menjadi golongan yang sentiasa menggunakan akal sebaik-baiknya, begitu banyak ayat-ayat ALLAH mengajak manusia agar berfikir.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”[Ali ‘Imran 3:190-191]
“…..Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah: "Apakah sama orang yang buta dengan yang melihat?" Maka apakah kamu tidak memikirkan(nya)?"[Al-An’am 6:50]

“Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.[Az-Zumar 39:18]

Sejauh mana kita telah gunakan akal ini dalam kehidupan kita, apakah yang sering berlegar dalam fikiran kita sehari-hari, berapa peratus potensi akal kita dimanfaatkan, adakah ia membawa kita lebih mengenal tujuan hidup atau membuatkan kita lebih mengenal kehendak nafsu semata-mata.

Mampukah akal ini memandu anugerah ALLAH yang lain untuk memikir dan melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada hamba-Nya atau akal ini dibiarkan saja hingga membuatkan pemiliknya terus leka dan lalai dari memikirkan anugerah ALLAH kepadanya sepertimana ALLAH gambarkan mereka seperti binatang yang tidak diberikan kelebihan untuk menggunakan akal bahkan lebih teruk dari itu.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”[Al A’raaf 7:179]

Jadi, jangan sia-siakan anugerah akal yang kita miliki hingga ke saat ini, kerana andai ALLAH ingin mengambilnya kembali bukan suatu yang mustahil. Tetapi kerana kita sudah lama mendapat nikmat akal ini hingga terlupa akan pemilik sebenar-Nya menyebabkan kita hanya menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri bukan untuk kepentingan agama-Nya.

Bagi yang berstatus pelajar, seluruh akalnya akan dimanfaatkan untuk pengajiannya demi mendapat keputusan yang terbaik, begitu juga yang bekerja, akalnya akan diperah untuk menyiapkan semua tugasan yang diberikan sebaik-baiknya demi mendapat pendapatan yang sewajarnya. Salah ke begitu???

Pastinya tidak kerana memang begitulah sepatutnya kerana Islam tidak pernah menghalang kita mencari keuntungan di dunia ini baik melalui pengajian mahupun pekerjaan.

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.”[Al-Qashash 28:77]

Namun jangan sampai ia melupakan kita dari mencari kebahagiaan akhirat kita, lalu pengajian mahupun pekerjaan kita harus juga mengingatkan kita untuk mencari keuntungan akhirat bahkan itulah yang lebih harus difikirkan persis seruan ayat diatas dimulakan dengan mencari kebahagiaan akhirat sebelum mencari kenikmatan dunia.

Pernahkan kita berfikir bagaimana pengajian dan pekerjaan kita mampu untuk menyumbang saham akhirat kita kelak??Andai belum maka masih belum terlewat untuk memikirkannya selagi ALLAH masih lagi mengurniakan nikmat akal kepada kita, cuma terpulang kepada yang empunya badan sama ada ingin memikirkannya atau tidak.

Kerana disana ada individu yang tidak langsung mahu menggunakan akalnya sama ada untuk kemajuan dirinya mahupun umatnya, mereka lebih rela membiarkan diri dengan kemunduran dalam kehidupan dan kejahilan dalam agama, mereka merasakan taraf hidup mereka tidak akan pernah berubah begitu juga dengan anak-anak mereka lantaran tidak mempunyai keinginan untuk berubah disamping tidak mempunyai pertolongan yang sewajarnya dari pihak bertanggungjawab, apatah lagi ceteknya pengetahuan tentang agama tanpa ada tempat untuk dirujuk kerana sedikitnya golongan yang ingin menyampaikan risalah agama kepada mereka.

Di satu sisi lagi hebat dari segi taraf kehidupan namun lemah dari segi sumbangan kepada agama, sebahagian lagi hebat dari sumbangan untuk agama namun mempunyai taraf kehidupan yang serba kurang walau bukan semua begitu.

Hambatan-hambatan ini menyukarkan proses untuk merealisasikan cita-cita perjuangan kita yang tampak hebat dari segi teori namun masih lemah dari segi praktikalnya. Di mana silapnya……, Kitalah generasi yang harus mengubah dan memulakan langkah yang pertama, menjadi bangsa yang memikirkan kemenangan Islam disamping memajukan diri dalam segenap aktiviti kehidupan.Ya, ia harus seimbang kerana alam ini juga dicipta dengan penuh keseimbangan.

Mudah-mudahan ALLAH memberikan kita akal yang hidup agar dapat memikirkan jalan keluarnya dan dengan harapan untuk umat ini kembali kepada fitrahnya yang inginkan keamanan dengan memilih dan melaksanakan Islam dalam segenap kehidupannya. Gunakanlah anugerah akalmu itu wahai sahabatku demi mencari nikmat dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak.

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui[Ar-Ruum 30:30]

With best wishes,
Mohd Halimi Abdul Aziz
18 Syawal 1428H 1:32a.m


Wednesday, October 24, 2007

JIWA YANG GELISAH



“Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu
dari rasa gelisah dan sedih,
dari kelemahan dan kemalasan,
dari sifat pengecut dan bakhil,
dari tekanan hutang dan kesewenangan-wenangan orang”


Saban hari setiap pagi dan petang inilah salah satu doa yang sering dilafazkan sebagai amalan rutin yang harus dilaksanakan sebagai penjaga diri harapnya, namun realitinya ia hanya lafaz di bibir sahaja tanpa sebarang penghayatan dan pengharapan. Sedangkan setiap doa harus diucapkan dengan perasaan harap dan cemas sepertimana doa Nabi Zakaria a.s yang mengharap agar doanya dikabulkan ALLAH dan khawatir akan azab-Nya

“……….Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami.”[Al Anbiya’ 21:90]

Kerana diri ini mempunyai jiwa yang sering gelisah, maka doa hanya menjadi pelengkap amalan harian, setiap doa yang diucapkan belum mampu dihayati sepenuhnya hingga lafaz doa itu tidak mampu membangkitkan semangat bahkan semakin hilang dari sehari ke sehari.

Hidup menjadi semakin tidak tentu arah tanpa diketahui sebab musababnya, mengganggu tumpuannya dalam pengajian masternya, apatah lagi jika ditanya tentang dakwahnya.
Andai sebelum ini berusaha sebaik mungkin untuk merutinkan diri menulis artikel saban minggu tetapi sekarang kemalasan semakin bertambah hingga tidak menulis apa-apa walau telah masuk minggu yang ke-3

Apakah diri ini terlalu sibuk menyiapkan ‘proposal master’ yang bakal dibentangkan minggu depan hingga terpaksa mengambil masa berminggu-minggu walau realitinya ia hanya mula dibuat dalam minggu yang terakhir sebelum pembentangan atau terlalu sibuk membaca jurnal-jurnal yang harus dikuasainya lantaran bimbang dengan soalan-soalan yang bakal ditanya oleh sekalian pensyarah bertaraf Professor kelak.

Itulah yang sedang terjadi saat ini, diri yang serba lemah ini sedang meninggalkan segala tanggungjawab lain kerana merasakan ada urusan yang lebih harus disibukkan walau ia tidaklah sesibuk mana seperti yang dibayangkan.

Jiwa ini sedang terlena dengan dunia kesibukannnya yang hanya ibarat fatamorgana hingga terlupa akan kewajipan yang lebih besar yang perlu dilaksanakannya.

Jiwa ini merasakan saat ini dia menghadapi ujian dan musibah yang cukup besar dalam hidupnya lewat pengajian yang sedang dilaluinya, ia merasakan seolah-olah ujian ini bakal memusnahkan hidupnya andai tidak berjaya dihadapi dengan sebaiknya.

Jiwa ini terus gelisah dengan ujian yang terlalu kecil itu hingga tidak tentu arah jadinya, segala yang dibuat serba tidak menjadi namun doa diatas masih tetap dilantunkannya saban hari.
Jiwa ini mungkin terlupa ketika saat kita melupakan ALLAH maka diri ini juga menjadi lupa akan sebab akibat segala perbuatannya

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”Al Hasyr 59:19]

Diri ini sering merasakan masanya tidak pernah cukup sedangkan dialah yang sering mengabaikan masa lapangnya dengan aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat untuk dirinya dan orang lain, mungkin diri ini terlupa bahawa ada insan yang lebih banyak komitmen lain yang harus dijaga seperti mentelaah pengajian, mendidik isteri, menjaga anak dan sebagainya namun masih mampu meluangkan masanya untuk mendidik dan mengislahkan umatnya di sela-sela masanya yang terbatas itu.

Namun diri yang serba tiada apa-apa tanggungan ini melainkan pengajian atau kerjanya seringkali tiada masa atau tidak cukup masa untuk menunaikan tanggungjawabnya untuk umat lewat lisan mahupun tulisan.

Walaupun begitu dia sentiasa mengeluh ketika melihat umat ini semakin jauh dari agamanya, semakin buruk akhlaknya, semakin tipis imannya, semakin hilang ukhwah sesama kelompok lain dan pelbagai lagi, itulah keluhannya dan ternyata dia hanya mampu mengeluh tanpa berbuat apa-apa kerana AKU SIBUK…..menjadi alasan yang cukup popular.

Ya ALLAH adakah ini tandanya diri ini gagal memanfaatkan madrasah ramadhan-Mu yang baru sahaja pergi, kerana jiwa ini masih lagi gelisah dengan ujian yang telah tetap disisi-Mu

“Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.[Al Hadiid 57:22]

Takdir itu ibarat segengam garam yang jika diisi dalam sebuah gelas berisi air pasti rasanya masin yang teramat namun segenggam garam yang sama diisi dalam sungai mahupun laut, rasa masinnya pasti tidak terasa akibat telah lenyap dalam keluasan air sungai, air dalam gelas dan sungai itu adalah keluasan hati/jiwa yang menerima takdir dari Ilahi yang berupa nikmat mahupun musibah.

Ya ALLAH jadikanlah jiwa hamba-Mu ini seluas sungai agar tenang menghadapi segala takdir-Mu yang telah engkau tetapkan buat diriku yang serba lemah ini.

Jiwa ini harus mula menghayati kembali bait-bait doa diatas agar selepas ini kegelisahan mula hilang, kesedihan mula lenyap, kelemahan mula pupus, dan kemalasan mula terkubur .Amiin….

“Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?, dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu, yang memberatkan punggungmu, Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu, Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap”[Al Insyirah 94:1-8]


p/s- SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN
- TAQABBAL ALLAHU MINNA WA MINKUM
- JANGAN LUPA PUASA SUNAT ENAM HARI DI BULAN SYAWAL


Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
13 Syawal 1428H 12:56a.m.

Sunday, September 30, 2007

MASA SEMAKIN SUNTUK

Sedar mahupun tidak ia sudah semakin menghampiri penghujungnya, masa semakin suntuk untuk kita mendapat rahmat dan keampunan yang melimpah ruah dari Yang Maha Pemurah dan Pengampun. Ya ALLAH jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa memohon rahmat dan keampunanMU dalam menghadapi malam-malam yang mendatang kelak.

Namun kadang kala jiwa ini merasakan kemalasan untuk beribadah kepada-Nya lantaran semangat yang kian luntur. Boleh jadi kerana menjelangnya pertengahan Ramadhan, semangat beribadah sudah bertukar menjadi semangat untuk berhari raya, apatah lagi bila mendengar dendangan lagu-lagu raya yang cukup indah mahupun menyayat hati, bahkan cukup mudah untuk mendengarnya saat berkunjung di pasaraya di setiap tempat, tidak terkecuali bagi mereka yang menjadikan lagu-lagu raya sebagai lagu tema alat komunikasi dan komputer masing-masing. Ayuh kita menyambut kehadiran syawal, itulah laungan mereka.

Sedangkan Ramadhan masih lagi menyediakan pelbagai tawaran yang maha hebat bagi umat akhir zaman ini, ternyata tawaran itu hanya diketahui oleh mereka yang sentiasa mendambakan maghfirah-Nya, tawaran itu tidak bermakna andai kita tidak merebutnya, adakah kita masih lagi mengharapkan agar selepas berakhirnya Ramadhan ini kita bakal menjadi orang-orang yang bertakwa, andai itu masih menjadi cita-cita kita maka pendamkan dahulu kegembiraan syawal kita dengan mengisi hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan beribadah kepada-Nya dengan jiwa yang tenang dan ikhlas.

Betapa harus kita bimbang andai Ramadhan ini berlalu begitu sahaja tanpa ada perubahan dari segi amalan mahupun identiti kita kelak sebagai seorang Muslim. Andai Ramadhan ini belum mampu mendidik diri kita agar merealisasikan firman ALLAH mudah-mudahan kita menjadi orang bertakwa, maka boleh jadi Ramadhan ini hanya menjadikan kita penat dan lapar semata-mata dan lebih menyedihkan selepas Ramadhan kita terus tenggelam dalam kelalaian dan kealpaan dunia.

“ Betapa banyak orang yang berpuasa, tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu dari puasanya itu melainkan lapar. Dan betapa banyak orang yang melakukan solat malam, tetapi ia tidak mendapatkan sesuatu dari solat malamnya itu kecuali tidak tidur [HR Nasa’i,Ibnu Majah dan Al Hakim]

Wahai sahabatku doakanlah agar diri ini dan kalian semua memanfaatkan saat-saat yang berharga ini agar dapat bertemu dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan kerana kita belum dijamin bakal mendapat saat-saat seperti ini lagi kelak bahkan esok sahaja kita masih belum tahu sama ada masih ada peluang untuk memohon keampunan-NYA. Diri ini terlalu banyak melupakan nikmat-nikmat-Mu, bahkan berapa banyak maksiat dan dosa yang diri ini lakukan sama ada sedar mahupun tidak, sama ada secara zahir mahupun tersembunyi.

Ya ALLAH jadikanlah kami hamba-hambaMu yang mengetahui segala kesilapan dan dosa yang kami lakukan agar dengan mengingatinya kami akan sentiasa memohon ihsanMu agar mengampuni segala dosa-dosa kami.

Ya ALLAH berikanlah semangat dan kekuatan kepada diri yang serba lemah ini agar tegar beribadah kepadaMu, melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan kepada diri ini, membina kembali generasi baru yang bakal menyebarkan cahaya agamu-Mu walau ada yang membencinya, menerapkan kembali syariatMu dalam jiwa-jiwa kami agar ia dapat tertegak kembali di bumiMu.

Ya ALLAH tabahkanlah jiwa ini menghadapi segala ujian dan dugaan yang kami tempuhi dalam kehidupan yang penuh tipu daya ini dengan bersyukur dengan segala nikmat yang kami terima dariMu dan bersabar dengan musibah yang juga dariMu.

Ya ALLAH masa semakin suntuk bagi kami dalam mengharapkan maghfirahMu, maka kami berharap dapat merasai nikmat beribadah kepadaMu dalam malam-malam kemuliaan yang bakal kami lalui, mudah-mudahan malam yang istimewa dan penuh barakah itu dapat kami gapai sebagai hambaMu yang bertuah.

Ya ALLAH ingatkan kami andai terlupa untuk memanfaatkan madrasah Ramadhan ini dengan sebaik-baik amalan yang mampu kami berikan agar kelak kami dapat menuai hasilnya sebagai hambaMu yang bertakwa. Amiiin.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukan kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dah Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar.”[Al-Qadr 97:1-5]

Al Faqir IlaLLAH
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 20 Ramadhan 1428H 11:44p.m.

Monday, September 17, 2007

KEMULIAAN YANG TERCEMAR


Alangkah mulianya bulan ini, penuh dengan rahmat dan kasih sayang Ilahi kepada hamba-hamba-Nya . Dengan kasih sayang-Nya, dapat dilihat berbondong-bondong manusia menuju rumah-Nya saat tiba masa untuk beribadah, terasa begitu mudah untuk melaksanakannya berbanding bulan-bulan yang lalu, semangat juga berbeza saat melakukan ibadah lantaran ramainya manusia yang turut melakukannya. Inilah fitrah yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang makhluk yang bernama hamba ALLAH tanpa mengira masa-masa tertentu, namun manusia mudah lupa kepada Rabb yang menciptakan dirinya. Adakah aku salah seorang daripadanya???

Adakah kemuliaan bulan ini telah tercemar oleh perbuatan kita yang merosakkan kemuliaannya, adakah kalian melihat ada segolongan manusia yang masih tetap menyebarkan hadith-hadith yang palsu saat tibanya bulan yang mulia ini dengan ganjaran yang melampaui batasan akal dan nas yang sahih, ternyata hadith-hadith yang sahih tentang keutamaan bulan yang mulia ini seolah-olah masih belum cukup. Jangan biarkan umat ini bersemangat melakukan ibadah dengan ganjaran –ganjaran yang palsu kerana matlamat yang Islam ingin capai tidak pernah menghalalkan cara yang bukan Islam ajarkan. Cukuplah dengan hadith yang sahih menjadi sandaran kita tentang kelebihan bulan ini. Adakah aku memahaminya???

“Barangsiapa mengerjakan qiyam Ramadhan kerana iman dan mencari ridha ALLAH, maka diampunilah dosanya yang telah lalu.”[HR Bukhari dan Muslim]

Dimanakah nilai kemuliaan bulan ini andai masih lagi kita lihat segolongan manusia tanpa segan silu berdua-duaan tanpa ikatan yang sah di tempat-tempat yang terbuka, mereka saling berpegangan bahkan berpelukan dengan cukup selamba, sedangkan mata ini cukup sakit memerhatikannya walau hanya sekejap, betapa sedihnya diri ini kerana tidak mampu untuk mencegahnya lantas hanya mampu membenci jauh di sudut hati disamping meluahkannya lewat tulisan yang serba kekurangan ini tanda lemahnya imanku. Sedangkan Nabiku bersabda:

“Dari Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda. “Barangsiapa diantara kalian melihat suatu kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya; jika tidak mampu; maka dengan lisannya;dan jika ia masih tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman”[HR Muslim]

Dimanakah sifat malu dalam diri mereka, adakah malu itu sudah hilang dalam jiwa umat ini hingga menjadikan mereka seolah-olah tidak merasa bersalah saat melakukan maksiat dan kemungkaran di bulan kemuliaan ini. Bahkan mereka melakukannya ketika syaitan-syaitan dibelenggu daripada berleluasa menyebarkan kejahatannya, adakah ini tanda hati sudah gelap dengan titik-titik hitam akibat maksiat dan dosa yang mereka perbuat dalam bulan-bulan yang lalu. Jagalah sifat malumu wahai sahabatku kerana ia juga salah satu tanda keimanan orang yang bertakwa.

“Malu adalah sebahagian dari iman”[HR Muslim]

Mudah-mudahan sifat itu masih kukuh dalam sanubari kita, agar dapat menjaga kita daripada melakukan kemungkaran lebih-lebih lagi di bulan yang penuh keberkatan ini, andai ALLAH memberikan pahala berlipat ganda atas amal soleh yang kita lakukan di bulan ini, adakah mungkin ALLAH juga melipat gandakan dosa kita atas kemungkaran dan maksiat yang kita perbuat di bulan ini, mari kita renungkan bersama agar kita dapat meletakkan diri kita dalam golongan yang beruntung kerana kita bebas untuk memilih jalan yang ingin kita lalui, jalan kefasikan atau jalan ketaqwaan.

Jadikanlah bulan ini medan untuk kita mengenang sahabat-sahabat seIslam kita di seluruh bumi ALLAH ini yang mungkin serba kekurangan dan kesedihan melalui bulan kemuliaan ini, jangan kita terlalu mewah dengan pelbagai juadah makanan untuk di ratah sepuas-puasnya hingga terlupa mereka yang tidak mampu menikmatinya seperti kita, apatah lagi andai makanan itu berlebihan hingga dibuang begitu sahaja walau telah cuba untuk menghabiskannya setelah penat melakukan solat sunat tarawih, kerana membazir bukan sifat yang Islam ajarkan, bersederhanalah wahai sahabatku.

".......makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”[Al- A’raf 7:31]

Hiasilah bulan ini dengan sebaik-baiknya kerana ia baru bermula, madrasah Ramadhan ini masih terbuka untuk mentarbiyah umat ini agar dapat melaluinya dengan penuh keimanan dan membentuk peribadi yang terbaik hingga mampu menjadi pejuang yang sejati. Jangan lupakan cita-cita kita agar di penghujung Ramadhan ini kita berjaya menggapai gelaran orang-orang yang bertakwa lantaran aqidah dan amal soleh yang kita perbuat di bulan kemuliaan ini. Bulan ini masih belum tercemar maka sucikanlah iman dan amalmu.

“………..mudah-mudahan kamu bertaqwa.” [Al Baqarah 2:183]


Al ‘Abd Ad ‘Dhaif,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 10 Ramadhan, 12:58a.m.

Tuesday, September 11, 2007

SUCIKAN DIRIMU


Ia hadir di saat jiwa ini merinduinya, ia tiba tatkala hati ini ingin mendapatkannya, ia datang ketika diri ini ingin menghampirinya, perasaan yang hanya dirasai oleh mereka yang benar-benar ingin menjadi orang yang bertakwa dalam kehidupan mereka. Adakah aku merasai kehadirannya???

Hadirnya menyerikan seluruh penghuni langit dan bumi, melimpahkan rahmat ke seluruh alam, menyelimuti jiwa-jiwa yang sentiasa mendambakan keindahannya. Bulan yang penuh berkat dan rahmat, RAMADHAN kembali menyinarkan cahayanya buat umat ini.
Ternyata ALLAH masih memberi kesempatan buat diri ini bertemu dengan Ramadhan, bulan untuk membersihkan diri dari dosa dan noda yang dilakukan pada bulan-bulan yang lalu. Moga diri ini dapat memanfaatkan hari-hari mulia yang tiba nanti untuk menyucikan dirinya. Renungilah setiap apa yang ingin kusampaikan buat mereka yang ingin mendengarnya.

Sucikan dirimu daripada pengaruh kesesatan yang dapat mengugat akidah suci yang kita miliki, kesesatan yang menjauhkan kita daripada hidayah-Nya lantaran membelakangkan ajaran Ilahi, ingatlah pesan Luqman kepada anaknya yang tercinta;

"Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."[Luqman 31:13]

Sucikan dirimu daripada menyebarkan sesuatu yang tidak pasti hujung pangkalnya, apatah lagi yang melibatkan hukum tanpa dalil dan hujah yang nyata kerana ulama salaf mahupun khalaf sahaja cukup berhati-hati dalam soal hukum, juga kerana agama ini dibina dengan kekuatan dalil dan hujah yang jelas, setiap ucapan dan amalan yang dibuat harus bersandarkan kaedah yang Islam ajarkan agar agama ini tidak dicaci dan dihina lantaran kesilapan yang kita lakukan akibat kejahilan diri sendiri. Andai tidak tahu maka tanyakan kepada mereka yang lebih arif.


“……maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu
tidak mengetahui”[An-Nahl 16:43]

Sucikan dirimu daripada pelbagai prasangka buruk kepada insan lain, lebih-lebih lagi sahabatmu kerana kebanyakan prasangka itu adalah dosa, andai tersilap dalam ucapan mahupun tindakannya ia adalah kelemahan seorang insan yang sering lupa dan tersilap, jika ALLAH saja mengampunkan umat ini atas kesilapan atau kelupaannya, lalu kita lebih harus memaafkan insan yang bernama sahabat.

“Dari Ibnu Abbas ra. Bahawa Rasulullah saw bersabda, “ Sesungguhnya ALLAH mengampuni umat atas kesalahan , kelupaan dan atas sesuatu yang dipaksakan kepadanya.”[Hadith Arba’in- 39 hadith hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah , Baihaqi dan lain-lain]

Sucikan dirimu daripada terlalu mengharapkan balasan atas segala kerja mahupun pengorbanan kepada insan lain sekalipun ucapan terima kasih atau lebih rendah daripadanya, ia memang tidak adil andai tidak ada sebarang penghormatan atas segala usaha yang kita sumbangkan, namun siapalah kita untuk mengeluh hanya kerana tiada balasan setimpal yang kita merasakan harus memilikinya, kerana Raja segala makhluk sahaja sering berfirman hanya segelintir yang berterima kasih kepada-Nya.

“…….Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih”[Saba’ 34:13].

Sucikan dirimu daripada melihat aurat yang bukan hakmu selagi belum sampai saat dan ketika untuk melihatnya, kerana menjaga kesucian itu lebih utama daripada memuaskan hawa nafsu tanpa kaedah dan jalan yang Islam tunjukkan.

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya…[An Nuur 24:30]
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya…[An Nuur 24:31]

Sucikan dirimu daripada membuka segala ‘perhiasanmu’ selagi belum sampai saat dan ketika untuk membukanya daripada dilihat oleh mereka yang tidak layak melihatnya hingga mampu menggoncang nafsu sang lelaki mahupun wanita, lantas jiwa semakin tertekan kerana gelojak nafsu yang kian membara hingga membawa kepada kemaksiatan yang menghancurkan moral umat dan tamadun.

“Semua peristiwa(penzinaan) itu bermula dari memandang. Dan api yang besar itu berasal dari percikan api yang kecil”[kata-kata seorang penyair]

Sucikan dirimu dengan solat yang khusyuk agar menjadi tanda bagi orang-orang yang berjaya sebagai seorang mukmin.

Sucikan dirimu dengan tilawah quran dan tadabbur ayat-ayat-Nya agar ia dapat menyucikan jiwa yang sering kotor ini dengan cahaya-Nya,

Sucikan dirimu dengan hadith-hadith sahih di bulan yang mulia ini agar tidak sekali-kali dicemari dengan amalan atau ganjaran yang datang dari sumber yang palsu,

Sucikan dirimu dengan tahajud dikala insan lain senang lena diulit mimpi agar diri ini terjaga dari bisikan syaitan dan hawa nafsu,

Sucikan dirimu dengan menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh agar ia menjadi penyuluh kehidupan dunia dan akhirat,

Sucikan dirimu dengan bekerja sebaik mungkin dengan penuh amanah dan ikhlas dalam melaksanakannya agar ia bakal menjadi amal kita yang terbaik,

Sucikan dirimu dengan RAMADHAN yang tiba dengan sungguh-sungguh, mengharapkan keampunan-Nya, petunjuk-Nya dan rahmat-Nya kerana siapa tahu ini adalah Ramadhan kita yang terakhir sebelum kita menghadap-Nya.

Selamat datang wahai bulan kemulian, moga kehadiranmu membuatkan diri ini lebih bersemangat untuk menjadi dan membina generasi Rabbani yang mendambakan kemenangan Islam.Adakah kalian pun begitu?????

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”[Al Baqarah 2:83]


Al Faqir ila Rabbihi,
Mohd Halimi Abdul Aziz
Menjelang 1 Ramadhan 1428H 12:55am

Thursday, August 30, 2007

KONVOKESYEN

Hari itu semakin hampir, alangkah indahnya saat tibanya hari yang bersejarah itu, inilah hari yang sentiasa dinantikan oleh seorang mahasiswa setelah memerah keringat untuk mendapat segulung ijazah. Alangkah bertuahnya hari itu dengan pakaian jubah, blazer kot, mortar dan hood yang akan dipakai lagak seorang yang akan menamatkan zaman pembelajarannya di sebuah institusi pendidikan.

Ia adalah hari yang paling bersejarah, hari yang pasti tidak akan dilupakan, setiap saat pasti dirakam lewat kamera mahupun video. Hari Konvokesyen yang penuh gilang gemilang itu sentiasa menjadi dambaan seorang mahasiswa. Segala persiapan telah dibuat dan setiap gerak langkah diajar dengan penuh tertib. Senyuman harus sentiasa terukir dibibir tatkala sampai giliran untuk menerima skrol masing-masing, walau ia hanya mengambil masa beberapa minit mahupun saat sahaja.

Sebagai tanda penghormatan, penyampai ijazah adalah dari kalangan orang-orang kenamaan, bahkan yang namanya Sultan juga sanggup mencemar duli menjadi penyampai ijazah kepada sang mahasiswa. Bertuah sungguh insan tersebut.

Seluruh sanak saudara, rakan taulan akan berkumpul meraikan kejayaan menghabiskan pengajian masing-masing, segala penat lelah mahupun perbelanjaan untuk menghadiri upacara konvokesyen terasa hilang setelah melihat kejayaan sang anak menggulung sekeping ijazah.

Itulah hari yang merakamkan detik-detik yang menggembirakan semua, namun disana ada hari yang bahkan lebih besar dan lebih banyak orang yang menghadirinya. Andai hari konvokesyen hanya untuk individu yang berjaya menamatkan pengajian namun hari yang pasti kita akan temui nanti adalah untuk semua individu sama ada yang berjaya mahupun tidak iaitu “Konvokesyen Mahsyar”

Pakaian yang bakal dipakai nanti tidaklah semegah konvokesyen universiti, hanya sehelai kain putih menyelimuti badan, tidak perlu mengikut pelbagai protokol seperti tunduk hormat mahupun bersalam terlebih dahulu sebelum menerima “skrol kehidupan” masing-masing bezanya adalah sama ada kita menerima “skrol kehidupan” itu sebelah kanan atau sebelah kiri

Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata: "Ambillah, bacalah kitabku (ini)". (QS. 69:19)
Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: "Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini), (QS. 69:25)

Jika waktu pengajian kita selama tiga tahun atau lebih membuatkan kita bertungkus lumus demi untuk menyelesaikan pengajian agar dapat menghadiri hari konvokesyen masing-masing, maka persiapan untuk menghadiri Konvokesyen Mahsyar lebih harus dilaksanakan kerana ia adalah hari yang telah ditetapkan, hanya menunggu masa dan ketika dan kita adakah telah bersedia atau tidak untuk menghadirinya. Adakah saat dan ketika itu kita mempunyai wajah yang ceria lantaran “ahsanul amala” yang kita lakukan atau wajah yang muram lantaran “fahsya wal mungkar” yang kita kerjakan.

pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram. Adapun orang-orang yang hitam muram mukanya (kepada mereka dikatakan): "Kenapa kamu kafir sesudah kamu beriman Karena itu rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu". (QS. 3:106)
Adapun orang-orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam rahmat Allah (surga); mereka kekal di dalamnya. (QS. 3:107)

Kalian masih mempunyai masa untuk berubah, andai tersalah memilih jalan kehidupan, andai telah berubah mudah-mudahan ALLAH berikan kekuatan untuk istiqamah di jalan kebenaran dengan memegang Islam secara menyeluruh dalam wajahnya yang sebenar.

Itulah ayat-ayat Allah, Kami bacakan ayat-ayat itu kepadamu dengan benar; dan tiadalah Allah berkehendak untuk menganiaya hamba-hamba-Nya. (QS. 3:108)

Kepada kalian yang telah mahupun bakal menghadiri konvokesyen masing-masing, jadikan ia sebagai permulaan untuk menggapai kejayaan yang lebih hakiki di “Konvokesyen Mahsyar” kita kelak.
Andai konvokesyen adalah tanda sebuah kemerdekaan bagi seorang mahasiswa dalam pengajiannya, moga kelak ketika konvokesyen mahsyar akan menjadi kemerdekaan bagi seorang manusia dalam kehidupannya. Kemerdekaan yang membentuk peribadi dan jiwa yang tenang.

Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diridhoi-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku,dan masuklah ke dalam surga-Ku. (QS. 89:27-30)

Salam kemerdekaan buat negaraku yang tercinta, namun diri ini masih belum mampu memerdekakan dirinya lantaran kurangnya kesungguhan untuk merealisasikan kata-kata seorang pejuang Islam tatkala berhadapan dengan seorang panglima perang.

“Kami berjuang untuk mengeluarkan (memerdekakan) umat daripada penyembahan kepada manusia kepada penyembahan kepada ALLAH semata-mata, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada kejumudan agama kepada keindahan dan keadilan Islam”.

Sempena Hari Konvokesyen UPM kali ke-31 pada 25-29 Ogos yang lalu, sekadar peringatan buat diri dan sahabat.

Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
BS(K)- Microbiology
Now Master of Science(2007/2009)
31 OGOS 2007 11:52a.m

Friday, August 24, 2007

Sejarah,
Membataskan kegilaanku,
Pada kedhaifan dan kenaifan.

Sejarah,
Mencampakkan aku,
Ke lurah pengetahuan,
Aku ditimpa,
penyakit kesahihan yang bertubi-tubi.

Melarikan diri dari sejarah,
Umpama meletakkan diri,
Di tebing tertinggi Grand Canyon.
Ia seolah-olah menafikan hembusan
Ilmu seorang guru pada si murid.

Padaku, aku tabalkan sultan,
Yang isinya sejarah,
Kerana ia akan setia menjadi batasan,
Sempadan tindakan dan perlakuan,
Kerana ia bakal menjadi perhatian,
Jiwa yang melirih penuh kedhaifan.

Moga sejarah itu menjadi pokok,
yang cabangnya ku rintis,
dengan bilah-bilah ketaqwaan,
moga sirah itu terpahat,
dalam sanubari insan.
Moga kelak sejarah,
Menjadi tunjang dan penghubung,
Antara dua zaman.


Regards
Faqir il Allah
Sejarah
Majulah ikhwah untuk Dakwah
EF
Loyal Mujahid

Terkadang ku takut, Ya Allah,
Kerna diri ini, bila iri,
Lantas ia sering melupai,
Cebisan kerisauan itu, sering
saja membuatkan diri rasa sunyi-

Lantaran kedhaifan diri
yang begitu meragut,
Kerap aku mengecam,
selepas puas dikecam,
namun penghujungnya, penyudahnya,
membutakan hati, merencatkan minda,

Aku risau, lantaran nama-nama hebat,
Sering saja kedengarannya gugur,
Menggugupkan yang tinggal,
Adakah bisa diri ini juga merasa ,
kepahitan sang pengembala,
tatkala mengatur jarum-jarum,
kehidupannya.

Puas aku berkeras,
Untuk memaksa kejahilan,
Keluar dari lekuk-lekuk minda,
Supaya tiada lagi kekangan atau
Sebarang bentuk alasan.

Apakah kekacauan ini,
Bisa memekak telinga,
Dengan pendapat yang sering saja tersasul,
Dengan keputusan yang menzahirkan kebaculan.

Hampir tiba saatnya,
Sekarang diri perlu berdiri,
Kalau perlu ia dihadapan,
Ia jadi tamsilan,
Kalau perlu seiringan,
Ia jadi pedoman.


Regards
Faqir il Allah
Diri Ini
Majulah ikhwah untuk Dakwah
EF Loyal Mujahid



Demi masa,
Yang aku sering lari daripadanya,
Dimana aku menampakkan tawanya,
Menilai kehidupan pada kelompok kealpaan.

Sungguh, manusia itu dalam keraguan,
Pada masa, ruang dan tenaga,
Sungguh apa yang dibazirkan itu,
Bakal dituntut untuk perhitungan.

Apa yang hnedak dibahaskan,
Pada ketika dan saat yang dharurat ini,
Duduk sendiri, amal nafsi-nafsi,
Sedangkan titisan darah mencorak palitan jihad.

Persekitaran yang memerlukan pemantauan,
Pada ketika dunia meraung mengharap perhatian,
Disinilah aku dan kau bertindak,
Merenjis kembali mahmudah yang semakin sirna.

Inilah yang perlu kita turuti,
Membimbing mana yang tersasar,
Menasihati pada yang tergesa-gesa.


Regards,
Faqir il Allah
Demi Masa
Majulah ikhwah untuk Dakwah,
EF Loyal Mujahid.

Thursday, August 16, 2007

PERMATA YANG HILANG

Insan itu telah pergi meninggalkannya keseorangan dalam kesedihan, perit terasa olehnya kerana insan itu tidak akan kembali lagi dalam kehidupan ini menuju kehidupan yang lebih abadi. Bahkan bukan seorang tetapi dua individu yang cukup bermakna dalam perjuangannya walau mereka adalah dua insan yang berbeza watak dan pegangannya.

Dialah antara insan yang pertama menyahut suara kebenaran dari sang suami yang dipilih ALLAH menjadi rahmat sekalian alam di saat kaumnya mencaci dan menghinanya dengan pelbagai tuduhan hanya kerana mengajak umatnya mengatakan ALLAH sebagai ILAH mereka. Insan ini juga yang sanggup membela agama ini dengan segenap kekayaannya, menemani dan menenangkan suaminya menghadapi segala mehnah dalam perjuangan yang tidak pernah mengenal henti. Dia adalah permata yang cukup sukar dicari ganti walau telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini hingga mampu membangkitkan rasa cemburu isteri yang kemudiannya lantaran telalu kerap menyebut kebaikan-kebaikan insan yang laksana permata itu sepertimana sabdanya dalam sebuah hadith

“Dia beriman ketika orang-orang ingkar, dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakanku, dia membela dengan hartanya ketika orang-orang menghalangiku dan aku dikurniai ALLAH anak darinya, sementara aku tidak dikurniai anak sama sekali dari isteri lainnya.”

Dialah Khadijah binti Khuwailid, permata pertama yang meninggalkan sang Rasul pembawa risalah ILAHI, di saat dakwah mula menampakkan sinarnya, namun takdir ALLAH menetapkan dia harus kembali kepada Penciptanya.

Permata yang kedua juga adalah seorang insan yang membantu dakwah sang Nabi walau dia tidak menjadi pengikut agama sang Nabi, dia mempertahankan RasuluLLAH di hadapan kaumnya lantaran ketokohannya dalam masyarakat, memudahkan dakwah Islam tersebar ke dalam jiwa masyarakat, memberi ruang yang cukup bermakna dalam perjuangan Islam. Namun takdir mendahului segalanya, dia juga dipanggil pulang kepada Penciptanya. Kesedihan demi kesedihan menimpa jiwa Rasul terakhir ini, apatah lagi permata yang kedua ini menuju RABBnya tanpa membawa kalimah syahadah bersamanya sehingga layak ditempatkan ALLAH dalam senarai orang yang akan diazabNYA sekalipun dia adalah ayah saudara sang Nabi yang mulia, Abu Thalib. Lantas ‘Tahun Duka Cita’ menjadi gelaran waktu itu.

Hilanglah sudah dua permata berharga dalam perjuangan ini, tapi itu bukan tanda perjuangan harus berhenti kerana perjuangan dakwah adalah milik Sang Penguasa Alam, hanya kepadaNya segala pertolongan dan pengharapan harus ditujukan, bukan kepada manusia sama ada Muslim atau tidak agar menjadi ibrah kepada Rasul dan umatnya lewat kematian dua permata itu.

Zaman telah berlalu tapi perjuangan masih sama, ujian dan dugaan masih sama, namun adakah individu seperti Khadijah dan Abu Thalib dapat hadir dalam perjuangan zaman ini. Kenapa tidak…andai ALLAH menginginkannya ia bukan suatu yang mustahil, cuma persolannya adakah kita ingin membina kembali generasi seperti Khadijah dan Abu Talib?

Ya, mereka adalah dua watak dan pegangan yang berbeza, membina generasi seperti Khadijah mungkin tidak pelik namun Abu Thalib adakah wajar membina generasi ini. Kegagalan kita mendidik generasi seperti Abu Talib menyebabkan golongan non muslim tidak memahami Islam bahkan menjadi pembenci Islam, maka tidak hairan andai ada yang sanggup membuat video klip menghina azan umat Islam walau hanya beberapa minit. Hatta berbeza pegangan tapi andai bermanfaat untuk dakwah maka wajar digunakan.

Marilah bina kembali jiwa-jiwa seperti Khadijah dan Abu Thalib dalam jiwa umat ini kerana kita memerlukan permata-permata seperti mereka. Bukan satu tugas yang mudah namun andai bukan kita siapa lagi. Kita akan dipersoalkan kelak dihadapan ALLAH lantaran tanggungjawab yang kita tidak laksanakan. Adakah kita akan berikan alasan-alasan kesibukan kedunian kita kepada ALLAH kelak??? Fikirkan wahai sahabatku

‘Tahun Duka Cita’ itu telah berlalu dan ALLAH mengembirakan Nabi dengan sebuah pengembaraan ‘Isra Mikraj’ yang mudah-mudahan dapat kita garap segala ibrah yang terkandung didalamnya dalam meniti jalan kebenaran menuju kemenangan menggapai mardhatiLLAH. Siapakah yang ingin menjadi pembantu-pembantu agama ALLAH?????

Regards,
Mohd Halimi Abdul Aziz
28 Rejab 1428H 09:20a.m

Friday, August 10, 2007

Mulai saat itu,
Kaki terus melangkah,
Meredah denai-denai,
Merintis tapak dan laluan yang sama,
Lantas mencuba nasib di batasan dakwah,
kerna keliru melihat kepincangan semasa,

Dahulu,
Yang dibanggakan adalah teladan,
Yang selayaknya dijadikan iktibar,
Tapi itu dulu,
zaman kejahilan disempadankan,
saat kemuliaan diasah di fikiran.

kini,
segalanya memuncak,
atas alasan paling logika,
hanya dengan slogan “menuju puncak”,
mereka berbondong-bondong,
meratap kehadiran pemuka-pemuka baru,

martabat, imej, personaliti, maruah,
aaaah, apa saja,
ditatap dengan parameter dan skala yang berlainan,
rumus yang terlalu mudah untuk ditafsirkan,
lekat di ingatan,
hatta kanak-kanak yang kita gelar hingusan,
mudah dan sangat mudah.

manusia ditertawakan,
oleh apa yang ditangan mereka,
mereka dihina,
dihadapan teknologi yang digelar dunia,
yang telah bertukar rentak dan irama.

adakah silibus kita,
telah lapuk dek hujan,
atau tsunami yang melanda,
meninggalkan lopak selama-lamanya.

Tunjangkan kembali,
Apa yang telah diraih,
Pada sidang nubuwwah,
Pada dewan para sahabah,
Moga-moga,
Apa yang kita laung dan bahaskan,
Didengar dan dinilai,
Dihadapan yang Maha Mulia.


Regards
Tunjang dibatasan dakwah
Majulah ikhwah untuk dakwah
EF Loyal Mujahid.

Tuesday, July 31, 2007

MUROBBI DAMBAAN UMAT

“INNA AL-AKH ASH-SHADIQ LAA BUDDA AN-YAKUUNA MURABBIYAN”[1]

Pernahkah kalian mendengar kalimah ini, ia bukan dari kalam Ilahi mahupun sabda Rasul yang tercinta, namun ia keluar dari lidah seorang insan yang benar-benar memahami wasilah-wasilah dakwah yang diperlukan untuk mengembalikan kebangkitan umat zaman ini. Perhati dan hayatilah maksud kalimah diatas:

“Sesungguhnya seorang akh yang benar ‘harus’ menjadi seorang murobbi”

Siapakah yang sudi menyahut seruan ini seperti mana sahabat-sahabat Nabi Isa a.s yang tanpa ragu-ragu mengatakan “Nahnu AnsaruLLAH” [ As-Saff 61:14].

Dimanakah murobbi dambaan umat yang bisa menjadi seorang da’i yang dapat mendidik mad’u-mad’u mereka hingga layak digelar al-akh yang benar lantaran keberhasilan dakwah yang mereka perjuangkan.

Layakkah diri ini menjadi seorang murobbi lantaran terlalu banyak masa-masa lebih banyak dihabiskan untuk kehidupan dan kesenangan diri semata-mata. Walhal pendokong kebatilan sentiasa memanfaatkan masa mereka untuk menyesat dan melalaikan umat dari mengingati-Nya.

Sayang seribu kali sayang, pendokong kebenaran masih belum cukup untuk melahirkan peribadi-peribadi Muslim yang benar lantaran lemahnya kita dalam mendidik umat ini, ditambah lagi dengan hilangnya golongan yang tercicir di jalan dakwah dengan pelbagai masalah dan alasan walau satu ketika dulu mereka adalah pendokong dakwah dan perjuangan.Ah, kita memang sedikit…..

Namun dalam lemah dan sedikitnya kita dalam mendidik umat ini, ALLAH masih lagi menginginkan kita berada di medan dakwah ini, sedangkan boleh jadi seringkali terdetik di lubuk hati ini, siapalah kita untuk menjadi murobbi dambaan umat. Hanya dengan kalimah Ilahi yang sentiasa meniti di bibir, menjadi ‘semangat’ untuk terus melaksanakan kewajipan walau umat seringkali menolak ketika seruan dakwah dilaungkan kepada mereka. Ya ALLAH berilah diri ini sedikit kekuatan agar jangan sampai semangat untuk melahirkan al-akh yang benar itu hilang dalam diri dan jiwa ini, persis pesan seorang da’i

“Engkau harus tetap menjaga himmah(semangat), kerana himmah adalah awal mula setiap perkara.”[2]

Buat diri yang sering lupa untuk mengingatkan umat lewat tulisan mahupun lisannya lantaran kesibukan yang dibuat-buat, moga sentiasa istiqamah dalam dakwah yang penuh dengan kesulitan dan kepayahan kerana setelah kesusahan itu akan datangnya kesenangan dan kejayaan. BismiLLAH jalan saja ya akhi…..[Al-Insyirah 94:5,6]

Bilakah saat dan ketikanya aku bisa menjadi al-akh yang benar???

RUJUKAN:

[1] Ungkapan Ustadz Dr. Abdullah Qadiri Al-Ahdal,-Murobbi Prasyarat Bagi Kebangkitan Umat dipetik dari buku Menjadi Murobbi Sukses, Satria Hadi Lubis, Kreasi Cerdas Utama. m/s viii

[2] Ungkapan Junaid Al-Baghdady-Tetaplah Menjaga Semangat dipetik dari buku Proaktif dalam Dakwah, Dr. AbdullahYusuf Al-Hasani, Robbani Press m/s 52

Al Abd Al Faqir,
Mohd Halimi Abdul Aziz
17 Rejab 1428H, 03:56a.m

Mujahid itu pencinta,
Meleraikan bathil dari yang haq,
Menarik keluar sisa-sisa kepalsuan,
Dari fana yang mengaburi dunia.

Mujahid itu mulia,
Mengotori diri dengan kata nista,
Lemparan manusia jahil,
Tentang hidup sebagai umat manusia.

Mujahid itu peramah,
Sesama insan, muslim atau sebaliknya,
Tidak dibezakan antara yang berakidah,
Ataupun yang keliru dalam mencari sejadah.

Mujahid itu setia,
Pada pengakuan, pada perkataan,
Dan pada perbuatan,
Kerna mereka dirantai keredhaan Tuhan.

Mujahid itu terpanggil,
Untuk ke sana dan ke mari, mengembala diri,
Menggali kecenderungan manusia,
Untuk menembus karamah didada insan.

Itulah mujahid,
Nikmat tertinggi yang ingin digapai,
Mereka yang kenal erti harakah, dan
Bagi saudara yang menyusuri liku-liku dakwah.

Itulah harapan penggari tarbiyah,
Dalam melaksanakan ajaran sunnah,
Mengongkong beban dipundak kemuliaan,
Menjinjing keletihan bersalut kenikmatan.



Regards
Mujahid itu.
Majulah ikhwah untuk dakwah
EF Loyal Mujahid

Monday, July 30, 2007

UNTUKMU TEMAN

Untukmu yang bernama teman,
Ingin aku hadiahkan sebaik-baik kalungan,
Seindah-seindah anyaman,
Dengan seharum-harum bunga,

Kerana hati yang terpahat ini,
Saban hari semakin menyayangi,
Nilaian yang sama-sama kita kecapi,
Kenangan yang tak sudah-sudah kita lakari,

Kerana aku perantau,
Yang kerap menapak dan menjajah,
Walau dalam makna yang sementara,
Walau secebis semangat didada.

Contohku adalah kamu,
Kerana tamsilanmu adalah Rasulku,
Manusia agung karya Ilahi,
Pembimbing umat ke jalan abadi

Aku ingin melihat,
Rencana yang sama-sama kita bentangkan,
Bersemadi dalam hati-hati manusia,
Bersemi dalam peradaban ummah,

Tidak akan pernah cukup,
Apa yang kita lemparkan,
Kerna apa yang bakal dituntut,
Itulah yang kita khuatirkan.

Teman
Bangkitkanlah nostalgia itu,
Bersama ukhwah kita adun kembali,
Demi saat yang bakal kita miliki.

Teman,
Jangan mudah kita menafsir,
Mimpi indah kini,
Yang bukan untuk dirai,
Tetapi lihatlah ia,
Sebagai penterjemah diri,
Dikala kita beruzlah sunyi
Menghadap Ilahi.

Regards,
Majulah ikhwah untuk dakwah
EF Loyal Mujahid.

Wednesday, July 18, 2007

BULAN REJAB

KELEBIHAN BULAN REJAB
1 Kelebihan bulan Rejab atas segala bulan As - Silafi meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. berabda :
Ertinya: Kelebihan Rejab atas segala bulan bagaikan kelebihan Al-Quran atas segala zikir; kelebihan Sya'ban atas segala bulan adalah seperti kelebihan Muhammad atas segala para Nabi dan kelebihan Ramadhan atas segala bulan bagaikan kelebihan Allah atas segala hambanya.
Hadith ini adalah Maudhu' Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar : Sanad Hadith thiqah , kecuali Hibatullah As- Saqathi, dialah yang menjadi penyakitnya Kata As-Sam'ani : Ia mendakwa mendengar hadith dari Syeikh - syeikh yang tidak pernah dilihatnya Kata Ibnu Nashir : Hibatullah bin Al-Mubarak Al-saqathi ini tidak thiqah dan nyata dustanya Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 517

2 Kelebihan berpuasa di bulan Rejab Ibnul-Jauzi menyebutkan dari riwayat Al-Furat bin As-Saib , dari Maimum bin Mahran dari Abu Zarr r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda : Ertinya: Barangsiapa berpuasa sehari dari bulan Rejab disamakan dengan puasa sebulan . Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab nescaya ditutup baginya pintu - pintu Neraka Jahim yang tujuh . Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibukakan bagikan baginya pintu - pintu Syurga yang lapan itu . Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab maka Allah menukarkan kejahatan - kejahatannya dengan kebaikan - kebaikan , dan barangsiapa berpuasa lapan belas hari dari bulan Rejab nescaya berserulah seorang penyeru bahawasanya telah diampunkan apa yang telah lalu dan mulakanlah amalan .
Kata Ibnul-Jauzi : Hadith ini tidak sah Kata Yahya bin Ma'in : Al - Furat bin As-Saib tidak bernilai apa-apa. Kata Al-Bukhari dan Ad-Daruquthni : Dia adalah matruk Dalam sanad juga terdapat Risydin Abu Abdullah yang juga seorang yang matruk Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 524
Dipetik dari
HIASILAH BULAN-BULAN MULIA YANG MENDATANG DENGAN PENUH PENGHAYATAN YANG LAHIR DARI AQIDAH YANG JELAS, IBADAH YANG SAHIH DAN AKHLAK YANG BAIK.

HADITH DHAIF DAN MAUDHU'

PUASA
1 Awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahan keampunan dan akhir pembebasan dari neraka Az-Zahabi menyebutkan dalam Al-Mizan dari riwayat Hisyam bin ' Ammar dari jalan Sallam bin Sawwar dari Maslamah bin Ash-Shalti dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya: Awal bulan Ramadhan adalah rahmat , pertengahannya keampunan dan akhirnya ialah pembebasan dari Neraka
Hadith ini adalah Munkar Kata Az-Zahabi : Ibnu 'Adiy berkata : Sallam ini munkar Hadithnya , demikian pula kata Al-'Uqaili . Salah satunya ialah hadith ini . ( * ) Hadis ini diriwayatkan juga oleh Ibnu Abi Ad-Dunya, Al-Khatib dan Ibn 'Asakir. Kata Al-Albani: Hadisnya sangat dhaif. Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 500

2 Tidur orang yang berpuasa itu adalah satu ibadat Ad - Dailami meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda :
Ertinya: Tidur orang yang berpuasa itu adalah satu ibadat
Hadith ini Maudhu' Penyakitnya ialah Sulaiman bin 'Amru , iaitu Abu Daud An-Nakha'i , seorang pembohong dan sangat terkenal mereka Hadith . Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar : Lebih daripada tiga puluh orang ( ulama hadith ) mengatakan ia mereka Hadith .
Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 478

3 Manafaat melaparkan perut Al-Ghazali menyebutkan dalam Al-Ihya' bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya: Barangsiapa yang melaparkan perutnya nescaya besarlah fikirannya dan cerdiklah hatinya
Kata Al-Iraqi : Hadith ini tiada asalnya Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 479

4 Penghulu segala amalan adalah lapar Al-Ghazali menyebutkan dalam Al-Ihya' bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya: Penghulu segala amalan itu ialah lapar dan kehinaan diri ialah pakaian bulu
Kata Al-'Iraqi : Hadith ini tiada asalnya . Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 479
5 Perkhabaran-perkhabaran ghaib sepanjang di bulan Ramadhan Ibnu - Jauzi menyebutkan dari riwayat Muhammad bin Abu Tahir Anas r.a. katanya : Rasulullah s.a.w bersabda :
Ertinya: Apabila malam pertama bulan Ramadhan berserulah Tuhan Al- Jalil akan Malik Ridhwan penjaga Syurga seraya berfirman : Persiapkan Syurgaku dan hiasilah dia untuk orang - orang yang berpuasa dari umat Ahmad , janganlah engkau menutupnya bagi mereka sehingga habis bulan mereka ( Ramadhan ). Kemudian Tuhan Al-Jalil memanggil Malaikat penjaga Neraka : Hai Malik ! Malik menjawab : Ya Tuhanku! Kemudian Allah berfirman : Tutuplah pintu - pintu Neraka Jahim dari orang - orang yang berpuasa dari umat Ahmad dan janganlah engkau membukanya untuk mereka . Kemudian menyeru Jibrail : Ya Jibrail ! Lalu Jibrail menjawab : Ya Tuhanku ! Lalu Tuhan berfirman : Turunlah engkau ke bumi dan rantaikan syaitan - syaitan yang jahat itu supaya mereka tidak merosakkan puasa umat Ahmad. Pada tiap - tiap hari bulan Ramadhan iaitu di kala matahari naik dan di kala berbuka puasa Allah mempunyai orang - orang yang dibebaskan dari Neraka laki - laki dan wanita . Pada tiap - tiap langit Allah mempunyai seorang Malaikat yang balungnya di bawah ' Arasy Ar-Rahman manakala dua kakinya berada diperbatasan bumi ketujuh yang bawah , satu sayapnya berada di Masriq yang bertatahkan marjan , mutiara besar dan permata , dan satu sayap lagi berada di Mahgrib yang bertatahkan dengan marjan , mutiara besar dan permata , Malaikat itu berseru : Adakah orang yang bertaubat yang akan diterima taubatnya ? Adalah orang yang berdoa' yang akan diqabulkan doa'nya ? Adalah orang yang teraniaya yang akan ditolong ? Adalah orang yang memohon ampun yang akan diberikan keampunan ? Adakah orang yang meminta yang akan diberikan permintaannya ? Nabi bersabda lagi : Dan Tuhan berseru sepanjang bulan Ramadhan: Para hambaku laki-laki dan perempuan , bergembiralah, hampir - hampir akan diangkat dari kamu akan makanan - makanan ini kepada rahmat dan kemuliannku Apabila malam Lailatul-Qadri Jibrail turun dalam satu golongan para Malaikat yang berselawat ( berdoa') ke atas tiap - tiap hamba Allah yang bangun dan yang duduk berzikir kepada Allah Azza Wa Jalla Apabila Hari Raya Fitrah Allah membanggakan mereka kepada para Malaikatnya : Hai para Malaikatku , apakah balasan bagi buruh yang telah menunaikan kerjanya ? Para Malaikat menjawab : Ya Tuhan kami , balasannya ialah disempurnakan upahnya. Allah lalu berfirman : Hamba - hambaku yang laki - laki dan perempuan, telah menunaikan kewajipanku atas mereka, kemudian mereka keluar dengan mengangkatkan suara mereka berdoa' kepadaku. Demi kebesaran dan kemuliaanku, demi ketinggian tempatku, pasti Aku akan kabulkan doa' mereka pad hari ini. Kembalilah, sesungguhnya Aku telah memberi keampunan kepada kamu dan Aku telah gantikan kejahatan - kejahatan kamu dengan kebaikan - kebaikan , maka mereka pun kembali dengan mendapat keampunan ).
Hadith ini adalah Maudhu' Kata Ibnul- Jauzi: Hadith ini tidak sah . Ashram yang terdapat dalam sanadnya ialah Ashram bin Hausyab. Kata Yahya : Dia adalah pembohong yang sangat jelek . Kata Ibnu Hibban : Ashram ini membuat Hadith atas orang - orang yang thiqah . Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 503

6 Kelebihan Puasa di bulan Rejab Abu Muhammad Al- Khallal , Ad-Dailami , Al-Ashbahani meriwayatkan dari Mansor bin Yazid Al-Asadi , dari Musa bin 'Imran , dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya: Bahawasanya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab , airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu , barangsiapa berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai itu.
Kata Az-Zahabi : Mansor bin Yazid tidak dikenali orangnya dan khabarnya ( Hadithnya ) adalah Batil Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 514

7 Puasa bulan Rejab Ibnu - Jauzi menyebutkan dari riwayat Muhammad bin Abdul - Baqi dari jalan Abu Bakr Muhammad bin Al-Hasan An Naqqasy , dari Abu Sa'id r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
Ertinya: Rejab adalah bulan Allah , Sya'ban bulanku dan Ramdahan bulan umatku , maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah , maka ia wajib mendapat keridhaan dari Allah Yang Maha Agung dan menempatkan dalam Syurga Al-Firdaus yang tertinggi . Barangsiapa berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda , timbangan tiap - tiap ganda bagaikan bukit - bukit di dunia . Barangsiapa berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya sepanjang perjalanan setahun . Barangsiapa berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala , gila , kusta dan sopak , dari fitnah Al-Masih Ad - Dajjal dan dari azab kubur. Barangsiapa berpuasa enam hari dari bulan Rejab, maka ia keluar dari kuburnya dengan wajah yang lebih bersinar daripada sinar bulan pada malam purnama . Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab , maka pintu - pintu tujuh buah Neraka ditutup baginya , tiap - tiap sehari puasa ditutup satu pintu dari pintu - pintu Neraka itu . Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab, maka dibuka untuknya pintu Syurga yang lapan buah itu , tiap- tiap sehari puasa sebuah pintu dibuka . Barangsiapa berpuasa sembilan hari dari bulan Rekab , maka ia keluar dari kuburnya sedangkan ia menyeru La Ilaha Illallah , maka wajahnya tidak datang kecuali syurgalah baginya . Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab , maka Allah menjadikan untuknya atas tiap- tiap satu mail Shirath akan permaidani yang ia beristirahat di atasnya . Barangsiapa berpuasa sebelas hari dari bulan Rejab , maka ia tidak akan dilihat di Akhirat nanti lebih utama daripadanya kecuali orang yang berpuasa Rejab seperti dia ataupun lebih daripadanya . Barangsiapa berpuasa dua belas hari dari bulan Rejab , maka pada hari Qiamat Allah memakaikannya dua pakaian , satu pakaian lebih baik daripada dunia dan segala isinya . Barangsiapa berpuasa tiga belas hari dari bulan Rejab , maka dihidangkan untuknya sebuah hidangan dalam bayang - bayang ' Arasy lalu ia memakannya sedangkan orang ramai berada dalam kesusahan yang amat sangat . Barangsiapa berpuasa empat belas hari dari bulan Rejab , maka Allah memberikannya pahala yang tidak pernah dilihat oleh mata , tidak didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati . Barangsiapa berpuasa lima belas hari dari bulan Rejab , maka Allah menempatkan dia di hari Qiamat di tempat orang - orang yang selamat , tiada lalu seorang Malaikat Muqarrabin dan tiada lalu pula seorang Nabi yang diutuskan kecuali mereka berkata : Berbahagialah engkau ! Engkau adalah di antara orang - orang yang selamat sejahtera ).
Kata Ibnu - Jauzi :Hadith ini adalah Maudhu' Al-Kasa-i yang terdapat dalam sanadnya tidak dikenal orangnya . Manakala An-Naqqassi iaitu Abu Bakar bin Muhammad bin Al- Hasan An- Naqqassi dituduh berbohong Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu' (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 529

8. Puasa Tiga Bulan Berturut -turut Maksudnya:
Dari Abu Hurairah RA : Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah menyempurnakan puasa sebulan penuh selepas Ramadhan melainkan bulan Rejab dan Sya'ban. I. Periwayat Hadith: At-Thabarani
2. Status Hadith: SANGAT LEMAH 3. Sebabnya: Didalam sanadnya terdapat seorang perawi bemama Yusuf bin Athiyyah bin Thabit. Kata Imam Al-Bukhari: Ia seorang yang mungkar hadithnya. Kata Imam An-Nasai dan Imam Ibnu Hajar: Ia seorang yang ditinggalkan hadithnya (matruk). Kata Imam Abu Hatim, Imam Abu Zur' ah dan Imam Ad-Daruqutni: Ia seorang yang lemah hadithnya. Kata Imam Ibnu Hibban: Tidak harus berhujjah dengannya. Kata Imam Ibnu Ma'in dan Imam Abu Daud: Ia tidak memiliki sesuatu (yang soheh untuk dijadikan pegangan).
4. Keterangan:
Hadith ini tidak dapat dijadikan hujjah tentang puasa 3 bulan berturut-turut iaitu Rejab, Sya'ban dan seterusnya disambung dengan Ramadhan sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian umat Islam. . Tidak thabit Nabi SAW berpuasa sebulan penuh pada bulan-bulan lain melainkan Ramadhan sahaja.Inilah amalan Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Aisyah RA, katanya: Maksudnya: Dan aku tidak pemah melihatnya (Nabi SAW) berpuasa sebulan penuh semenjak datang ke Madinah kecuali Ramadhan. .Inilah petunjuk Nabi SAW yang merupakan sebaik-baik petunjuk untuk diikuti dan dicontohi. Allah SWT berfirman: Maksudnya: Dan apa-apa yang dibawa oleh Rasul kepada kamu maka ambil/terimalah.
5. Kesimpulan:

Nabi SAW tidak pemah berpuasa tiga bulan berturut-turut terus menerus.

Sumber: Ibrahim Mohd Raja www.al-ahkam.net